Wednesday, December 25, 2013

Pemenang

Malam ini saya dan Haziq singgah di sebuah kedai menjual majalah dan akhbar di tepi jalan. Haziq mahu membeli majalah sukan kesukaaannya yang terbit dua minggu sekali. Saya dapat mengesan penjualnya melayan saya dengan Haziq dengan buruk. Mukanya pun nampak tidak menyamankan. Endah tak endah sahaja.  Pun begitu saya tidak terkesan pun dengan layanan penjual itu. Saya tetap gembira.   Sebaliknya saya melihat Haziq yang berubah caranya. Dia menunjukkan reaksi yang tidak senang kepada penjual itu.Dia nampak marah dengan layanan penjual berbangsa India itu.


Sebaik-baik sahaja beredar meninggalkan kedai, Haziq bersuara,  "Kenapa ayah senyum aja dengan orang yang jual majalah tadi. Kan dia layan kita macam hendak tak hendak aja"

Saya beritahu Haziq, "Kenapa kita harus mengizinkan dia menentukan cara kita dalam bertindak? Kita yang berhak tentang bagaimana kita perlu bertindak, bukannya orang lain.

“Tapi dia layan kita teruk,” bantah Haziq. Saya tahu dia amat tidak puas hati dengan layanan penjual majalah tadi.

“Ya, itu masalah dia. Dia mau bad mood ke , tidak sopan,layan dengan buruk, dan lainnya,itu dia punya fasal dan kalau kita sampai terpengaruh, bererti kita membiarkan dia mengatur dan mempengaruhi hidup kita. Padahal kitalah yang bertanggung jawab atas diri sendiri.”

Begitulah selalunya yang berlaku. Acapkali tindakan kita dipengaruhi oleh tindakan orang lain kepada kita. Kalau mereka melakukan hal yang buruk, kita akan membalasnya dengan hal yang lebih buruk lagi. Kalau mereka tidak sopan, kita akan lebih tidak sopan lagi.

Mengapa tindakan kita harus dipengaruhi oleh orang lain? Mengapa untuk berbuat baik saja, kita harus menunggu diperlakukan dengan baik oleh orang lain dulu? Jaga suasana hati. Jangan biarkan sikap buruk orang lain kepada kita menentukan cara kita bertindak! Pilih untuk tetap berbuat baik, sekalipun menerima hal yang tidak baik.kerana pemenang kehidupan adalah orang yang tetap sejuk di tempat yang panas, yang tetap manis di tempat yang sangat pahit, yang tetap merasa kecil meskipun telah menjadi besar, serta tetap tenang di tengah badai yang paling hebat.

Pena Tumpul - Tetap jadi diri sendiri

Saturday, December 21, 2013

Lelaki

 "Orang lelaki  miang, ego, dan buat tidak kesah"
Ini pandangan umum orang perempuan tentang lelaki. Betul ke begitu? Mungkin betul dan mungkin
tidak. Dr Fadzillah Kamsah yang didengar lewat corong radio pagi ini melihatnya dari sudut yang berbeza. Pandangan songsang ini perlu pembetulan. Sambil tidak menafikan bahawa lelaki memang miang, memiliki sifat yang memang tidak disenangi orang perempuan ini ada asas dan sebabnya.

Kata Dr Fadzilah, orang lelaki kalau tidak miang, bukan lelaki namanya. Sifat ini memang perlu ada pada lelaki kerana sifat inilah yang menyumbang kepada "kelelakian" itu sendiri. Lelaki yang tidak miang membawa isyarat bahawa ada yang tidak kena dengan keinginannya. Dan ini tentunya tidak baik dalam kerukunan dan hubungan suami isteri. Dan isteri tentunya tidak suka ini berlaku pada pasangannya. Cuma, kata Dr Fadzillah lagi, tahap kemiangan ini perlu dikawal dan disalurkan dengan betul.

Semua orang ego tidak kira lelaki dan perempuan. Ego ialah maruah dan harga diri dan tidak wajar dilihat sebagai sombong dan keras kepala. Itulah yang silapnya. Sebagai ketua keluarga, orang lelaki atau orang jantan perlu dilihat hebat dan dihormati justeru itu ia perlu mempertahankan egonya namun tidak sampai keterlaluan. Adalah tidak tepat untuk melihat lelaki sebagai tidak ambil peduli dan buat tidak kesah saja. Lelaki suami tidak perlu heboh-heboh dan bising-bising perkara yang memang dah jelas dan nyata. Tidak perlu juga banyak cakap. Yang perlu ialah tindakan dan perbuatan. Itulah yang betul dan perlu difahami tentang lelaki.

Dato' Masitah dalam program sembangnya lewat Oasis juga berbicara tentang lelaki tetapi dalam konteks poligami. Katanya semua lelaki memang ada keinginan untuk berkahwin lebih dari satu. Teringin tetapi takut. Bukan itu sahaja. Dia bercakap tentang Mahu, Mampu, Perlu. Ada yang mahu tapi tak mampu. Ada yang mampu, namun tidak mahu. Ada yang memang mampu tapi tak perlu. Menarik!

Kata Fadzilah lagi, dalam hidup bersuami isteri ini, orang "jantan:" ini sebenarnya merintih dalam diam.  Banyaknya yang terpendam dalam hati dan tidak terucapkan. Orang perempuan tidak tahu ini. Kalau pun tahu, mungkin buat-buat tidak tahu.

Antara yang kerap berlaku, tidak lah elok kalau suami dipesan berkali-kali untuk buat itu dan ini kerana suami jadi terhina, bosan dan dan akhirnya memberontak.Satu lagi, janganlah diperjelaskan apa yang suami memang sudah sedia faham. Suami memang tidak suka itu.

Bila suara suami keras janganlah fikir yang dia sedang marah. Suami juga memang tidak pandai minta maaf dan memujuk. Kalau dia diam , fahamilah jiwanya yang sebenarnya sedang meminta maaf!

Pena Tumpul - Tidak mahu, tidak mampu dan tidak juga perlu


Saturday, December 14, 2013

Mulut

"Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." Surah Qaaf - Ayat 18

Ustaz Norhisyam mengutarakan ayat ini apabila bercakap tentang perlunya menjaga mulut. Anggota yang darinya terpacul kata-kata memang sangat perlu dikawal penggunaannya. Dari mulut keluar ungkapan yang baik dan enak di dengar juga yang pedas, berbisa dan menyakitkan. Mulut juga menyebar fitnah, mengumpat dan memaki.

Hebatnya kuasa mulut. Benarlah kata pepatah orang tua, kerana mulut badan binasa. Kita melihat di sekeliling kita betapa mulut membawa keruntuhan dan kehancuran orang lain juga punahnya sebuah rumah tangga. Hatta kerana mulut juga sebuah kerajaan dan negara pun bisa tumbang.

Ada mulut celupar. Tidak kurang juga mulut yang tidak berhenti-henti melontarkan kata-kata tanpa kawalan.. Membelasah apa sahaja tanpa mengira hati dan perasaan orang lain. Mulut juga boleh memuji dan mengeji.

Yang pastinya mulut akan berperanan dengan baik dan betul kalau yang empunya pandai menjaga dan mengawalnya. Begitulah juga sebaliknya.

Seelok-eloknya kalau diam itu lebih baik dan tidak menyakitkan dan memudaratkan orang lain, menutup mulut dianggap langkah terbaik yang perlu dilakukan.

Kalaulah mulut ada zip macam seluar!

Pena Tumpul -  Ustaz sarankan baca  سبحان الله وبحمده سبحان الله العظيم daripada berkata yang bukan-bukan

Tuesday, December 10, 2013

Kain

Beberapa orang budak kampung tanpa segan silu dilihat merokok ketika bermain bola di dataran sebelah rumah. Mereka adalah pelajar sekolah berusia sekitar 15 hingga 17 tahun. Di usia begitu mereka tidak sepatutnya merokok. Selain tabiat ini, ada satu lagi yang amat tidak saya senangi dan sakit sangat telinga saya mendengarnya. Penggunaan perkataan-perkataan yang tidak senonoh dan amat tidak enak didengar bagaikan satu kebiasaan kepada mereka. Mereka pernah saya tegur namun tidak sangat memberi kesan. Tabiat tetap tinggal tabiat.

Petang ini saya mencadangkan kepada isteri agar perkara ini diadukan kepada ibubapa mereka. Saya fikir itu cara paling baik. Anak-anak yang masih belum terlewat untuk dilentur ini perlu diselamatkan dan ibubapa mereka perlu tahu apa yang anak-anak mereka lakukan di luar pengetahuan mereka. Saya yakin anak-anak ini mungkin dilihat baik di depan ibubapa di rumah tetapi tidak sebegitu pula di luar rumah. Mereka mungkin mengambil kesempatan melampiaskan keinginan mereka ini di luar rumah. Dan ibubapa mereka mungkin tidak tahu atau pun kalau pun tahu sengaja buat-buat tidak tahu.

Hasrat saya tidak diterima baik oleh isteri. Alasannya sudah saya jangka. Sebagai anak jati kampung ini, isteri sudah masak benar dengan cara orang kampung. Rata-rata mereka tidak suka orang lain campur tangan urusan anak-anak mereka. Dalam perkataan yang lebih mudah, mereka tidak suka kain mereka dijaga oleh orang lain. Kalau kain mereka koyak, biar mereka sendiri yang menjahitnya. "Jangan sebarang nak tegur anak orang, nanti melenting ibu bapa mereka" kata isteri.

Saya faham tidak semua ibu bapa suka anak mereka ditegur oleh orang lain. Hasrat murni kita boleh sahaja mengundang persepsi sebaliknya. Inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat kita. Justeru penolakan amalan menjaga tepi kain orang ini, perlakuan yang tidak sedap mata memandang dan tidak enak telinga mendengar dibiarkan berleluasa. Kalau hendak merempit, merempitlah. Begitu juga kalau hendak melepak sampai pagi, melepaklah. Kalau hendak merokok, merokoklah. Kalau hendak berpeleseran, lantaklah. Semuanya menjadi sangat mudah kerana tiada siapa pun yang diberi hak untuk menegur dan melarang!

Kain yang koyak masih boleh dijahit, bagaimana kalau hati dan perasaan sudah koyak.

Pena Tumpul - Pakai kain pelikat ketika di rumah

Monday, December 09, 2013

Nilai

Seorang pakar motivasi yang kian popular dan mendapat tempat di hati orang ramai berpesan di corong radio pagi ini agar redha Allah yang kita cari dan bukan mencari penghargaan manusia. Mudah saja maksudnya, tidak kesahlah kalau kita tidak bernilai di mata orang asalkan dimataNya kita diterima dengan redha setiap apa yang kita lakukan. Memang ada benarnya. PenilaianNya itulah yang lebih penting daripada penilaian manusia.

Berbicara tentang nilai, ingin saya kongsikan cerita ini. Ia mungkin cerita rekaan namun mesejnya tentang nilai cukup dekat dengan kita. Kisah tiga tin Coca-cola yang dihasilkan dari satu kilang yang sama. Mereka diletakkan di tiga bakul yang berbeza. Bila sudah sampai masanya, ketiga-tiga tin coca-cola dinaikkan ke dalam lori yang sama dan dihantar ke destinasi masing-masing mengikut pesanan.

Tin yang pertama diturunkan di pasar mini  biasa dan dipamerkan di rak bersama tin coca-cola yang lain dan diletakkan pada harga RM1.50.Tin yang kedua pula diturunkan di sebuah pasaraya besar ternama dan di masukkan ke dalam peti sejuk dan diletakkan harga RM2.00. Tin yang ketiga dihantar ke sebuah hotel bertaraf lima bintang yang sangat mewah.Tin coca-cola ini ditempatkan di dalam rak atau dalam peti sejuk.Tin ini hanya akan dikeluarkan apabila ada pesanan dari pelanggan.

Jika ada pelanggan yang memesan coca-cola,air dari tin ini dimasukkan ke dalam gelas kristal yang bercampur dengan ketul-ketulan ais. Ia disediakan dengan cermat dan berhati-hati dan disajikan kepada pelanggan dengan sopan. Harganya ialah RM15.00

Tiga tin coco cola yang sama dari kilang yang sama namun dijual pada harga yang berbeza. Apa yang membezakan mereka? Jawapannya mudah. Persekitaranlah yang membezakan nilai mereka. Persekitaran mencerminkan harga diri kita. Apabila kita berada di persekitaran yang boleh mengeluarkan sesuatu yang terbaik dari diri kita ,maka kita akan jadi cemerlang. Namun sebaliknya jika kita berada di persekitaran yang "membangsatkan" diri kita , maka bangsatlah kita.

Tidak hairanlah mengapa kita lihat ada yang memilih untuk makan di hotel 5 bintang untuk sepinggan nasi lemak dan teh o untuk "meninggikan" nilai di mata orang lain, sedangkan sepinggannasi lemak itu rupanya di pesan daripada warong mamak di tepi longkang!

Pena Tumpul - Menilai diri sendiri guna mata sendiri 

Tuesday, December 03, 2013

Ujian



"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, pada hal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, pada hal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah:216)
Mantoba yang datang berkunjung ke rumah malam tadi menyatakan rasa kecewa yang teramat sangat. Rumahnya terlibat dalam banjir yang berlaku baru-baru ini. Agak teruk juga. Saya simpati dengannya dan membantunya sekadar termampu.

Namun saya meilhat bantuan yang diberikan bukanlah pengubat kepada segala dukalara yang ditanggung. Kekuatan dan semangat yang mungkin sudah ranap ditelan air banjir perlu dibina semula untuk mendepani hari-hari berikutnya. Lebih penting kesediaan dan keredaan untuk menerimanya dengan hati yang amat terbuka. Saya mahu beliau melihat ujian yang baru dihadapinya bukan sebagai bencana tetapi sebagai sebahagian daripada masa lalu yang berharga dan istemewa. Ada beberapa pelajaran penting dan berharga dari ujian itu.

Umpama menaiki sebuah roller coaster, kita tidak akan merasakan debaran dan cabaran jika perjalanannya hanya lurus dan perlahan. Justeru itu roller coaster dicipta dengan rel yang mencabar, ada turun dan naiknya. Adakalanya kita diterbalikkan dan roller coaster dipandu dengan kelajuan yang maksimum agar kita dapat merasai nikmatnya permainan tersebut.

Begitu jugalah kehidupan kita diumbang ambing bagai roller coaster itu.

Pena Tumpul - Akui ujian meniti hidup memang berat dan mencabar

Menjerit

" Dan mereka menjerit-jerit di dalam Neraka itu (sambil merayu): Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan meng...