Thursday, January 31, 2013

Pemurah

Sudah hampir sebulan Hafiz bersekolah. Dia sangat seronok menceritakan pengalamannya di sekolah baru. Dia menyebut satu demi satu nama kawan-kawan barunya. Bila ditanya apakah yang buat dia sangat suka pergi sekolah, dia kata sebab boleh main dengan kawan-kawan.

Hafiz memang banyak cakap dan tidak boleh duduk diam. Ini tidaklah menghairankan kerana kanak-kanak memang begitu. Justeru itu guru yang berdepan dengan kanak-kanak begini perlu cukup bijak menanganinya. Di tadika dulu, Hafiz pernah di"tampal" mulutnya kerana dikatakan sangat kerap bercakap di dalam kelas sehingga mengganggu orang lain. Tindakan guru itu bukanlah bijak. Menyelesaikan masalah dengan cara yang sangat mudah begitu hanya akan membantutkan perkembangan peribadinya. Kemungkinan sentiasa ada kanak-kanak itu akan bertukar sebaliknya dengan menjadi seorang yang sangat pendiam.

Satu lagi tentang Hafiz yang sangat menarik perhatian. Hampir setiap hari sebahagian dari duit belanja yang dibekalkan oleh ayahnya akan diagihkan kepada kawannya. Katanya, kawannya itu tidak ada duit belanja. Entah betul atau tidak katanya itu, tidaklah dipastikan. Yang pastinya, Hafiz begitu pemurah. Khabarnya, kerana itu, ayahnya memotong wang belanjanya. Kesian Hafiz, dia menjadi mangsa lagi!

Pena Tumpul - Bagi kawan duit juga masa sekolah

Monday, January 28, 2013

14.8%

Sudah menjadi trend di kalangan pelajar di sebuah IPTA ini untuk tidak hadir ke kelas sekiranya cuti umum jatuh pada hujung minggu atau pun awal minggu.Biasanya mereka yang tidak sangat rajin untuk ke kelas akan mengambil keputusan yang kurang bijak dengan ponteng kelas.

Pagi Jumaat yang lalu menyaksikan cuma 20 pelajar sahaja yang hadir daripada 135 orang yang sepatutnya hadir. Dalam lain perkataan, cuma 14.8% sahaja yang cukup rajin untuk hadir kelas pada pukul 8.00 pagi tersebut. Peratus kedatangan yang sangat-sangat mengecewakan dan tidak sepatutnya berlaku dan dilakukan oleh mereka yang belajar di pusat pengajian tinggi.

Saya sengaja memilih untuk tidak menangguhkan apatah lagi membatalkan kelas pada hari tersebut walaupun ada rayuan, permintaan malah desakan juga daripada segelintir pelajar. Saya ada dua sebab utama mengapa saya mengabaikan permintaan mereka. Kelas yang ditangguh atau dibatalkan pada prinsipnya perlu diganti, dan untuk mengganti kelas yang melibatkan bilangan pelajar yang ramai bukanlah mudah. Faktor masa yang sesuai dan juga tempat merupakan satu masalah. Keduanya, saya ingin melihat siapakah di kalangan pelajar-pelajar ini yang betul-betul komited dalam menunaikan tanggungjawab untuk hadir ke kelas. Ternyata bilangan mereka sangat sedikit!

Pena Tumpul - Negara kita memang mewah dengan cuti dan inilah kesannya

Sunday, January 27, 2013

Kelawar


Akhirnya saya menemui jalan penyelesaian kepada masalah kelawar yang semakin banyak berkampung di atap rumah. Pertindihan antara kepingan atap genting menghasilkan sebuah lubang yang memberi kebebasan untuk kelawar atau pun burung masuk. Lubang-lubang inilah yang perlu ditutup. Ada hampir 200 buah lubang yang perlu ditutup.

Tiba-tiba saya terpandang cawan isi dadih yang saya buang. Saya nampak ia boleh digunakan untuk menutup lubang itu. Saya renyok-renyokkan dan satu demi satu lubang saya tutup. Pun begitu saya tidak sangat yakin akan ketahanannya. Lambat laun ia akan peroi juga. Saya dapat idea yang lebih baik. Genting lawannya genting juga. Saya nampak serpihan-serpihan genting yang sudah lama tersadai dikandung tanah. Saya ambil dan sumbatkan dicelah lubang. Ternyata ia lebih baik daripada cawan-cawan plastik itu.

Manusia tidak pernah puas termasuk juga seorang saya. Saya pasti ada cara yang lebih dan lebih baik dari itu. Saya singgah di sebuah kedai bahan binaan rumah dan bertanyakan sesuatu yang boleh membantu saya menutup lubang-lubang itu. Saya tidak dikecewakan. Ah Meng menunjukkan jaring yang dicipta khas oleh pengeluar atap genting Monier. Kata Ah Meng, produk ini masih sangat baru di pasaran. Tidak hairanlah harga sekeping bernilai RM7.00. Saya memerlukan hampir 50 keping jaring untuk melengkapkan misi penutupan lubang itu. Saya tidak punya pilihan. Saya membelinya!

Maka bermulah kerja-kerja penjaringan. Langkah berikut mengusir keluar kelawar-kelawar itu dan ia bukan sangat mudah!

Pena Tumpul - Buat sendiri lebih baik daripada mengupah orang yang hampir mencecah 1K

Friday, January 25, 2013

Menyorok

Kalau dah asyik mengadap komputer, ada kalanya kita sampai lupa apa yang berlaku disekeliling kita. Cuba tengok di bawah meja anda, entah-entah ada makhluk yang sedang menyorok. Entah apalah yang dibuatnya di bawah meja itu. Menyorok kerana tidak mahu mandi barangkali. Mungkin juga menyembunyikan diri dari emaknya yang mahu menghukumnya kerana tidak buat kerja sekolah.

Pena Tumpul - Menyorok dalam selimut

Thursday, January 24, 2013

Perarakan

Sultan Johor dan Menteri Besar turut sama
Sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Johor dilangsungkan di Segamat kali ini. Sambutan diserikan dengan kehadiran Sultan dan Sultanah. Seperti biasa setiap kali keduanya sentiasa mendapat perhatian rakyat. Masing-masing berebut-rebut ingin menatap wajah mereka dari dekat dan bersalaman juga. Saya sekadar memerhati dari jauh gelagat mereka.

Saya melihat ada tiga sebab utama kenapa orang ramai berduyun-duyun ke majlis sambutan maulid. Lain orang mungkin lain tujuannya atau keutamaannya. Dalam sambutan maulid biasanya ada tiga agenda utama yang tidak pernah ditinggalkan, iaitu syarahan dari penceramah undangan, jamuan makan dan juga perarakan. Ada yang datang kerana begitu ghairah untuk sama ada menyertai perarakan atau sekadar melihat perarakan yang diserikan dengan pelbagai sepanduk yang membesarkan Junjungan Baginda Nabi. Ada pula yang datang kerana dorongan makan semata-mata. Bila usai makan, mereka balik dan acara lain tidak lagi penting kepada mereka. Ada juga yang datang kerana sangat-sangat ditarik hati dan mindanya untuk memperolehi sesuatu dari syarahan yang disampaikan.

Tanpa menafikan pengisian sambutan yang sudah menjadi sterotype begini, setakat mengenang tarikh kelahiran semata-mata tanpa mengenengahkan inti risalah, mesej dan perjuangan yang dibawa oleh baginda Nabi ia adalah suatu kesilapan dalam pendekatan dan memahami keutamaan.aktiviti yang paling wajar

Majlis sambutan sewajarnya mengenengahkan inti perjuangan Nabi seperti mengajak kepada tauhid Allah dan menjauhi syirik, meyakini akhirat dan hidup di atas dunia bersesuaian dengan keyakinan tersebut, mematuhi hukum-hakam dalam bidang hubungan manusia dengan manusia sama ada dari sudut akhlak, nikah kahwin, muamalat kewangan dan hukuman jenayah.

Ruang inilah yang perlu dimaksimumkan ketika menyambut Maulidur Rasul. Itulah tanda kita sedang benar-benar memperingati baginda. Itulah sebuah penghargaan dan syiar yang benar-benar tepat mengenai sasaran sebuah sambutan terhadap baginda Nabi. Kerana itu juga merupakan inti dan kandungan perjuangan Rasulullah yang mulia selama 23 tahun kehidupannya sebagai seorang Rasul dan Nabi terakhir bagi seluruh bangsa manusia. Kita ingin menyambut Maulidur Rasul dengan mengembalikan ingatan masyarakat kepada tatacara kehidupan yang layak untuk mendapat belas Allah dan syafaat Nabi di akhirat.

Persoalannya, adakah sebuah perarakan dengan pakaian seragam, mengangkat sepanduk puji-pujian, sambil berselawat mampu membawa kita ke arah objektif itu? Jika itulah upacara utamanya,saya kira ia benar-benar sebuah antiklimaks serta tidak memberi banyak manfaat. Bukan perarakan itu yang penting, bukan juga makan-makan itu yang penting.

Pena Tumpul - Khabarnya 20 ekor lembu ditumbangkan

Tuesday, January 22, 2013

Zikir

Imam Malik berkata r.a: "Sesiapa yang belajar tasauf tetapi tidak mempelajari ilmu fikah (dan tauhid), maka ia adalah zindiq. Sesiapa yang belajar ilmu fikah (dan tauhid) tetapi tidak belajar tasauf maka ia adalah fasik, dan sesiapa yang mengumpulkan kedua-duanya maka ia adalah ahli hakikat".

Zikir tidak dapat dipisahkan daripada solat. Menjadi kelaziman seusai solat dituruti dengan zikir. Pun begitu zikir tidak semestinya selepas solat sahaja. Bila-bila masa pun kita dianjurkan berzikir, kerana zikir itu adalah proses amalan mengingati Allah. Malah Allah menyebut hikmah dan faedah zikir sebagai ubat penenang jiwa. Ia selaras dengan firmanNya yang bermaksud antara lain bahawa dengan zikir akan Allah hati menjadi tenang.

Kata Ustaz Nidzam zikir yang paling baik ialah zikir secara senyap kerana ia lebih ikhlas dan lebih mudah menyelinap masuk ke dalam jiwa. Namun begitu ia tidaklah menafikan keharusan zikir dengan nada suara yang nyaring jika ada keperluan. Adakalanya suara imam yang merdu dengan alunan zikir boleh menenangkan hati.

Dalam hubungan ini ada diriwayatkan bahawa ketika Abu Bakar al-Siddiq memperlahankan suaranya ketika solat malam, Umar pula menyaringkan suaranya dalam solat. Dalam menghadapi dua keadaan yang berbeza ini Nabi kita menawarkan penyelesaian yang sangat cantik. Baginda menyuruh Abu Bakar meninggikan sedikit suaranya dan Umar pula disuruhnya merendahkan sedikit suaranya.

Rohnya, kita disaran supaya bersederhana. Perlahan pun tidak dan kuat pun jangan sampai ganggu orang lain.

Pena Tumpul - Ada juga imam yang zikir ekpres 

Sunday, January 20, 2013

Sunat

Atau siapakah yang memperkenankan doa orang yang menderita apabila ia berdoa kepadaNya, dan yang menghapuskan kesusahan, serta menjadikan kamu pengganti (umat-umat yang telah lalu) mendiami dan menguasai bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amat sedikit di antara kamu yang mengingati (nikmat Allah itu).
   

Pagi ini saya sempat menonton Tanyalah Ustaz di TV9. Kupasan yang sangat menarik tentang solat sunat. Pun begitu, lebih menarik lagi ada kisah yang diselitkan. Saya selalu percaya sebarang bentuk ceramah yang diselitkan dengan cerita akan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada penonton.

Ustaz memaparkan sebuah kisah tentang bagaimana solat yang dikerjakan dengan penuh kyusuk itu dapat membantu seseorang yang di dalam kesusahan.

Dikisahkan bahawa di Kufah terdapat seorang pemikul barang yang sangat dipercayai oleh orang ramai kerana sifat amanahnya. Pada suatu ketika semasa dalam perjalanan, dia telah bertemu seorang lelaki. Lelaki itu bertanya, “Ke manakah kamu hendak pergi?” Pemikul barang itu menjawab, “ke bandar sekian.” Lantas lelaki itu berkata, “Saya juga hendak ke sana. Sekiranya saya boleh berjalan kaki, saya sanggup berjalan bersama kamu. Bolehkah saya menunggangi keldai kamu dengan bayaran satu  dinar?” Pemikul barang itu bersetuju lalu lelaki itu pun menunggangi keldainya.

Dalam perjalanan tersebut mereka tiba di satu simpang. Lelaki itu bertanya, “Jalan manakah yang akan kamu lalui?”, “Saya lalu jalan besar", kata pemikul barang itu. Lelaki itu berkata, "Jalan yang satu lagi lebih dekat, serta terdapat banyak rumput yang subur dan boleh dijadikan makanan untuk binatang tunggangan ini.” Pemikul barang itu berkata, “Saya tidak tahu tentang jalan itu.” Lelaki itu berkata, “Saya selalu melalui jalan itu.” Pemikul barang itu berkata, “Baiklah, kita ikut jalan itu.” 

Setelah beberapa lama, mereka pun tiba ke penghujung jalan di suatu hutan yang menakutkan. Di hutan itu terdapat banyak mayat yang bergelimpangan. Lelaki tersebut turun dari keldai sambil mengeluarkan pisau dengan niat untuk membunuh pemikul barang itu. Pemikul barang itu berkata, “Jangan buat begini, ambillah keldai dan semua barang saya, kerana itulah tujuanmu, tetapi janganlah bunuh saya.”

Lelaki itu tidak mempedulikan rayuan pemikul barang itu. Sebaliknya telah bersumpah sambil berkata, “Mula-mula aku akan membunuhmu, selepas itu barulah aku akan mengambil semua barang ini.”
Pemikul barang itu merayu dengan penuh rendah diri tetapi semua rayuannya tidak diterima oleh lelaki zalim itu. Pemikul barang itu berkata, “Baiklah, berilah saya peluang untuk bersolat 2 rakaat untuk kali yang terakhir.” Lelaki itu bersetuju dengan permintaannya sambil ketawa dan berkata, “Cepatlah bersolat, mayat-mayat ini pun pernah membuat permintaan yang sama tetapi solat mereka tidak memberi apa-apa faedah pun.”

Lalu pemikul barang itu mendirikan solat. Selepas membaca surah al-Fatihah dia tidak dapat mengingat sebarang surah pun. Sementara itu, lelaki yang zalim itu menggesanya berkali-kali supaya cepat menyudahkan solatnya. Tidak semena-mena lidahnya menyebut ayat berikut:
    ….أمن يجيب المضطر إذا دعاه ويكشف السوء
    “Siapakah yang memperkenankan permohonan mereka yang dizalimi, semasa memohon kepadaNya dan menghapuskan kesusahan..” (Surah an-Naml:62)
Sambil membaca ayat ini dia menangis. Tiba-tiba muncul seorang yang berkuda memakai topi besi yang bersinar-sinar. Dia terus menikam lelaki zalim itu dengan lembing. Api bernyala-nyala keluar di tempat lelaki zalim itu mati. Si pemikul barang yang sedang bersolat terus sujud dan bersyukur kepada Allah.

Setelah selesai solat, dia berlari ke arah penunggang kuda tersebut dan bertanya, “Demi kerana Allah swt, beritahulah saya. Siapakah tuan dan bagaimana tuan boleh datang ke sini?

Orang itu menjawab, “Saya adalah hamba kepada (Allah yg berfirman)
“…أمن يجيب المضطر” (Yakni hamba Allah yg menyahut seruan org yg dizalimi.) Sekarang kamu telah selamat dan pergilah ke mana-mana sahaja yg kamu suka.”

Daripada kisah yang dipaparkan, dapatlah kita lihat bahawa sesungguhnya solat adalah suatu amalan yang begitu bernilai dan amatlah besar manfaatnya. Selain mendapat keredhaan Allah, solat juga menjadi sebab kita terselamat daripada kesusahan di dunia dan memberi ketenteraman jiwa.


Pena Tumpul - Semak solat sendiri


Saturday, January 19, 2013

Lawak

Dua orang pelawak yang sangat-sangat dipuja ramai khabarnya menang setengah juta dalam satu pertandingan lawak yang dianjurkan oleh sebuah stesyen televisyen tempatan. Setengah juta bukan sedikit nilainya. Ia amat lumayan. Bukan kepalang tingginya nilaian yang diberikan terhadap pelawak masa kini. 
Adakah ini petunjuk yang masyarakat kita memang gemar dengan lawak jenaka dan suka disajikan dengan kisah-kisah yang berunsur lawak? Kelihatannya masyarakat kita bagaikan dilanda krisis nilai yang hebat sehingga lawak dijulang begitu tinggi berbanding dengan pertandingan lain yang berunsur agama dan yang mengasah daya intelektual masyarakat.
Saya melihat unsur lawak merupakan ramuan yang sangat penting sehinggakan ceramah agama pun perlu diselitkan dengan bahan-bahan yang boleh membuat orang ketawa. Ceramah yang hambar dan mendatar biasanya dianggap menjemukan. Tidak hairanlah Ustaz sekarang perlu pandai berlawak supaya pendengar dan penonton tidak rasa bosan. Dikhuatiri bukannya mesej yang ingin disampaikan itu penting, tetapi unsur lawak itulah yang menjadi lebih penting lagi!
Pena Tumpul - Sesekali buat lawak juga supaya pelajar tidak bosan

Thursday, January 17, 2013

Lais

Emak memancing lagi setelah hampir setahun meninggalkan hobi yang sangat-sangat diminatinya ini. Nampaknya emak memang tidak boleh dipisahkan dengan kegilaannya memancing. Saya memang tidak berapa setuju bila dengar emak sudah memancing semula. Kak Long pun tidak juga suka mendengarnya. Biar pun berkali-kali dinasihati, emak berkeras untuk memancing juga. Kami sebenarnya sangat bimbang dengan emak yang tidak sangat sihat. Emak sering mengadu akan sakit kakinya itu.

Bila ditanya kenapa sangat suka memancing, emak cuma kata, "Emak nak hibur-hiburkan hati, jemu duk rumah sahaja". Emak mahu melepas penat juga dan mengembang sayap setelah sekian lama "bermain" dengan cucu-cucunya. Bagai orang mengantuk disorong bantal, bila Kak Jah yang juga kaki memancing mempelawa emak untuk mengail, emak tidak pernah menolak. Emak memang sangat serasi dengan Kak Jah. Mereka adalah regu memancing yang sangat cocok. Bagai isi dengan kuku.

Bila saya, isteri dan Haziq melawat emak malam ini, emak sedang terdampar keletihan. Penat katanya namun hatinya sangat girang. Kedatangan kami juga bagai mencita pucuk ulam yang mendatang. Emak memberi kami beberapa ekor ikan lais yang masih segar dari sungai. Tidak sia-sia saban petang emak memancing kerana dapat juga kami merasai sekali nikmatnya. Sudah jemu rasanya dengan ikan laut. Sesekali makan ikan lais goreng berlada memang sedap.

"Haziq, nak ikut atok mancing tak?", sempat emak mempelawa cucunya yang juga gila memancing.  Haziq tidak menolak!

Pena Tumpul - Lega dengar bila emak kata dia tidak sampai abai solatnya kerana asyik memancing


Tuesday, January 15, 2013

Pilih

Dila aka Diko tetap tidak berganjak dari keputusannya untuk terus menyambung pelajarannya di sekolah ini.Walaupun desakan demi desakan dari segenap sudut dari seluruh ahli keluarga menyarankannya supaya meneruskan pengajian di sekolah berasrama penuh, namun dia tetap menolak. Akhirnya semuanya akur dengan keputusan yang Diko buat.

Bila ditanya, antara alasannya menolak saranan yang diajukan kepadanya itu ialah dia tidak biasa berpisah jauh dengan keluarganya. Memang tidak dinafikan, Diko memang tidak pernah bercenggang dengan keluarganya sejak 15 tahun yang lalu. Dia juga terlalu bergantung kepada orang lain dan tidak sedia lagi untuk berdikari. Dia tentunya tidak mampu berdepan dengan keadaan di mana segala-galanya akan dibuatnya sendiri tanpa bantuan orang lain, lebih-lebih lagi mamanya dan kedua-dua atoknya. Diko sebenarnya sudah sangat selesa hidup dengan bantuan orang lain dalam semua segi, malah membasuh kasut sekolahnya pun dilakukan oleh mamanya!

Pun begitu, saya melihat Diko perlu diberi peluang untuk membuat pilihannya sendiri. Di usia begini dia tentunya masih memerlukan perhatian dan bantuan keluarganya. Saya fikir Diko tahu apa yang dia buat. Kepercayaan bahawa dengan memiliki keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan awam perlu diikuti dengan belajar di sekolah berasrama tidak seharusnya betul dalam semua keadaan. Belajar di asrama hanya sebagai satu kaedah untuk menarik keluar seorang pelajar dari rumahnya sekiranya suasana di rumahnya tidak cukup selesa untuk belajar yang berkesan. Misalnya rumah yang terlalu kecil dan sempit ditambah lagi dengan bilangan ahli keluarga yang sangat ramai. Dalam keadaan begini, sekolah berasrama adalah jalan penyelesaiannya. Dalam hubungan ini, Diko tidak berkenaan. Rumahnya selesa. Ahli keluarganya juga sangat kecil.

Di mana pun kita belajar, bukanlah penting sangat pun, tetapi yang lebih penting lagi ialah siapa kita sebagai pelajar yang tidak dipengaruhi oleh tempat dan waktu. Diko bijak membuat keputusan!

Pena Tumpul - Benih yang baik jika dihumban ke tengah laut menjadi pulau

Monday, January 14, 2013

Ulama

Kata Ustaz Zahazan Mohamad, dia sering menjadi buku kecil ini sebagai rujukan dalam kuliah yang di sampaikannya termasuk ceramah melalui radio dan tv. Malah dia menganjurkan agar buku ini dibaca oleh setiap Muslim. Saya teruja untuk memilikinya dan nasib menyebelahi saya, buku terbitan Telaga Biru ini saya perolehi sewaktu mengunjungi pameran buku petang ini.

Tidak syak lagi, isi kandungannya memang menarik malah sangat memukau. Ia merupakan kisah dan riwayat hidup ulama silam yang sangat kaya dengan pelbagai ilmu dan hikmah yang boleh diambil pengajaran. 

Saya uliti buku kecil ini dengan ghairahnya. Bab demi bab tidak mahu saya lepaskan. Pengkisahannya memang tidak pernah saya ketahui dan baca sebelum ini. Setiap bab memaparkan kisah yang berkisar tentang kehidupan ulama yang tinggi dan mulia akhlaknya. 

Antara kisah yang sangat memberi kesan di hati ialah bagaimana musibah itu sebenarnya membawa tuah. Ketika kita sering dan selalunya melihat musibah itu sebagai sesuatu yang tidak kita sukai, namun dari sudut yang berbeza ada nikmat yang lebih besar daripada musibah itu sendiri.

Saya nukilkan cerita dari buku ini tentang seorang lelaki yang sering mengeluh tentang kesulitan hidupnya kepada seorang imam yang sangat zuhud. Lelaki ini merungut akibat lilitan hutang dan sukarnya mendapatkan wang. Imam yang zuhud bertanya kepadanya, "Berapakah wang yang engkau perlukan?". Lelaki itu menjawab, "Sepuluh ribu." Ulama itu bertanya lagi, "Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi matamu hilang?" Lelaki itu menjawab, "Tidak mahu" 

Ulama itu berkata lagi,"Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi mulutmu bisu?". Dia menjawab, "Tidak mahu"

"Mahukah kamu memiliki wang sepuluh ribu tapi kaki dan tanganmu terputus?" Sekali lagi lelaki yang sering mengeluh itu menjawab,"Saya tidak mahu".

Lantas ulama yang bijak itu berkata,"Nah, kamu memiliki sesuatu yang lebih berharga daripada wang tiga puluh ribu, tetapi mengapa masih bersedih!"

Saya tahu dan sedar bahawa bukan mudah untuk jadi seperti ulama itu. Sikap sabar menghadapi musibah bukanlah mudah untuk diraih setiap orang. Ia memerlukan latihan yang amat panjang!


Pena Tumpul - Lihat ulama hari ini


Sunday, January 13, 2013

Lepak

Jumaat lepas saya, isteri dan Haziq merasakan sangat perlu untuk ke Batu Pahat. Saya tiada pilihan kecuali pergi pada hari Jumaat juga untuk sesuatu yang penting ini. Seusai hajat dan tugas yang penting itu, saya rasa ingin untuk singgah sebentar di salah sebuah pusat beli belah ternama di bandar ini. Tidak sampai satu jam, saya dan Haziq berkira-kira untuk mencari masjid yang berdekatan menunaikan solat Jumaat. Ia kewajiban yang tidak boleh diabaikan. Haziq mengingatkan saya walaupun dia tahu saya tidak lupa pun tentangnya. Isteri bersetuju untuk ditinggalkan buat sementara.

Saya sampai di masjid ketika azan sedang berkumandang. Haziq terpandang sebuah warong berhampiran masjid itu. Dia tahu saya sangat suka cendol pulut dan mencadangkan agar singgah sebentar menghilangkan dahaga. Saya menolak kerana cendol boleh sahaja dinikmati seusai solat nanti. Masjid sudah sarat dengan orang dan saya cuma diberi ruang untuk berdiri di perkarangan masjid. Saya melihat warong mamak terus jadi tumpuan dan ada yang makan sambil dengar khutbah.

Pun begitu, saya tetap bersyukur walau mereka begitu, jiwa, jasad dan pemikiran mereka tetap patuh untuk solat Jumaat berbanding dengan ramai lelaki yang sesedap hati memilih untuk lepak-lepak di ruang berhawa dingin di kedai-kedai baju, kedai-kedai kasut dan kedai telefon bimbit di pusat membeli belah.


Pena Tumpul - Selalunya solat Jumaat di masjid kampung sendiri

Saturday, January 12, 2013

Rambut

Masalah kebotakan sering dikaitkan dengan peningkatan usia. Semakin bertambah usia, semakin banyak rambut yang gugur, ditambah lagi dengan rambut-rambut putih yang mula mencelah. Ia bagus kerana mengingatkan kita bahawa usia kita makin pendek.

Pun begitu, ada juga yang sudah mula sedikit botak di usia yang masih dikira muda. Kata orang botak terjadi kerana banyak berfikir. Kesahihannya tidak pasti. Faktor keturunan juga menyumbang. Begitu juga faktor kesihatan. Kulit kepala yang tidak sihat  membantutkan pertumbuhan rambut.

Saya mengalami keguguran rambut dalam tempoh yang agak lama juga. Sedikit demi sedikit, rambut di bahagian tengah kepala semakin sedikit dan akhirnya menampkkan dengan jelas kulit kepala. Setelah bertahun-tahun ia menjalar ke bahagian depan kepala dan besar kemungkinan akan mengikis sedikit demi sedikit rambut di atas kepala. Ia tidaklah menggusarkan sangat  lantas masih selesa dengannya.

Hari ini saya diperkenalkan dengan sejenis produk berkaitan rambut yang agak luar biasa. Sangat mudah penggunaannya dan kesannya pun boleh tahan. Cuma tabur serbuk hitam yang seakan rambut di atas kulit kepala yang tiada rambut itu dan sembur krim di atasnya. Hasilnya ia kelihatan bagai rambut betul. Kebotakan macam tidak kelihatan lagi. Ia akan kekal begitu sehinggalah ia dibasuh semula dengan air.

Memang menakjubkan!

Pena Tumpul - Sekadar suka-suka kerana tidak kisah walau botak pun

Tuesday, January 08, 2013

Kalah

Johor tidak sepatutnya kalah di tangan Pahang malam tadi. Rata-rata berpandangan begitu kerana Johor sudah mendahului dua gol mengatasi Pahang. Entah di mana silapnya, Pahang bangkit dan menyumbat dua gol untuk menyamakan kedudukan membolosi pertahanan Johor.
Johor juga sepatutnya mampu mengalahkan Pahang kerana pasukan ini bukan calang-calang lagi barisan pemainnya. Penyertaan pemain-pemain bernilai sangat tinggi sepatutnya memberi kelebihan yang bukan sedikit kepada Johor. Khabarnya untuk mendapatkan pemain ini berjuta ringgit dilaburkan.
Ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada kekalahan Johor dalam perlawanan pembukaan yang mengecewakan warga Johor ini. dibarisi pemain terbilang dan berstatus bintangemuannya tidak bermakna jika ada nilai angkuh dan tidak bermain secara berpasukan. Demikianlah juga dalam kehidupan kita seharian, hebat manapun kita, jangan angkuh dan sombong apatah lagi bersifat individualistik, bagai enau dalam belukar masing-masing.
Pemain bernilai jutaan ringgit tetapi sayang mutu permainan bernilai jutaan sen! 
Pena Tumpul - Menang sorak

Monday, January 07, 2013

Semangat

Pelajar ini memang sangat kuat semangatnya.Saya mengawasinya di Hospital Segamat dua hari lalu. Sememangnya ini pengalaman pertama saya.Dia bertekad mahu menjawab kertas Personal Financing walau pun dalam keadaan yang tidak berapa sihat. Dia sebenarnya punya pilihan untuk menangguhkannnya kalau dia mahu. Dia disahkan mengalami asma dan gangguan pernafasan. Pun begitu, doktor yang merawatnya memberi jaminan bahawa Faiz berada dalam keadaan fit untuk bertarung.

Faiz berjaya menyiapkan tugasnya kurang daripada waktu yang telah ditetapkan iaitu 40 minit lebih awal. Saya menasihatkannya menyemak berulang kali jawapannya dan ia berpuas hati. Saya tidak mahu dia terburu-buru. Dia punya baki masa yang agak banyak.

Akhirnya dia cuma mampu berkata, "Tak larat dah, cukuplah". Saya nampak dia tidak sangat bermaya. Dia mahu berihat. Saya kagum dengan semangatnya. 

Pena Tumpul - Agi idup agi ngelaban

Tipu

Saya diberitahu melalui panggilan telefon bahawa saya terpilih untuk memenangi hadiah sebagai salah seorang pelanggan Celcom yang bertuah. Sukanya saya!  Saya sedar saya sedang ditipu tetapi saya biarkan sahaja pemanggil itu melakukan kerjanya.

Saya sengaja tidak meletakkan telefon kerana sangat berminat untuk mendengar lakonannya berlagak sebagai Pengarah Eksekutif Celcom. Memang hebat permainannya. Silap haribulan senang-senang sahaja kita disembelihnya hidup-hidup. Saya dapat mengesan susah payahnya cuba bercakap seperti orang Melayu untuk memperdayakan saya walaupun saya tahu dia orang Indonesia sebenarnya. Dia gagal disitu!

Setelah memberinya seminit menipu saya, saya bersuara agak keras dan tinggi lantas memanggilnya penipu dan penjenayah. Mana mungkin saya wewenangnya diperbodohkan begitu. Saya tidak pernah terlibat pun dalam sebarang bentuk judi mahu pun loteri, jadi adalah tidak masuk akal untuk tiba-tiba dinobatkan sebagai pemenang sejumlah wang yang bukan sedikit jumlahnya itu.


Mereka tersalah pilih orang dan pastinya sangat kecewa kerana gagal memperdayakan saya setelah meleburkan sejumlah wang untuk memanggil saya sedangkan hasilnya tiada. Bagi yang tidak lupa diri dan berfikir panjang mungkin terselamat tetapi bagaimana dengan yang mudah gelap mata dengan habuan wang ringgit yang dijanjikan dengan lunaknya oleh penipu-penipu ini? Bukan tidak ada yang menjadi mangsa. Walaupun kita boleh membezakan yang mana betul dan yang mana salah, tetapi selalunya dalam soal wang, ada kalangan kita yang terpedaya juga.

Ingatlah tiada yang percuma di dunia ini. Jadi, kalau ada yang senang-senang menjanjikan habuan wang yang bukan sedikit jumlahnya tanpa susah payah, ada yang tidak kena di situ sebenarnya. Kalau ada seorang lelaki orang putih yang mendakwa tiada waris untuk diagihkan hartanya dan anda terpilih, ini juga ada yang tidak betul dan pastinya satu penipuan. Keraguan makin tinggi kalau ada yang meminta nombor akaun kita dan paling teruk meminta pula dimasukkan sejumlah wang dalam akaun bank mereka sebagai syarat untuk memenangi hadiah yang dijanjikan. Lagi tidak kena! Namun ada yang tertipu juga.

Seorang budak kecil pun cukup matang untuk berfikir waras bahawa hadiah percuma selalunya tidak perlu duit untuk kita memilikinya.

Pena Tumpul - Ketika kita bekerja keras untuk hidup, jangan lupa penyangak bekerja lebih-lebih keras lagi

Sunday, January 06, 2013

IKIM

Ustaz Muhammad Abdullah menarik bicaranya!
Radio IKIM adalah antara siaran yang sangat selalu saya ikuti selain daripada Radio Klasik. Radio yang bernaung di bawah bumbung Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) ini bermotokan "Pilihan Utama Anda". Kandungan siarannya bertumpu kepada bual bicara dan sarat dengan maklumat dan ilmu yang manafaat.

Antara pembicaranya ialah Ustaz Pahrol yang terkenal melalui programnya Mukmin Profesional yang keudara setiap jam 5 petang Isnin. Begitu juga program Islam itu Indah yang mengenengahkan Prof Muhaya sebagai pembicaranya. Ada juga Ustaz Muhammad Abdullah melalui program Pesona Dzahara yang berbicara tentang soal pembentukan rumahtangga Islam. Begitu juga dengan kemunculan Ustazah Norhafizah setiap hari Ahad. Selain itu ruangan tafsir AlQuran yang disampaikan oleh Ustaz Zahazan Mohamad pada setiap 630 pagi. Tidak ketinggalan juga Ustaz Zaharudin yang memfokuskan bicaranya pada soal-soal muamalat dan sistem kewangan Islam.

Tidak syak lagi IKIM yang ditubuhkan pada 18 Februari 1992 di bawah Akta Syarikat 1965 dengan bertujuan untuk memberi kefahaman Islam yang tepat melalui pelbagai program dan aktiviti seperti penyelidikan, seminar, bengkel, forum, perundingan, latihan dan penerbitan memang banyak manafaatnya kepada umat Islam di negara ini. Ia dirasmikan pada 3 Julai 1992 oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, Mantan Perdana Menteri Malaysia.

Saya cuma terkilan kerana adanya sesetengah pihak yang mempertikaikan bahawa pemimpin negara tidak melakukan apa-apa untuk Islam di negara ini. Dengarlah radio IKIM!

Pena Tumpul - Hairan dengan puak-puak ini yang anggap mereka sahaja yang betul

Friday, January 04, 2013

Adab

Ustaz Zahzan Mohamed berkongsi Adab membaca al-Quran yang dipetiknya dari kitab At-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran oleh al-Imam an-Nawawi. Ia sangat-sangat bermanafaat.

# Berniat ikhlas kerana Allah.
# Menggosok gigi atau bersiwak sebelum membaca Quran.
# Membaca dalam keadaan berwuduk.
# Mengadap ke arah kiblat.
# Memulakan dengan at-Ta’awwuz.
# Membaca al-Quran dari Mushaf lebih utama dari membaca tanpa melihat. Walaupun begitu bagi yang ingin menghafaznya, diharuskan membaca dari hafazan tanpa melihat.
# Membaca dengan suara yang merdu dan kuat agar dapat dihayati oleh diri sendiri dan orang lain. Al-Imam al-Ghazali ada menyatakan, jika kita bimbang akan timbul riak iaitu ingin menunjuk-nunjuk, maka membaca secara perlahan itu lebih utama. Sebaliknya jika dapat menjaga daripada timbulnya penyakit berkenaan, maka digalakkan membaca dengan suara yang nyaring – Ihya’ Ulumiddin.
# Membaca dengan perhatian dan memahami ayat-ayat yang dibacakan.
# Membaca dengan tadabbur dan menangis. Antara adab-adab tadabbur itu ialah memperlahankan suara apabila sampai pada ayat yang menyentuh mengenai sifat Allah menurut tafsiran orang kafir. Sebagai contoh orang Yahudi mengatakan Nabi Uzair anak Allah seperti yang disebutkan Allah dalam surah at-Taubah ayat 30. Contoh yang lain ialah persepsi mereka bahawa Allah tidak berkuasa mengurniakan rezeki kepada hamba-Nya seperti yang difirmankan dalam ayat 64 surah al-Maidah.
# Memuliakan al-Quran. Kita dilarang membaca al-Quran sambil ketawa ataupun sambil berbual melainkan mengenai sesuatu yang amat penting.
# Membaca ayat dan surah mengikut susunannya dalam tertib al-Quran, yang dulu didahulukan dan kemudian dikemudiankan.
# Beramal dengan ajaran al-Quran itu.
# Sentiasa membaca al-Quran terutama pada waktu pagi kerana Nabi  mendoakan keberkatan waktu itu. Diriwayatkan dalam al-Mustadrak oleh al-Hakim dari Abu Hurairah RA bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca 10 ayat, maka dia tidak akan tergolong dari kalangan orang yang lalai.”  (2085, hadis sahih mengikut syarat Muslim)

# Berusaha menghafaz ayat al-Quran dan mengulang-ulang ayat itu supaya sentiasa mengingatinya.
# Meletakkan sasaran untuk mengkhatamkan al-Quran itu.
# Memanjatkan doa sebaik tamat membaca al-Quran kerana waktu itu adalah antara waktu mustajab doa.
# Dilarang membaca al-Quran di tempat yang tidak sewajarnya seperti di dalam tandas.
# Mengucup al-Quran kerana dikiaskan dengan mengucup Hajar al-Aswad kerana ia juga hadiah kepada Allah .
# Mewangikan al-Quran sebagaimana meletakkan wangian pada Hajar al-Aswad.
# Meletakkan al-Quran di tempat yang tinggi.
# Berusaha untuk menghayati isi kandungan al-Quran hingga membawa ke peringkat menangis atau menitiskan air mata.
# Tidak memberi salam kepada seseorang yang sedang membaca al-Quran.

Pena Tumpul - Sedang menghayati Surah AlKahfi

Thursday, January 03, 2013

Lembab

Syarikat Air Johor (SAJ) yang dipertanggungjawabkan menyalurkan air bersih kepada warga Johor mengambil masa lebih kurang 14 jam untuk mengatasi masalah yang diajukan kepadanya. Satu tempoh masa yang agak lama saya kira. Pagi ini secara tiba-tiba bekalan air ke rumah saya terputus. Aduan terus dibuat seawal jam lapan pagi dan sepanjang masa tersebut saya bergantung kepada air tangki yang cuma mampu bertahan buat seketika.Hanya sekitar jam 5 petang barulah kelihatan petugas SAJ mundar mandir menghampiri kawasan rumah mencari punca kerosakan. Mengapa perlu menunggu begitu lama?  

Seterusnya bergerak meninggalkan rumah saya dan pulang sepuluh minit kemudian hanya untuk memberitahu kesukaran dalam mencari punca kerosakan. Dengan bekalan air tangki yang amat terhad saya sekeluarga terlalu berhati-hati dan bercatu dalam penggunaan air jangan sampai tidak cukup pula untuk taharah dan wuduk. Sebagai pembekal perkhidmatan berbayar, SAJ sepatutnya lebih proaktif dalam menangani masalah pengguna dan tidak perlu mengambil masa yang begitu lama untuk menyelesaikan sebarang masalah yang diajukan.

Kepentingan pengguna sewajarnya diberikan perhatian yang utama. Alasan tidak cukup kakitangan atau pun hari minggu bukanlah alasan yang boleh diterima lagi sekarang. Barangkali inilah akibatnya kalau satu pembekal dibenarkan beroperasi secara monopoli tanpa saingan. Semuanya diambil mudah justeru pengguna tidak punya pilihan lain.

Pena Tumpul - Kadang-kadang terfikir nak guna telaga semula macam dulu

Wednesday, January 02, 2013

Sambilan


Setelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang untuk duduk pun. Kalau pun boleh duduk, bukanlah lama sangat pun. Mamanya melahirkan rasa belasnya terhadap anak bujangnya yang bekerja di bahagian pakaian salah sebuah pasaraya di sini. Haziq sendiri menyuarakan keinginannya untuk bekerja sementara menunggu keputusan SPM beberapa bulan dari sekarang. Saya dan mamanya tidak membantah. Saya harap dia akan mampu untuk terus bertahan. Mula-mula begitulah, lambat laun akan hilanglah penat itu. Alah bisa tegal biasa.

Saya mahu dia belajar sesuatu melalui pengalaman kerjanya itu. Rasa tanggungjawab, amanah dan sebagainya. Begitu juga kebolehan untuk berdikari dan tidak selalunya bergantung pada orang lain. Saya juga mahu dia rasa sendiri bahawa mencari duit bukannya mudah. Saya mahu dia merasakan kepayahan itu. Saya juga mahu dia lebih menghargai apa yang diperolehi. Selalunya, sesuatu yang didapati secara percuma tidak akan dihargai sangat berbanding sesuatu yang dimiliki melalui titik peluh sendiri.

Ketika dia mengeluh kerana penatnya bekerja, saya pula sengaja menyembunyikan rasa simpati saya kepadanya. Saya cuma kata, "Kalau tidak mahu penat atau kurang penat, kena penatlah belajar dari sekarang. Bila penat belajar, kerja nanti tidaklah penat sangat"

Lagi pun, manalah ada kerja yang tidak penat, cuma darjah kepenatannya sahaja yang berbeza. Sekurang-kurangnya Haziq tidak bekerja di bawah panas mentari. Dia kena bersyukur di situ.

Pena Tumpul - Pernah bekerja di kilang papan dan mengayuh basikal sejauh lima km waktu tunggu SPM 


83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...