Skip to main content

18Kasih

Tanggal 24.5.91 adalah tarikh paling bersejarah dalam hidup saya.Status bujang yang saya harungi selama 30 tahun secara rasmi dan sahnya dilupuskan pada hari Jumaat jam 9.45 malam di rumah No13 Kg Gudang Garam dengan renggutan tangan Imam Samad (Allahyarham) bersaksikan Pak Alang Yunos, Hj Mohd Ali Bujang (Allahyarham), Hussin Tawil (Allhyarham) dan Hj Abd Aziz (Allahyarham). Begitu juga status seorang dara milik gadis 24 tahun bernama Noorwati Muda larut sama dalam jalinan pernikahan kasih sayang bertaut erat restu keluarga tercinta. Perkenalan saya dengan isteri tercetus dari sebuah potret kelas milik adik yang kebetulan sahabat baiknya. Hati berkenan lalu bermulalah satu perjalanan dan peranan. Empat tahun hubungan terjalin bukan tanpa liku dan cabaran di depan. Namun keserasian dan takdir serta jodoh menemukan dan menyatukan kami di majlis penuh bermakna 18 tahun yang silam. Tangan direnggut, cabaran disahut, tanggungjawab menuntut, bersama saat cincing disarung dengan dugaan diharung. Pahit manis, kelat masin dalam hidup berumahtangga adalah lumrah dan sentiasa menerjah lompang-lompang kealpaan yang kalau tidak bijak menyanggah bakal menjerumus kelembah padah. Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul menjadi resepi paling utuh dalam menerajui teratakasih yang penuh pancaroba. Hati kuman sama dicicah, hati gajah pula sama dilapah. Sikap enau dalam belukar kami buang jauh-jauh. Namun yang paling penting saling percaya dan jujur ramuan paling penting dalam mengemudi bahtera kehidupan kedestini hakiki lagi diredai Ilahi.

"Semoga Allah SWT menghimpun yang terserak dari keduanya memberkati mereka berdua,
meningkatkan kualitas keturunannya sebagai pembuka pintu rakhmat, sumber ilmu
dan hikmah serta pemberi rasa aman bagi umat."
(Doa Nabi Muhammad SAW, pada pernikahan putrinya Fatimah Az Zahra dengan Ali bin Abi Thalib)

Pernikahan atau perkawinan, Menyingkap tabir rahasia ...
Isteri yang kamu nikahi,
Tidaklah semulia Khadijah,
Tidaklah setaqwa Aisyah,
Pun tidak setabah Fatimah ...
Justru Isteri hanyalah wanita akhir zaman,
Yang punya cita-cita, Menjadi solehah...
Pernikahan ataupun perkawinan,
Mengajar kita kewajiban bersama ...
Isteri menjadi tanah, Kamu langit penaungnya,
Isteri ladang tanaman, Kamu pemagarnya,
Isteri kiasan ternakan, Kamu gembalanya,
Isteri adalah murid, Kamu mursyid (pembimbing)-nya,
Isteri bagaikan anak kecil, Kamu tempat bermanjanya ...
Saat Isteri menjadi madu, Kamu teguklah sepuasnya,
Seketika Isteri menjadi racun, Kamulah penawar bisanya,
Seandainya Isteri tulang yang bengkok, ber-hati²lah meluruskannya ...
Pernikahan ataupun perkawinan,
Menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa ...
Untuk belajar meniti sabar dan ridho,
Karena memiliki Isteri yang tak sehebat mana,
Justru kamu akan tersentak dari alpa,
Kamu bukanlah Muhammad Rasulullah atau Isa As,
Pun bukanlah Sayyidina Ali Karamaullahhuwajah,
Cuma suami akhir zaman, yang berusaha menjadi soleh ... Amiiin

Pena Tumpul - Cuma nikah gantung dan kena tunggu sehingga 31.10.91


Comments

PENA KASIH said…
Terima kasih ayang kerana menjaga mama dan anak-anak dengan baik sepanjang menjadi suami isteri.Kesabaran melayani kerenah isteri dan anak-anak membuatkan tautan kasih sayang begitu padu sekali.Mama harap mahligai yang didirikan ini akan terus menuju kebahagiaan.
Anonymous said…
alhamdulillah...saya juga mendoakan kebahagian saudara suami/isteri serta keluarga hingga akhir hayat....insyaallah

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w