Monday, April 30, 2012

Jawatan

Mengajak seseorang untuk hadir ke masjid untuk solat berjemaah bukanlah tugas yang mudah. Kesediaan untuk solat  berjemaah sebenarnya banyak didorong oleh diri sendiri dan bukan kerana dorongan orang lain. Walaupun umum sedar dan sangat tahu bahawa ada 27 ganjaran pahala yang diraih, namun ia masih bukan tarikan yang amat kuat.

Pagi ini ketika melintasi sebuah masjid mata saya ditarik untuk memandang iklan Jawatan Kosong yang amat menarik ini. Saya fikir iklan ini mewarwarkan maklumat jawatan kosong di kilang atau syarikat tertentu. Ini pastinya peluang baik yang akan saya sampaikan kepada rakan-rakan atau kenalan yang memang sedang memburu pekerjaan. Saya dekati iklan itu. Ia bukan iklan pekerjaan rupanya. Namun ganjarannya lumayan. Kelayakannya pun sangat minimal. Malah tarikh tutup pun cukup panjang, selama hayat dikandung badan. Sangat sangat menarik.

Membaca iklan itu dan menghadam maklumatnya satu perkara.  Manakala menyahut tawaran itu juga satu perkara dan inilah yang lebih penting daripada yang pertama tadi.

Saya melihat diri sendiri.

Pena Tumpul - Kita mungkin boleh mengheret seekor kuda ke air, namun memaksanya untuk minum belum tentu!




Saturday, April 28, 2012

Bersih

"Kalau tolong kita pungut sampah lagi bagus"
 Saya dengar kata-kata itu terpacul dari mulut seorang pengutip sampah DBKL yang sedang memerhatikan beberapa orang berbaju kuning lalu lalang di depan mereka. Namun mereka bukan untuk membersihkan sampah. Itu bukan misi mereka. Mereka mahu membersihkan "sesuatu" yang mereka dakwa kotor lalu mereka memilih untuk berjalan-jalan sambil mempamerkan bantahan mereka.

Saya selalu percaya demonstrasi jalanan bukanlah kaedah terbaik untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ada jalan penyelesaian yang saya kira lebih baik, lebih sesuai malah lebih bertamadun daripada itu. Meja rundingan boleh dijadikan pentas terbaik untuk melunaskan apa yang terbuku dalam hati Tidak perlulah sampai melibatkan ramai orang yang sebenarnya tidak menyumbang kepada penyelesaian pun. Ia cuma memcetuskan dan menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Secara peribadi, saya terjejas secara langsung angkara demonstrasi ini. Hampir dua jam saya tersangkut dalam kegawatan trafik di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. Saya dan isteri sampai di ibu negara sekitar jam 11 pagi dan menyaksikan kelompok demi kelompok berbaju kuning mundar mandir di bahu-bahu jalan. Selalunya saya tidak pernah mempunyai masalah untuk sampai ke medan niaga Jalan Masjid India. Isteri berkeinginan sangat tinggi untuk membeli belah di sini, pastinya beberapa pasang kain. Namun perjalanan kami disekat oleh barisan anggota polis yang menutup jalan yang biasa kami lalui. Bagaikan kubu membentengi asakan musuh. Mahu sahaja saya menyalahkan mereka. Namun saya sedar mereka menjalankan tugas yang diamanahkan. Mereka pemelihara keamanan. Lagi pun tindakan mereka adalah reaktif sifatnya. Mereka tidak akan terpacak di situ kalau tiada kumpulan yang ribut-ribut mahu bertindak menggugat ketenangan dan keamanan. Jangan salahkan mereka.

 Hampir dua jam saya berlegar-legar mencari jalan-jalan dan lorong-lorong yang boleh ditembusi. Akhirnya berjaya juga menerobos masuk tempat yang mahu dituju. Namun isteri dibadai rasa kecewa kerana kedai yang biasa dikunjungi banyak yang tutup.

Saya tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana pihak pun. Namun saya ada kepentingan yang lebih penting dari itu. Kepentingan dan hak saya sebagai rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, hak saya seorang pengguna jalan raya yang tidak pernah terlepas membayar cukai jalan, hak sebagai manusia untuk berpijak dengan selesa di bumi milikNya.

Kalau sendiri sudah susah jangan pula menyusahkan orang lain. Kalau diri sendiri juga tidak bersih janganlah sebok-sebok hendak membersihkan orang lain.

Bersihkan hati, bersihkan peribadi, itulah agenda utama!

Pena Tumpul - Adakah dajjal sudah lahir?

Friday, April 27, 2012

Menuding

Awal petang kelmarin saya terserempak dengan orang ramai yang berkerumun di landasan keretapi Jalan Genuang. Saya dan isteri tangkas membuat telahan bahawa pasti ada kemalangan di situ. Saya pada mulanya ingin singgah namun tidak cukup berani selain daripada ada urusan lain yang lebih segera. Kami tidak silap. Selang beberapa minit kemudian di bank cerita sudah mula tersebar. Seorang pelajar sekolah digilis keretapi.

Hari ini kesahihannya terpapar di akhbar. Pagi ini ketika minum-minum di sebuah warung, cerita yang sama dibualkan. Beberapa orang didengar bercakap tentangnya. Seperti biasa bila kejadian begini berlaku, soal siapa salah yang dititikbengikan. Salah menyalah. Ada yang menyalahkan pihak sekolah kerana tidak memberi peringatan kepada pelajarnya supaya jangan melintas di situ. Ada yang menyalahkan Pihak Berkuasa Tempatan kerana tidak menyediakan papan tanda amaran atau lebih baik lagi menyediakan jejantas untuk pejalan kaki. Pun ada yang menyalahkan KTM namun atas alasan apa pula?

Soal siapa salah sepatutnya bukanlah isunya kerana ia tidak akan ada sudahnya. Ia bagai cerita Bangau Oh Bangau. Apa yang perlu dilakukan ialah belajar sesuatu dari kejadian yang menyayat hati itu. Buat sesuatu agar ia tidak berulang lagi. Ambil langkah proaktif. Menuding jari bukan penyelesaiannya!

Pena Tumpul - Akhirnya, segalanya adalah ketentuanNYA


Thursday, April 26, 2012

Satu

Ada beberapa isu menarik menyentuh umat Melayu Islam dalam Forum Perdana Ehwal Islam yang berlangsung di Dataran Segamat malam tadi. Syeikh Ismail Hashim membicarakan agak panjang lebar soal kesatuan umat Melayu Islam. Bercakaran sesama sendiri, kutuk mengutuk, cemuh mencemuh dan fitnah memfitnah dilihat menjadi amalan biasa yang sudah diterima sejak akhir-akhir ini. Atas dasar perbezaan pandangan dan ideologi, soal permuafakatan dijadikan korban.

Sepatutnya dan sewajarnya umat Melayu Islam bersatu dan bukannya berpecah dan berpuak begitu. Alasannya amat mudah. Umat Melayu Islam menyembah Allah yang satu, berkiblatkan yang satu, mengikut ajaran yang disampaikan oleh Nabi yang juga satu dan berpandukan kepada AlQuran yang juga satu. Namun kesatuan itu sukar berlaku. Sebabnya juga mudah. Ustaz ini memberi analogi yang cukup menarik. Ia tentang seekor ayam jantan dan kambing jantan. Kambing mengutuk ayam jantan yang berkaki ayam walaupun punya balong yang cantik di atas kepala. Ayam jantan naik berang lantas mencemuh kambing pula,"Sepatu kau memang cantik, namun sayangnya kau tidak pakai seluar" Perbalahan itu tidak akan ada hujungnya. Tiada siapa yang menang dan tiada juga yang menang. Bak kata pepatah lama, "Menang sorak kampung tergadai" Dalam suara serak-serak basahnya, sempat juga Ustaz ini menyanyikan lagu yang cukup dalam maknanya ini.

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang
Nenek moyang kaya-raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa di antara kita
Cinta lenyap di arus zaman
Indahnya bumi kita
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Kita kan merintih sendiri
Jangan buang waktu lagi
Majulah raih sebuah mimpi
Hapuskan sengketa
Teruskan usaha
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di nusantara
Kita kan gagah di pentas dunia

Pena Tumpul - Melayu itu Islam dan bersaudara

Wednesday, April 25, 2012

Puisi

Kata Marsli NO, penyair dari Trengganu ini, dia tidak boleh menulis dalam keadaan senang hati.Dia cuma sangat terdorong untuk menghasilkan bait-bait puisi bila dalam keadaan susah hati, marah dan sangat geram. Ketika marah membara dan geram memuncak ketika itulah juga ilham melahirkan puisi membuak-buak. 

Dan puisi "Politikus" ini saya kira pastinya tersurat dari apa yang tersirat dalam batang tubuh penyair yang mendakwa marhaen ini. Dia mendeklamasi puisi ini di hujung bicaranya dalam "Jom Borak Buku" selama dua jam di UiTM baru-baru ini. Amat menarik dan menggoncangkan.

Dia dewasa di dunia yang tamak
mengasuhnya menjadi cerdik 
dengan muslihat dan kehendak 
yang dipertahankan dengan  serakah.

Sesekali, dengan topeng maruah, 
dia menyalak di pentas dan dewan perhimpunan. 
Wajah anjingnya ditutup dengan pekik dan jerit. 
Sambil menjilat ludah dan kencing autanya sendiri.

Katanya dia seniman yang melawan. Tidak suka sangat terikat dengan peraturan yang menyusahkan. Juga dia sampai menyampah dengan banyaknya protokol yang tidak perlu itu. Puisi adalah medan paling baik untuk meluahkan segala yang terpendam dan menelanjangkan segala cemar yang terlindung di sebalik yang nampak cantik dan bersih. "Jangan dipendam tetapi luahkan kalau tidak boleh dapat ulser usus" katanya. 

Penyair memang perlu melawankah?


Pena Tumpul - Mengkagumi T.Alias Taib

Tuesday, April 24, 2012

Bergesa

Sesekali saya dengar Diko mengeluh. Dia macam mahu segera habis menamatkan zaman sekolahnya. Sudah jemu barangkali. Tidak seronok dengan suasana sekolah. Banyak kerja atau tekanan dari rakan. Pelbagai kemungkinan yang boleh disenarai. Saya pun pernah rasa begitu dulu. Namun sebabnya jelas.Saya ingin habis sekolah cepat dan kemudian boleh cari kerja dan seterusnya boleh pegang duit sendiri. Saya sedar saya terleka dengan keseronokan punya duit sendiri hanya bekerja sebulan dua masa cuti sekolah. Itu sahaja sebabnya.

Saya tahu Diko tidak sabar untuk bertahan lama dalam dunia yang sedang dilaluinya kini. Berada di dunia remaja yang diisi dengan belajar dan belajar tanpa kesudahan mungkin meletihkan dan membosankannya juga.Lantas berharap agar masa hadapan cepat datang. Dilanda juga rasa tidak sabar untuk melakukan perubahan atau mencapai impian. Memiliki pekerjaan yang diimpikan dan mempunyai wang sendiri misalnya.

Seeloknya kita tidak terlalu tertekan mengimpi masa depan. Sebaliknya menghayati setiap detik yang sedang dilalui dengan pengisian yang berguna dan bermakna sebagai persiapan menghadapi masa depan.
 Janganlah juga berharap untuk cepat membesar. Mungkin seronok untuk meninggalkan sekolah atau universiti, kemudiannya mengayuh roda kehidupan sendiri. Tetapi, jangan mendesak masa hadapan. Detik yang ada sebenarnya mempunyai pengalaman dan keseronokan tersendiri. Contohnya bersama-sama kawan-kawan mengharungi alam remaja. Seronok kalau betul pengisiannya. 

Masa depan pasti datang lambat launnya, janganlah bergesa sangat!

Pena Tumpul - Teringat zaman sekolah dan memang menyeronokkan

Monday, April 23, 2012

Kerjasekolah

Antara soalan yang ditanya bila anak kita pulang dari sekolah ialah "Ada kerja sekolah tak?" Selalunya anak yang jujur akan kata guru ada bekalkan kerja sekolah. Pun begitu ada juga yang agak kurang rajin akan mengatakan tiada walaupun pada hakikatnya memang ada.

Bila anak mula berbohong tentang kerja sekolahnya ayah dan ibu akan dibangkit kemarahannya. Anak akan dileter ibu manakala ayah sama ada memilih untuk diam atau bertindak lebih dari sekadar leteran ibu. Ada potensi anak akan dihukum secara fizikal. Pun begitu masih di bawah kawalan tindakannya.

Namun tidak mustahil kalau ada ibu bapa yang bertindak di luar kawalan andai bila cukup marah dengan anak yang enggan menyiapkan kerja sekolahnya. Jarang kita dengar ayah atau ibu yang sampai sanggup menanam anaknya hidup-hidup dan seumpamanya hanya kerana anak malas menyiapkan kerja sekolahnya. Ini mungkin tidak berlaku di sini tetapi ia berlaku di China. Seorang ayah di China bertindak menanam anaknya yang berusia enam tahun hidup kerana membohonginya fasal kerja sekolah dan malas menyiapkannya. Ayah barangkali hilang akal sehingga bertindak seganas itu!

Walaupun kes ini sangat-sangat terpencil namun ia wajar dijadikan pengajaran buat kita. Tidak mustahil ia berlaku di mana-mana dan pada sesiapa pun.

Kerja sekolah itu penting, namun anak adalah lebih dan lebih penting lagi!

Pena Tumpul - Suka buat kerja sekolah

Thursday, April 19, 2012

Ad-Dhuha


Surah ad-Dhuha adalah penawar bagi mereka yang merasakan diri mereka disisih, ditinggalkan dan dibenci. Surah ini diturunkan sebagai menolak kata-kata musyrikin kepada Nabi Muhammad bahawa Allah telah membenci dan meninggalkan baginda.
 

Allah  dengan bahasa lembut menyejukkan jiwa Nabi , bahawa Dia tidak tinggal dan bencikan Nabi Bagi mereka yang merasakan diri disisihkan manusia, hakikatnya,Allah tidak biarkan mereka kesepian. Dia sentiasa bersama, lalu, Dia pujuk jiwa yang disisihkan itu dengan jaminan bahawa hari esok adalah cerah dan lebih baik dari hari ini.

Ad-Dhuha pengubat jiwa manusia yang resah dan memberikan kehidupan yang lebih baik jika diamalkan selalu.

Terjemahan:
[1] Demi waktu dhuha,
[2] Dan malam apabila ia sunyi-sepi -
[3] (Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).
[4] Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya.
[5] Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda – berpuas hati.
[6] Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?
[7] Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu – Al-Quran)?
[8] Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?
[9] Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,
[10] Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;
[11] Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.


Pena Tumpul - Peringatan untuk diri sendiri

Wednesday, April 18, 2012

Rahmat

"Jangan simpan patung dalam rumah, nanti Malaikat Rahmat tak masuk"

Selalu kita dengar orang sebut tentang Malaikat Rahmat yang tidak masuk rumah. Selalunya patunglah yang dikaitkan. Adakah setakat simpan patung itu sahaja? Mengapa Malaikat Rahmat ini perlu masuk ke dalam rumah kita?

Tempat tinggal yang aman, damai, sejahtera, selesa dan harmoni sebagai tempat berlindung atau berteduh adalah idaman semua. Malah, sebagai umat Islam, pasti kita juga mengharapkan rumah yang diduduki sentiasa mendapat rahmat dan berkat Allah. Sebenarnya, antara faktor menyebabkan sesebuah rumah itu mendapat rahmat dan keberkatan adalah disebabkan rumah itu sentiasa dikunjungi Malaikat Rahmat.

Penghuni yang beriman akan dikawal dan dijauhkan daripada gangguan syaitan, memperoleh ketenangan dan ketenteraman hati serta dipohonkan keampunan oleh malaikat. Mereka dipelihara ketika tidur dan jaga, didoakan malaikat, selain doa mereka turut ‘diaminkan’ malaikat ketika mengerjakan solat. Ini antara kebaikan atau faedah rumah yang dimasuki Malaikat Rahmat. Sebab itu kita perlu sentiasa memelihara perkara yang boleh mendekatkan dan memudahkan Malaikat Rahmat memasuki rumah kita.

Ada 22 sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah kita.

1. Rumah orang yang memutuskan hubungan Silaturrahim.
2. Rumah orang yang memakan harta anak yatim secara haram.
3. Rumah yang memelihara anjing.
4. Rumah yang banyak menyimpan gambar yang mencerca Para Sahabat Nabi, orang yang telah mati dan sebagainya.
5. Rumah yang mengumandangkan nyanyian yang memuja selain daripada Allah SWT.
6. Rumah yang sering meninggikan suara.
7. Rumah yang didiami mereka yang syirik kepada Allah SWT seperti tukang tilik, ahli sihir dan nujum.
8. Rumah yang menggunakan perhiasan daripada emas seperti pinggan dan mangkuk daripada emas.
9. Rumah yang makan makanan yang berbau seperti bauan rokok, perokok, penagih dadah.
10. Rumah yang didiami mereka yang sentiasa bergelombang dengan maksiat.
11. Rumah yang didiami mereka yang melakukan dosa-dosa besar.
12. Rumah yang didiami mereka yang derhaka kepada kedua ibu bapa.
13. Rumah pemakan riba.
14. Rumah yang mengamalkan budaya syaitan seperti kumpulan rock.
15. Rumah yang memiliki patung-patung.
16. Rumah yang memiliki loceng seperti loceng gereja.
17. Rumah yang didiami peminum arak.
18. Rumah yang mempercayai tukang tilik.
19. Rumah yang didiami mereka yang mendapat laknat Allah SWT, pemakan rasuah, pemberi rasuah dan mereka yang mengubah kejadian Allah SWT seperti wanita yang mencukur bulu kening, wanita yang memakai gelang atau rantai di kaki.
20. Rumah yang didiami mereka yang berhadas besar tanpa mandi Janabah/Junub.
21. Rumah yang melakukan pembaziran ( berhias dengan berlebihan ).
22. Rumah yang melakukan maksiat di dalamnya.
Sumber : www.loveloveislam.com


Pena Tumpul - Peringatan untuk diri yang lupa

Tuesday, April 17, 2012

Pencuri

Seorang Ustaz berkongsi cerita yang saya kira sangat menarik ini. Ia tentang seorang pemuda yang berguru dengan seorang alim dan diperintahkan supaya keluar bekerja dan mencari pekerjaan. Yang menariknya pekerjaan yang perlu dilakukan mestilah pekerjaan yang pernah dilakukan oleh ayahnya dahulu. Dan yang paling penting dalam melakukan pekerjaan itu, perlulah jujur dan bertakwa kepada Allah.

Pemuda itu tidak tahu tentang pekerjaan ayahnya kerana ayahnya telah lama meninggal dunia. Dia pun segera pulang ke rumah untuk menanyakan hal tersebut kepada ibunya.Setibanya di rumah, pemuda itu menemui ibunya, lalu berkata, "Bu, tolong beri tahu kepadaku apa pekerjaan sepeninggal ayah dahulu?"

Ibunya rasa sangat hairan dengan pertanyaan anaknya yang tiba-tiba itu. Dia pun bertanya, "Kenapa nak tau kerja apa ayah kamu buat dulu?" .Pemuda itu terus-menerus mendesak ibunya agar memberitahu pekerjaan ayahnya. Lama-kelamaan  ibu tewas dengan desakan anaknya. Dengan nada tinggi,  ibu berkata, "Ketahuilah bahwa ayahmu dulu adalah seorang pencuri!

Bukan kecewa yang dirasakan pemuda itu ketika mengetahui ayahnya adalah pencuri, melainkan hasrat yang membara  untuk mengikuti jejak ayahnya sesuai dengan anjuran yang disampaikan oleh gurunya.Pemuda itu menjelaskan kepada ibunya, "Aku diperintahkan oleh guruku untuk bekerja seperti pekerjaan ayahku tanpa meninggalkan kejujuran dan ketakwaan kepada Allah dalam bekerja."

"Hai, anakku! Apakah dalam mencuri ada ketakwaan?" perli ibunya.Anaknya menjawab dengan yakin, "Ya, begitulah kata guruku."

Dia pun mula belajar bagaimana menjalankan tugas sebagai pencuri. Bila sudah yakin dengan ilmu  mencurinya dia pun memutuskan untuk melaksanakan perintah  gurunya . Seusai shalat Isya' dan semua orang tertidur lelap, ia pun keluar rumah untuk menjalankan tugas sulungnya sebagai pencuri. Dia selalu ingat pesan gurunya untuk membawa kejujuran dan ketakwaan saat bekerja.Rumah yang dilintasinya buat pertama kali adalah yang terdekat dengan rumahnya, iaitu rumah jirannya sendiri. Namun, dia ingat bahwa mengganggu tetangga bukanlah pekerjaan takwa. Kemudian ia membatalkan niatnya untuk mencuri di rumah jirannya itu.

Begitu juga, ketika hendak mencuri di rumah anak yatim, dia berfikir, "Allah memperingatkan untuk tidak memakan harta anak yatim." Dia pun pergi mencari rumah berikutnya.Sambil berjalan, ia merenung, ternyata tidak mudah untuk menjadi pencuri yang bertakwa.  Namun, perintah gurunya harus dilaksanakan. dan dia tidak boleh berputus asa!

Tiba-tiba langkahnya terhenti di sebuah rumah besar nan megah. Konon pemilik rumah itu memang luar biasa kayanya. Dengan keterbatasan ilmunya, dia beranggapan bahwa tidak mengapa jika mengambil zakat dari kekayaan orang tersebut. Tekad yang bulat mendorongnya untuk masuk ke dalam rumah besar yang tidak berpenjaga tersebut. Dia menyelinap masuk ke dalam rumah itu dan menemui barang kemas dan wang ringgit yang bukan kepalang banyaknya.

Dia juga menjumpai buku-buku catatan yang berisi laporan kewangan orang kaya tersebut. Dengan lampu kecil yang dibawanya, dia mulai menghitung zakat yang harus dikeluarkan oleh orang kaya itu. Dengan sedikit ilmu yang dia tahu tentang kewangan, pemuda itu melakukan kerja-kerja pengiraannya tanpa sedar bahawa dia sudah terlalu lama dalam bilik itu sehinggalah fajar menyingsing pertanda masuk waktu solat Subuh.

Tuan rumah  bangun untuk solat Subuh.Dia terkejut melihat biliknya telah terbuka. Apalagi bila dia mendapati pemuda itu sedang asyik dengan buku-buku catatannya.. Pemuda itu terkejut bila disergah oleh tuan rumah itu. Bila dia sedar hari hendak siang,dia bergegas untuk melaksanakan solat Subuh. Dia solat Subuh bersama orang kaya itu.

Usai shalat, pemuda itu mengaku kepada tuan rumah, "Saya pencuri." Tuan rumah makin hairan "Lantas apa yang kau lakukan dengan buku-buku catatanku?" tanya tuan rumah."Aku sedang menghitung zakat yang belum kau keluarkan selama enam tahun. Ini hasilnya," jawab pemuda itu sambil menunjukkan hasil pengiraannya tadi. Dia menasihati  tuan rumah tentang keutamaan zakat. Tiada kemarahan terlihat di wajah si tuan rumah. Dia malah kagum dengan kejujuran si pencuri itu.

Akhirnya, orang kaya itu menjadikan pemuda itu penasihat kewangannya. Malah pemuda itu dijodohkan pula dengan anak gadis orang kaya itu. Pemuda itu turut membawa ibunya tinggal bersama di rumah orang kaya itu.

Begitulah berkat takwa. Seorang pencuri berubah hidupnya!

Pena Tumpul - Pernah curi rambutan Pak Atan masa kecil-kecil dahulu

Sunday, April 15, 2012

Romantis

"Baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah isterinya, apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan, berapa ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?"

Saya mendengar seorang Ustazah menyampaikannya lewat corong radio pagi ini dalam perjalanan ke tempat kerja. Isteri yang duduk di sebelah saya lihat tersenyum. Dia tahu sama ada suaminya ini buat atau tidak. Saya mengakui saya tidak buat pun.

Itulah cara Nabi junjungan kita. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah  ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Cerita-cerita tentang Baginda dalam rumahtangga berikut ini sudah kerap sangat kita dengar namun tidak salah kalau diulang-ulang lagi. Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezeki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.
 
Bukan juga sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama.

Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni.

Sifat romantiknya lahir dari hati!

Pena Tumpul - Bawakan beg pejabat isteri

Saturday, April 14, 2012

Wuduk

Maklumat yang bertaraf ilmu ini amat berguna untuk dikongsi dan lebih penting diterjemahkan dalam bentuk amalan. Kita mungkin selalu berwuduk paling kurang lima kali dalam sehari. Namun, wuduk bukan sekadar membasuh anggota yang mungkin kotor dek sampah, habuk dan sebagainya  secara lahiriah tetapi ia melangkaui kotoran-kotoran batiniah yang dilakukan oleh anggota wuduk itu.

 Ketika Ambil Wuduk kita niatkanlah dalam hati,

1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini".

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan,
... "Ya Allah, putihkanlah >mukaku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini".

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku di tangan kanan ku ini".

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini".

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, lindunglah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu".

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini".

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan.
"Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim".

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,
"Ya Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat".



Pena Tumpul - Ilmu di mana-mana, terima kasih Pencipta

Thursday, April 12, 2012

Metafora

"Kehidupan adalah pantai"
"Kehidupan adalah peperangan"
tips motivasi


Dua kenyataan di atas adalah metafora. Metafora adalah umpama simbol atau ibarat. Kebiasaannya manusia menggunakan metafora ini bila melihat sesuatu dari pandangannya yang mungkin berbeza dengan pandangan mata orang lain..  

Setiap orang pastinya melihat kehidupan dari perspektif yang berbeza. Ia bergantung kepada pengalaman mereka dalam melalui kehidupan. Lantas kerana itu lahirlah seribu satu metafora tentang kehidupan itu sahaja.

Jika kita melihat kehidupan itu peperangan, ia seolah-olah menggambarkan kehidupan itu negatif sifatnya. Penuh ranjau dan duri. Kita boleh  membayangkan kehidupan yang penuh peperangan di mana setiap orang saling bergaduh antara satu sama lain. Tiada unsur harmoni dan kepercayaan antara manusia. Pun begitu ia boleh dilihat secara  positif juga  Ia menuntut kepada keperluan untuk kita agar berhati-hati dan bersemangat dalam berjuang meredah kehidupan agar dipenghujungnya nanti kemenangan berpihak pada kita.


Begitu juga dengan metafora kehidupan adalah pantai. Kita dapat merasai ombaknya yang melambai. Bila kita  membayangkan pantai, kita mungkin akan mempercayai bahawa kehidupan adalah sesuatu yang menyeronokkan. Kita melihatnya dari sudut positif. Kerana kebiasaannya kita lihat ramai orang yang bergembira bila di pantai. Tetapi jangan lupa, pantai juga dilanda ombak! Maknanya kehidupan bak pantai tidak selalunya menyeronokkan.

Sebenarnya apa pun  metafora kita tentang sesuatu, ia mencerminkan sistem kepercayaan diri kita. Jadi, berhati-hatilah dalam memilih metafora. Apa itu kehidupan pada anda pula?

Pena Tumpul - Kehidupan itu permulaan kepada sebuah kematian

Wednesday, April 11, 2012

5

Kerap kali kita rasa amat sukar untuk memulakan dan melakukan sesuatu. Lebih-lebih lagi untuk melakukan sesuatu yang kita tidak suka. Juga untuk sesuatu yang boleh membangkitkan rasa jemu dan bosan. Untuk memulakannya pun sudah begitu sukar apatah lagi untuk terus bertahan lama. Teringat sewaktu sekolah dahulu bila setiap kali diingatkan oleh arwah ayah dan ibu supaya jangan leka mentelaah pelajaran. Terasa liatnya bukan kepalang. Namun diuja dan dipaksa juga diri walau dengan rasa payah. Memang beginilah yang acapkali kita hadapi sekiranya kita ingin melakukan sesuatu yang tidak kita suka sangat sebenarnya. Sebaliknya kalau sesuatu yang mahu dilakukan itu menyeronokkan dan tidak juga membosankan, boleh pula kita bertahan lama dengannya.

 Hari ini saya mengesan Haziq tidak mengulangkaji pelajarannya langsung. Dia mengambil kesempatan cuti umum hari ini dan berfikiran bahawa dia juga perlu berehat tanpa buku. Saya tidak terdorong untuk membiarkannya berleka-leka begitu. Dia mula membuka helai demi helai bukunya dengan amat malas. Saya tahu dia tidak teruja pun untuk membaca. Saya faham apa yang dia rasa. Dia menghadapi masalah mengambil langkah pertama. Dia perlu dibantu.

 Saya mahu dia mengatakan kepada dirinya bahawa dia tidak perlu baca lama-lama pun tetapi cukuplah untuk selama lima minit sahaja. Saya mahu dia beritahu dirinya sendiri dan membelai rasa malasnya bahawa sesuatu yang terbaik akan dilakukan dalam tempoh lima minit itu. Caranya adalah dengan mengatakan kepada diri bahawa anda hanya akan melakukan perkara itu selama 5 minit sahaja.Saya melihatnya melakukannya seperti yang disuruh. Haziq berjaya melakukannya lebih dari lima minit. Saya tahu dia sudah mendapatkan momentumnya sehingga rasa sayang pula untuk berhenti pada setakat lima minit itu sahaja.Saya yakin dia akan terus membaca dan membaca sehingga perasaan malas itu datang dalam sesuatu tempoh yang tidak dapat dijangkakan. Mungkin selepas 30 minit atau mungkin berlarutan sampai dua jam!


Berdasarkan hukum Newton fizik, sesuatu yang bergerak akan kekal bergerak melainkan terdapat daya luar yang dikenakan kepadanya. Momentum kita akan terus bergerak tanpa gangguan kecuali kalau ada sesuatu ‘daya’  lain yang menolaknya dan bila itu berlaku, momentum mungkin akan serta merta berhenti.

Jadi, kalau rasa sangat malas dan amat sukar untuk melakukan sesuatu yang tidak kita suka, beritau hati kecil kita bahawa kita cuma ingin melakukannya selama lima minit sahaja!

Pena Tumpul - Kalau mahu yang manis rasa yang pahit dahulu

Monday, April 09, 2012

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja.
Biasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu sahaja. Yang lain-lain itu kalau pun berlaku tidak lebih sekadar satu kebetulan sahaja.


Namun bukan isu kemiripan wajah anak dengan ayah atau ibunya yang menarik perhatian saya tetapi bagaimana Islam menjelaskan fenomena ini. Petang ini saya tertarik dengan seorang Ustaz yang ada menyentuh soal ini lewat corong radio.

Ia tentang seorang pendita Yahudi yang tekenal di kalangan kaumnya iaitu Abdullah bin Salam yang bertanya kepada Nabi Muhammad tiga soalan "Sesungguhnya aku ingin brtanya kepada engkau tentang tiga perkara,tidaklah mengetahuinya melainkan Nabi katanya: 1) Apakah tanda pertama hari kiamat? 2) Apakah makanan terawal yg akn dimakan oleh ahli syurga? 3) Dan sebab apakah seorang anak menyerupai bapanya atau ibunya?

Nabi bertanya kepada Jibril dan menjawab soalan tadi, "Ada pun tanda pertama hari kiamat apabila timbulnya api dan manusia dihimpunkan daripada timur hingga ke barat. Mankala makanan terawal yang akan dimakan oleh ahli syurga adalah hati ikan paus.  Dan tentang anak yang serupa ayah atau ibunya, jika seorang lelaki menyetubuhi isterinya lalu air maninya mendahului air mani isterinya maka anak itu akan menyerupai bapanya,jika air mani isterinya mendahului air mani suaminya maka anaknya akan meyerupai ibunya"

Maknanya apabila air nutfah (air mani) seseorang melebihi air nutfah seorang lagi, maka jika takdirkan benihnya itu dibiakkan oleh Allah, maka ia akan menyerupai kepada orang yang air nutfahnya yang lebih itu .Wajah bayi itu, nanti akan menyerupai rupa yang mempunyai lebihan air nutfahnya, tidaklah kira apa pun jantinanya .Adapun kemiripan wajah anak, jika seorang suami bersetubuh;dengan isterinya, jika sperma suami (lelaki) mendahului (melebihi) sperma isteri (perempuan), maka wajah si anak akan mirip dengan bapanya, sebaliknya jika air mani sperma isteri (perempuan) mendahuluinya (melebihi) sperma suami (lelaki), maka wajah si anak akan mirip si ibu” (Sahih al Bukhari: 3329)

Ada juga yang memberi kenyataan yang agak nakal sedikit bahawa kalau anak menyerupai ayah, bermakna ayahlah yang "puas" dahulu berbanding ibu dan begitulah sebaliknya. Betulkah begitu?

Pena Tumpul - Tengok anak, rupa sapa

Sunday, April 08, 2012

RM5

Fantastik. Luar biasa. Menakjubkan. Mana tidaknya saya cuma perlu bayar RM5 untuk mengikuti kursus selama lima jam. Macam sukar hendak percaya. Namun itulah hakikatnya. Saya menyertai kursus di Kolej Komuniti hari ini. Paling menarik, cuma dua orang sahaja pelajarnya, saya dan seorang lagi pesara guru.

Kolej Komuniti memang diwujudkan untuk menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada orang ramai. Justeru itu yurannya memang sangat murah dan sangat sangat berbaloi. Saya melihat peluang ini tidak direnggut oleh masyarakat setempat untuk belajar ilmu baru dan kemahiran baru. Saya melihat senarai kursus yang ditawarkan dan ia memang bermanafaat pun. Ada kursus jahitan, buat coklat, pengukuhan AlQuran, perpaipan dan banyak lagi. Di negara-negara maju pembelajaran sepanjang hayat ini memang mendapat tempat. Sayangnya, masyarakat kita masih belum mencapai ke tahap ini. Kita masih melihat bahawa pembelajaran akan terhenti di peringkat usia tertentu. Apalah perlunya warga emas untuk belajar lagi? Mungkin persoalan ini yang berlegar di benak kita barangkali.

Saya cukup terdorong untuk mengikuti kursus pendawaian letrik yang juga ada ditawarkan di Kolej Komuniti ini. Walaupun amat asas tetapi ia input yang mengukuhkan sedikit pengetahuan yang sedia ada. Sekurang-kurangnya saya lebih yakin untuk melakukan kerja-kerja pendawaian domestik yang mudah. Ilmu yang diperoleh bukan setakat teori malah Encik Firdaus melakukannya secara praktik malah memberi peluang kepada saya dan Encik Turaman untuk melakukannya sendiri. Satu kaedah pemerolehan ilmu yang baik, ada teori dan ada praktik juga.

Selepas ini kursus asas perpaipan pula!

Pena Tumpul -  Teringin nak belajar jahit

Saturday, April 07, 2012

Dosa


Dosa itu memang meresahkan jiwa. Jika kita melakukan kesalahan, selalunya kita akan dihantui rasa gelisah yang kemudiannya akan mengocak rasa tenang dalam jiwa. Rasa takut, cemas dan curiga akan sentiasa berkecamuk di dalam hati yang menyebabkan kita rasa tidak normal dan tidak selesa juga. Walapun tiada siapa yang tahu kita melakukan kesalahan dan dosa, tetapi kita tidak berupaya membendung rasa bersalah yang bagai tidak tertanggung. Begitulah hebatnya penangan membuat salah dan dosa. Rasa bersalah itu lebih perit lagi daripada perbuatan salah yang kita lakukan itu. Ia amat mencengkam jiwa.

Pagi ini tanpa diminta apatah lagi dipaksa, Haziq tampil ke muka membuka cerita tentang salah lakunya. Sengaja saya biarkan dia berperang dengan rasa bersalahnya kerana dosanya itu dengan fitrah hatinya sebagai manusia yang memang bencikan kejahatan dan sukakan kebaikan. Saya mahu melihat sejauh mana dia mampu untuk terus berperang menangkis rasa gelisah dan resah dalam dirinya. Dia tidak berupaya bertahan terlalu lama sebenarnya.

"Ayah, aziq guna duit tu untuk bayar tingkap cermin dewan sekolah yang pecah masa main bola dengan kawan hari tu. Bukan untuk beli buku pun",

Beberapa hari sebelumnya dia meminta sejumlah wang untuk membeli buku seperti yang diminta oleh gurunya. Saya memberinya tanpa soal bicara kerana saya selalu percaya kepadanya. Pun begitu tidak juga terlalu percaya. Sedikit ragu bila buku yang dikatakan dibelinya tidak pula ada sebagai bukti. Saya semakin curiga bila dia mula memberi alasan itu dan ini.

Bagaimana dia boleh mengaku? Saya teringat cerita yang tidak pernah saya lupa ini. Cerita sebatang lidi yang boleh panjang dengan sendiri di tangan seorang yang bersalah. Seorang lelaki yang memiliki beberapa orang gaji kehilangan wang dan percaya salah seorang daripada orang gajinya adalah pencurinya. Namun tiada yang tampil mengaku. Lantas lelaki itu memberikan setiap orang gajinya sebatang lidi sakti yang sama panjang yang didakwanya akan panjang satu inci di tangan seorang pencuri. Pencuri sebenar diburu resah. Dia benar-benar percaya bahawa di tangan pencuri, lidi akan panjang seinci. Jadi, dia memotongnya seinci dengan harapan lidinya akan kekal panjang begitu. Di situlah dia tertangkap kerana rasa resahnya yang bersalah, kerana lidi itu cuma lidi biasa!

Selalunya begitulah, orang yang dihambat rasa bersalah tidak akan tunggu lama untuk menyatakan salahnya!

Pena Tumpul -Takut kerana salah

Friday, April 06, 2012

BIdadari

"Demikianlah keadaannya; dan Kami jadikan kawan teman mereka bidadari-bidadari yang putih melepak, lagi luas cantik matanya". (Ad-Dukhan:54)

Bila saya sampai di ayat atas tadi, sengaja saya baca kuat-kuat kerana Haziq kebetulan berada tidak jauh dari saya. Saya tahu dia memang mendengar apa yang saya baca. Bila saya usai membaca, dia bertanya kepada saya tentang bidadari. Dia ingin tahu lebih dari sekadar apa yang pernah didengar dan dibacanya tentang bidadari. Bahawa bidadari hadiah Allah untuk mereka yang beriman dan beramal soleh di syurga. Setakat itu sahajalah  yang dia tahu. Saya juga tidak tahu banyak tentang bidadari.

Saya rujuk kepada Pak Cik Google dan menemui maklumat ini dan harap ia maklumat yang betul. Dan maklumat ini saya kira cukup mengujakan.

Diriwayatkan  Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya ketika Allah menciptakan syurga ‘Adn, Dia memanggil malaikat Jibril, berangkatlah engkau ke syurga ‘Adn dan lihatlah apa yang telah aku ciptakan untuk hamba-hambaKu dan wali-waliKu. Maka berangkatlah Jibril ke syurga ‘Adn dan mengelilingi syurga tersebut. Maka salah seorang bidadari dari penghuni istana-istana syurga yang masih perawan dan matanya bersinar-sinar memuliakannya, lalu bidadari itu tersenyum pada malaikat Jibril, maka menjadi teranglah syurga ‘Adn kerana gigi-giginya. Lalu malaikat Jibril bersujud, ia menyangka cahaya itu berasal dari Nur Tuhan Yang Maha Mulia. Maka bidadari itu memanggil malaikat Jibril, “Wahai makhluk yang dipercayai Allah s.w.t, tahukah engkau untuk siapa aku diciptakan?” ucap bidadari jelita itu. “Tidak,” jawab malaikat Jibril. “Sesungguhnya aku ini diciptakan oleh Allah s.w.t untuk orang yang memilih redha Allah s.w.t daripada menuruti hawa nafsunya,” ungkap bidadari itu.”

Maklumat ini juga sangat menarik. Di dalam kitab Daqoiqul Akbar Fii Dzikril Jannati Wan-Nar karya Imam Abdirrahim bin Ahmad Al-Qadhiy disebutkan: Rasulullah s.a.w bersabda, “Allah s.w.t menciptakan wajah bidadari dari empat warna, iaitu putih, hijau, kuning, dan merah. ALLAH menciptakan tubuhnya dari minyak za’faran, misik, anbar dan kafur. Rambutnya dari sutera yang halus. Mulai dari jari-jari kakinya sampai ke lututnya dari za’faran dan wangian. Dari lutut sampai payudara dari misik. Dari payudara sampai lehernya dari Anbar dan dari leher sampai kepalanya terbuat dari kafur. Seandainya bidadari itu meludah sekali di dunia, maka jadilah semua air di dunia Kasturi. Di dadanya tertulis nama suaminya dan nama-nama Allah s.w.t. Pada setiap tangan dari kedua tangannya terdapat sepuluh gelang dari emas, sedangkan pada jari-jarinya terdapat sepuluh cincin, dan pada kedua kakinya terdapat sepuluh binggal (gelang kaki) dari Jauhar dan permata.”

Adakah nama kita tertulis di dada mana-mana bidadari itu?

Pena Tumpul - Bidadari dunia rupa-rupanya tidaklah cantik sangat pun

Tuesday, April 03, 2012

Meminta

"Sekiranya meminta, tangan harus berada di bawah"

Adakalanya kita rasa sukar sangat untuk meminta sesuatu dari orang lain sedangkan dalam masa yang sama kita melihat ia cukup senang bila orang lain melakukan perkara yang sama itu. Ketika kita sukar mendapatnya, orang lain senang pula memperolehinya. Pastinya ada sesuatu yang membezakan kita dan orang lain itu.

Petang ini bila Hafiz disuruh oleh atoknya melakukan kerja sekolahnya saya dapat melihat Hafiz enggan melakukannya.Dia memberi pelbagai alasan untuk menolak permintaan atoknya itu.  Atoknya mencuba pelbagai cara, hatta menggertaknya dengan rotan, Hafiz tetap berkeras tidak mahu melakukannya. Atoknya gagal membuat Hafiz mengikut kata-katanya. Dan saya memang selalu melihat dia selalu gagal pun mempengaruhi cucu sulungnya ini.

Selang beberapa ketika, seorang lagi atoknya mendekati Hafiz juga dengan tujuan yang sama. Atoknya yang satu lagi ini tidak membentak apatah lagi meninggi suara berbanding dengan atok yang sebelum ini. Tiada juga kata-kata ugutan. Tiada juga ancaman rotan. Hafiz tidak membantah. Hafiz menurut kata atoknya tanpa banyak soal dan bicara. Saya lihat Hafiz melakukannya dengan rela tanpa paksa. Atoknya yang seorang lagi ini melakukannya dengan mudah..

Saya melihat perbezaan pendekatan kedua-dua atok Hafiz ini. Atok yang mula-mula tadi meminta Hafiz melakukan sesuatu dengan "tangan berada di atas". Dia meminta dengan menggunakan kedudukannya sebagai seorang atok yang perintahnya perlu diikuti dan dipatuhi. Dia mahu Hafiz mengikut perintahnya kerana dia adalah atok dan cucu perlu mematuhinya. Namun ia tidak semestinya begitu. Hanya kerana kita ada kuasa tidak bermakna kita boleh mendapat dengan mudah apa yang kita mahu melalui kuasa yang kita miliki. Tidak juga dengan kuasa kita boleh memaksa orang lain untuk mendengar apa yang kita kata.

Atok Hafiz yang satu lagi lain pendekatannya dalam mendekati cucunya. Justeru itu dia berjaya meminta Hafiz untuk mendengar katanya dan sekaligus melakukan apa yang diminta. Kalau ingin meminta, atas alasan apa sekalipun, biarlah dengan rendah hati. Kalau ingin menyuruh, suruhlah dengan rendah hati juga. Pasti lain hasilnya.

Pena Tumpul - Meminta pada yang sudi

Terkenang-kenang

T eringat satu ketika dulu di kampung bila Ramadan tiba. Ramadhan disambut penuh meriah. Ketika zaman kanak-kanak. Berbuka di surau bersa...