Skip to main content

Perak


Kemelut politik di Perak sepatutnya boleh diselesaikan begitu mudah sekiranya dua pihak yang bertelagah mengambil pendirian untuk tidak terus berseteru kerana kepentingan politik peribadi. Krisis berpanjangan yang melingkari dua pemimpin ini tidak akan menguntungkan sesiapa malah menjadikan rakyat negeri yang pernah terkenal kerana bijih timah ini menjadi mangsanya. Nampaknya permusuhan yang pernah tercetus antara dua puak kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San kerana berebutkan lombong bijih timah sehingga memaksa pihak Inggeris campur tangan semacam berulang lagi namun dalam kapasiti dan platform yang berbeza. Dalam merungkai kekusutan politik Perak ini, kecenderungan untuk menggunakan mahkamah bukanlah satu-satunya pendekatan yang boleh digunapakai. Dalam mengembalikan semula suasana aman di Perak yang telah diselubungi suram sejak beberapa bulan yang lalu, sama ada rakyat diberi mandat untuk menyatakan pendirian mereka melalui peti undi sekali lagi atau kedua-dua pihak yang berseteru melupakan sejenak cita-cita politik kepartian mereka untuk duduk semeja dan berunding menghamparkan formula terbaik untuk seluruh rakyat Perak. Kelihatannya senario yang berlaku sekarang tidak cenderung untuk merelakan Dewan Undangan Negeri dibubar bagi memberi laluan mudah untuk pilihanraya dilakukan.Kebimbangan keputusan rakyat bakal tidak menyebelahi mana-mana dua pihak yang mempertarungkan nasib, memberi gambaran bahawa pilihanraya tidak mungkin menjadi pilihan terbaik untuk menyelesaikan krisis ini. Sebaliknya mahkamah kelihatannya akan kekal menjadi talian hayat bagi dua pihak yang sedang berbalah ini. Lepas satu, satu keputusan mahkamah dipertikaikan sekiranya keputusan tidak menyebelahi kedua-dua pihak yang berebutkan "kerusi panas" ini. Selagi keputusan paling jitu dan adil tidak diperolehi dalam menentukan pemilik sebenar kerusi Menteri Besar Perak ini,selagi itulah sesiapa pun yang berada di kerusi itu sekarang tidak akan senang duduk dan akan merasakan diri bagaikan telur di hujung tanduk! Keputusan yang adil, jitu dan mutlak cuma boleh diraih dari rakyat terbanyak, namun ia tidak mungkin berlaku justeru akan ada pihak yang lebih kecewa nanti sekiranya keputusan yang dibuat oleh rakyat tidak memihak kepada mereka. Saya suka menyarankan agar kedua pihak yang sedang bertelagah dan bertegang leher, berbaiklah dan berpakatlah dan buangkan sengketa yang ada. Seorang politikawan cuma mementingkan cita-cita politik dalam kerawang yang sempit, namun seorang negarawan tulin sanggup menguburkan aspirasi politik mereka untuk kesejahteraan rakyat. Mungkinkah ini berlaku? Mengapa tidak? Amerika dibawah Abraham Lincoln disatukan dengan membawa masuk pemimpin-pemimpin politik yang menjadi seteru utamanya semasa kempen Presiden. Obama mengambil pendirian serupa dengan memilih musuh-musuh politiknya untuk membentuk pasukan kerajaan yang kuat untuk sebuah Amerika yang terus gagah di mata dunia. Sepatutnyalah dalam usaha kita untuk membina 1Malaysia, perkiraan politik yang tidak menguntungkan sudah sewajarnya dipinggirkan sedikit demi sedikit. Kalau Obama boleh membentuk "Team of Rivals" legasi Linclon, mengapa tidak kita? Tepuk dada tanya selera, diri sendiri kah atau rakyat? Politikawan atau negarawan akan memberi jawapan yang berbeza, pastinya.

Pena Tumpul - Mulakan dengan 1Perak

Comments

Anonymous said…
dalam kehidupan ini tidak perlulah menjadi seperti ketam.....
Kamil said…
...dan cukup-cukuplah jadi labi-labi...
suara.segamat said…
Asalam..

kalau ada kelapangan singgah lah ke blog http://segamat4u.blogspot.com

Sama-sama KITA memberi pandangan yang membina, sama ada pro atau kontra, demi masa depan BANDAR SEGAMAT khasnya. dan Daerah Segamat amnya.

Terima kasih dan Wasallam
Anonymous said…
pada pandangan saudara siapa sebenarnya yang menjadi seperti labi-labi...parti BN atau parti pembangkang....pada pandangan saya dua dua seperti ketam....
Anonymous said…
tidak salah rasanya menjadi labi-labi kalau pandangan yang di berikan adalah tepat dan bukan suatu fitnah...hanya orang yang kuat imannya dan merasakan ada kekurangan pada diri sahaja yang sanggup menerima apa sahaja pandangan dan nasihat dari orang lain kecuali mereka-mereka yang ego sahaja menolak perkara trersebut....

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Seluar

S eorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat. Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang. Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan. Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat se

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w