Friday, January 31, 2014

Sembelih

Ketika makan kenduri di rumah Pawang Jidin aka Pawang Medan seorang Pakcik bercerita tentang keraguan terhadap ayam-ayam yang disembelih di pasar-pasar awam. Dia mempersoalkan sejauh mana ayam-ayam itu disembelih seperti yang dikehendaki oleh syariat.

Keraguannya memang berasas. Kita tidak pernah tahu dan tidak juga pernah berminat untuk tahu bagaimana ayam-ayam itu disembelih. Apa yang kita tahu, di pasar sudah sedia tersusun ayam-ayam yang sudah siap segalanya. Licin dan bulat tanpa seurat bulu pun. Siapa yang menyembelihnya, tidak pernah kita persoalkan. Kata Pakcik ini dia pernah terserempak seawal subuh, ayam-ayam ini disembelih oleh seorang yang bukan Islam iaitu pemilik gerai ayam itu sendiri kerana memenuhi permintaan pelanggan yang sangat-sangat memerlukannya di waktu itu.

Kalau inilah yang berlaku di depan mata apatah lagi di belakang tabir, keperluan sangat mendesak supaya kita boleh dan tahu menyembelih. Soalnya, berapa ramai di kalangan kita yang tahu menyembelih dan biasa menyembelih. Walaupun kita tahu menyembelih, kita selalunya lebih selesa untuk membeli ayam yang sudah siap diproses. Lagi pun di pasar tidak ada ayam hidup yang memberi kita pilihan untuk sembelih sendiri.

Pawang Medan mencadangkan agar di sekolah-sekolah khususnya di sekolah agama anak-anak sekolah diberi ilmu untuk menyembelih ini. Saya sangat setuju!

Pena Tumpul - Sesekali makan ayam kampung sedap juga

Thursday, January 30, 2014

Wangi


Bukan luar biasa lagi hari ini kalau kita lihat, ramai di kalangan pelahap kuasa dan pangkat menonjol diri untuk mendapatkan kuasa, jawatan dan pangkat. Dalam satu kisah, pernah diceritakan kepada Ibnu Umar bahawa sekumpulan manusia apabila berdepan dengan pembesar-pembesar, mereka melahirkan kata-kata pujian atau sanjungan dan apabila mereka berpaling (keluar), mereka bercakap lain. Kata Ibnu Umar, “Kami fikir sikap tersebut adalah bermuka-muka (nifak).” Dalam suatu hadis, Nabi s.a.w memberi arahan supaya mencurahkan tanah ke atas muka orang yang suka mengampu.(maksud hadis Riwayat Muslim).

Ada cerita menarik tentang sekelompok manusia yang suka mengampu ini. Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerahi dengan bintang-bintang kehormat.

Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balai rong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya.

Akhirnya sampailah kepada giliran seorang mamanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan."

Mendengar kata-kata mamanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Mamanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja.

Pena Tumpul - Golongan ini bagaikan langau di ekor gajah

Wednesday, January 29, 2014

Menulis

Menulis tidaklah semudah yang disangka. Apabila saya bercadang untuk menulis sesuatu dalam blog ini pun menuntut masa yang agak panjang untuk berfikir. Tentunya yang mula-mula berlegar di ruang minda ialah "apa" yang hendak dijadikan bahan tulisan. Pelbagai idea yang menerjah fikiran dan mengambil masa pula untuk memilih bahan yang paling sesuai dan seronok untuk dibaca (sekurang-kurangnya oleh penulis sendiri).

Ayat yang pertama mula ditulis. Namun, berhenti lagi sejenak untuk memikirkan ayat-ayat seterusnya. Menulis memerlukan kesabaran yang bukan sedikit kerana adakalanya ilham yang diharapkan tidak pernah hadir, yang ada cuma jalan buntu dan mematikan semangat untuk terus menulis. Bila datangnya ilham tidak pernah dapat dijangka. Kadang-kadang menujah masuk tanpa henti. Paling mengecewakan apabila ilham yang diharapkan tidak pernah kunjung tiba.

Saya pernah menanam cita-cita untuk menghasilkan sebuah karya kreatif pada awal tahun lepas lagi. Saya bertekad memulakannya dengan menanam azam, satu muka surat sehari sekurang-kurangnya. Saya berjaya melakukannya pada hari pertama. Hari kedua tanpa apa-apa, hari ketiga berlalu sahaja sehinggalah setelah hampir 500 hari berlalu, ia terus kekal dengan satu muka surat itu sahaja. Saya mula mencari alasan; kekangan masa, kegersangan ilham antara puncanya.

Saya juga pernah aktif menulis untuk akhbar buat beberapa ketika. Saya juga berazam untuk memastikan sekurang-kurangnya satu rencana diterbitkan dalam seminggu. Saya berjaya melakukannya selama tiga bulan berturut-turut dan meraih kurang lebih RM500 sebulan. Tiba-tiba saya hilang momentum; saya cuma mampu menulis satu rencana sahaja untuk sebulan berbanding empat sebelumnya. Akhirnya tanpa sebuah rencana pun sejak beberapa bulan yang lalu. Saya beralih ke blog dan sempat menyemai azam; satu entri sehari. Saya mampu melakukannya untuk beberapa bulan pertama namun saya hilang momentum lagi.

Ketika berkunjung ke sebuah kedai buku di Johor Bahru saya tertarik dengan sebuah buku yang menyuntik semangat untuk menulis kembali. Saya sedang membacanya dengan penuh minat setiap helaian penuh teliti. Saya harap buku ini menjadi pemangkin untuk merealisasikan impian saya sekian lama - menjadi penulis bestseller! Mampukah saya?

Pena Tumpul - Teringat tulisan pertama tersiar di akhbar ketika usia 14 tahun

Tuesday, January 28, 2014

Ayah

Haziq mengadu kepada mamanya yang dia tidak menyenangi cara saya. Dia tidak puas hati kerana saya menegur fesyen rambutnya. Saya lihat ia amat tidak sesuai untuk seorang pelajar sekolah. Dia tidak dapat menerima teguran saya. Dia tidak bersuara namun berdiam diri dan sedikit mendengus. Mamanya menyuarakannya pada saya pagi ini.


Di sebelah malam, ketika sedang sama-sama dengan aktiviti membaca saya mendekati Haziq dan bertanya kepadanya.

“Kenapa tak suka Ayah? Cuba cakap elok-elok.”

"Ayah asyik tak suka aja apa yang Aziq buat. Semuanya tak betul", katanya ringkas.

Saya keluarkan sekeping kertas dan menyuruhnya menulis apa sahaja yang terlintas di hatinya tentang kekurangan saya sejak dia dari kecil sehingga sekarang. Dia termenung sejenak mungkin memikirkan apa yang patut ditulis. Perlahan-lahan Haziq menulis satu persatu kekurangan ayahnya. Ayahnya yang suka memarahinya, dan menegur perbuatannya. Dia tulis satu persatu dalam kertas tersebut.

"Sudah? Ada lagi tak?... Kalau sudah, sekarang cuba tulis kelebihan dan kebaikan ayah sejak Haziq masih kecil sekali hingga sekarang".

Haziq berfikir lagi,mengingat masa lalunya. Satu persatu ia tuliskan kelebihan dan kebaikan ayahnya ini. Ayahnya yang suka membelikan dia mainan, mengajak bermain di taman bunga, mendukungnya, membelikannya ais krim, menemaninya belajar, dan macam-macam lagi.


”Tengok.. lebih banyak yang baik dari yang yang tak baik kan? Dia mengangguk.

”Haziq tau tak, bila Haziq masih berada dalam kandungan Mama lagi, ayah sangat gembira dan beritahu semua orang yang ayah kenal."  Haziq cuma diam membisu. Dia pastinya menyesali akan apa yang dilakukannya terhadap ayahnya.



Kita mungkin  membenci ayah kita, karena sikapnya yang tidak sesuai dengan harapan kita tetapi jangan sampai kita lupa jasanya kepada kita sebelum kita mengatakan kekurangan yang ada pada dirinya. Ayah kita adalah sebaik-baik lelaki yang mencintai kita. Mungkin sikapnya tidak sesuai dengan harapan kita. Tapi yakinlah, jangan pernah meragukan, akan ketulusan dan kebesaran cintanya kepada kita.

AlFatihah untuk AlMarhum Ayah yang sudah 15 tahun meninggalkan kami. Bertuahlah siapa yang masih ada ayah.

Pena Tumpul -  Cuba jadi Ayah yang baik

Monday, January 27, 2014

Tanggungjawab



Sudah acapkali saya terserempak dengan kipas yang dibiarkan tinggal berpusing tanpa seorang penghuni pun dalam kelas. Hari ini saya menyaksikan lagi sebuah bilik ditinggalkan dengan kipas masih berpusing. 

Faktor lupa atau andaian bahawa akan ada pekerja urus bangunan yang bakal menutupnya nanti mungkin menyumbang kepada keadaan ini. Walau apa pun alasannya sepatutnya setiap orang daripada kita perlu bertanggungjawab untuk tidak membiarkan perkara serupa ini terus-terusan berlaku. Ia menuntut setiap dari kita agar lebih berprihatin lebih-lebih lagi anjuran pemerintah supaya kita berjimat cermat dalam penggunaan hak awam.

 Saya selalu berpandangan aspek kualiti perlu dihayati dan bukan setakat tempelan dan kosmetik sifatnya atau sekadar untuk meraih anugerah. Kualiti dari segi kebersihan, penjimatan tenaga perlu dipraktikkan dalam segenap masa dan ruang.

Janganlah ISO menjadi EYESORE pula nanti!

Pena Tumpul - Sekolah dahulu tidak ada kipas angin pun

Sunday, January 26, 2014

Rasa

Saya berilusi. Isteri sedang memasak di dapur. Suami yang berada di sampingnya membebel tidak ada sudahnya. Dia tidak membantu isterinya memasak pun tetapi cuma membelasah telinga isterinya dengan kata-katanya itu.

"Pelan sedikit, hati-hati! Apinya terlalu besar. Balik-balikkan ikan itu  cepat nanti hangus. Jangan guna minyak banyak sangat. Kurangkan garam. Jangan pedas sangat. Kalau masak nasi, jangan keras, biar lembik sedikit", bertubi-tubi perkataan terpacul dari mulut suami.

Isteri secara spontan pula menjawab tidak mahu mengalah, "Tidak payahlah nak ajar saya. Saya tahu macam mana nak masak. Dah berpuluh tahun pun saya duduk di dapur ini memasak" 

Pertikaman lidah bagaikan tidak ada hentinya. Suami pula dengan tenang menjawab, "Saya hanya ingin kamu tahu dan mengerti betul-betul bagaimana perasaan saya  dan saat saya sedang memandu kereta, kamu yang berada disamping tidak berhenti-henti mengomel dan mengganggu konsentrasi saya. Malah sesekali memeranjatkan saya juga"

Selalunya kita tidak akan merasa apa yang orang lain rasa sehinggalah kita berada di tempatnya!

Pena Tumpul - Terfikir kepada perlunya dua stering, satu untuk pemandu dan satu lagi untuk...

Saturday, January 25, 2014

Tanah

"Habuk dan berdebu jalan, mana boleh tahan macam ni" ."Jalan rosak"

Begitulah antara rungutan orang kampung yang tidak senang dengan kerja-kerja pengambilan tanah yang dilakukan oleh Syarikat Iswarabena yang bertanggungjawab dalam projek menaiktaraf  jalanraya Segamat-Tangkak. Saya faham rungutan mereka. Sebagai pemilik tanah saya cuma mampu memekakkan telinga. Saya tahu. kalau saya berada dalam kedudukan mereka pun saya akan menyuarakan perkara yang sama juga. Semua orang ada hak untuk bersuara.

Pelbagai suara sumbang yang didengar malah sumpah seranah di belakang juga. Saya mengambil pendirian untuk tidak bertindak balas apatah lagi melenting. Ia tabiat umum orang kita. Apa sahaja yang dibuat tidak pernah dilihat betul, ada sahaja ruang untuk dipertikaikan. Perkara yang tidak baik kalau boleh mahu dilaung kuat-kuat sedangkan yang baik-baik akan dihenyak sehingga penyek.

Benar, kerja-kerja mengambil tanah memang tidak menyelesakan. Habuk dan debu. Namun kalau dilhat dari sudut yang lain, pada akhirnya nanti akan memberi kebaikan kepada kita juga sebagai pengguna jalan raya. Namun untuk mencapai sesuatu kebaikan eloklah kita bersabar, bak kata pepatah, "bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian"

Pena Tumpul - Kenal siapa yang jadi jaguh kampung

Thursday, January 23, 2014

Kreatif (Revisited)


Saya dipersembahkan dengan 12rekacipta dalam mini ekspo malam tadi yang berlangsung cukup sederhana namun meriah. Isteri juga turut teruja untuk ikut sama. Sekumpulan lebih kurang 50 pelajar yang mengambil kursus "Critical and Creative Thinking Skills" tidak menghampakan malah mengkagumkan saya.


Mereka berjaya mempamerkan kreativiti sekurang-kurangnya pada pandangan saya yang sempat bersama mereka lebih kurang tiga bulan. Ciptaan mereka mungkin dilihat biasa-biasa sahaja namun ia tidak gagal menarik perhatian saya.


Tentulah tidak adil untuk membandingkan mereka dengan nama-nama besar seperti Thomas Edison misalnya. Ia begitu jauh dari jangkauan. Mereka ini cuma pelajar-pelajar "banking" dan bukan bidang mereka pun untuk menghasilkan sesuatu yang hebat-hebat. Paling tidak, mereka kreatif dalam kelas mereka yang tersendiri. Cukuplah. Malah dalam dunia rekacipta, banyak idea sebenarnya diilhamkan oleh mereka yang bukan pakar pun dalam bidang ciptaannya. Namun mereka menonong cuba menciptanya. Tayar misalnya dicipta oleh seorang pakar veterinari, John Dunlop, sementara pisau cukur dicipta oleh cuma seorang jurujual!


Saya kata kepada mereka agar tidak berhenti di sini. Idea mereka yang baik itu boleh diperbaiki dan tidak mustahil pula dipasarkan dan sekaligus memberi manafaat kepada orang ramai. Saya cukup tertarik rak serbaguna yang dihasilkan daripada bahan terbuang. Guna papan-papan lama, paku dan terhasillah sebuah rak yang senang dibawa ke mana-mana. Begitu juga masalah memadam papan putih akan selesai dengan sekali sapu sahaja hasil ciptaan kreatif pelajar-pelajar ini. Bekas air tanpa penutup juga menarik.


Saya cukup kagum dengan mereka. Mereka memang kreatif!


Pena Tumpul - Percaya semua orang kreatif sekira diberi peluang

Tuesday, January 21, 2014

Pahat

Orang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing.

Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali dibuat. Lepas itu perlu disuruh lagi untuk dibuat lagi. Pendek kata, semuanya perlu disuruh dan disuruh barulah dibuat.

Anehnya, bila makan dan berjam-jam dengan laptop ataupun handphone, tidak pula perlu disuruh!

Pena Tumpul - Selama mana penukul mampu mengetuk?



Kelkatu

Ketika duduk santai-santai sambil minum petang makan goreng pisang nipah dan hirup kopi panas sempat saya menasihatkan Haziq dan Diko supaya berhati-hati berdepan dengan cubaan dan cabaran hidup sekarang. Cabaran datang dari pelbagai sudut, 360 darjah. Kalau silap langkah akan terjebak. Kalau termakan pujuk rayu akan terperangkap. Fikir masak-masak dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Gunakan akal bijak untuk mendepani segala yang datang, walau apa pun bentuknya. Hati kena seteguh karang dan dibajai iman yang ampuh.

 Saya berkongsi cerita ini dengan mereka. Saya mahu mereka tahu di luar sana ramai sangat yang manis mulutnya namun tidak begitu pula hatinya. Saya tidak mahu mereka jadi kelkatu yang terpedaya dengan cahaya terang lalu memakan diri. Biar dongeng, namun cerita ini ada pengajarannya dan itulah yang penting. 

Ia tentang Sang Kancil dan seekor singa tua. Pada suatu hari sang kancil lalu dihadapan gua tempat seekor singa yang telah tua, yang tiada kuat lagi mencari makanan, hanya menunggu mangsa dengan mempergunakan segenap kecerdikan. Bila  singa itu nampak sang kancil berjalan tiada berapa jauh dari pintu , lalu dengan mulut manis dia berkata: "Silakan masuk kedalam teratak burukku, wahai Sheikh Alim Dirimba! janganlah segan2 dan malu2"


Sang kancil melihat kepintu gua, meninjau-ninjau apa yang ada di dalam sambil tersenyum.

"Silakan masuk, dangan segan2 ya Sheikh!" ujar singa lagi.


"Terima kasih banyak2, segala titah patik dijunjung, daulat Tuanku Raja Rimba. Harap diampun, tiadalah dapat patik masuk menjunjung duli, melainkan patik akan segera pergi".


"Apakah sebabnya demikian?" tanya singa tua itu.


"Sebab patik lihat dimuka pintu istana terlalu amat banyak jejak orang2 yang masuk ke dalam, tetapi tidak sebuah jua jejak yang menghadap keluar. Selamat tinggal, Tuanku!"

Ternyata kancil yang kecil itu tidak bodoh. Dia tidak termakan pujian melambung singa tua itu. Dia terselamat!

Pena Tumpul - Berhati-hati  dengan mulut yang sangat sangat manis penjual

Monday, January 20, 2014

Bantuan

Saya rasa sedikit kecewa kerana Haziq enggan membantu saya mencuci kereta bila disuruh petang ini. Alasannya ialah penat malah menyarankan saya hantar sahaja ke kedai cuci kereta. Memang tidak dapat dinafikan setengah anak-anak sekarang memang liat membantu ibu dan bapanya. Akhirnya kita juga yang perlu melakukannya sendiri.

Saya ceritakan kepadanya sebuah kisah yang mudah untuk difahami. Saya harap dia akan faham bahawa selagi boleh membantu, bantulah ibu bapa sendiri. Dalam keadaan senang pun sukar untuk membantu apatah lagi dalam keadaan susah dan sukar.

Ia kisah seorang lelaki tua yang sering bermenung di serambi rumahnya ,memandang ladangnya yang tidak terurus.Jika anaknya ada ,pasti dia dapat membantu menggali lubang untuk menanam keledek Lelaki tua itu sudah uzur.Anak nya dipenjara kerana disyaki terlibat dengan kes bunuh.Isterinya pula sudah meninggal dunia.

Dia mengutus surat untuk anaknya:

Kehadapan anakku, Ayahanda berhasrat menanam keledek,namun ayahanda sudah uzur.Kalau anakanda berada di sini,pasti anakanda akan membantu meringankan kerja ayahanda.Tidak mengapa,ayahanda akan menunggu anakanda keluar dari penjara.


Si anak pasti pihak penjara membaca surat ayahnya dan mereka akan membaca surat balasannya.Lalu,dia menulis surat kepada ayahnya.

Ayahanda yang dirindui ,
Tolong jangan tanam keledek tahun .Anakanda sebenarnya menyembunyikan senjata yang anakanda gunakan untuk membunuh,di ladang itu.Jika tidak, pasti bahan bukti akan ditemui dan anakanda akan disabitkan kesalahan membunuh.

Keesokan harinya ,sekumpulan pasukan penyiasat datang ke ladang ayahnya.Mereka mula menggali keseluruhan tanah lelaki tua itu.Tujuannya ialah untuk mencari bahan bukti yang mereka baca dalam surat si anak.Sehari suntuk mereka menggali ,namun tidak menemui apa-apa.
Si ayah segera mengutus surat kepada anaknya memaklumkan perkara aneh yang berlaku,iaitu sekumpulan orang datang menggali seluruh tanahnya !

Si anak membalas ringkas,
"Ayah bolehlah tanam keledek untuk tahun ini." 

Pena Tumpul -Kalau hendak bantu seribu daya

Sunday, January 12, 2014

Pelaris

Saya sangat berhati-hati apabila makan di luar. Bukan semua kedai makan akan saya terdorong untuk singgah dan makan. Isteri dan Haziq faham sangat cara saya. Kedai makan yang bersih adalah faktor penarik paling utama untuk singgah. Perlu tengok bagaimana rupa tukang masaknya dan pekerjanya. Berpakaian kemas atau tidak.

Soal harga juga perlu diambil kira. Harga biarlah berpatutan dan berbaloi dengan makanan yang dijual. makanan yang dijual. Tidak dinafikan ada yang mahukan untung berlipatganda dan kita sebagai penggunalah yang menjadi mangsanya.Selalunya kedai-kedai yang harganya luarbiasa tingginya akan saya kunjungi buat kali pertama dan terakhir itu sahaja.

Masakan yang sedap dan kena pula dengan tekak tidak kurang pentingnya juga. Adalah sebuah dua kedai yang saya kunjung berkali-kali. Kadang-kadang terfikir juga kenapa kedai yang sama juga tidak jemu saya kunjungi. Terdetik juga dalam hati, ada unsur-unsur pelaris barangkali. Kerap orang berkata kedai yang guna pelaris itu 'kotor'. Namun soalnya, kita tidak tahu sama ada kedai tersebut ada menggunakan pelaris atau tidak.

Dari apa yang saya pernah baca, ada panduan untuk kita mengenal kedai yang ada guna unsur pelaris. Antaranya bila kita perhatikan samada kedai tersebut dikunjungi oleh orang-orang soleh/ulama.  Selain itu tuan punya dan pekerja kedai-kedai yang berpelaris ini biasanya tidak menutup aurat dengan sempurna dan tidak menghiraukan waktu solat.

Kata Ustaz Muhammad Abdullah yang saya dengar melalui Radio IKIM, untuk kita elak dari termakan itu memang susah, sebab kita tidak tahu sesebuah kedai itu benar-benar berpelaris atau tidak. Jadi walau di mana pun kita makan, bacalah sekurang-kurangnya "Bismillah dan Bismillahillazhi layadhurru ma’asmihi syaiunfil ardi wa la fissama i wa huawassami’ul alim sebanyak tiga kali.

Selain itu, kita boleh minta kepada Tuhan untuk lorongkan kita ke kedai-kedai yang tidak berpelaris dengan mengamalkan doa begini, ” Ya Allah, Engkau kurniakanlah kepada aku gerak yang baik.” InsyaAllah hati kita kurang teringin hendak singgah di kedai-kedai yang berpelaris.

Kita boleh juga baca Ayat Qursi sebanyak 3 kali di luar dari kedai lagi.Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7 kali ke arah kedai. Sekiranya kedai tersebut ada pelaris, “khadam” itu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam itu, eloklah kita jangan makan sahaja di kedai tersebut. Lebih elok pergi ke kedai yang lain.

Pena Tumpul - Ada kedai makan masukkan air basuhan seluar dalam untuk lariskan jualan


Saturday, January 11, 2014

Ukasyah

Dalam program Halaqah TV9 yang saya tonton, Ustaz Zul Ramli bercakap tentang seorang sahabat Nabi bernama Ukasyah. Pemuda ini memohon kepada Nabi untuk memukul Nabi dan Nabi meluluskan permintaannya.

Riwayat ini sangat-sangat memilukan sehingga mampu menitiskan air mata sesiapa pun yang mendengarnya. Saya tidak terkecuali.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. pada saat sudah dekat wafatnya Rasulullah s.a.w., beliau menyuruh Bilal azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpul para Muhajirin dan Ansar di masjid Rasulullah s.a.w.. Kemudian Rasulullah s.a.w. menunaikan solat dua raka’at bersama semua yang hadir.

Setelah selesai mengerjakan solat beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata“Allhamdulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. Dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kalian, yang kasih dan sayang pada kalian semua seperti seorang ayah. Oleh kerana itu kalau ada yang mempunyai hak untuk menuntutku, maka hendaklah ia bangun dan balaslah saya sebelum saya dituntut di hari kiamat.”

Rasulullah s.a.w. berkata demikian sebanyak 3 kali kemudian bangunlah seorang lelaki yang bernama ‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah s.a.w, kalau anda tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu melakukan hal ini.” Lalu ‘Ukasyah berkata lagi: “Sesungguhnya dalam Perang Badar saya bersamamu ya Rasulullah, pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya saya dapat mencium paha anda, tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu saya pun anda pukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya ingin tahu sama anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta tersebut.

Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah s.a.w. sengaja memukul kamu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a.: “Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata: “Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqisas.

Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata: “Siapakah di pintu?.” Lalu Bilal r.a. berkata: “Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk mengambil tongkat beliau.”

Kemudian Fatimah r.a. berkata: “Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.” Berkata Bilal r.a.:Wahai Fatimah, ayahandamu telah menyediakan dirinya untuk diqisas.” Bertanya Fatimah. r.a. lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqisas Rasulullah s.a.w.?.” Bilal r.a. tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a., segeralah Fatimah r.a. memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah S.A.W.Setelah Rasulullah S.A.W. menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a. maka beliau pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah.

Ketika melihat hal itu maka sayyidina Abu Bakar Ash-Shiddiq dan sayyidina Umar bin Khattab berdiri dan berkata, “Hai Ukasyah! Kami sekarang berada di hadapanmu! Pukul dan qisaslah kami berdua sepuasmu dan jangan sekali-kali engkau pukul Rasulullah saw.!”

 Namun, dengan lembut, Rasulullah saw. berkata kepada kedua sahabat terkasihnya itu, “Duduklah kalian berdua. Allah telah mengetahui kedudukan kalian.” Kemudian berdiri sayyidina Ali bin Abi Thalib yang langsung berkata, “Hai Ukasyah! Aku ini sekarang masih hidup di hadapan Nabi saw. Aku tidak sampai hati melihat kalau engkau akan mengambil kesempatan qisas memukul Rasulullah. Inilah punggungku, maka qisaslah aku dengan tanganmu dan deralah aku semaumu dengan tangan engkau sendiri!” Berkata Rasulullah saw. “Allah swt. telah tahu kedudukanmu dan niatmu, wahai Ali!”

Setelah itu cucu Rasulullah Hasan dan Husin bangun dengan berkata: “Wahai ‘Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah s.a.w., kalau kamu menqisas kami sama dengan kamu menqisas Rasulullah s.a.w.” Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai buah hatiku, duduklah kalian berdua.” Berkata Rasulullah s.a.w. Wahai ‘Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul.” Kemudian ‘Ukasyah berkata:Ya Rasulullah s.a.w., anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju.”

Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju, terlihatlah kulit baginda yang putih dan halus maka menangislah semua yang hadir.seketika ‘Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah s.a.w. maka ia pun mencium beliau dan berkata; “Saya tebus anda dengan jiwa saya, ya Rasulullah s.a.w. siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini kerana saya hendak menyentuhkan badan anda yang dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan badan saya. Dan Allah s.w.t. menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu.” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata: “Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.

Kemudian semua jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata: “Wahai ‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah s.a.w. di dalam syurga.”

Pena Tumpul - Tak tonton Halaqah, rugi

Friday, January 10, 2014

Seluar

Seorang Ustaz berkongsi ilmu yang tidak pernah saya tahu sebelum ini. Pada mulanya agak sukar
untuk menerima kebenarannya. Macam tidak nampak logiknya. Pun begitu, mengambil kira kapasitinya sebagai seorang Usataz yang berkredibel, saya memilih untuk mempercayainya malah berhasrat untuk meninggalkan yang tidak sepatutnya dibuat.

Saya percaya selama ini ramai antara kita yang sudah sangat biasa memakai seluar sambil berdiri. Tidak wajar dilakukan sebenarnya. Kata Ustaz, kita sepatutnya pakai seluar sambil duduk. Macam ganjil bunyinya. Namun, amalan memakai seluar sambil berdiri ini adalah salah satu faktor yang menyumbang kepada kemiskinan dalam hidup seseorang.

Selain itu, kata Uztaz ada beberapa lagi amalan yang sudah biasa kita lakukan tanpa kita ketahui dan sedari juga penyebab mengapa rezeki kita tidak murah. Antaranya ialah makan dalam keadaan berjunub, pakai serban ketika duduk, dan menjahit pakaian pada badan.

Ada lagi kata Ustaz. Kita jangan cepat meninggalkan tempat sembahyang selepas sembahyang subuh. Memang lah waktu pagi kita nak cepat. Nak pergi kelas atau nak pergi kerja. Sepatutnya, lepas bagi salam,kita duduk sekejap atas sejadah berwirid dan berdoa dulu.

Jangan tiup lilin juga. Kita selalu nak padamkan lilin mesti tiup kan? Lepas ini jangan buat lagi. Kalau mahu padamkan lilin kita kipas guna tangan sahaja. Jangan tidur dalam keadaan telanjang.

Akhirnya, kata Ustaz jangan kita memotong orang tua berjalan. Kalau ada orang lebih tua daripada kita berjalan di hadapan jangan potong dia. Kita jalan sahaja di belakang dia. Jangan potong dia dan lepas itu tengok pula muka dia.Eloklah ditinggalkan.

Pena Tumpul - Sukarnya pakai seluar sambil duduk

Saturday, January 04, 2014

Buku


Hari ini saya ke salah sebuah kedai buku di bandar Segamat. Hajat hati hendak meninjau jika ada sebarang buku baru di pasaran. Namun hati sedikit kecewa kerana kedai buku ini melarang pembacanya untuk cuba melihat isi kandungan buku.

Tidak seperti kebanyakan kedai buku yang besar-besar seperti MPH dan sebagainya, buku-buku di sini digam agar pembaca tidak dapat membuka bahagian dalam buku tersebut.

Mungkin, kedai buku tersebut ada alasan kukuh berbuat demikian namun usahlah dinafikan minat pembaca yang teruja untuk mengetahui kandungan buku sebelum berhasrat untuk membelinya. Lagi pun ada kalangan kita yang sekadar berminat untuk membaca tetapi tidak berhasrat untuk membelinya. Ubahlah cara yang ada...dan semarakkan semangat membaca.

Pena Tumpul - Mahu MPH di Segamat

Friday, January 03, 2014

Pesanan

Sebelum tidur, Rasulullah pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah :
“Ya Aisyah, jangan engkau tidur, sebelum melakukan 4 perkara iaitu :








  • Khatam Al Qur’an
  • Membuatkan para nabi memberi syafaat kepadamu di hari akhirat
  • Membuatkan para muslim meredhai kamu
  • Melaksanakan ibadat haji dan umrah.


  • Bertanya Aisyah :“Ya Rasulullah, bagaimanakah aku dapat melaksanakan 4 perkara dalam satu masa?”

    Rasulullah tersenyum sambil bersabda :“Jika engkau tidur bacalah Surah Al -Ikhlas 3 kali, (maka ia seolah-olah kau mengkhatamkan Al Qur’an). Dan Bacalah selawat untukKu dan para nabi sebelumku, (maka kami semua akan memberi syafaat kpdmu di hari kiamat). Dan Beristighfarlah untuk para muslimin (maka mereka semua akan meredhai kamu). Dan perbanyakkanlah bertasbih, bertahmid, bertahlil, dan bertakbir (maka ia seolah-olah kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah)”

    Pena Tumpul - Elok di amalkan

    Thursday, January 02, 2014

    Pendamping

    Pagi ini saya membaca sesuatu yang berkaitan tentang qarin.Ia merupakan maklumat yang sangat berfaedah. Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping manusia. Boleh dikatakan ia sebagai ‘kembar’ manusia. Setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada Qarinnya sendiri. Rasulullah s.a.w sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, Qarin Rasulullah adalah Muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir. Pada umumnya Qarin yang kafir ini kerjanya mendorong dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan solat, berat nak baca Al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.

    Firman Allah:
    “Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu (Qarin) temannya yang tidak renggang daripadanya.” (Az-Zukhruf 43:36)
    Untuk mengimbangi usaha Qarin ini Allah utuskan malaikat. Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan. Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam mampu menguasai dan menjadikan pengaruh Qarinnya lemah tidak berdaya. Caranya dengan membaca “Bismillah” sebelum melakukan sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca Al-Quran dan taat melaksanakan perintah Allah.
    Rasulullah s.a.w bersabda:
    “Tiada seorang pun daripada kamu melainkan sudah diwakili bersamanya Qarin daripada jin dan malaikat. Mereka bertanya: “Engkau juga ya Rasulullah?” Sabdanya: “Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad)
    Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w keluar dari rumahnya (Aisyah), lalu Aisyah berkata:
    “Aku merasa cemburu.” Tiba-tiba Baginda s.a.w berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda s.a.w: “Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda s.a.w: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qarin.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qarinku telah masuk Islam.” (Hadith Riwayat Muslim)
    Di dalam hadith lain Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
    “Aku dilebihkan daripada Nabi Adam a.s dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat kesalahan.” (Hadith Riwayat Baihaqi)
    Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan yang mendampingi orang beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan yang mengikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus, “Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir, makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu.” Sebaliknya syaitan yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: “Aku sentiasa makan bersama dengannya dan begitu juga minum.”

    Qarin akan berpisah dengan ‘kembarnya’ hanya apabila manusia itu (kembarnya) meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh, sedangkan Qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang. Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi Qarin akan berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau kederhakaan yang dilakukan manusia itu.

    Pena Tumpul - Peringatan untuk diri yang lupa

    Wednesday, January 01, 2014

    Azam

    Tahun ini saya tidak mahu terlalu ghairah berazam. Mahu buat itu dan buat ini tetapi akhirnya tetap tinggal azam sahaja. Tidak perlu susah-susah. Azam saya kali ini mudah. Yang kurang di lebihkan. Yang bocor di tampal. Yang buruk diganti baik. Mempositifkan yang negatif. Malah yang lebih penting dari segala-galanya, semoga setiap hari yang dilalui perlu lebih baik daripada hari-hari sebelumnya.

    Sudah amat biasa setiap kali tahun baru menyapa, azam baru akan dinyata.Namun dalam banyak keadaan jarang sangat yang semuanya betul-betul dapat dikota. Ada yang tinggal begitu sahaja membiarkan 365 hari berlalu begitu sahaja.

    Saya tidak terkecuali dalam menanam azam. Benih azam di tanam seawal hari pertama lagi dengan harapan dihujungnya nanti akan dapat dikecapi hasilnya.Namun apa yang lazimnya berlaku berapa banyak pun azam yang dicanangkan di awal tahun akan tetap tinggal azam yang tidak tertunai. Kalau pun dilaksana ia tidaklah 100 peratus lunas. Itulah silapnya kita dan tentunya termasuk saya. Berkobar-kobar dengan azam  yang mungkin nampak cantik dikertas tetapi tidak berupaya pula untuk diterjemahkan dalam tindakan.

    Saya belajar satu perkara tahun ini bahawa kita tidak perlu sangat menanam azam banyak-banyak kalau akhirnya tidak mampu kita capai walau satu pun. Biar sedikit malah biar cuma satu azam asalkan konsisten dan di hujungnya terlaksana dan ada hasilnya.

     Di ambang tahun baru lalu saya pernah berazam untuk menulis satu laman sehari untuk sebuah karya novel yang tidak saya terfikirkan pun tajuknya. Jalan ceritanya pun samar-samar. Lalu, tidak tahu hendak bermula dari mana. Kesudahannya bila 2013 melabuhkan tirainya, karya yang diimpikan tidak pernah menjadi realiti pun. Ternyata bukan mudah untuk menulis sebenarnya. Perlu disiplin. Namun yang lebih penting dari segala yang penting ialah sumber inspirasi yang diharap-harapkan tidak pernah muncul dan menyinggahi minda.

    Pena Tumpul -Buang yang keruh ambil yang jernih

    Sambilan

    S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...