Tuesday, April 30, 2013

Pekak

"Adakalanya kita perlu memekakkan telinga supaya tidak mendengar segala kata-kata negatif yang akan menghambat perkembangan kita di tempat kerja, keluarga dan juga dalam masyarakat".

Kita dikelilingi dengan manusia yang pelbagai ragam dan sifat. Ada yang cukup membantu malah tidak kurang yang membuat kita buntu. Tindakan yang kita lakukan begitu dipengaruhi oleh mereka yang cukup rapat dengan kita- ahli keluarga dan rakan taulan. Sama ada kata-kata perangsang pembakar semangat atau ungkapan-ungkapan negatif yang membunuh harapan dan cita-cita kedua-duanya bercampur baur hinggap di telinga kita. Lumrahnya yang bernada negatif itulah yang mendominasi keadaan. Hasrat dan impian kita diperlekehkan. Jauh sekali untuk menyogok keyakinan untuk merealisasikan impian yang sudah tersemat.

Berdepan dengan keadaan ini, pilihan terbaik yang ada untuk kita ialah memekakkan telinga dari mendengar kata-kata negatif yang bakal meranapkan impian kita. Cerita seekor cicak yang tuli rasanya elok dijadikan tauladan. Ketika mana seekor demi seekor cicak tumpas dalam satu pertandingan memanjat pokok pinang dek tidak tertahan dengan kata-kata negatif yang dilontarkan dari binatang-binatang lain di sekellingnya, seekor cicak berjaya sampai ke puncak dan muncul sebagai pemenang. Sekiranya cicak tua ini menghiraukan kata-kata pembunuh semangat yang datang dari penonton di sekelilingnya, ia pasti akan berakhir dengan kegagalan juga. Namun telinga pekaknya menyumbang kepadanya sebuah kejayaan.

Pena Tumpul - Sesekali nipis telinga

Monday, April 29, 2013

Pengajaran

Saya mendengar cerita ini disampaikan oleh seorang pakar motivasi bila berbicara tentang kasih sayang di radio pagi ini. Ia cukup memilukan namun ada pengajaran. Kisah ini mungkin sudah biasa didengar dan pernah juga berlaku pada diri kita tanpa kita sedar pun.

Seorang ayah bergegas ke tempat kerja sehingga tidak cukup sempat untuk meletakkan semula di tempat yang tinggi ubat yang baru diambilnya. Namun dia sempat berpesan kepada isterinya supaya mengambil ubat itu dan meletakkannya di tempat yang selamat. Isteri yang sibuk di dapor melupakan pesan suaminya.

Tanpa dijangka botol yang dibiar bersepah ini menarik perhatian seorang anak kecil milik pasangan ini. Anak yang berusia dua tahun ini cukup tertarik dengan cecair berwarna merah dalam botol itu lalu meneguknya sehingga habis. Anak yang tidak tahu apa-apa tidak sedarkan diri kerana penangan ubat yang khusus untuk orang dewasa itu. Ibu panik dan bergegas ke hospital namun anak mereka tidak dapat diselamatkan.

Ibu bukan sahaja diselubungi kesedihan kerana kematian anak kesayangannya tetapi dibaluti rasa takut bukan kepalang untuk berdepan dengan suaminya. Dia menjangkakan suaminya akan menghentamnya habis-habisan. Jangkaannya meleset. Suaminya memeluknya dan mengucapkan, "Saya sayang awak sangat-sangat".

Memang begitulah sepatutnya yang dilakukan bila berdepan dengan situasi begini. Orang yang sedang dilanda kesedihan tidaklah wajar diganda-gandakan lagi kesedihan dan kemurungannya. Bukanlah juga masa untuk salah menyalah. Apa yang sudah berlaku sudah pun berlaku. Dan yang paling penting belajar sesuatu dari apa yang berlaku agar kesilapan yang sama tidak berlaku untuk kali kedua dan seterusnya.

Pena Tumpul - Barang yang lepas jangan dikenang, sudah menjadi hak orang lain

Sunday, April 28, 2013

Angkasawati

Dalam diam-diam, pelajar berusia 16 tahun ini menyimpan cita-cita bukan kepalang tingginya. Ibarat mahu memeluk gunung layaknya. Dila aka Diko mahu jadi angkasawan atau lebih sesuai lagi angkasawati.

Saya tahu dia pasti teruja dengan cita-cita barunya itu setelah berkesempatan mendengar kisah kejayaan calon angkasawan negara Mejar Faez yang di undang dalam Ekspo Kerjaya di Dataran Segamat beberapa hari lalu. Remaja di usia begini memang senang teruja dan dibakar semangatnya. Cita-cita sentiasa bertukar silih berganti. Ada ketikanya mahu jadi doktor, diketika yang lain mahu jadi ahli sains dan sekarang mahu jadi angkasawan pula.

Cita-cita tidak semestinya menjadi nyata, namun ia tidak juga mustahil untuk dicapai. Setidak-tidaknya dengan menyimpan cita-cita ini, segala usaha dan tenaga akan sentiasa dikerah ke arah mencapainya. Ia sumber motivasi yang sangat tinggi untuk lebih komited dalam belajar sebenarnya. Saya percaya Diko tidak sekadar dibuai cita-cita itu tetapi akan sentiasa bertungkus lumus untuk merealisasikannya. Saya tahu dia boleh melakukannya kerana dia pernah melakukan kejutan sebelum ini.

Anak dara bercita-cita besar ini perlu diberi sokongan dan kepercayaan untuk melunaskan impiannya ini. Dia tidak boleh diperlekehkan.

Jangan terkejut kalau satu hari nanti dari Kampung Gudan Garam ini lahir angkasawati pertama negara. Segalanya mungkin!

Pena Tumpul - Ketawa sendiri bila mamanya kata nak pergi tandas pun perlu ditemani adiknya

Saturday, April 27, 2013

Ah!


Saya menemukan kisah benar yang amat menyayat hati ini. Seorang datuk dibunuh tanpa rasa belas oleh empat orang remaja dan salah seorang daripadanya adalah cucunya sendiri. Paling malang neneknya juga dibiarkan diketuk dan dicederakan dan kemudian lari dengan wang dan barang kemas bernilai 10 ribu ringgit. Perbuatan yang amat kejam.

Di mimbar khutbah hari ini saya mendengar penuh insaf khatib berbicara tentang ibu yang sangat perlu untuk dihormati dan diletakkan di kedudukan yang paling tinggi melebihi sesiapa pun. Dan hadis yang diperdengarkan amat menarik untuk direnungi dan dihayati.

"Seorang lelaki bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w. maksudnya : “Siapakah yang perlu kita hormati dan kasihi selepas Allah dan Nabi?” Jawab Nabi “Ibu kamu” “Selepas itu?”- “Ibu kamu” “Selepas itu?”- “Ibu kamu” Kali ke 4 lelaki itu bertanya, “Selepas itu?” Jawab Nabi “Ayah kamu

Tingginya nilai ibu di dalam Islam. Begitulah kedudukan seorang ibu pada pandangan Rasulullah. Betapa mulianya seorang ibu hinggakan Nabi Muhammad meletakkannya sebagai pihak ketiga yang perlu dihormati selepas Allah dan Baginda.

Kita juga pernah mendengar kata-kata, syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Begitu pentingnya kita menghormati ibu bagi mendapat keredaan Allah.

Islam menentang keras penganutnya menyergah atau menyakiti ibu sendiri, sekalipun dengan perkataan ah! Apa lagi, sekiranya seorang ibu itu dimaki-hamun atau disisihkan oleh anaknya sendiri.

Hadis ini turut dibaca oleh Pak Khatib Hj Muda merangkap bapa mertua saya. "Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendakNya, hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati."

Derhaka kepada ibubapa ditunai segera dan tidak ditangguh.

Pak Khatib menyelitkan kisah ini dan ia amat menarik. Seorang ahli ibadat daripada keturunan Bani Israel bernama Juraij berhadapan dengan fitnah besar hanya kerana mementingkan sembahyang sunat daripada menyahut panggilan ibunya. Akhirnya, beliau difitnah oleh seorang pelacur yang mendakwa mereka ada hubungan sulit hingga melahirkan anak. Mujurlah dengan kekuasaan Allah, bayi itu boleh bercakap dan menceritakan siapakah bapanya yang sebenar.

Saya melihat Haziq termenung di sebelah. Mungkin dia sedang memikirkan tentang mamanya yang kadang-kadang pernah dikecilkan hatinya!

Pena Tumpul - Sudah lama tidak makan kari daging emak

Wednesday, April 24, 2013

Mengasihani

Saya menemukan kisah yang sangat menarik untuk dijadikan iktibar dari sebuah buku yang baru saya beli. Bukunya nipis sahaja namun sarat dengan kisah-kisah yang boleh menjana keimanan kita. Seperti kata penulisnya, buku ini mengheret pembaca menyingkap rahsia kasih sayang Pencipta yang adakalanya kita pandang sepi. Kita seringkali memikir untuk menyembahNya namun jarang sekali memikir untuk menyintaiNya.
Dipetik daripada buku ini tentang adanya satu hadis tentang seorang yang disebut sebagai ‘Al-Kiflu’ Al-Kiflu merupakan seorang pemuda yang hidup pada zaman sebelum kita (sebelum Nabi Muhammad s.a.w. hidup). Bagi lelaki ini, tidak ada perkara yang haram baginya, semuanya halal (dia melakukan begitu banyak dosa, perkara haram). 
Sahabat Nabi s.a.w. yang meriwayatkan kisah Al-Kiflu ini menyatakan bahawa beliau mendengar kisah ini disampaikan Nabi s.a.w. bukan sekadar sekali, bukan tujuh kali, bahkan lebih daripada itu. Kisah itu merupakan kisah yang cukup penting, oleh yang sebab yang demikian Nabi s.a.w. begitu banyak sekali menceritakan kepada para sahabatnya. Sahabat-sahabat menyatakan, kisah itu diulang Nabi s.a.w. lebih daripada sepuluh kali.

Kisahnya, pada satu hari, datang seorang perempuan kepada Al-Kiflu untuk berhutang daripada Al-Kiflu. Bagi Al-Kiflu, dia menyatakan kepada perempuan itu bahawa tidak ada masalah baginya untuk memberikan berapa banyak jumlah hutang tetapi hendaklah dengan syarat perempuan itu menyerahkan kehormatannya kepada Al-Kiflu. Perempuan itu pula berada dalam keadaan yang begitu terdesak, memerlukan duit. Akhirnya dia menurut kehendak Al-Kiflu.

Sehingga pada tahap Al-Kiflu sudah naik berada atas perut perempuan itu, Al-Kiflu terasa perempuan itu sedang gemuruh, berketar-ketar badannya. Maka Al-Kiflu bertanya kepada perempuan itu, sama ada keadaan gemuruh terketar-ketar itu adalah kerana benci kepada Al-Kiflu.  Jawab perempuan itu, demi Allah dia tidak membenci Al-Kiflu, tetapi pada masa itu dia dipaksa untuk melakukan perkara yang dia tidak mahu buat. Setelah mendengar perkara itu, Al-Kiflu terus bangkit turun. Kemudian dia bertanya kepada perempuan itu, adakah dia tidak mahu melakukan perbuatan tersebut kerana takut akan Allah. Jawab perempuan itu ialah ya kerana dia takut akan Allah. Setelah mendengar jawapan perempuan itu, Al-Kiflu menyatakan bahawa duit itu menjadi milik perempuan itu, bukan lagi hutang. Dia membebaskan perempuan itu. Dia memberikan duit itu kepada perempuan itu, dan menyuruhnya balik.

Insiden itu telah memberikan kesedaran kepada Al-Kiflu. Pada malam itu Al-Kiflu bermunajat kepada Allah sepenuh hati. Dia menyesali dengan segala dosa yang dilakukannya selama ini. Takdir Allah, al-Kiflu menemui ajalnya pada malam itu juga. Dia mati setelah sepanjang hidupnya berbuat dosa, namun sempat satu malam untuk bertaubat nasuha. 
Lantas Nabi bersabda, Al-Kiflu dimasukkan ke syurga. Dia dimasukkan ke syurga kerana Allah mengampuni segala dosa sepanjang hidupnya yang gelap itu. Bukan kecil dan sedikit dosanya tetapi besar dan banyak juga. Namun kerana taubat dan penyesalan, dia menemui Penciptanya dalam keadaan dosa diampuni.
Perlukah menunggu lagi ketika Allah sentiasa menunggu kita meminta ampun dariNya!
Pena Tumpul - Habis dibaca dalam sehari

Tuesday, April 23, 2013

Calon

Khabarnya ada yang kecewa kerana tidak dipilih oleh parti untuk menjadi calon dalam pilihanraya kali ini. Lebih-lebih kecewa lagi bila merasakan diri mereka akan dipilih semula tetapi tidak dicalonkan pun untuk kali ini. Bukan sahaja yang tidak terpilih itu yang marah-marah tetapi ahli keluarganya dan pengikut-pengikutnya juga turut berang.

Menurut orang kampung yang kenal benar dengan bekas wakil rakyat yang tidak dicalonkan ini, pengikut-pengikutnya telah mengambil tindakan agresif dengan menanggalkan segala bendera dan kain rentang yang telah dipasang di kawasan berkenaan sebagai tanda protes. Kata sumber-sumber yang boleh dipercayai, ada sebab mengapa dia tidak dicalonkan semula. Dia dikatakan gagal berfungsi sebagai wakil yang berkhidmat untuk rakyat dikawasannya. Sebaliknya hanya mendahulukan ahli-ahli keluarganya dan juga pengikutnya. Ini sudah tentulah bercanggah dengan gagasan Rakyat Didahulukan yang ditonjolkan oleh pucuk pimpinan parti dan kerajaan. Sudah memang sewajarnyalah dia tidak dipilih semula kerana tidak bermanafaat untuk rakyat pun.

Tidak dinafikan memang ada mereka yang bertanding bukan untuk parti dan rakyat tetapi lebih kepada hasrat untuk mendahulukan kepentingan peribadi. Lantas, kalau tidak terpilih akan melakukan sesuatu yang boleh merosakkan parti itu sendiri. Justeru, saya selalu berpandangan kekalahan sesebuah parti bukan kerana faktor saingannya lebih kuat tetapi kerana parti itu yang dilemahkan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Pun begitu,di satu  pihak yang lain masih ada yang sangat setia kepada parti tanpa didorong oleh faktor kepentingan sendiri pun. Biar tanpa imbuhan, tanpa jawatan namun kesetiaan tetap bulat kepada parti yang satu dan tidak pernah berganjak pun. Bukan bagai lalang ditiup angin.

Saya kagum dengan semangat yang dipamerkan oleh Ketua Kampung Gudang Garam yang dengan rela menjadikan rumahnya sebagai bilik gerakan!

Pena Tumpul - Jadi calon bebas sahaja

Monday, April 22, 2013

JM

Lambat lagi. Mesyuarat yang sepatutnya dan semestinya bermula pada pukul 10 pagi ditunda hingga setengah jam berikutnya. Itulah hakikat waktu Malaysia. Masih jauh dari ketepatannya. Lambat 10 minit atau lebih itulah yang diterima pakai sebagai tepat dalam banyak keadaan. Saya cenderung untuk melihatnya sebagai waktu JM yang merujuk kepada Jam Malaysia dan bukan am atau pm.

Bahawa kelewatan yang dilakukan itu menyusahkan orang lain yang sangat berkira dengan waktu itulah yang memualkan. Malah semakin meloyakan kalau kelewatan itu diiringi pula dengan pelbagai alasan basi seperti "traffic jam" misalnya. Kalau di kalangan pelajar pula alasan yang paling popular dan merimaskan telinga ialah "overslept" atau terlebih tidor.

Gejala lewat ini melata sifatnya tidak kira lapisan dan latarbelakang. VIP dan artis misalnya yang hadir lewat untuk acara-acara tertentu, seperti sidang akhbar, rasmi itu dan rasmi ini dan ini sudah menjadi norma. Tidak keterlaluan kalau dikatakan semakin tinggi, terkenal dan popular seseorang itu, semakinlah tidak menepati waktu. Kalaulah kita boleh mengukur dan memberi nilai kuantiti pada masa itu, saya pasti jumlahnya boleh mencecah jutaan ringgit setahun, atau mungkin lebih!

Yang menariknya mereka yang lewat begini lazimnya seronok dengan apa yang mereka buat justeru tiada pun hukuman yang dikenakan. Memang itu pun yang berlaku. Lewat beberapa minit untuk mesyuarat atau kelas misalnya namun masih lagi boleh dibenarkan untuk turut sama tanpa disalahkan dan tidak juga rasa bersalah.

Rasanya sesekali kita perlu gantung di pintu papan tanda notis yang berbunyi begini misalnya, "Mesyuarat telah bermula, maaf anda tidak boleh masuk". Ia sebenarnya cuma memerlukan seorang ketua atau pun pengerusi yang cukup tegas untuk melakukannya!

Saya pernah kenal seorang ketua jabatan yang cukup tegas dan mengunci pintu bilik mesyuarat sebaik sahaja mesyuarat sepatutnya bermula. Hasilnya, selepas itu istilah lewat di kalangan staf jabatan tersebut cuma tinggal sejarah sahaja.Idea yang bagus!

Bagaimana kalau VIP dan pemipin tertinggi kerajaan yang lewat? Penyelesaiannya mungkin tidak mudah namun bukan juga sukar pun. Barangkali PM kita atau KSN  boleh berbuat sesuatu. Jadi model yang terbaik dalam menguruskan masa misalnya.

Saya kira elok sahaja am dan pm diganti dengan jm sahaja!

Pena Tumpul - Kalaulah masa itu betul-betul pedang, bayangkan ramainya yang sudah menjadi mangsa pancungannya, tetapi ia hanya sekadar ibarat

Friday, April 19, 2013

Khusyuk

"Saya berasa susah hendak mencapai erti khusyuk dalam solat. Saya seringkali lalai. Ingatan saya melayang-layang ingatkan sesuatu keadaan di luar solat." Bolehkah ustaz memberi sedikit nasihat pada saya?"

Tentang khusyuk dalam solat lagi. Tanyalah Ustaz yang sempat saya ikuti pagi ini dihujani email dari mereka yang bermasalah meraih khusyuk dalam solat.Dan luahan di atas adalah antara banyak email yang meyinggah. Saya yakin, ramai orang menghadapinya.

Saya tidak terkecuali. Tidak segan untuk mengakuinya daripada menjadi bodoh sombong tidak berpenghujung. Namun janganlah kita duduk diam tanpa buat apa-apa atau solat kita selama ini akan berlalu sia-sia seperti kata hadis Nabi, "Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam solatnya"

Ustaz ini mengkesahkan Hatim al-Isam seorang abid yang unggul yang mendatangi seorang pemuda yang sukar mencapai erti khusyuk dalam solat. Lantas beliau menasihat pemuda itu. Kata Hatim apabila masuk waktu solat, dia akan berwudu' zahir dan batin. Berwudu' zahir seperti yang telah disyariatkan. Berwudu' batin ada tujuh perkara iaitu,dengan taubat, menyesali dosa, membersihkan diri dari cinta dunia, tidak mencari dan mengharapkan pujian dari manusia, meninggalkan sifat bermegah-megahan, menjauhi khianat dan menipu, serta meninggalkan dengki.

Katanya lagi setelah itu dia pergi ke masjid, lalu menghadapkan muka dan hatinya ke arah kiblat. Dia berdiri dengan penuh rasa malu. Dia membayangkan Allah ada di hadapannya, syurga di sebelah kanannya, neraka di sebelah kirinya, sementara malaikat maut berada di belakangnya. Dia juga membayangkan seolah-olah  berdiri di atas titian Shirathal Mustaqiim dan menganggap solat itu adalah solat terakhir baginya.

Kemudian dia berniat dan bertakbir dengan baik. Setiap bacaan dan doa dalam solat berusaha untuk difahami maknanya. Bila rukuk dan sujud dia mengecilkan diri sekecil-kecilnya di hadapan Allah. Dia bertasyahud( tahiyyat) dengan penuh pengharapan dan akhirnya memberi salam dengan ikhlas. Tambah ustaz lagi, begitulah solat yang dilakukan oleh Hatim dalam 30 tahun terakhir.

Saya menyemak solat-solat lalu yang dipersembahkan kepadaNya dan mencari-cari ketika-ketikanya yang khusyuk itu. Sangat sedikit.

Pena Tumpul - Peringatan buat diri sendiri lagi

Thursday, April 18, 2013

Ikan

"Takkan beli ikan longgok aja"

Kata-kata itu singgah di telinga saya dari sebuah suara yang pernah saya dengar. Rakan saya ini memang suka berseloroh. Pun begitu, hati saya terusik juga.  Saya tidak menyedari dia lalu di belakang saya ketika saya sedang membeli dua pinggan ikan yang dijual agak murah. Memang murah pun. Saya hanya membelanjakan enam ringgit sahaja untuk 10 ekor ikan kembong. Ia murah kerana kualiti ikan yang tidak berapa segar namun secara lahiriahnya masih boleh dimakan.

Saya tahu dia ingin memberitahu saya bahawa ikan tersebut tidak layak untuk saya beli. Ikan itu murah dan sudah tidak elok lagi. Sudah tidak segar dan cuma layak untuk santapan kucing sahaja.

"Saya beli ikan ini untuk kucing" saya menjawab ringkas sambil melihatnya berlalu.

Pena Tumpul - Kucing pun ada rezekinya


Wednesday, April 17, 2013

Tolong

Seorang lelaki separuh usia yang tidak sangat terurus penampilannya melambai kereta-kereta yang lalu lalang. Pastinya dia mahu menumpang untuk minta dibawa ke destinasi tujuannya. Lazimnya, tidak ada kereta yang berhenti pun. Saya juga tidak terpanggil untuk berhenti menyahut lambaian tangannya yang agak layu kepenatan barangkali.

Hafiz yang sangat perasan akan apa yang berlaku bertanya kepada saya, "Kenapa Uda tak berhenti. Dia kan nak tumpang. Semua tak nak tumpangkan dia. Sian dia" 

Sukar saya hendak menjelaskan kepada anak kecil berusia enam tahun ini. Dia cuma nampak apa yang di depan matanya sahaja. Dia tahu lelaki itu perlukan pertolongan dan sepatutnya ditolong. Itu yang dia diberitahu dan perlu dilakukan. Saya tidak menyalahkannya menegur atau dilihat macam mengajar saya. Saya ada sebab saya sendiri untuk tidak memberi tumpang kepada lelaki itu. Saya sangat pasti orang lain yang melewati dan menyaksikan lambaian tangannya juga berkongsi sebab yang sama dan yang satu ini. Bahawa kita perlu lebih berhati-hati bila berdepan dengan situasi begini memujuk hati saya supa jangan berhenti dan menawarkan pertolongan. Banyak sudah yang berlaku, yang menolong akan dimangsakan. Walaupun tidak adil untuk kepada lelaki ini yang mungkin berniat baik tetapi dalam keadaan sekarang segalanya berkemungkinan. Jadi sangatlah elok kalau kita lebih berpada-pada.

Saya pernah bertanya beberapa orang kawan pandangan mereka terhadap sikap orang kita bila berdepan dengan situasi begini. Mereka berkongsi cerita yang sangat menarik. Menolong orang bagai menjerumuskan diri dalam kancah bahaya. Cerita seorang yang disamun selepas menolong orang yang kononnya kehabisan minyak keretanya sudah kerap kita dengar. Cerita mereka yang dirompak orang yang diberikan tumpang kereta kononnya dalam kesusahan juga sudah selalu kita dengar.

Cerita-cerita beginilah yang sebenarnya menghantui orang ramai untuk menawarkan pertolongan kepada orang lain. Bukannya tidak mahu menolong tetapi takut untuk terjebak dalam sesuatu kejadian yang tidak diingini sebenarnya!

Saya harap Hafiz faham.

Pena Tumpul - Maafkan saya dan orang lain yang sangat berhati-hati ini


Tuesday, April 16, 2013

Hadiah

Saya dan Hafiz diraikan secara bersama lagi dalam sambutan hari ulang tahun kelahiran tahun ini. Saya mencecah angka 52 dan Hafiz pula masih kecil angkanya, angka 7. Ibu Hafiz bersusah payah menyiapkan juadah untuk sambutan kali ini. Tahun lepas sambutannya di rumah saya dan kali ini di rumah Hafiz pula. Saya menumpang keseronokan Hafiz tentunya. Sebelum Hafiz lahir, sambutan hari lahir saya tidaklah sangat meriah pun, malah adakalanya tidak disambut langsung pun.

Seperti biasa, Hafiz tidak lupa meraih hadiah dari saya. Saya mengusiknya bahawa saya juga mahu hadiah daripadanya. Dia kata dia tidak ada duit untuk beli hadiah buat saya. Saya katakan kepadanya, hadiah tidak semestinya dalam bentuk benda. Hadiah juga tidak semestinya mahal. Apa-apa pun boleh jadi hadiah asalkan pemberiannya ikhlas dan menyenangkan buat yang menerimanya.

Ketika saya memberikannya hadiah mainan yang memang menjadi kegemarannya, saya pula menagih hadiah daripadanya. Dia tersipu-sipu. Saya tidak nampak sebarang bungkusan pun di tangannya. Dia mendekati saya dan berbisik ke telinga saya. Dia kata bahawa dia tidak ada hadiah istemewa untuk saya tetapi dia hendak melakukan sesuatu di majlis sambutan kali ini.

Hafiz baca doa makan bersekali dengan doa selamat! Itulah hadiah Hafiz untuk saya.

Pena Tumpul - Makan nasi ayam sahaja

Monday, April 15, 2013

Singkat

"Dah bulan empat!, cepatnya...rasanya baru lagi tahun ni"

Saya kira ungkapan ini sering sangat kita dengar. Orang berkata tentang masa yang dirasa singkat. Pantas bertukar dari jam ke jam, hari ke hari dan bulan ke bulan. Pejam celik bulan baru menyusul membiarkan bulan lama menjadi sejarah. Malah ada yang berkata, letak sahaja kepala di bantal, sudah bangkit semula keesokan harinya dan dirasakan macam tidak puas tidor pun. Begitulah pantasnya masa yang dirasa.

Bila ini yang berlaku, ada juga yang mengaitkannya bahawa Kiamat sudah semakin dekat walaupun tidak tahu bila. Tidak salah pun berpandangan begitu kerana memang ada hadis yang boleh disandarkan. Memang betul salah satu tanda-tanda Kiamat kecil ialah betapa waktu yang dilalui terasa semakin singkat. Rasulullah ada menggambarkan tentang perkara ini dalam beberapa hadis Baginda. Salah satunya daripada Abu Hurairah, baginda bersabda yang bermaksud;

"Tidak akan tiba hari Kiamat sehingga waktu semakin singkat. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu bagaikan sehari, sehari bagaikan satu jam. Dan satu jam itu bagaikan api yang membakar daun kurma"

Dalam hadis yang lain juga Nabi bersabda:

"Waktu akan semakin singkat, amal akan berkurangan, bakhil akan dijumpai, fitnah akan menyebar dan banyak terjadi pembunuhan.

Menurut sebahagian ulama yang dimaksudkan dengan singkatnya waktu bukanlah bermakna jumlah jam dalam sehari sudah berkurang. Ia bukan begitu pemahamannya. Maksud sebenarnya ialah hilangnya keberkatan waktu sehingga pada satu hari misalnya tidak dapat dimanafaatkan seluruhnya melainkan cuma beberapa jam sahaja.

Ini adalah antara ilmu yang saya perolehi dari buku yang baru saya miliki. Buku "Kompas Umat Akhir Zaman" ini digarap dengan peristiwa akhir zaman, serta menjurus kepada pembinaan akhlak dan persediaan sebelum menghadapi saat yang dahsyat itu.

Pena Tumpul - Suka berkongsi ilmu




Sunday, April 14, 2013

Meremajakan

Hujung minggu yang sangat memenatkan.Dua hari dua malam saya berkampung di Shah Alam menjadi pelajar semula mendengar celoteh yang meletihkan dari tiga orang tenaga pengajar yang berbeza pendekatannya. Graf turun dan naik. Sesekali bersemangat tinggi untuk terus berjuang hingga ke garisan penamat dan sesekali juga turun merudum ingin menyerah di garisan permulaan lagi.

Banyaknya tugasan yang perlu dilunaskan dalam jangka waktu yang sangat singkat. Ia merupakan satu kejutan budaya yang sukar diterima setelah sekian lama meninggalkan bangku pelajar. Selama ini sangat selesa duduk di kerusi pengajar membekalkan para pelajar dengan pelbagai tugasan. Sekurang-kurangnya saya merasa sendiri apa yang dirasai oleh para pelajar yang dibebani dengan tugasan demi tugasan yang perlu dilangsaikan. Ia menuntut pengurusan masa yang sangat bijak.

Pun begitu, menghadiri kursus yang dijangka usai dalam tempoh 10 bulan dari sekarang adalah pilihan saya sendiri. Tiada tuntutan dari mana-mana pihak pun. Saya melihat ia satu keperluan untuk "meremajakan" ilmu pendidikan yang pernah saya perolehi sekitar akhir 80an dulu. Ia sudah sangat lama dan pastinya sudah tidak relevan lagi dalam konteks pendidikan masa kini yang pesat berkembang. Era "chalk and talk" yang sangat dominan dulu sudah tidak mendapat tempat lagi sekarang. Kini orang bercakap tentang "blended learning" di mana penggunaan teknologi dimanipulasi semaksimum mungkin. Menyedari kelompongan itu, saya membulatkan tekad "menyeksa" diri menyertai kursus ini. Tanpa semangat yang kental, saya percaya saya tidak mungkin boleh sampai ke penghujung. Saya kena sangat kuat.

Saya harap ia sangat berbaloi!

Pena Tumpul - Kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya



Wednesday, April 10, 2013

Sendiri

Amiruddin aka Denko meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke 11 hari ini.Kali ini dia menyambutnya secara tertutup. Tiada jemputan, kecuali sesama ahli keluarga sahaja.Makan pun ala kadar aja tidak seperti selalu.Sangat ringkas sambutannya. Cuma beberapa ketul ayam KFC, kentang goreng dan kek.

Pena Tumpul - Selamat hari lahir Denko


Monday, April 08, 2013

Makna


"Ustaz, saya fikir kita perlu mengubah cara belajar al-Quran. Saya mahu kurangkan helaian bacaan tetapi diganti dengan membaca terjemahan supaya dapat memahami apa yang dipelajari."

Saya paparkan petikan yang saya cedok secara sengaja dari buku Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok kerana ia satu saranan yang ada kewajarannya malah menuntut perhatian dan tindakan. Sejak pandai membaca AlQuran 40 tahun yang lalu dan khatam berkali-kali, memahami makna yang terkandung dalam setiap ayat yang dibaca dengan betul tajwidnya dan berlagu itu tidak menjadi sesuatu yang penting pada saya.

Memahami makna isi Aquran tidak pernah dilihat sama penting seperti ketepatan tajwid, fasahah dan juga taranumnya. Di sekolah-sekolah termasuk sekolah-sekolah agama pun, soal memahami isi kandungan alQuran bukan sesuatu yang perlu diberikan perhatian. Sesekali diminta Ustaz mewakili sekolah dalam tilawah, aspek tajwid, fasahah dan taranum jugalah yang menjadi perkiraan.

Di bulan Ramadhan pula, kebanyakan masjid menganjurkan tadarus AlQuran dan dalam banyak keadaan memahami isi yang terkandung biasanya diabaikan. Walaupun tidak dinafikan membaca Al-Quran tetap mendatangkan pahala, namun manfaatnya menjadi sangat sedikit dibandingkan bila kita faham maknanya.

Selayaknya sebagai muslim, kita bukan sekadar hanya membaca Al-Quran sebagai ritual ibadah, tetapi lebih dari itu, seharusnya kita mempelajari maknanya, mendalami esensi isinya, serta mengimplementasikan perintah-perintah yang ada di dalamnya menjadi suatu tindakan yang nyata. 

Malah Al-Quran sendiri telah mengumpamakan orang yang membaca kitab namun tidak mengerjakan isinya seperti layaknya keldai yang memikul kitab.

Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (QS. Al-Jumu'ah: 5)

Dan dengan kecanggihan teknologi maklumat kini membaca alQuran bersekali dengan terjemahan menjadi amat mudah untuk direalisasikan!

Pena Tumpul -Hasrat untuk memiliki Tafsir Ibnu Kasir masih tertangguh lagi

Saturday, April 06, 2013

Kekuasaan

Seorang kawan merungut dan marah bukan kepalang kerana telefon bimbit anaknya dirampas oleh pihak
sekolah. Dia menyalahkan guru disiplin sekolah berkenaan kerana bertindak sedemikian. Dia cuba mempertahankan kewajarannya membenarkan anaknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dia mahu anaknya mudah menghubungi dan dihubungi. Justeru katanya, atas tujuan itu dia tidak nampak di mana salahnya untuk anaknya dibekalkan telefon bimbit ke sekolah. Itu pandangannya sebagai seorang bapa. Namun pihak sekolah pastinya punya sebab yang tersendiri juga untuk tidak membenarkan gajet ini dibawa oleh pelajar ke sekolah. Sekolah diberi kuasa untuk melaksanakan peraturan di sekolah, dan ibu bapa tidak berhak untuk mempersoalkannya.

Adakalanya kita lupa bahawa apabila kita menghantar anak-anak ke sekolah, kita juga menyerahkannya untuk dididik. Pihak sekolah mempunyai program, tanggungjawab serta panggilan moral bagi mendidik anak-anak. Justeru kalau ada ketikanya anak-anak kita dihukum kerana melanggar peraturan janganlah kita cepat melenting sambil membantah tindakan guru dan pihak sekolah. Kita jangan lupa bahawa kekuasaan sudah diberikan kepada pihak sekolah.

Bagi mereka yang sudah diberi kuasa janganlah rasa takut dan gusar untuk melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab namun tidak sampai merendah-rendahkan orang lain. Kekuasaan juga adalah cermin karakter seseorang semasa individu itu menjalankan kekuasaan yang diamanahkan kepadanya. Begitu juga bagi yang memberi kuasa kepada seseorang, janganlah bagai memegang ular. Walau kepala dilepaskan, tetapi ekornya masih dipegang. Yang memberi kuasa bagaikan tidak yakin dengan kemampuan orang yang diberikannya kuasa itu.

Saya teringat sebuah kisah yang sangat menarik bersangkut tentang kekuasaan ini. Ia kisah seorang jurulatih yang diberi kuasa oleh seorang raja untuk melatih gundik-gundik raja dengan ilmu ketenteraan. Jurulatih ini berdepan dengan masalah gundik-gundik yang tidak sungguh-sungguh dalam latihan. Mereka memperlekehkan latihan itu. Jurulatih ini mencari puncanya dan mendapati bahawa gundik-gundik ini dihasut oleh seorang gundik yang sangat cantik dan menjadi kesayangan raja juga. Dia bukan sahaja cantik malah pendapatnya sering ditagih oleh raja. Pun begitu, gundik ini yang merasakan dirinya sangat hebat berkelakuan semahu hatinya malah menghasut gundik-gundik lain supaya tidak serius dalam latihan.

Pada suatu masa semasa dalam sesi latihan yang turut disaksikan oleh raja, gundik yang seorang ini semakin mengada-ngada. Jurulatih mengingatkannya supaya serius dalam latihan, namun tidak diendahkan malah semakin mengada-ngada lagi. Mengingatkan kekuasaan penuh yang diberi raja kepadanya, jurulatih ini menghunus pedangnya lalu memancung kepala gundik itu sehingga terpenggal dari badannya. Mata raja terbeliak, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana sudah diberi kekuasaan penuh kepada jurulatih itu. Gundik-gundik yang lain menjadi sangat takut dan mula berlatih bersungguh-sungguh hingga akhir program latihan.

Adakalanya kita memang perlu bertegas macam jurulatih itu.

Pena Tumpul - Jangan pula gila atau mabuk kuasa





Friday, April 05, 2013

Pencuri

“Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya : “Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab : “Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (HR Ahmad)

Saya lihat Haziq bergesa-gesa mendirikan solatnya. Tidak sampai lima minit pun solatnya usai didirikan. Saya tahu dia terkocoh-kocoh untuk keluar dengan aktiviti futsalnya. Hari-hari sebelum ini dia tidak begitu pun. Namun kerana terlewat barangkali, dia mengorbankan solatnya sampai begitu. Saya beritau dia solat tidak boleh tangkap muat dan asal buat sahaja. Tuhan murka kalau solat begitu yang dipersembahkan kepadanya.Solat begitu tidak ubah macam pencuri.

Dalam solat sebenarnya ada hakikat zahir dan batin. Yang zahir dan lahir itu termasuklah berdiri betul, membaca alFatihah dan surah, rukuk, sujud dan pengucapan atau perlakuan lahir dalam solat. Hakikat batin pula termasuklah khusyuk, kehadiran hati, ikhlas, memahami makna bacaan dan seumpamanya.

Kata Imam Ghazali, perumpamaan orang yang mendirikan solat dengan hakikat lahir sahaja tanpa batin adalah seperti seseorang yang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati kepada seorang raja. Manakala orang yang mendirikan solat dengan hakikat batin sahaja, adalah seperti menghadiahkan seorang puteri yang hidup tetapi kudung kaki dan tangannya serta buta pula matanya kepada raja. Tentulah kedua-dua orang ini akan dimurkai oleh raja. Keduanya akan diseksa dan dihukum kerana menghina kedudukan raja dan menidakkan haknya untuk dihormati.

Saya sangat berharap dia tidak solat bagai patuk ayam lagi.

Pena Tumpul - Ingat mengingati diri yang sering alpa

Thursday, April 04, 2013

Pengajaran

Haziq cuma mampu bertahan sehari sahaja di gedung tekstil terunggul di bandar Segamat. Sesampai sahaja di rumah dia mengeluh dan mengadu sakit-sakit seluruh badan. Di hari pertama bekerja dia ditugaskan mengangkal bendela-bendela kain dari tingkat bawah ke tingkat dua. Bendela kain itu memang boleh tahan juga berat nya.

Permintaannya untuk tidak terus bekerja, saya dan mamanya penuhi.  Sebenarnya bukan sangat soal wang upah yang penting tetapi saya ingin beberapa perkara penting dalam hidup. Saya mahu dia belajar untuk berdikari dan merasai sendiri bahawa bekerja untuk mendapatkan duit itu bukan sesuatu yang senang. Saya juga mahu dia tahu bahawa rezeki itu tidak pernah datang bergolek tetapi perlu berusaha untuk memilikinya. Saya juga mahu dia sedar bahawa dia bukan dilahirkan dengan "sudu emas". Bukan semua yang dingin boleh didapati, bukan semua yang diidam boleh dimiliki juga.

Pun begitu dia belajar sesuatu yang lebih penting lagi, iaitu bila tidak cemerlang dalam pelajaran, biasanya tulang empat keratlah yang akan dikerah sehabis daya. Berbanding mereka yang hebat pencapaiannya, mindanyalah yang akan dimanipulasi sepenuhnya ketika anggota tubuh yang lain tidaklah dikerah sangat pun. Tidak perlu bekerja sampai bermandi peluh dipanah bahang matahari.

Bukan senang nak senang!

Pena Tumpul - Sesekali bermandi peluh juga mengerjakan kebun

Wednesday, April 03, 2013

Salam

Ada sesuatu yang sangat bermanafaat didapati bila mendengar bicara Ustaz Abu Hasan Din melalui radio awal pagi ini. Ada yang kita terlepas pandang rupanya. Menjadi kebiasaan di kalangan sebahagian orang kita memulakan ucapan dengan menyebut nama mereka yang hadir mendahului salam. Dalam konteks ini, kata Ustaz salam yang diucapkan tidaklah wajib untuk dijawab pun.

Umumnya semua maklum, bahawa salam wajib dijawab dan berdosa hukumnya jika tidak menjawab salam. Walau bagaimanapun terdapat lima keadaan salam tidak perlu dijawab termasuk dalam situasi yang dinyatakan tadi.

Lima keadaan tersebut ialah:
  • Jika salam diberi oleh orang yang bukan beragama Islam dan memang kita pasti dia bukan Islam.
  • Orang2 dalam solat berjemaah. Ucapan salam Imam tak perlu dijawab sebab ucapan tersebut untuk malaikat-malaikat bukannya untuk makmum.
  • Salam yang diberi selepas habis berucap. Dalam satu hadis Rasullulah s.a.w. dinyatakan bahawa jangan jawab salam orang itu jika dia mengakhiri ucapannya dengan salam.
  • Bila salam dipermainkan. Kita yakin salam dipermainkan. Sebagai contoh bila lelaki mengacau perempuan, biasanya dia akan cakap, 'Assalamualaikum......tak jawab berdosa'. Tak perlulah jawab salam yang sedemikian.
  • Tidak wajib juga jawab soalan ketika kita dalam tandas. 
Pena Tumpul- Terima Kasih Ustaz
     
     
     


83

M asjid Gudang dikunjungi rombongan yang diterajui Pegawai Daerah untuk majlis berbuka puasa bersama. Turut serta ketua-ketua jabatan dan ti...