Thursday, November 29, 2012

Rezeki

Saya ke kedai alat tulis lewat petang ini. Sedang asyik mencari kertas, saya tercicir kunci kereta. Saya mula mencari-cari kunci tersebut. Badan saya sudah mula berpeluh. Kedai tersebut pula sudah mahu tutup.

Dalam tekanan yang amat itu saya bernazar untuk memberikan RM10 kepada anak yatim seandainya saya menjumpai kunci tersebut. Alhamdulillah dengan pertolongan tuan punya kedai, saya akhirnya berjaya menjumpai kunci kereta kembali.

Dalam perjalanan balik ke rumah, kepala saya ligat berfikir. Dari mana saya mahu mencari anak yatim? Saya takut akan terlupa dengan janji saya pada Allah.

Saya singgah di bank. Bagai sudah dijanji sedang menanti seorang budak lelaki. Dia kata dia anak yatim dan ditugaskan untuk memungut derma bagi pihak sekolahnya. Saya beri RM10 khas untuknya dan juga beberapa ringgit lagi untuk kutipan dermanya itu.

Saya belajar tentang rezeki lagi hari ini. Allah menjamin rezeki hambaNya. Allah menjamin rezeki anak kecil itu. Hebat perancangan Allah. Saya kehilangan kunci dan dalam keadaan yang amat memerlukan itu saya bernazar. Dan takdir Allah, anak kecil itu memperolehi rezekinya.

Dalam hidup ini, sesetengah manusia tidak cukup beriman bahawa Allah yang menjamin rezekinya. Pelajar menyangka bahawa JPA, MARA atau PTPTN yang memberikannya makan minum. Seorang tentera merasakan bahawa kerajaan yang menjamin rezekinya di hari tua dengan duit pencennya.

Saya pernah terjumpa seorang tentera yang tidak mahu menjaga ibunya, menyambung kontraknya dengan kerajaan semata-mata kerana jaminan duit pencen, merasakan duit pencen yang akan menjaganya di hari tua kelak. Alahai manusia..

Ustaz pernah menceritakan satu kisah yang bersangkutan tentang rezeki ini. Ada seorang lelaki yang suka merenung dan memerhatikan seekor burung. Setiap hari dia melihat burung tersebut singgah ke satu dahan pokok tetapi tidak membuat sarang. Hatinya tertanya-tanya mengenai pekerjaan sehari-hari burung tersebut. Satu hari dia memanjat pokok tempat persinggahan burung tersebut untuk mengintip aktiviti si burung. Apa yang dilihatnya? Dia ternampak seekor ular yang buta. Rupa-rupanya burung tersebut singgah untuk memberikan makanan kepada ular yang buta ini. Meskipun burung dan ular bermusuh, tapi seandainya Allah mentakdirkan sesuatu, itulah yang akan terjadi.

Allah sentiasa menjamin rezeki hambaNya.

Pena Tumpul -Mudahnya menjemput rezeki


Tuesday, November 27, 2012

Pengkhianatan

Sayu sangat saat melihat gambar ini. Seorang anak Palestin sedang membersihkan kesan-kesan pembunuhan ahli keluarganya. Namun wajahnya memaparkan ketabahan yang luar biasa.

Palestin dizalimi Israel dan juga sebenarnya dikhianati oleh mereka yang satu aqidah dengannya. Pengkhianatan pertama adalah pengiktirafan negara Israel oleh Turki yang saat itu dipimpin oleh kuasa-kuasa sekularisme. Negara Turki adalah negara Islam pertama yang mengiktiraf Israel. Kemudiannya adalah Iran yang saat itu memusuhi Mesir dan menjalin hubungan dengan Israel. Dan kemudiannya pengkhianatan Mesir sendiri sehinggalah terjatuhnya kerajaan Hosni Mubarak.

Rakyat Palestin tidak akan pernah menagih simpati kita. Mereka juga tidak pernah mengharapkan duit-duit kita. Namun kitalah yang berhutang dengan mereka. Kita menyerahkan tanggungjawab membebaskan AlQuds yang sewajarnya menjadi tanggungjawab kita sepenuhnya kepada mereka. Kitalah yang berhutang dengan mereka. Mudah-mudahan sumbangan kita mampu mengurangkan hutang-hutang kita pada mereka.

Berdermalah untuk Palestin!

Pena Tumpul - Apa peranan OIC?

Monday, November 26, 2012

Ubat

Saya menemui fakta menarik tentang kolestrol. Ia sangat berguna untuk diketahui umum. HMG CoA Reductase adalah enzim yang digunakan dalam penghasilan kolestrol di dalam tubuh manusia. Ubat kolestrol (Statin) yang sedang saya ambil dan orang lain juga yang menghadapi masalah kolestrol rupa-rupanya  digunakan untuk merencat aktiviti enzim ini. Ubat ini menjadi azimat yang tidak terkira dalam bidang perubatan. Sebiji ubat ini khabarnya berharga kira-kira RM5.60

Lebih menarik lagi tentang ubat ini ialah, khabarnya juga terdapat syarikat-syarikat besar di dunia ini yang menggunakan ubat ini untuk memperolehi pendapatan lumayan dan seterusnya keuntungan tersebut digunakan untuk melakukan pembantaian ke atas umat Islam di Iraq dan Palestin.

Tanpa sedar pemakanan kita sehari-hari menjadi punca kepada penderitaan saudara seIslam kita. Salah satu rancangan Zionis adalah menyerang kita dari sudut makanan. Adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menjaga pemakanan mereka dan seterusnya kesihatan mereka. Salah satu punca gemilangnya generasi Islam dahulu adalah bila mana mereka menjaga kesihatan mereka. Penjagaan pemakanan membolehkan mereka untuk bangun berqiamullail pada waktu malam.

Pemakanan yang tidak terancang menjadi faktor pengumpulan kolestrol dan seterusnya menyebabkan kita memerlukan pengambilan ubat kolestrol sehari-hari. Dan ini sewajarnya perlu diberi perhatian untuk setiap insan yang mengambil berat mengenai nasib malang yang menimpa umat Islam sedunia.

Perkara yang saya bangkitkan ini juga sewajarnya menjadi perkara penting yang wajar difikirkan oleh setiap pelajar perubatan Islam. Menjadi tanggungjawab mereka tentunya untuk mendalami sedalam mungkin ilmu agar kelak mampu menghasilkan alternatif yang mampu menggantikan penggunaan ubat kolestrol ini. Barangkali ilmu genetik perlu didalami agar kita mampu mengawal kuantiti enzim HMG CoA Reductase di dalam sel kelak.

Dalam keberangan kita terhadap Yahudi kita mahu memboikot segala produk Yahudi dan apa sahaja yang menyumbang kepada kemenangan Yahudi. Ketika kita berteriak untuk memboikotnya, dalam masa yang sama, mereka yang mengunjungi KFC dan McD tidak surut juga.

Adakah kita tiada pilihan?

Pena Tumpul - Di mana OIC?

Saturday, November 24, 2012

Laknatullah

Bayangkan kalau yang bergelimpang ini anak kita
Saya tidak pernah mengekpresi rasa geram saya kepada Yahudi. Itu tidak bermakna saya tidak benci perbuatan Yahudi ini. Hati mana yang tidak tersentuh melihat anak-anak kecil yang tidak berdosa mati di tangan kekejaman Yahudi. Rasa benci yang melampau kian bertambah bila membayangkan anak-anak itu adalah anak-anak kita sendiri.

Saya ingin berkongsi sesuatu tentang Yahudi ini. Ingin tahu apa yang diperkatakan oleh Yahudi Laknatullah itu dalam petikan Talmud? Talmud adalah kitab Taurat yang telah diubah.

Israel bertanya kepada Tuhannya : Mengapa Engkau ciptakan makhluk selain bangsa pilihanmu (Yahudi)?

Ingin tahu apa kononnya jawapan yang diberikan oleh Tuhan dalam kitab Taurat yang telah diubah itu?

Kononnya Tuhan menjawab : Supaya kamu menaiki belakang mereka, menghisap darah mereka, membakar yang baik, mencemari yang suci dan menghancurkan segala yang dibangunkan.

Khabarnya, doktrin ini disuntik dalam benak setiap Yahudi, tidak kira dari kalangan kanak-kanak mahupun orang tua yang mula dijangkiti penyakit Alzheimer dan nyanyuk. Membunuh bukanlah suatu dosa pada mereka. Menghancurkan sebuah binaan adalah pahala bagi mereka.

Diberitakan lagi, satu nyawa rakyat Palestin digunakan untuk menyambung nyawa empat orang Yahudi Laknatullah! Dapatkah kita gambarkan betapa kejamnya mereka? Dan itu bukanlah satu, malah ribuan nyawa telah diperlakukan seperti itu. Semuanya kerana doktrin yang telah disuntik oleh petikan Talmud itu. Malah pembunuhan yang ngeri sebegini adalah pahala buat mereka. Ajaran-ajaran dalam kitab Talmud membuatkan orang Yahudi menganggap bangsa lain adalah lebih rendah dari haiwan dan lebih hina dari anjing.

Pena Tumpul - Syukur dikurnia aman dan damai di tanah air tercinta

Friday, November 23, 2012

Sebenar


Selalu kita dengar orang berkata  peribadi sebenar seseorang ialah bagaimana tingkahlakunya bila sendirian, ketika tiada sesiapa pun yang melihatnya. Baik di depan belum tentu baik juga di belakang. Jujur ketika dihurung ramai orang belum tentu jujurnya kalau bersendirian. Tutur kata yang lembut gigi dari lidah lagi bersantun bersama orang, belum tentu juga begitunya bila seorang diri.

Klip video di atas menerangkan segalanya. Berhati-hatilah kalau mahu melepaskan gas pemual hidung. Seumur hidup menanggung malu!

Pena Tumpul - Tuhan Maha Melihat

Thursday, November 22, 2012

Perang

"Anak awak dapat berapa A?"

Lazimnya, pertanyaan beginilah yang akan terpacul dari mulut kita setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan. Bermula dengan UPSR, kemudian PMR, SPM dan akhirnya STPM. Kalau UPSR pastinya yang dapat 5A akan dijulang bangga. Bukan anak sahaja yang girang bukan kepalang tetapi ayah dan ibu sama menumpang riang. Satu kampung kalau boleh mahu dicanang. Kalau PMR, lebih pula bilangan A yang dipertaruhkan dan didambakan. Paling maksimum dapat 8A. Sedikit lebih meriah berbanding UPSR. Namun keputusan SPM lebih dinanti-nantikan lagi kerana lebih banyaknya jumlah A yang bakal dinobatkan.

Beginilah senario pendidikan kita sekarang. Pendidikan dilihat bagaikan persaingan memburu jumlah A. Pertarungan untuk mencari yang kalah dan yang menang. Mereka yang lemah akan tersingkir dan dipinggirkan manakala yang menang akan dijulang bagai juara. Adakalanya bukan anak-anak yang menduduki peperiksaan itu yang dilanda bimbang tetapi ibubapalah yang lebih-lebih lagi dihantui gusar dan gundah gulana. Anak-anak bagaikan bala tentera yang dihantar bertarung untuk mengumpul sebanyak-banyaknya harta rampasan perang buat mereka!

Pendidikan bukan setakat pengumpulan jumlah A sahaja. Pendidikan itu luas perspektifnya. Ia proses menambah ilmu, dari tidak tahu kepada tahu. Dari tidak tahu membaca kepada tahu membaca. Membentuk personaliti pelajar juga. Juga memberi peluang untuk menyerlahkan bakat dan potensi diri kerana setiap pelajar adalah unik dan kelebihan tersendiri. Tidak cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM tidak bermakna mereka bukan pelajar yang tidak baik. Peperiksaan bukanlah satu-satunya kayu pengukur yang ada dan sangat-sangat kita pertanggungjawabkan. Ini tidak adil buat sebilangan anak-anak kita!

Pena Tumpul - Berapa A Diko?


Tuesday, November 20, 2012

Tanah

Hari ini saya didatangi oleh seorang yang sangat-sangat memerlukan tanah. Dia pernah datang empat bulan dulu tetapi hilang tanpa sebarang kata putus Dia mungkin tidak sangat bersetuju dengan harga yang saya cadangkan. Saya pula tidak terdesak lantas tidak cepat bersetuju dengan cadangan harganya yang saya kira tidak munasabah.

Tiba-tiba tanah menjadi komoditi yang sangat penting dan dihambat orang. Memang tanah menjadi buruan pun lebih-lebih lagi dalam keadaan tanah yang sangat-sangat terhad sekarang. Ada yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan tanah. Keperluan terhadap tanah adalah pelbagai. Ada yang cuma memerlukan sebidang tanah seluas tapak rumah, selain dari yang memerlukan berekar-ekar tanah untuk tujuan pertanian misalnya.

Tidak dinafikan bahawa tanah sangat terhad ketika permintaannya pula sentiasa meningkat. Sebab itu, orang tua selalu berpesan tanah yang ada janganlah dijual. Sekali dijual bukanlah mudah untuk mendapatkannya semula. Tanah walaupun sekangkang kera eloklah dijaga baik-baik dan jangan sampai dijual kepada orang lain hanya untuk menikmati keuntungan sekelip mata.

Saya tidak menjual tanah dalam ertikata tanah secara keseluruhannya. Tanah tetap dipanggil tanah berbanding dalam Bahasa Inggeris yang dengan jelas membezakan antara "land" dan "soil". Saya ditawarkan untuk menjual "soil" dan bukan "land" dan kerana itu saya tidak perlu teragak-agak untuk menerima tawaran itu kerana tanah itu masih milik saya walaupun kuantiti "soil"nya telah berkurang dan struktur tanah itu juga berubah.

Kali ini seorang Penyelaras Projek yang sedang  menaiktaraf jalan Segamat-Tangkak yang khabarnya amat terdesak mencari tanah untuk penambakan, akur dengan cadangan asal saya dulu.Dalam keadaan terdesak biasanya orang akan sanggup buat apa saja!

Harganya boleh tahan!

Pena Tumpul - Sangat percaya dengan rezeki anugerahNYA

Sunday, November 18, 2012

Baling

Saya melihat seorang budak lelaki ini membaling batu ke arah beberapa kumpulan lelaki. Dia mulakan dengan membaling sekelompok lelaki yang sedang leka bermain gitar sambil menyanyi. Dia di kejar namun masih sempat membaling batu lagi ke arah beberapa orang lelaki yang sedang sembang-sembang di kedai kopi. Dia terus dikejar oleh dua kumpulan tadi sambil terus membaling ke arah sekumpulan lelaki lain. Dia terus dikejar dan dikejar. Dia berlari sepantasnya dan lariannya tamat di ruang solat sebuah masjid. Beberapa orang jemaah masjid terpinga-pinga menyaksikan apa yang berlaku.

Lelaki-lelaki yang mengejar juga berhenti tanpa bertindak apa-apa pun pada budak lelaki yang sudah berada di depan mata. Budak lelaki itu memang bijak. Dia tahu di masjid, dia selamat. Lelaki-lelaki yang sedar dirinya Islam tidak akan buat sesuatu yang boleh mencemarkan kekudusan Rumah Allah. Namun, bukan tujuan untuk menyelamatkan dirinya dari lelaki-lelaki itu yang membuat budak lelaki ini memilih masjid. Bukan itu sebabnya. Dia punya tujuan yang lebih mulia dari itu. Bukan juga dia saja-saja membaling batu tadi. Dia melepaskan geramnya kerana lelaki-lelaki itu tidak mengendahkan laungan azan dari masjid berdekatan. Dia mahu mereka semua ke masjid dan solat. Dia mengambil risiko dengan membaling batu itu. Tetapi dia berjaya mengheret mereka ke masjid dan seterusnya solat bersama secara jamaah. Hebatnya budak lelaki ini.

Bukan itu sahaja keberanian budak lelaki ini. Saya juga melihat dia bertindak lebih berani dari itu. Dia mencari bahaya bila cuba pula menyelamatkan seorang perempuan yang dibelasah teruk oleh seorang lelaki. Dia menyelamatkan seorang pelacur rupanya! Lebih mulia dari itu dia membawa perempuan itu keluar dari kancah dosanya selama ini.

Apa yang saya lihat ini bukanlah benar-benar berlaku di depan mata saya pun. Ia cuma paparan kisah masyarakat yang sempat saya kutip dari sebuah drama yang saya tonton. Benar, ia rekaan tetapi ia sangat menarik hati seorang saya. Ada pengajaran.

Realitinya bagaimana? 

Pena Tumpul - Ingin baling batu di Jamrah


Saturday, November 17, 2012

Tempias

"Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka". (Surah AlKahfi: 18)

Pernah baca Surah Kahfi? Banyak sangat kisah yang ada dalam itu. Semuanya adalah kisah yang amat berat. Antaranya berkenaan perihal dakwah, perjuangan menyelematkan iman, kisah roh, kisah seorang pemimpin dunia yang hebat dan banyak lagi.

Pernahkah kita terfikir, kenapa dalam kisah-kisah yang begitu berat itu, tiba-tiba Allah menyebutkan perihal anjing di dalam ayat yang ke 18? Apa yang ada pada anjing itu sampai Allah rakamkan dalam Quran? Boleh sahaja Allah tidurkan pemuda-pemuda itu, biarkan sahaja anjing itu mati jadi tengkorak dan tidak perlu pun  dirakamkan di didalam AlQuran. Namun kenapa anjing itu juga diberikan kelebihan disebut di dalam Quran sama seperti yang dialami oleh pemuda-pemuda Kahfi tersebut? Kita semua membaca ayat Quran berkenaan anjing ini dan semua orang akan membacanya sehingga hari kiamat. Wah, hebat kan anjing itu? Apa yang menjadikannya hebat?

Allah mengurniakan anjing ini rahmat. Apa sebabnya? Ini adalah kerana anjing tersebut memperolehi saham lantaran kerana bersama dengan orang-orang yang soleh.

Hebat kan? Betapa pentingnya untuk bersama dengan mereka yang  boleh memberikan kita juga tempias dan sahamnya!

Pena Tumpul- Baca setiap Jumaat

Friday, November 16, 2012

Branula

Saya jumpa doktor beberapa hari yang lalu. Seorang doktor yang saya kira sangat muda. Ujian darah yang saya lakukan mendapati tahap kolestrol saya agak tinggi. Doktor muda ini mencadangkan saya supaya mula mengambil ubat. Ketika saya sangat risau dan bimbang dengan status kesihatan saya, doktor muda ini memberitahu saya ia cuma perkara biasa. Katanya, ramai lagi seperti saya malah lebih tinggi lagi tahap kolestrolnya.Saya akur dengan cadangannya dan bermulalah hari saya dan seterusnya bersama pil-pil. Apa pun, kata-katanya itu melegakan hati saya. Kalaulah tujuannya untuk melegakan hati pesakit saya percaya memang itulah yang dilakukan oleh doktor pun.

Namun saya berfikir dan melihat sebaliknya. Adakah mereka yang berada dalam bidang perubatan ini mungkin sahaja sudah kehilangan sensitiviti? Soalan demi soalan menerjah kepala saya.Masih sangat pedulikah mereka dengan setiap titik darah yang menitis dari badan pesakit? Kisah sangatkah mereka kalau  brannula pesakit tercabut atau mungkin sahaja dipandang enteng? Apabila pesakit memberitahu sakit, hirau sangatkah mereka? Apabila pesakit mati, hati mereka bagaimana? Terusikkah mereka?

Terima kasih buat Doktor yang masih tidak hilang hatinya!

Pena Tumpul -  Sensitif

Thursday, November 15, 2012

Hijrah

Satu Muharam menjengah lagi.Tahun Hijrah bertambah dan usia kita makin berkurang. Pena tidak mungkin mampu mengungkapkan segalanya. 1 Muharam, tarikh yang terlalu bermakna dalam rentetan sirah, tarikh yang terlalu bermakna dalam kehidupan sahabat, tarikh yang menentukan perjalanan sirah yang seterusnya..

Mengapa kita perlu berhijrah? Bertanya mengapa kita perlu berhijrah samalah seperti bertanya mengapa kita perlu berubah? Kita berubah ke arah yang lebih baik atau ke arah yang lebih buruk. Cerdik pandai ada mengungkapkan, "Orang yang berjaya ialah orang yang hari ini lebih baik daripada semalam. Orang yang terpedaya, orang yang hari ini sama seperti semalam. Dan orang yang celaka, ialah orang yang hari ini lebih buruk daripada semalam"

Hijrah bermula dengan diri sendiri. Kita tidak berubah kerana melihat orang lain berubah.Kita perlu berubah kerana memang kita memilih untuk berubah dan sekaligus mengawal perubahan itu. Kita tidak berubah kerana dipaksa. Jangan harapkan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah, sekiranya kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu. Berubahlah walau sedikit tetapi kekal. Tidak perlu banyak-banyak. Asal hari ini sedikit lebih baik daripada sebelumnya memadailah. Misalnya, kalau hari ini baca 10 ayat AlQuran, esoknya bacalah lebih sedikit walaupun lebih satu ayat. Ia tidak sukar untuk dilakukan pun, kalau kita memang benar-benar mahu berubah. Kalau sebelum ini kita cuma baca sahaja ayat-ayat AlQuran dan berjaya khatam, adalah lebih baik untuk pusingan berikutnya, bacalah terjemahannya pula. Kalau terjemahan pun berjaya kita lunaskan, beralih pula kepada mentadaburnya pula berlandaskan kitab-kitab tafsir. Ada tafsir Ibnu Kasir, Tafsir AlAzhar dan pelbagai lagi.


Saya tadabbur seketika ayat-ayat hijrah ini,

Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah, sesudah mereka dianiaya (ditindas oleh musuh-musuh Islam), Kami akan menempatkan mereka di dunia ini pada tempatnya yang baik; dan sesungguhnya pahala (amal mereka yang baik itu) lebih besar di akhirat kelak, kalaulah mereka mengetahui. Mereka itu ialah) orang-orang yang bersabar (menanggung kezaliman) dan berserah diri kepada Tuhannya. (Surah Annahl: 41-42)

Hijrah, perubahan yang berlaku dalam hidup kita perlu kerana Allah semata-mata.. Dan kita mengharapkan semua itu menghasilkan natijah yang baik dalam kehidupan dunia dan pahala yang lebih besar lagi di akhirat kelak.

Pena Tumpul - Sedikit demi sedikit

Wednesday, November 14, 2012

Pagar

Saya selalu melihat anak-anak sekolah adalah bagaikan padi yang perlukan perlindungan dari guru-gurunya. Dalam konteks ini saya melihat guru pula bagaikan pagar yang sewajarnya melindung padi-padi yang sedang menghijau ini daripada ancaman anasir-anasir yang tidak diperlukan. Ia adalah musuh-musuh yang bakal merosakkan padi-padi ini.

Malangnya, adakalanya apa yang berlaku, bukannya musuh dari luar itu yang dikhuatiri dan ditakuti tetapi pagar itu sendiri petualangnya.Anak-anak sekolah yang tidak tahu apa-apa diheret perasaannya dan dimanipulasi semahunya!

 Kata peribahasa Melayu, harapkan pagar, pagar makan padi. Malangnya nasib padi sekiranya pagar yang diharapkan dapat melindunginya dari sebarang angkara, sebaliknya pula menjadi ancaman yang tidak pernah terduga oleh padi-padi yang tidak punyai kekuatan apa-apa. Rumpun-rumpun padi yang menghijau meliuk-liuk ditiup angin saujana mata memandang begitu mengharapkan pagar yang mengelilinginya mampu membentenginya dari sebarang ancaman musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk meratah batang tubuhnya dan keenakan buahnya.

Pagar-pagar perlu menjadi perisai paling utuh daripada dinodai oleh pipit-pipit durjana, babi-babi yang menggila dan pelbagai seteru yang tidak dijangka. Padi-padi tersenyum gembira melihat diri yang lemah dan naif dinaungi oleh pagar-pagar yang dibina dari kayu yang kukuh lagi perkasa. Dari jauh kelihatan sang petani tersenyum lebar dan bersyukur memiliki pagar yang dapat dipertanggungjawabkan untuk melindungi padi-padinya sehingga ranum di hujung musim.

Namun, di satu sudut kelihatan pula seorang petani tua yang meratapi nasib malangnya menyaksikan padi-padinya terkulai layu dek tingkah durjana pagar-pagarnya sendiri.

Elok dicantas sahaja pagar yang makan padi ini kerana ia menyusahkan dan meloyakan!

 Pena Tumpul - Terkilan kerana tersalah pilih pagar

Tuesday, November 13, 2012

Singkatnya




"Umur Atok Dolah dah 92, masih sihat dan masih boleh solat"

Saya kagum dengan Atok Dolah kerana kuantiti umurnya dan lebih dari itu kualitinya juga. Secara logiknya, angka 92 itu memang dilihat sangat besar. Sesungguhnyalah, masih kekal hidup adalah nikmat yang luar biasa. Umur ialah modal untuk kita menyediakan bekalan menuju kehidupan akhirat yang kekal abadi. Bagi yang taat, umur ialah peluang untuk terus menambah sebanyak-banyaknya kebaikan dan kebaktian. Bagi yang derhaka pula, umur adalah kesempatan untuk bertaubat dan membetulkan diri.

Walaupun usia 92 itu sudah dikira sangat panjang dan tidak ramai yang sempat menggapainya, pun begitu tidak ada yang pernah mencecah 200 tahun. Seperti sabda Nabi Muhammad yang bermaksud,

"Umur-umur umatku berkisar antara 60 hingga 70 tahun. Sangat sedikit antara mereka yang umurnya lebih daripada itu"   ( Direkodkan oleh Tirmizi)

Kalaupun berjaya mencecah 63, 92 hatta 200 tahun sekalipun, ia sebenarnya masih sangat singkat berbanding jangka masa hidup di akhirat yang infiniti sifatnya. Sebagai perbandingan, AlQuran ada menyatakan bahawa 1 hari di akhirat adalah sama dengan 1000 tahun di dunia. Ini bererti jika kita berjaya hidup selama 63 tahun, maka itu sama dengan 1 jam setengah sahaja di akhirat. Sangat singkat!  Rasa yang terlalu singkat ini tidak akan kita rasai hakikatnya di dunia ini, namun di akhirat nanti pasti kita akan merasainya.
 " Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah- olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan, dan yang tidak mendapat pertunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia)." (Surah Yunus:45)

Kita melihat perjalanan masa yang sangat pantas di depan mata, bayi menjadi dewasa di mamah usia; dan ia berlaku macam sekelip mata. Singkatnya!

Pena Tumpul - Sedar dan menyedar 

Sunday, November 11, 2012

Hakim

"Kau nampak tak apa yang aku nampak, itu suami Bojong kan, dengan perempuan mana pulak tu, skandal lah tu"

Salah satu penyakit masyarakat kita yang agak popular ialah mudah bersangka yang bukan-bukan terhadap orang lain. Kalau bersangka baik tidaklah memudaratkan sangat, namun apa yang kerap berlaku ialah kecenderungan untuk bersangka yang tidak baik. Lanjutan daripada sangkaan yang tidak menentu hala itu ialah untuk membuat kesimpulan dan seterusnya menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman sendiri.

Fenomena menjadi hakim tidak bertauliah  ini bukan lagi luar biasa di kalangan kita. Hakim jalanan yang menjatuhkan hukuman tanpa siasat dan usul periksa. Sekadar melihat seimbas mata dan mendengar berita yang dijaja sesuka rasa, keputusan dibuat sekelip mata. Ia bukan sahaja tidak adil kepada mereka yang menjadi mangsa tetapi lebih teruk lagi ia bakal menghirukpikukkan suasana yang ceria dan selesa. Bayangkanlah gegak gempita yang bakal berlaku andai mereka yang melihat apa yang sekadar dilihatnya, tanpa usul periksa menyebar pula kepada isteri yang tidak tahu apa-apa. Sudah pasti isteri akan tidak keruan mendengar berita yang sangat menggugat perasaan. Hati isteri akan menjadi rawan menerima berita dari kawan. Bila suami pulang ke rumah, sudah pasti akan berlaku tengkar dan lawan, terbang melayang pinggan dan cawan.

Jadi, jangan cepat membuat kesimpulan dan menjatuhkan hukuman!

Pena Tumpul - Ingat kataNya, وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ




Friday, November 09, 2012

Integriti

Saya kira ramai yang pernah bercakap tentang integriti tetapi mungkin tidak sangat jelas tentang pengertiannya. Secara mudah, integriti menjurus kepada maksud kejujuran, keadaan sempurna dan utuh. Ia juga boleh merujuk kepada kualiti untuk menjadi seorang yang jujur. Dalam konteks seorang pekerja,integriti bermaksud seseorang yang  boleh dipercayai, amanah, menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa, komited menjalankan tugas dan berpegang pada janji.

Encik Muhammad Diah Wahari selalu Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) yang diundang berbicara tentangnya pagi ini mencerahkan lagi pengertiannya. Katanya, integriti itu "bila cakap serupa bikin, yang dikata dikota, di depan dan di belakang orang cara kita tetap sama". Sangat jelas. Kalau kita tidak memenuhi ciri-ciri tadi, kita tidak ada integriti. Paling mudah lagi, kita boleh menilai integriti bila kita keseorangan. Kalau kita pijak semut pun tidak mati bila kita di depan orang, jangan di belakang orang kita sampai boleh pijak gajah sampai mati! Itu bukan integriti lagi tetapi hipokrasi.

Di mana dan ketika bila pun kita, kita sentiasa diperhati sebenarnya!

Pena Tumpul- Melihat diri







Thursday, November 08, 2012

Syyyyyy

Seorang pekerja dilihat letih dan mengantuk di tempat kerja pagi itu lantas di sapa oleh rakan sekerjanya lantas dia menjawab, "Saya bangun tahajud malam tadi"  Dalam situasi yang lain pula seorang kelihatan bergegas keluar lalu ditanya ingin kemana dan pantas dia menjawab,"Saya dah lewat ni, nak solat Duha"

Syyyy! Senyap-senyap dan  jangan diheboh-hebohkan apa yang kita buat lebih-lebih lagi dalam soal beribadah. Selain ditegah daripada bersifat riak atau menunjuk-nunjuk dan ujub atau kagum dengan diri sendiri kita juga ditegah bersifat sum’ah. Walaupun jarang orang bercakap mengenainya, realitinya penyakit jiwa ini tanpa kita sedari memang berlaku dalam soal beribadat.

Ustaz Zul Ramly yang disaksikan kupasannya lewat program JOM atau Jalan Orang Mukmin di TV Hijrah memberikan contoh menarik perlakuan sum'ah ini. iaitu perbuatan seseorang yang menceritakan amalan-amalannya agar didengar oleh orang lain lalu mereka memujinya. Contohnya, orang yang menbaca al-Quran lalu memperindahkan suara dan lagunya tatkala mengetahui ada orang lain yang mendengar dan memerhatikannya sedangkan sebelumnya ketika bersendirian tidak pula begitu.

Sum’ah adalah sikap sengaja menceritakan kepada khalayak tentang amal ibadahnya bahawa dia beramal dengan ikhlas kerana Allah agar orang lain memberikan pujian dan sanjungan yang tinggi kepadanya.

Kata Ustaz, ancaman Allah kepada orang-orang ini, terkandung dalam hadith Jundub r.a. Beliau berkata, “Sesiapa melakukan perbuatan sum’ah, nescaya Allah akan memperdengarkan aibnya dan sesiapa yang melakukan perbuatan riak, nescaya Allah akan memperlihatkan aibnya
                                                                                                                (al-Bukhari dan Muslim.)

Amalan kita untuk dinilai oleh Allah bukan orang lain!

Pena Tumpul - Tidak suka bising-bising

Wednesday, November 07, 2012

Prasangka

Saya mahu menguji tahap prasangka para pelajar saya dengan menyajikan mereka kisah yang saya kongsi dari kawan saya melalui laman sesawangnya. Saya sedar sebagai manusia biasa kita sangat cenderung untuk bersikap prasangka atau prejudis pada orang lain.

Kisah biasa mengenai A,B,C dan D. A merupakan seorang perempuan yang begitu cantik. Dia digilai oleh ramai lelaki. Akhirnya, A jatuh cinta kepada B dan mereka pun bertunang. Mereka dipisahkan oleh lautan kerana B tinggal di sebuah pulau yang begitu jauh. Namun lautan tidak sesekali mampu memisahkan mereka kerana rasa cinta yang saling berputik di dalam nurani hati mereka.

Pada suatu hari, takdir Allah menentukan bahawa B jatuh sakit. B menghidap satu penyakit yang begitu kronik. A berasa sangat sedih. A ingin bertemu dengan B. Rasa cinta yang begitu menggunung menyebabkan A menebalkan muka bertemu dengan C kerana C sahaja yang memiliki bot. A merayu kepada C untuk meminjamkannya bot tersebut agar dia dapat bertemu dengan B.

C pula meletakkan syarat. A perlu tidur dan bermalam dengan C. Kerana rasa cinta yang begitu tinggi kepada B, A sanggup tidur bersama C. Maka keesokan harinya, A pun merentasi lautan untuk bertemu dengan kekasihnya, B. A menceritakan segala-galanya kepada B dan akhirnya B memutuskan hubungan mereka. A pulang dalam keadaan sedih dan bertemu dengan D. A menceritakan kisahnya dari mula kepada D. D bersimpati dengan A dan akhirnya berkahwin dengan A. Inilah pengakhiran sebuah kisah cinta yang tragis.

Seusai kisah,saya meminta pendapat pelajar saya mengenai A, B, C dan D. Maka bermulalah sesi mengutuk A, B,C dan D. A dikatakan perempuan murahan, gedik, bodoh dan lain-lain lagi. B pula dikatakan zalim, tidak memahami hati wanita dan seterusnya. C pula dikatakan mengambil kesempatan, menindas wanita dan lain-lain. D yang begitu baik kerana melakukan pengorbanan pun dikatakan sebagai dayus.

Saya memang sudah menjangka jawapan yang streotype itu. Bukan itu jawapan yang saya mahukan dari mereka. Jawapan-jawapan mereka berbau prasangka.

Saya ceritakan perkara tersirat di sebalik kisah tersebut. C adalah seorang wanita tua dan A sebenarnya bermalam dan tidur dengan wanita tua tersebut. Dan B pula tidak mahu mengahwini A kerana dia hanya akan hidup di dunia buat beberapa hari sahaja lagi dan dia tidak mahu menzalimi dan menghancurkan masa depan A dengan hanya mengahwininya buat beberapa hari. D pula sememangnya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya bersimpati dengan nasib A.

Sehabis mendengar penjelasan saya, pelajar sepakat mengakui bahawa mereka telah berprasangka buruk terhadap A, B, C, dan D. Begitulah, persepsi manusia memang sentiasa berubah. Alangkah manisnya sekiranya kita mampu bersangka baik dengan saudara seIslam kita yang lain.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al Hujurat: 11-12)

Pena Tumpul - Kalau pendiam sering sangat disalah sangka sebagai sombong

Monday, November 05, 2012

Bertarung

Tidak lengkap belajar kalau tiada peperiksaan. Ia memang perlu dilalui untuk menguji tahap pemahaman dan pengetahuan kita. Ia memang tidak boleh dielakkan. Peperiksaan membangkitkan rasa gementar yang bukan kepalang. Digeruni juga lebih-lebih lagi bagi yang tidak benar-benar bersedia menghadapinya. Kalaulah diberikan pilihan rasanya ramai yang memilih untuk tidak menduduki peperiksaan.

Haziq mula bertarung hari ini. Ia berdepan dengan peperiksaan yang bakal mencorakkan masa depannya. Sejak beberapa hari lalu, riak cemasnya amat ketara. Pecutannya lebih laju berbanding dulu. Saya sedar dia sangat risau dengan pertarungan besar ini. Senjatanya belum cukup lengkap lagi. Namun saya masih menyuntik semangat ke dalam dirinya. Dia belum terlambat lagi untuk menyiapkan diri. Saya dan mamanya melihat satu perubahan yang mengkagumkan.

Benar kata orang, kalau anak yang berjuang di medan, ibu bapa lebih terasa resah dan gelisahnya. Ibu dan bapa semakin kuat berdoa mengiringi pertarungan anak supaya beroleh kemenangan. Saranan Ustaz Zahazan sangat elok diamal. Saya percaya memang ramai ibubapa yang telah melakukannya pun. Berpuasa dan berdoa supaya anak-anak dapat menjawab dengan baik dan tenang mudah dimakbulkan. Bersedekah juga walaupun kepada binatang juga elok diamalkan.

Namun, yang paling penting anak-anak yang berjuang juga perlu sama-sama berdoa dan merapatkan diri kepadaNya. Amal baik dan doa ayah dan ibu yang dipanjatkan kepadaNya itu baik; tetapi doa dan amal dari anak itu lebih baik lagi.

Saya bekalkan doa ini kepada Haziq."Ya Allah, kurniakanlah kepadaku dengan kefahaman para Nabi, Hafalan para Rasul, Ilham para Malaikat, yang hampir denganMu, Wahai Allah yang Maha Pembuka lagi Tahu, bukalah hatiku seperti orang yang arif lagi bijaksana"

Saya harap dia sangat tenang dan yakin dalam pertarungan hari ini, esok dan esok dan esok!

Pena Tumpul - Teringat ambil MCE tahun 1978 dahulu

Sunday, November 04, 2012

Daun


 "Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahuiNya." (Surah al-An'am: 59)

Hampir setiap hari saya akan menyapu dan membersihkan daun-daun yang gugur sekitar laman rumah. Satu kemestian kerana hati ini rasa gundah melihat daun-dau berserakan dan mata pula tidak sangat selesa memandangnya. Sementelah lagi, selain saya tiada siapa yang cukup peka untuk melakukan sesuatu tehadap daun-daun itu. Saya tidak boleh melihatnya begitu sahaja.Inilah kelemahan saya agaknya!

Ketika saya cuma tahu daun-daun yang gugur di sekitar laman rumah sahaja, Tuhan tidak pula begitu. Semua dan setiap helai daun yang gugur dari pokok-pokok seluruh maya pada ini dia tahu. Tidak ada yang tertinggal, walau sehelai pun. Kerdilnya saya dan kita pastinya. Malah bukan setakat daun itu sahaja yang Dia tahu gugurnya. Semua yang ghaib yang kita tidak tahu Dia tahu. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Rezeki kita pun Dia tahu bila datangnya. Berapa banyak rezeki kita, Dia sahaja yang tahu.

Tidak perlulah kita merungut tentang rezeki kita, sedikit atau banyak, cepat atau lambat pun. Serah sahaja pada Dia. Hanya Dia yang memberi rezeki. Tidak perlulah kita pening-pening fikirkan kerja Tuhan. Bila, di mana, dari mana dan banyak mana rezeki yang bakal kita terima, itu semua urusanNya. Kerja kita cuma menjemputnya sahaja. Buat apa yang Allah suruh dan jangan buat apa yang Dia larang.

 Asal jadi orang baik, soal rezeki beres!

Pena Tumpul - Syukur padaNya







Friday, November 02, 2012

Keretapi

Perjalanan dengan keretapi sangat memenatkan.Itulah yang boleh saya simpulkan selama hampir 10 jam duduk melekat dalam jentera berat ini. Saya mengambil keputusan memilih keretapi untuk mengangkut saya, isteri dan mak mertua ke utara hari ini.

Seingat saya kali terakhir saya menaiki keretapi 26 tahun yang lalu waktu saya belajar dulu. Selama empat tahun kenderaan inilah yang membawa saya ulang alik dari kampung ke tempat belajar. Setiap dua minggu sekali sekitar 9 malam saya akan tercegat di Stesyen Kajang menunggu keretapi. Saya ingat tambangnya sangat murah cuma RM3.40 sahaja. Tiket warna hijau yang agak keras. Bila di dalam keretapi, kalau berpeluang tidor, konduktor akan mengejutkan penumpang bertanyakan tiket. Kalau tidak bernasib baik, peluang sangat besar untuk berdiri sepanjang perjalanan. Sangat meletihkan.

Keretapi dulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Cuma agak selesa berhawa dingin dan tidaklah perlu berdiri macam dulu. Tidak juga berhenti lama di semua stesyen. Saya mengharapkan agar keretapi ini akan berhenti lama di Kuala Lumpur untuk seteguk kopi panas dan melunaskan kewajipan sepatutnya. Ia cuma berhenti tidak sampai 15 minit pun. Saya juga rindu laungan penjual nasi lemak dan teh panas bungkus macam dulu-dulu. Dulu ada penjual yang sempat naik ke gerabak menawarkan karipap panas, tapi dalam keretapi sekarang sudah tiada lagi.

Masa merubah segalanya. Dalam pejam dan celik silih berganti, saya sampai di Butterworth disambut hujan lebat. Sangat dingin. Kami bertiga mengadu lapar dan bergegas mencari kedai makan!

Pena Tumpul - Kalaulah tidak kerana dua orang wanita India yang sangat-sangat peramah dan tidak diam mulut, perjalanan mungkin akan dirasa sangat-sangat jauh dan panjang

Thursday, November 01, 2012

Graduan

"Abang nanti nak jadi pensyarah, nak jadi arkitek"

Hafiz dengan bangganya menyuakan potret ini pada saya sesamapainya saya di rumahnya malam tadi. Suka sangat dia dapat berpakaian begitu, bagai seorang graduan lagaknya. Saya katakan padanya, lebih kurang 16 tahun dari sekarang dia mesti berpakaian begini lagi dan menerima ijazah lebih bergaya di pentas konvo nanti. Dia kata, ok!

Tadika adalah institusi pertama yang menawarkan pendidikan secara formal kepada kanak-kanak sebelum masuk ke dalam arus perdana pendidikan. Saya melihat peranan tadika ini sepatutnya lebih penting lagi dari sekolah malah lebih penting juga dari pendidikan di universiti. Oleh itu segala aspek perlu diberikan perhatian termasuk kurikulumnya, tenaga pengajar dan juga prasarana. Mengabaikan ketiga-tiganya dikhuatiri bakal memberi kesan jangka panjang kepada kanak-kanak di usia yang sangat kritikal ini, Kajian mendapati, di tahap usia tadika, kanak-kanak berpotensi untuk menerima apa sahaja yang diberikan kepada mereka.

Untuk itu, kurikulum perlu sesuai dan selaras dengan tahap kebolehan anak-anak. Bukan luar biasa, kalau ada tadika yang menyajikan bahan-bahan pelajaran yang melebihi kemampuan anak-anak, yang mungkin layak untuk murid darjah 1 misalnya. Begitu juga tenaga pengajar yang tidak terlatih secara khusus untuk mengajar kanak-kanak tadika.

Hafiz beruntung kerana ayahnya menghantarnya ke tadika yang betul. Ada dunia ada akhirat juga!

Pena Tumpul - Tadika bukan sekadar mengajar anak-anak doa makan saja

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...