Friday, September 20, 2013

Jumaat

Petikan daripada blog dan elok untuk renungan bersama.

Jumaat adalah hari paling mulia serta mempunyai beberapa fadilatnya untuk direnungi.
Kitab As Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat.

Antara peristiwa itu ialah perkahwinan Nabi Adam dan Hawa, Nabi Yusuf dengan Zulaiha, Nabi Musa dengan Shafura binti Syuaib, Rasulullah saw dengan Khadijah, Rasulullah dengan Siti Aisyah binti Abu Bakar serta Ali bin Abi Thalib dengan Fatimah Zahara binti Muhammad.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya. ” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah bersabda yang bermaksud : “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat.
“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu ambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu.
“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, termasuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadis di atas membuktikan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya makmum menumpukan kepada khutbah yang disampaikan. Isi kandungannya khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq ‘alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Termizi).

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.
Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud: “Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadis dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat. yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
* Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat.
* Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah dan malaikat mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.”
* Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah.
* Sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.
* Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah mengkifaratkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.
* Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada Jumaat, mudah dimakbulkan Allah.

Pena Tumpul -Baca surah AlKahfi

Tuesday, September 17, 2013

Lambaian


A.Ramlie adalah antara penyanyi yang digilai di era pop muzik 60an. Banyak lagu-lagunya yang menjadi siulan malah masih segar dan tetap diminati sehingga sekarang. Saya masih ingat ketika lagu-lagu pop 60an berada dizaman kegemilangannya, sekitar tahun 67 dan 68 saya sedang belajar di sekolah rendah di salah sebuah kampung di Segamat.

Saya menyaksikan betapa ibubapa saudara saya di peringkat usia remajanya begitu menyanjungi penyanyi-penyanyi seperti A.Ramli, M.Osman, A.Rahman Hassan, Jefriden dan beberapa orang lagi. Antara ingat dan tidak, saya semacam pernah diheret sama untuk menyaksikan persembahan pentas bergerak yang diserikan oleh penyanyi 60an pujaan mereka.

Apabila saya pulang ke kampung atok saya beberapa hari lalu, saya terjumpa beberapa keping piring hitam yang pernah menjadi teman setia ibu saudara saya dahulu. Masih kelihatan elok. Namun apa yang dapat dilakukan tanpa pemain piring hitam.Antara lagu yang menyentuh hati dan menggamit perasaan ialah Dendang Anak Tani dan juga Lambaian Desa alunan suara penuh nostalgik A Ramlie. Petang tadi, setelah sekian lama menunggu terdengar lagu "Lambaian Desa" dikumandangkan lewat corong radio Klasik Nasional.


Nun jauh
saujana di mata
Rumah permai jauh dari kota
Di sana hamba terpaut rasa
lambaian kasih mesra nan cinta

Duhai desaku kasih bernaung
Penduduknya rela bergotong royong
Jelas sungguh bakti jasamu
Mendamai kaum jiwa berpadu

Terjalin budi
Mesra sejati
Desa srikandi
Perwira berbakti
Desa nyaman suci indah permai
Lembut merdu jiwa dilambai

Reka cipta sejarah cinta
Antara kasih sayang bersama
Gadis teruna dialun irama
Lambaian desa menggoda sukma

Pena Tumpul - Teringat keseronokan mandi sungai bersama kawan-kawan selepas main reriang

Sunday, September 15, 2013

Cemburu

“Sesungguhnya Allah cemburu dan seorang mukmin juga cemburu, dan cemburu Allah itu ketika seseorang hamba-Nya melakukan sesuatu diharamkan ke atasnya.” ~ Hadis Rasulullah

Adakalanya kita cemburu tidak bertempat. Kita juga cemburu pada sesuatu yang tidak sepatutnya. Hasilnya kita membuang masa dan akhirnya tidak memperolehi sebarang faedah pun. Tidak salah cemburu namun biarlah kena pada tempatnya. Cemburu adalah fitrah dan tabiat yang mesti ada dalam diri manusia yang pada asalnya tidak tercela, selama ia tidak melampaui batas. Cemburu yang melampaui batas, boleh menjerumuskan seseorang ke dalam pelanggaran syariat Allah, itulah yang salah. 

Misalnya, kita cemburu apabila melihat orang lain lebih daripada kita dari segi gaji, pangkat, harta, rumah besar mahupun kereta besar, tetapi tidak pula kita cemburu melihat ilmu orang lain lebih daripada kita. Sering juga kita cemburu dengan harta orang lain namun kita tidak pernah cemburu apabila melihat orang lain bangun di sepertiga malam untuk solat tahajud dan bermunajat.
 

Kita juga mungkin rasa cemburu dengan kereta baru yang mewah orang lain tetapi jarang pula cemburu apabila melihat orang lain yang boleh khatam Al'Quran sebulan dua kali.

Cemburu datang kerana kurang sifat syukur dalam diri. Kita selalu memikirkan dan berasa rungsing dengan apa yang masih tidak kita miliki. Kita cemburu pada orang lain yang ada apa yang kita mahu. Tetapi  kita tidak bersyukur dengan apa yang sedang kita miliki.

Pena Tumpul - Peringatan buat diri yang lupa

 







Saturday, September 14, 2013

Kreatif

Saya menyaksikan malah mengadili beberapa projek yang dihasilkan oleh para pelajar yang menyiapkan sebahagian kerja kursus Critical and Creative Thinking Skills. Penghasilan projek inovatif yang diterbitkan dari bahan-bahan terbuang adalah sesuatu yang menuntut kreativiti para pelajar.

Dengan memanipulasikan bahan-bahan seperti kertas suratkabar, botol-botol kosong, kapas daun-daun kering, batang aiskrim dan sebagainya, terhasilllah pelbagai bentuk replika menarik yang mempunyai mesej tersendiri berkaitan alam.

Hasilnya memang menakjubkan!

Pena Tumpul - Puas hati

Thursday, September 12, 2013

Cuci

Kata Dr Fadilah Kamsah ada beberapa cara yang boleh kita amalkan untuk menyucikan dan memurnikan hati. Antaranya ialah:
1. Jaga solat dengan sempurna,
2. Solat taubat setiap malam sebelum tidur,
3. Istighfar sekurang-kurangnya 70X sehari ,banyakkan zikrullah,
4. Baca Quran setiap hari,
5. Minta maaf daripada orangg lain; maafkan semua orang,
6. Bisikan kendiri yang positif,
7. Muhasabah ; refleksi diri ; berterusan perbaiki diri,
8. Cuci pinggan, tandas, dll,
9. Berpuasa sunat,
10. Sentiasa ingat mati ; bersedia menghadapi kematian setiap hari,
11. Kekalkan wudu' sepanjang hari mengikut kemampuan,
12. Banyakkan bersedekah,
13. Beri orang makan,
14. Jaga makanan (halal ; yang baik2),
15. Berkawan dengan orang 'alim ; orang yang baik-baik,
16. Sentiasa berpesan -pesan ke arah kebaikan,
17. Jaga setiap panca indera (mata, telinga, hati, anggota tangan ; kaki ; deria hidu).



Pena Tumpul - Peringatan buat diri sendiri

Wednesday, September 11, 2013

Peranan

Pagi ini saya sempat berceloteh sedikit dengan pelajar saya tentang perempuan yang tidak tahu, tidak boleh dan malas memasak. Bukan luar biasa sekarang, kalau ada perempuan yang memilih untuk tidak memasak walaupun sudah bergelar isteri. Bila perkara ini dibangkitkan, pelajar perempuan segelintirnya melenting. Saya kata, perempuan begini tidak wajarlah dijadikan isteri. Saya memprovokasi mereka sebenarnya. Saya mahu mereka mempertahankan hujah mereka tetapi tidak sampai menegakkan benang yang basah.

Kata mereka, kalau perempuan tidak boleh memasak, dikutuk dan disuruh belajar. Mereka mengalih perhatian. Kata mereka lagi, kalau lelaki tak boleh jadi imam, kita kata okay saja. Tidak boleh pula  diperbesarkan nanti mereka terasa hati.  Mana boleh begitu.

Ada betulnya juga kata-kata kaum Hawa ini. Mereka mula membela diri dan saya mendengar penuh teliti. Kata seorang pelajar perempuan, mungkin mereka tidak sempat belajar memasak sebab dari kecil tidak digalakkan keluarga sebaliknya di suruh menumpukan perhatian pada pelajaran saja. Sementelah tinggal di asrama, peluang pulang ke rumah terhad dan tidak sempat turun ke dapur membantu ibunya. Ada betulnya juga.


Memang tidak dinafikan ramai juga lelaki yang meletakkan kebolehan wanita di dapur sebagai perkara utama dan ungkapan hendak memikat suami, perlu pikat seleranya sering diguna pakai. Kalaulah itu syaratnya bermakna makin ramai wanita yang hidup bujang seumur hidup. Tidak kiralah, jika wanita itu berpelajaran atau berjawatan tinggi dan penyumbang utama kewangan dalam rumahtangganya, dia mesti boleh dan tahu memasak.


Ada seorang pelajar perempuan menyuara rasa tidak puas hati. Dia berpandangan syarat yang diletakkan kepada wanita perlu juga diletakkan kepada lelaki juga. Maksudnya, kalau tidak pandai jadi imam, belajarlah. Mula-mula jadi imam kepada keluarga sendiri, lepas itu boleh pula mengimam satu taman perumahan juga. Sibuk suruh perempuan handal memasak, sedangkan mereka bolehkah jadi imam. Saya dengar dengus beberapa pelajar perempuan yang lain. Sekali lagi, betul juga.

Mereka lebih berani dengan mempersoalkan berapa kerat lelaki yang menjadikan sembahyang jemaah di rumah bersama anak isteri sebagai agenda utama, selain keperluan memenuhi pelbagai seleranya? Maka bertanyalah wanita kini kepada beberapa lelaki tentang kebolehan yang satu ini.

Ternyata ramai yang menjawap tidak confident menjadi imam sebab takut bacaan al-Fatihah tidak sempurna, salah tajwid atau pun dia merasakan isterinya lebih handal. Ada yang kata lebih elok dia dan isteri sembahyang sendiri-sendiri. Ada juga menjawab, rasa kelakar pula apabila dirinya yang rugged menjadi imam. Kata mereka lagi, isu ini sepatutnya  diberatkan seperti mana masyarakat memberatkan wanita perlu pandai memasak jika mahu bersuami. Lelaki juga harus boleh menjadi imam supaya kewibawaan mereka sebagai ketua keluarga tidak goyah atau menjadi mangsa queen control. Kalau tidak pandai, belajarlah sekarang. Jika wanita disuruh belajar, apalah salahnya lelaki juga disuruh belajar.

Akhirnya, sama-sama berpakat untuk belajar. Saya setuju.

Pena Tumpul - Beruntung kerana isteri memang pandai dan rajin memasak.

Tuesday, September 10, 2013

Tangga

Cadangan untuk membaiki tangga menaiki bukit ke rumah mertua sudah lama dibuat. Namun selalu tertangguh kerana masa yang begitu mengekang. Petang ini selepas hujan reda apabila secara kebetulan biras dari Singapura pulang bercuti, kesempatan yang ada tidak dibuang begitu sahaja.

Saya menyuruh Yako yang antara mahu dan tidak mahu itu menggali lubang untuk tiang yang baru. Saya tahu dia sangat penat dan mengambil peluang bercuti untuk bercuti semahunya. Kami mengambil masa lebih kurang sejam walaupun tangga yang dihasilkan tidaklah seberapa. Kayu-kayu beluti pula kami ambil daripada sisa-sisa runtuhan rumah lama.Kami bercadang untuk menyiapkan anak-anak tangga supaya lebih selesa dan selamat untuk digunakan.

Terima Kasih Yako!

Pena Tumpul -Usaha tangga kejayaan

Monday, September 09, 2013

Nama



Nama orang Jawa adakalnya memang menarik dan juga lucu bunyinya.

Pandai tanam bunga, diberikan nama - Rosman.
Pandai membaiki kereta, namakan - Karman

Pandai dalam penulisan - Suratman
Gagah perkasa - Suparman
Boleh mendengar sambil berjalan - Wakiman
Selalu bertanya - Azman (loghat jawa bunyi Asman)
Pandai buat kuih - Paiman
Pakar jualan - Salman
Pakar pasal alam sekitar - JASman (Jab. Alam Sekitar)
Pandai melukis, tulis sajak, nyanyi lagu - Saniman
Doktor gigi - Sugiman
Supaya cepat naik pangkat - Yasman
Bakal kaki pukul dan dera orang - Deraman
Yang ada darah Bengali - Manbai
Pandai organise skim cepat kaya - Pakman (Te' Lo)
Mat rock - Rokman
Jadi polis trafik - Saman
Pakar kunci - Lokman
Baik budi pekerti - Budiman

Ada lagi... ..
Buat kerja ala kadar - A. Kadarisman
Suka bagi orang susah - Sukarman
Suka mengada-ngada - Ngadiman
Dua alam - Herman
Paling tak guna - Koman
Selalu sakit - Deman
Kalau yang kuat berlawan - Ultraman
Yang suka main daun terup poker -Pokemon

Pena Tumpul - Ada kawan nama Buching

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...