Skip to main content

Pelarian

Isu mat rempit kembali membahang suhu negara yang sudah sedia panas dek pemanasan global dihangatkan lagi dengan wabak selsema babi yang mula menggugat dunia. Sejak beberapa hari lepas beberapa akhbar perdana memberi liputan yang bukan kepalang hebatnya "budaya" mat motor ini. Ternyata isu mat rempit bukan isu baru. Ia ibarat cerita Melayu lama lakonan P.Ramlee yang diulang siar berkali-kali, cumanya cerita P.Ramlee tidak pernah menjemukan berbanding dengan kisah mat rempit yang membosankan, menjengilkan, meloyakan malah mengundang kebencian dan petaka. Kelihatannya tidak adil golongan ini dilihat dan dilabel sedemikian negatif sifatnya. Tetapi realitinya memang begitu pun. Siapa yang bisa menyangkal pelbagai implikasi tidak sehat hasil dari kegiatan yang tidak bertamadun ini. Mat rempit dipersembahkan dalam pakej kebobrokan sosial yang cukup lengkap; minah rempit sebagai habuannya, bohsia, dadah,pergaulan bebas tanpa batas dan apa saja penyakit sosial yang boleh tercetus kerananya.

Dalam mendepani isu yang tidak pernah selesai, dan "penyakit" yang tiada penawarnya ini, pelbagai pihak telah tampil kedepan bersuara, bertindak dan tidak kurang yang "mengambil kesempatan" melontarkan pandangan dan saranan. Ada yang berhasil, namun hanya untuk seketika. Ada yang pernah menjadi "hero" membela dan mengangkat mat rempit sebagai penyumbang utama dalam melaksanakan kerja-kerja amal untuk masyarakat. Mat rempit disanjung buat seketika dan imej negatif bagaikan terpadam. Namun sebarang usaha yang berlandaskan niat dan agenda tersembunyi tidak lama bertahan; belang sebenar mat rempit menyerlah kembali dan kali ini lebih menyilaukan mata. Mat rempit bangkit kembali. Mat motor mula mengganas semula dan mengejutkan banyak pihak. Pihak berkuasa tidak betah untuk diam lagi. Operasi kian diperhebatkan untuk melumpuhkan hobi anak muda ini.Sekian ramai yang ditangkap dan disaman bukan titik noktah kepada isu mat rempit. Ibarat kelkatu di malam hari, dikhuatiri ia akan terus membiak dan berkembang dalam gandaan yang tidak mungkin dapat dikawal nanti.

Hukuman bukan seratus peratus mekanisme paling berkesan mengurangkan bilangan yang merempit apatah lagi menghapuskannya. Anak muda sekarang tidak gentar dengan hukuman. Sekiranya mereka sanggup menyabung nyawa di jalan raya, apalah sangat hukuman itu kepada mereka. Secara umumnya, ungkapan sekarang bukan masanya untuk menuding jari kepada sesiapa atas petaka ini, saya lebih berkecenderungan untuk menunjukkan jari kepada satu pihak ini justeru merekalah yang saya lihat amat berperanan besar dalam melahirkan spesis ini. Ibu bapa wajar disalahkan, tanpa ragu. Ada ibu bapa yang membelikan motor untuk anak mereka. Ada ibubapa yang tidak mengawasi pergerakan anak-anak mereka. Ada ibubapa yang terlalu sebok sehingga melupakan anak-anak mereka. Rumah dilihat begitu tandus dan gersang oleh anak-anak lantas jalanraya dijadikan medan pelarian melepas rasa geram. Oleh itu kalau mat motor ini dihukum, ibu bapa perlu turut sama berkongsi hukumannya.

Pena Tumpul - Dulu nak duduk atas motor ayah pun tak boleh apatah lagi nak tunggang

Comments

Anonymous said…
jangan suka ibubapa jika anak2 melakukan perkara yang tidak baik...tidak ada ibubapa suka melihat anak2 mereka membuat perkara2 yang tidak baik atau menyalahi undang2...mungkin mereka tidak tahu aktiviti anak2 mereka yang sudah membesar dan sedang belajar mencari identiti mereka...saudara juga mempunyai anak cuma saya tidak tau berapa bilangan anak yang saudara miliki...adakah saudara sudah mendidik atau menjaga anak2 saudara dengan baik...adakah anak2 saudara tidak melakukan perkara2 yang tidak baik...jangan suka menyalahkan orang lain tetapi creminlah diri kita dulu....
Anonymous said…
adakah isu mat rempit saja yang menjadi kerisauan saudara...bagaimana dengan kesalahan2 yang lain seperti mencuri, merogol dan sebagainya...setuju atau tidak jika ibubapa juga di hukum di atas kesalahan2 yang di lakukan bukan saja pada isu mat rempit....bagaimana dengan tangungjawab saudara..sudah ke saudara tunaikan sebagai ibubapa

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w