Skip to main content

Nostalgia (revisited)

Majlis perkahwinan sepupu saya hari ini menemukan saya dengan sebilangan kawan lama yang sudah puluhan tahun tidak bersua. Mencecah 21 tahun, satu tempoh perpisahan yang amat panjang. Mohd Sari, seusia saya pernah belajar dalam kelas yang sama sehingga darjah tiga di salah sebuah kampung yang jauh dari bandar. Kidam (nama timangannya) terkenal nakal, kaki kebas dan suka menyakat orang termasuk rakan-rakan sekelas. Dalam kelas sering menjadi perhatian cikgu justeru sifat nakalnya dan tentunya paling bising dalam kelas. Semuanya yang tidak baik tentang Kidam. Memang begitu pun. Masih segar dalam ingatan saya tentang Kidam yang didenda duduk dibawah meja guru oleh Cikgu Khadijah semasa kelas Matematik. Kesian Kidam.

Saya bersua semula dengannya hari ini. Bukan lagi sebagai anak sekolah seperti dulu tapi kami yang sudah dewasa, punya keluarga dan kerjaya. Pertemuan yang amat tidak diduga. Kidam bukan lagi dirinya yang dulu. Kidam tidak berhenti bercerita semahu-mahunya sepanjang 21 tahun hidup yang dirintisnya, bermula dengan penghijrahannya meninggalkan kampung tercinta ke bumi Felda mengubah masa depan.

Dia berjaya dalam perjalanan hidup ( sekurang-kurangnya dengan apa yang diperlukannya)dan dia bangga menceritakan kejayaan yang diraihnya sekarang. Saya kagum dengan Kidam kerana tidak pernah menyangka beliau yang saya kenal bagaikan tanpa arah tujuan dahulu kini Kidam yang bermatlamat. Saya amat terharu bila beliau berkata" Bagi yang tidak pandai macam saya, tulang empat kerat inilah modal saya untuk berjaya". Beliau membuktikannya.

Seorang lagi taulan lama menjentik kenangan silam saya yang amat menyeronokkan. Yusof yang kini sudah mencecah usia 52 tahun kekal bujang dan tidak banyak perubahan yang dapat dikesan pada dirinya. Masih merendah diri namun mudah mesra dan berkongsi cerita. Saya tidak dapat melupakan zaman sama-sama bermain bola plastik yang berharga 60 sen sebiji hasil dari sumbangan 5 sen seorang antara kami semua. Pokok kelapa di halaman rumah atok menjadi tiang gol kami. Seronoknya bermain ketika itu. Saya bertanya Yusof tentang Deris, Bentan, Tan Buyong, Samin, Soid, Hut, Udin, Acap, Mat Chilid. Saya sebak kerana ramai daripada mereka yang telah pergi buat selama-lamnya.

Pena Tumpul - Pernah main bersama biji saga, batu seremban dan tangkap reriang

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w