Skip to main content

Untut

Pagi ini saya sekeluarga dan warga kampung yang lain mendapatkan rawatan pencegahan untut daripada klinik bergerak yang mengadakan sesi rawatan selama dua harinya di kampung ini. Kalau tidak silap saya , tahun ini merupakan tahun ketiga kami dikehendaki mendapatkan rawatan. Menurut maklumat yang disampaikan, tahun depan akan melengkapkan pusingan rawatan yang diperlukan. Biarpun negara kita sudah dikira bebas dari untut namun baik juga langkah pencegahan ini diambil. Kaki Gajah atau Untut adalah disebabkan oleh parasit dan virus bawaan nyamuk Mansonia yang hidup di kawasan berpaya dan air bertakung, sama seperti nyamuk Aedes. Mereka yang mengidap penyakit ini akan mengalami keadaan di mana salah salah satu, atau kedua-dua kaki akan ´membesar´ akibat lapisan kulit yang tumbuh berlapis-lapis.

Jangkitan penyakit ini, yang lebih kerap menyerang lelaki berbanding wanita bermula apabila mangsa digigit nyamuk Mansonia betina, menyebabkan jangkitan cacing mikrofilaria yang menjadi punca penyakit ini. Nama saintifik bagi penyakit ini ialah ‘Filariasis Limpatik’. Walaupun jarang berlaku, kerajaan mengkategorikannya sebagai masalah besar untuk negara ini.

Selain Malaysia, lebih 80 negara lain turut berdepan dengan masalah ini. Dianggarkan seramai 120 juta orang kini menderita akibat penyakit bawaan nyamuk ini. Kira-kira enam peratus penduduk negara ini dijangkiti penyakit ini dengan majoritinya adalah mereka yang tinggal di luar bandar.

Keadaan ini terutamanya berlaku di kawasan tepi sungai seperti di Pahang, Terengganu, Perak, Bintulu dan Miri di Sarawak serta Sungai Kinabatangan di Sabah. Kajian pihak bertanggungjawab pada tahun 2002 mendapati, kira-kira 200 kes jangkitan dikesan di negara ini dan 10 daripada pesakit disahkan menghidap Untut.

Jumlah mereka yang mengidapnya dijangkakan lebih ramai kerana mungkin ada yang tidak melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Antara tanda jangkitan cacing ini ialah demam dan bengkak kelenjar yang berulang. Bagi kaum wanita pula, mereka mungkin mengalami masalah Anemia, sementara jangkitan pada kanak-kanak juga boleh menyebabkan mereka terencat. Tanda jangkitan yang akut pula ialah keradangan pada kulit, limfa dan salur limfa sebelum berakhir dengan kaki gajah yang kronik.

Bagaimanapun, bukan semua individu yang dijangkiti akan mengalami masalah Untut; ada yang hanya dilanda demam Filariasis. Sama ada seseorang itu akan dijangkiti Untut atau hanya sekadar demam Filariasis sahaja, bergantung kepada daya tahan terhadap penyakit seseorang individu itu.

Ia juga bergantung kepada berapa banyak cacing yang mati di dalm badan perumahnya, jika kaki bengkak dan besar, menandakan cacing dewasa yang mati adalah banyak.

Bahagian kaki yang membesar itu sebenarnya disebabkan reaksi sel terhadap sisa badan cacing yang membuatkan ia membahagi dengan cepat dan akhirnya membentuk lapisan sel berlebihan. Akibatnya, kaki kulit akan menjadi berlapis-lapis, tebal dan berlipat sehingga kaki akan kelihatan hodoh.

Pun begitu, kajian telah membuktikan bahawa bukan hanya kaki sahaja yang boleh mengalami kesan Untut, malah ada kes dimana ia terjadi di buah dada wanita dan alat sulit lelaki! Kaum lelaki yang dijangkiti penyakit ini sering dikaitkan dengan mengalami masalah kesuburan walaupun belum ada kajian saintifik yang membuktikan dakwaan ini, kecuali kesukaran bagi pengidapnya untuk melakukan hubungan intim.

Untut juga bukan penyakit keturunan kerana ia tidak akan menjangkiti anak-anak jika ibu bapa mereka terbukti ada menghidapnya. Penghidap Untut juga biasanya mempunyai kurang keyakinan diri akibat keadaan fizikal mereka, dalam kebanyakan kes, pesakit lebih gemar memencilkan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat kerana akan hanya menjadi bahan ejekan.

Mereka yang berpotensi dijangkiti penyakit ini ialah penduduk kawasan pedalaman yang tinggal berhampiran sungai atau kolam yang kotor, kawasan di mana terdapat banyak tumbuhan keladi bunting serta kawasan aliran airnya adalah perlahan.

Turut berisiko ialah kawasan yang tidak mempunyai sistem pembentungan yang sempurna sepeerti kawasan setinggan. Oleh kerana ia sering menyerang penduduk kawasan yang kurang membangun, maka terdapat dakwaan tidak bertanggungjawab yang mengaitkannya sebagai penyakit orang miskin.

Bagi mereka yang dijangkiti Untut, adalah dinasihatkan supaya menjaga kebersihan, terutamanya di bahagian kulit yang berlipat (lengan dan kaki) kerana bahagian berkenan mudah berpeluh.

Namun, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati . Justeru, langkah terbaik adalah untuk menjaga kebersihan kawasan tempat tinggal anda. Kita dinasihatkan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk seperti tayar lama, botol, pasu, perangkap semut dan sebagainya.

Ramai antara kita yang kini mempunyai landskap berkolam dilaman rumah. Sekiranya kolam-kolam ini tidak dipantau kebersihannya, kelak ia akan memerangkap pemiliknya apabila menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Di kawasan-kawasan kampung pula, kolam-kolam tinggal juga hendaklah kembali diusahakan dengan menternak ikan daripada dibiarkan sahaja menjadi tempat pembiakan pelbagai nyamuk.

Antara kaedah yang digunakan di negara kita ialah pengagihan ubat dari rumah ke rumah. Selain menghentikan tindakan cacing parasit penyebab untut, ia juga berkesan membunuh cacing kerawit.

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w