Monday, October 28, 2013

Kebah

Hari ini baru terasa sedikit kebah selepas tiga hari demam ditambah dengan jangkitan tonsil yang begitu memeritkan. Kata doktor demam berpunca dari jangkitan tonsil itu. Sejak beberapa tahun yang lalu doktor menyarankan agar pembedahan dilakukan untuk mengelak jangkitan berulang. Saya tidak sangat bersetuju justeru saya boleh bertahan dan doktor pun berkata ia tidaklah begitu serius. Saya cuma perlu berjaga-jaga dalam soal makanan. Pastinya menjauhi makanan pedas dan berminyak yang berlebihan. Dan paling penting kurangkan minuman berais dan kalau boleh hentikan terus. Ia begitu mudah tetapi cuaca panas gagal menyekat keinginan untuk mengambil ais secara berlebihan. Dan saya dilanda sakit tekak lagi.

Saya mendatangi dua doktor yang berbeza. Pandangan dan jenis ubat yang diberi juga berbeza. Lantas impaknya turut berbeza.Lazimnya saya tidak akan beralih arah pada mana-mana doktor selain setia pada doktor yang pertama ini. Namun selepas 3 hari tanpa sebarang tanda pemulihan, isteri menyarankan agar mencuba nasib di klinik yang agak asing bagi kami. Asing kerana dua sebab. Ia bukan klinik panel dan tidak pula tersenarai pun dalam kepala kami berdua. Kendatipun begitu sudah ramai yang berkata khidmat dan rawatannya begitu mengesankan. Saya teruja. Tidak salah untuk mencuba yang luar dari biasa dan sesekali mengongkosi sendiri ubat dan rawatan. Doktor ini saya temui dan ternyata begitu berbeza pendekatannya. Lebih teliti dan tidak begitu ala kadar dalam pemeriksaannya. Dia turut menyentuh tentang kualiti ubat yang berbeza di lain-lain klinik. Bekalan ubat boleh datang dari pelbagai negara malah termasuk India, Indonesia dan Thailand. Ubat yang murah dibekalkan oleh tiga negara ini. Kemujaraban ubat dalam mengubat penyakit banyak bergantung kepada kualiti ubat yang diambil. Tidak susah untuk saya faham mengapa ubat di klinik pertama tidak berkesan.

Dengan penjelasan lebih setengah jam darinya dan beberapa jenis ubat yang kelihatannya luar dari biasa sakit tekak saya pulih tidak sampai dua jam. Menakjubkan. Dan hari ini saya sudah tidak susah-susah lagi hendak telan nasi dan tidak lagi perit hendak bersuara. Namun di atas segala-galanya pastinya kurniaanNya yang menurunkan penawar kepada setiap penyakit. Kitalah yang perlu pandai mencari ubat dan doktor yang sesuai.

Pena Tumpul - Berbaloi



Thursday, October 24, 2013

Hujan

Hujan turun lagi. Bumi Segamat dibasahi. Lembab. Sejuk. Fikiran jauh melayang terkenang saat-saat merandai air bah waktu kecil-kecil dahulu. Lagu dendangan Sudirman kedengaran di corong radio mengiringi rintik-rintik hujan yang jelas kelihatan di luar jendela.

Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkerdipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut


Cinta yang bersemi
Diwaktu hujan turun
Menyirami ketandusan hati
Dan hujan turut mengiringi
Engkau pergi...

Selembut hujan bercurahan
Begitulah cinta ini
Semesra bumi yang disirami
Begitulah hati ini

Hujan yang turun bersama air mata
Bersama pedih, bersama rindu
Kau datang dan kau pergi jua
Rindu lagi...

Pena Tumpul - Moga Allah mengampunkan semua warga Segamat, Amin...

Tuesday, October 22, 2013

Pengaruh

Adakalanya kita rasa cukup kecewa bila kata-kata kita tidak diendah dan dipandang sepi,
lebih-lebih lagi mereka yang sangat dekat dalam hidup kita. Mereka yang sebelum ini dengan mudah sahaja mendengar apa yang kita sampaikan tiba-tiba bertukar sebaliknya. Apa yang kita kata langsung tidak menarik perhatian mereka pun. Bila ini berlaku, lazimnya kita akan menyalahkan mereka dan bukan diri sendiri.  Menyalahkan orang lain kerana enggan mendengar dan memberi perhatian bukanlah tindakan yang betul sebenarnya.

Kita patut melihat di mana silapnya kita terlebih dahulu. Muhasabah dan mencari kesalahan diri sendiri. Kata Ustaz yang saya petik dari tulisannya di majalah Solusi, kita patut belajar dan mencontohi ulama terdahulu. Beliau mencoretkan kisah Fudayl bin Iyad yang bertaubat akan setiap kesalahan yang mungkin pernah dilakukannya sekiranya isteri, anak-anak dan keldainya melawan perintahnya. Setelah membetulkan dirinya dia akan segera melihat perubahan dalam diri mereka. Mereka akan mendengar kata-katanya semula selepas itu, malah keldainya pun tidak melawan lagi. Sampai begitu sekali telitinya hamba Allah ini!

Kata-kata adalah produk jiwa. Bila jiwa bersih dan suci, kalimat yang keluar akan memiliki kuasa merubah yang kuat. Kalimat begini hanya akan keluar daripada hati yang dekat dengan Allah. Justeru itu sebaris kata-kata yang sama memiliki sentuhan yang berbeza dari pengucap yang berbeza. Bezanya cuma siapa yang mengucapkannya atau mencoretkannya. Mengapa berlaku perbezaan itu? Mudah sahaja jawapannya. Sesiapa yang tunduk kepada Allah, semua makhluk akan "tunduk" kepadanya. Sesiapa yang dicintai Allah semua makhluk akan mencintainya juga. Begitu janji Allah.

Pena Tumpul - Temui jawapan mengapa setiap status di FB milik Ustaz dan Ustazah mampu mencecah ribuan "Like" tidak sampai pun 10 minit

Monday, October 21, 2013

Syaitan

"Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya"

(Surah AlBaqarah: 268)


Dalam pembacaan rutin saya sambil mentadabur isi alQuran, saya sangat tertarik dengan maksud ayat di atas. Agenda syaitan pelbagai bentuk dan caranya. Rupa-rupanya memang kerja jahat syaitan untuk selalu menakut-nakutkan  orang-orang yang berinfak dan membujuk kita manusia  agar bersifat bakhil dan kedekut. Syaitan membayangkan kepada manusia bahwa berinfak atau bersedekah itu akan menghabiskan harta benda, dan akan menyebabkan kita menjadi miskin dan sengsara. Oleh sebab itu harta benda mereka harus disimpan untuk persiapan di hari depan dan tidak perlulah disedekahkan kepada orang lain.

Menurut Islam, menafkahkan barang-barang yang jelek, dan keengganan untuk menafkahkan barang-barang yang baik oleh Tuhan disebut sebagai suatu kejahatan atau bukan kebajikan kerana orang yang bersifat demikian bererti mempercayai syaitan dan tidak mensyukuri nikmat Allah, serta tidak percaya akan kekayaan Allah dan kekuasaanNya untuk memberi tambahan rahmat kepadanya.

Allah menjanjikan kepada hambaNya melalui rasulNya, untuk memberikan keampunan atas kesalahan-kesalahan yang banyak, terutama yang berkaitan dengan harta bendanya kerana sudah menjadi tabiat manusia mencintai harta benda sehingga berat baginya untuk menafkahkannya.

Selain menjanjikan keampunan, maka Allah juga menjanjikan kepada orang-orang yang berinfak itu akan memperoleh ganti dari harta yang dinafkahkannya, baik di dunia ini berupa kemuliaan dan nama baik di kalangan masyarakatnya lantaran keikhlasannya dalam berinfak atau dengan bertambahnya hartanya yang masih tinggal, mahupun di akhirat kelak ia akan menerima pahala yang berlipat ganda.
Dalam hubungan ini Allah telah berfirman:

وَمَا أَنْفَقْتُمْ مِنْ شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ 
Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya. (Q.S Saba': 39)

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan suatu hadis Rasulullah yang bersabda:

ما من يوم يصبح فيه العباد إلا ملكان ينزلان يقول أحدهما : اللهم اعط منفقا خلفا ويقول الآخر : اللهم اعط ممسكا تلفا


Setiap pagi ada dua malaikat turun kepada hamba-hamba Allah. Salah satu dari malaikat itu berdoa: "Ya Allah, berikanlah kepada orang yang menafkahkan (harta bendanya di jalan Allah) ganti (dari harta yang dinafkahkannya)." Dan malaikat yang satu lagi berdoa: "Berikanlah kepada orang yang enggan (menafkahkan harta di jalan Allah) kemusnahan."

Pena Tumpul - Syaitan memang celaka

Thursday, October 10, 2013

Malam


Selalu orang berkata, malam pertama perkahwinan adalah malam yang amat membahagiakan malah
menyeronokkan. Pun begitu ada yang melihat ia malam yang menggusarkan lebih-lebih lagi kepada sang isteri. Kegusaran pastinya bersebab. Tidor sebilik dengan seorang yang sangat asing mengundang seribu satu macam perasaan.

Saya ingin berkongsi secebis kisah yang agak melucukan di malam pertama ini.Ia gara-gara sang isteri yang salah fahamannya tentang malam pertama.

Sang suami yang baru menikahi gadis pilihan hatinya merasa hairan melihat tingkah laku isterinya, yang pada malam pertama membuka jendela dan menatap ke langit melihat bintang-bintang. Dengan jengkel suaminya berkata..."Ada apa gerangan kau menatap langit di malam pertama kita ini?"

"Menurut ibu saya, malam ini akan menjadi malam terindah selama hidup saya. Jadi saya tak akan melewatkan sedetik pun keindahan malam ini, aku akan menatapnya sampai pagi", ujar isteri penuh
yakin.

Kesian suami yang menunggu termangu sampai pagi!

Pena Tumpul - Masih ingat malam itu

Tuesday, October 08, 2013

Pandangan

Saya mengunjungi seorang rakan lama malam tadi. Lama saya bersembang dengannya namun perbualannya tidak serancak ketika beberapa bulan lalu. Dia kelihatan sugul bagai mengendong masalah yang cukup berat. Dia sudah tiga bulan tanpa pekerjaan rupanya. Dia hilang pekerjaan justeru syarikatnya tenat dan memaksa ramai pekerja diberhentikan. Saya tahu dia cukup sedih berdepan dengan kenyataan hidupnya sekarang. Dia bernasib baik kerana isterinya masih bekerja. Begitu juga bergantung harap kepada sedikit simpanan. Namun selama manalah dia boleh bertahan tanpa kerja tetap begitu.

Saya tidak mampu memberi pekerjaan kepadanya. Saya cuma mampu berkongsi apa yang saya baca. Buku "Jangan Bersedih" yang kerap saya baca mengatakan begini, ambillah hikmah dari setiap kejadian. Ketika mana orang bodoh melihat musibah sebagai satu malapetaka yang amat memeritkan, orang cerdik pula melihatnya sebagai satu usaha untuk merubah kerugian menjadi keuntungan. Bukan gelap yang dilihat tetapi cahaya yang terang benderang itu sepatutnya yang nampak lebih jelas. Ketika kita diberi segelas air limau yang cukup masam, bukan masam itu yang perlu kita hiraukan tetapi usaha kita untuk menambah sesendok gula agar yang masam bertukar manis. Begitu juga ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang, ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain itu. Dan ketika kita disengat kala jengking, ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberikan kekebalan pada tubuh anda dari bahaya bisa ular.

Pastinya lebih senang bercakap dari membuat. Bukan saya yang menanggung tetapi dia. Saya cuba berada dalam kasutnya dan ingin merasa apa yang dia rasa. Kata orang kalau berat mata yang memandang, pastinya yang memikul akan lebih tidak tertanggung rasa berat di bahu. Pun begitu, sekurang-kurangnya saya berusaha mengubah pandangannya dalam melihat musibah yang datang.

Pagi ini dia mengejutkan saya. Dia hendak berniaga. Berniaga nasi lemak. Cukuplah begitu untuk satu permulaan yang berani. Saya tumpang bangga.

Pena Tumpul - Hidup bak roda




Monday, October 07, 2013

Telingkah


Saya melihat Hadif dan Hafiz berebut sesama sendiri sebuah basikal kecil yang baru dibeli oleh ayahnya sempena hari lahir Hadif yang ke enam tahun. Kedua-duanya tidak mahu mengalah. Hafiz sebagai abang tetap berkeras untuk mengenderai basikal itu. Hadif adiknya juga berkeras sama. Pertelingkahan berakhir dengan kedua-duanya bergaduh sesama sendiri dan Hadif menangis kuat. Ibu mereka geram. Basikal diambil meninggalkan kedua-duanya berputih mata. Dua-dua kalah.

Keadaan pastinya tidak begitu, kalau Hadif dan Hafiz boleh bertolak ansur. Ia menjadi mudah kalau Hafiz mengayuh basikal dan Hadif pula membonceng di belakang. Dua-dua akan menang. Amat mudah.

Namun dalam banyak keadaan apa yang dilihat tidak berlaku begitu. Ada pihak yang lebih rela bertelagah sesama sendiri sebangsa malah seagama untuk sesuatu yang tidak tentu pastinya. Fitnah sesama sendiri. Cucuk mencucuk. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, medan rusuhan dan pertempuran menjadi pilihan. Meja rundingan tidak dilihat penting.

Kisah sekumpulan besar arnab dan tikus yang berperang habis-habisan elok dijadikan iktibar. Puncanya mereka berebut untuk menguasai satu kebun keledek berhampiran hutan tempat tinggal mereka. Sudah banyak nyawa terkorban di kedua-dua belah pihak, namun mereka terus berperang.

Akhirnya hanya seekor tikus dan seekor arnab sahaja yang tinggal. Namun tubuh badan kedua-duanya cedera dan luka-luka. Kini mereka berdepan satu lawan satu.

"Mengapa kamu perlukan sangat kebun keledek itu? mengapa kamu tidak cari sahaja makanan dalam hutan dan serahkan kebun keledek itu kepada kami?" kata arnab.

"Di hutan, makanan sudah semakin kurang. kami terpaksa bersaing dengan binatang lain". jawab tikus.

"Oh, begitu.." kata arnab mula memahami.

"Kenapa pula kamu inginkan kebun itu?" tanya tikus.

"Kami pun sama juga, sekarang musim kemarau. Kami kehabisan makanan. Jika kami tidak dapat kebun keledek itu kami akan mati"
"Oh, serupalah nasib kita. Tanpa kebun keledek itu kita semua akan mati".

"Tetapi sekarang, semua kawan-kawan kita sudah pun mati kecuali kita berdua" balas arnab sedih. Tikus berdiam diri dan juga berasa sedih.

"Selama ni saya tak tahu arnab makan ubi keledek" ujar tikus.

"Eh, tidak! kami tidak makan ubi keledek. Kami hanya makan daunnya!"

"Kami pula makan ubinya! jadi selama ni kita sama-sama berebut kebun keledek ini tapi hanya untuk bahagian yang berlainan? kami tikus hendakkan ubinya dan kamu arnab perlukan daunnya".
"Mengapa sekarang baru kita tahu? Sepatutnya peperangan ini tidak berlaku. Kita sepatutnya berunding bagi mencapai kesepakatan".

"Ah! malangnya kawan-kawan kita semua sudah mati".


Pena Tumpul - Menang jadi arang kalah jadi abu





Saturday, October 05, 2013

Hati

Kalau batang tubuh atau anggota badan sakit, ia selalunya mudah dikesan dan nampak di mata.
Kalau sakit gigi misalnya, ubatnya ialah cabut dan hilanglah sakitnya. Pun begitu kalau hati yang sakit, ia tidak boleh diubat dengan sebarang ubat yang disyorkan oleh mana-mana doktor pun. Sakit hati ialah sakit rohani dan ubatnya juga perlu rohani sifatnya.

Kata Dr Fadzilah Kamsah ada beberapa kaedah untuk merawat hati yang sakit. Di antaranya ialah:
1. Jaga solat lima waktu selain membanyakkan solat-solat sunat.
2. Lakukan solat taubat setiap hari ; istighfar minimum 70 X sehari
3. Baca Quran; hayati maknanya juga setiap hari
4. Bersangka baik dengan memaafkan semua orang sebelum tidur
5. Menangis dan  insaf akan dosa-dosa yang lalu
6. Berbuat baik kepada ibubapa dan  memohon doa daripada ibubapa
7. Berpuasa sekerap mungkin
8. Berdamping dengan orang-orang soleh dan alim ulama'
9. Jauhi orang-orang yang sakit hati atau busuk hati agar terhindar auranya
10. Doa bersungguh-sungguh untuk memurnikan hati, terutama semasa Qiamullail
11. Ziarah orang miskin, anak yatim, rumah orang tua atau rumah ahli keluarga
12. Masuk majlis ilmu di masjid/ surau atau kelas agama
13. Zikrullah dan membanyakkan berselawat atas Nabi SAW
14. Sedekah kepada golongan yang miskin
15. Sentiasa ingat tentang kematian

16. Pastikan kita makan benda yang benar-benar halal dan baik
17. Lakukan usaha dakwah setakat kemampuan


Pena Tumpul - Hendak seribu daya 

Friday, October 04, 2013

Kebaikan


Saya didatangi oleh seorang kawan lama yang bercerita tentang dirinya yang baru berpisah dengan isterinya. Usia perkahwinan mereka sangat lama mejangkau hampir 30 tahun namun sudah sampai situ jodoh mereka. Dia menerimanya dengan hati terbuka. Namun ada seperkara yang tidak sangat suka saya dengar bila dia asyik bercerita tentang keburukan pasangannya. Semuanya buruk sehingga tiada satu pun yang baik diceritakannya. Saya rasa ini tidak adil untuk bekas isterinya.

Kita perlu sedar dalam diri insani boleh terkumpul dua unsur yang berlainan pada satu masa yang sama; kebaikan juga kejahatan. Apabila kita berbicara soal kejahatannya, janganlah sampai kita lupa unsur kebaikan yang ada sehingga kita memadamkan baiknya dan menghukumnya melebihi kadar yang patut.

Dalam hubungan ini pernah Rasulullah s.a.w membantah terhadap perkataan sesetengah sahabat yang melaknat seorang peminum arak dalam kalangan mereka. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini. 

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).

Walaupun dia minum arak, itu satu dosa yang besar, namun dalam masa yang sama Rasulullah s.a.w tidak menafikan unsur cintakan Allah dan Rasul yang wujud dalam diri. Bahkan Nabi s.a.w mempertahankan kelebihannya itu. Kita lebih wajar demikian. Jangan kerana melihat sesuatu dosa, sekalipun besar, kita menafikan unsur kebaikan lain yang ada pada diri seseorang.

Pena Tumpul - Siapalah kita untuk menghukum orang lain

Thursday, October 03, 2013

Cetek

Antara kolum yang paling menambat hati saya dalam majalah Solusi ialah Angguk Geleng yang memaparkan kisah-kisah walaupun pendek dan santai tetapi ada mesej yang boleh dijadikan renungan. Kisahnya tentang manusia yang pelbagai dalam kehidupan ini. Adakalanya kisah yang disajikan diselit sindiran. Siapa makan cili akan terasalah pedasnya.

Ia kisah Yang Berhormat yang dijemput untuk majlis khatam Quran di salah sebuah sekolah tahfiz di Segamat. Dalam majlis itu dia diperkenalkan kepada beberapa orang pelajar tahfiz. Dalam sesi ramah mesra itu berlakulah sesuatu yang agak melucukan malah memalukan juga. Yang Berhormat ini bertanya kepada seorang pelajar bertubuh kecil.  "Nama anak sapa?" "Hafiz" "Anak umur berapa tahun?"  "7"tahun"  "Sudah hafal berapa juzuk? "30"

Dia terus bertanya lagi soalan yang tidak cerdik ini. "Jadi berapa juzuk lagi hendak hafal tahun ini?"
Pelajar itu keliru dengan soalan yang tidak dijangkanya itu.

Adakalanya berpelajaran tinggi tidak semestinya ilmu agamanya tinggi juga!

Pena Tumpul - Dunia akhirat biar setara

Wednesday, October 02, 2013

Merokok

"Saya tidak risau harga rokok dinaikkan tetapi yang membimbangkan saya bila rokok sudah tidak ada di pasaran lagi"

Begitulah reaksi spontan seorang kawan rapat saya terhadap harga rokok yang naik melambung hari ini. Dia kata dia tidak kisah pun berapa pun harga rokok kerana dia tetap akan membeli rokok dan merokok. Malah dia sanggup beralih kepada rokok berjenama tiruan sekiranya dia memang sudah tidak mampu untuk membeli rokok berjenama popular yang sudah mahal itu. Umum mengetahui rokok tiruan jaub lebih murah tetapi kandungannya sangat diragui. Jadi, sudahlah merokok itu memang membahayakan ditambah lagi dengan dengan penggunaan bahan yang murah dan meragukan.

Saya bersyukur saya tidak merokok. Selain daripada kepantangan isteri terhadap bau asap rokok dan penolakannya yang bukan kepalang terhadap penghisap rokok, saya tidak dapat membayangkan sejumlah wang yang perlu dileburkan sekiranya saya merokok.

Ketika saya melihat segelintir kawan rapat yang bagaikan sudah candu rokok, saya amat berbangga kerana tidak termasuk dalam kelompok perokok. Seorang kawan saya yang berkunjung ke rumah petang ini, amat faham benar saya tidak merokok selain kebencian melampau isteri saya terhadap bau asap rokok.

Perokok di tahap ketagih paling tinggi selalunya tidak boleh bertahan lama tanpa rokok. Dia menghormati kami dan meminta izin untuk mengasingkan diri sebentar menikmati rokoknya. Hebatnya penangan rokok. Sepertimana dia menghormati saya yang tidak merokok, saya juga tidak pernah untuk bertanya akan tabiatnya ini apatahlagi menasihatkannya supaya berhenti merokok. Saya percaya semua perokok tahu tentang bahaya merokok dan dia tentunya tidak terkecuali.Saya melihat cadangan CAP agar harga rokok dinaikkan sehingga RM30 sekotak tidak mungkin berjaya menyekat keinginan perokok untuk membelinya.

 Harga rokok yang tinggi mungkin berjaya membantutkan lahirnya perokok baru di kalangan remaja dan anak sekolah yang baru berjinak dengan rokok. Kempen kesedaran tentang bahaya merokok juga bukan pendekatan berkesan kerana hasilnya tidak pernah menggalakkan. Saya melihat semangat yang cukup kuat untuk berhenti merokok itulah yang paling penting melebihi segala kempen yang ada.

Pena Tumpul - Pernah hisap rokok daun atok sahaja

Tuesday, October 01, 2013

Hantaran

Lebih seminggu tidak menulis di sini. Bersawang dan sebun. Pena sudah benar-benar tumpul
rupanya dan perlu diasah biar tajam semula. Tiada apa yang hendak ditulis juga. Masa yang agak menghambat juga turut menjadi sebab. Pejam celik siang bertukar malam begitu pantas terasa. Banyak kerja yang lebih penting lagi perlu diberikan keutamaan. Kerja kursus pelajar yang perlu disemak. Begitu juga proses memasukkan markah yang memerlukan ketelitian. Selain kewajipan mengawasi peperiksaan di hujung minggu juga. Alasan memang bijak dicari kerana pada akhirnya yang lebih penting ialah kegagalan mengurus masa sebenarnya.

Hujung minggu lepas saya berkesempatan menghadiri majlis pertunangan anak kepada seorang kawan. Majlis yang agak sederhana. Saya tertarik dengan hantaran anak perempuanya. Di celah-celah lebih kurang 9 dulang itu, terisi sebuah dulang dengan senaskah majalah bola sepak. Macam-macam boleh dijadikan bahan hantaran sekarang rupanya, hatta majalah sekali pun. Barangkali dengan harga barangan yang menjulang tinggi sekarang, membeli senaskah majalah tidak membebankan. Rasanya memang tidak perlu sangat pun berhabis-habisan untuk bertunang ini. Orang kita kelihatannya suka mementingkan kulit dari isi.

Pena Tumpul - Hantar tiga dulang saja


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails