Tuesday, February 25, 2014

Tasbih

Di riwayatkan daripada Aisyah RA bahawa apabila baginda bangun daripada majlis, baginda akan membaca doa ini  :Saya bertanya: kenapa tuan sering membaca doa ini?

Baginda menjawab: Sesiapa yang membaca doa ini pada penutup majlis maka akan di ampunkan kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam majlis tersebut.

Hadis dikeluarkan oleh Imam Tirmizi dari Abi Hurairah dan beliau mengatakan hadis ini hasan sohih. Imam Abu Daawuud juga ada mengeluarkan hadis yang sama makna dengan hadis ini dari beberapa orang sahabat.

Sudah menjadi kelaziman selepas majlis, ada ayat yang berbunyi seperti ini, kita sudahi majlis kita dengan tasbih kaffarah dan surah Al-As. Anjuran agar kita membaca surah ini, adalah agar kita ingat bahawa demi masa manusia itu sesungguh dalam kerugian, kecuali orang yang beriman, beramal solah, berpesan-pesan pada kebaikan, dan kesabaran.

Adapun amalan membaca Surah Al-Asr sebelum mengakhiri suatu majlis mungkin diambil dari amalan para sahabat Nabi SAW ini.At-Thabrani telah menyebutkan daripada Ubaidillah bin Hafs berkata: “Dua orang sahabat Rasulullah SAW apabila mereka berjumpa, mereka tidak pernah berpisah melainkan salah seorang membaca Surah Al-Asr sehingga akhirnya, kemudian mereka saling memberi salam antara satu sama lain”

Doa ini mudah dilakukan oleh semua orang. Tidak perlu waktu yang lama dan tenaga yang banyak. Ia ringan dan mudah, namun berpahala besar. 
Pena Tumpul - Moga kita sentiasa diampunkanNya

Monday, February 24, 2014

Prezi

Saya belajar cara menggunakan Prezi dalam satu sesi latihan ringkas pagi ini. Penyampaian oleh
Saudara Mohd Isa rakan dari Shah Alam walaupun santai namun mudah difahami.Ternyata dalam tempoh yang singkat pengalaman menggunakan medium yang baru dikenali ini memang cukup menarik mengujakan.

Khabarnya Prezi sudah lama di persada ilmu namun kehadirannya tidak disedari. Saya sedikit terlambat tahu tentang kewujudannya. Berbanding Powerpoint, ia tidak memerlukan sebarang penyediaan slides yang banyak-banyak itu. Ia cuma memerlukan kita melakarkan idea yang ingin disampaikan di atas sebuah kanvas besar tanpa had. Kita boleh mengembara dari satu titik ke titik yang lain di atas kanvas itu dengan pelbagai cara. Kita boleh tayang video, juga boleh tunjuk imej. Tidak banyak bezanya dengan Powerpoint, cuma kita tidak sangat terikat dengan penyediaan slides.

Pun begitu, ada satu kekurangan Prezi yang boleh melunturkan minat kita untuk menggunakannya. Prezi adalah persembahan online. Ia memerlukan sokongan sambungan internet yang mantap. Tanpa internet yang bagus, Prezi tidak bermakna apa-apa malah menyakitkan hati sahaja.  Persembahan secara offline walaupun mungkin, namun ia tidaklah sebaik persembahan online.

Dalam kelebihan ada kelemahan dan ini biasa.

Pena Tumpul - Isteri sudah merengek minta diajar dan saya kata nanti dulu


Sunday, February 23, 2014

Kedekut

Denko diusik oleh isteri saya kerana kedekut sangat untuk membelanjakan duitnya. Anak saudaranya yang satu ini memang cukup berhati-hati dalam membelanjakan setiap sen duitnya. Haziq pula mengguna pelbagai cara memujuknya untuk seringgit dua juga tidak berhasil. Denko tidak seperti kakaknya Diko yang agak boros dengan duitnya. 

"Siapa kawin dengan Denko nanti, kenalah berjimat", atoknya mengusik Denko. 

Saya mencelah sambil menceritakan kepada Denko cerita yang mungkin relevan dengannya. Saya mahu dia belajar sesutau dari cerita ini.

Sepasang suami isteri, sudah lama berkahwin. Suatu hari mereka berkunjung ke pameran pesawat udara dan si isteri berminat untuk menaiki pesawat. Dia menyatakan hasratnya kepada suaminya namun suami menolak dengan alasan bayaran sebanyak RM100 yang dikenakan cukup mahal. Isteri agak kecewa. Si suami menarik tangan isterinya dan berlalu dari situ.
  
Juruterbang simpati dengan perasaan isteri dan berhasrat ingin memenuhi impiannya  dan memanggil mereka semula. "Encik, berapa yang encik sanggup bayar?" tanya juruterbang itu. "Saya cuma nak bayar bawah RM30 jer" jawab si suami yang kedekut.


Setelah berfikir seketika, berkatalah si juruterbang itu. "Baiklah, Encik boleh naik pesawat tu dengan bayaran RM20 sahaja tapi dengan satu syarat"

 Si  suami cukup gembira. "RM20 aja  "tapi apa syaratnya"

"Semasa di udara, encik dan isteri encik tidak boleh mengeluarkan satu suara pun. Kalau bersuara juga, saya akan kenakan bayaran RM10 bagi setiap perkataan yang keluar dari mulut encik atau isteri encik" jawab juruterbang tadi sambil tersenyum.

"Baiklah saya setuju" jawab si suami dengan yakin.

Maka, naiklah mereka pesawat tu. Juruterbang itu  ada niat lain sebenarnya. Dia ingin mengajar si suami yang kedekut tadi. Di udara dia melakukan  aksi-aksi acrobatik yang membahayakan. Macam-macam aksi yang dilakukannya namun dia hairan sebab suami isteri yang duduk di belakang tidak menjerit pun.

Dia terus melakukan aksi-aksi yang lebih merbahaya, namun suami dan isteri tetap senyap. Setelah muslihatnya tidak berjaya,juruterbang itu mendaratkan pesawatnya. Dia rasa rugi sebab dia cuma boleh dapat RM20 sahaja dari suami yang kedekut itu.

Bila mendarat, cuma si suami  sahaja yang turun dari pesawat itu.  
"Ehh? mana isteri encik?" tanya juruterbang  itu terkejut.

"Dia dah jatuh masa awak pusing-pusing pesawat tadi", kata suami.

"Hahh apasal tak cakap", balas juruterbang terperanjat.
"Kalau saya cakap nanti kena tambah bayaran pulak" jawab si suami sambil menghulurkan RM20 kepada juruterbang itu dan berlalu.

Kesian isteri yang malang itu. Suaminya memilih wang bukan dia!

Pena Tumpul - Berjimat cermat membawa berkat



Saturday, February 22, 2014

Puaka

Bagi kanak-kanak penduduk Kampung Kuing Patah, cerita lubuk puaka ‘Pasir Rusa’, menjadi ingatan setiap kali mereka berhajat ke lokasi lapan pelajar lemas di Sungai Muar, Buluh Kasap, kelmarin.

Menurut laporan Berita Harian, di lokasi berkenaan ada beberapa lubuk yang dalam dan diketahui penduduk sebagai kawasan yang agak ‘keras’ dan berpuaka.

Malah ada penduduk mendakwa mereka pernah terserempak dengan lembaga hitam besar ketika menangkap ikan dan udang di kawasan kejadian lemas itu. Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali Ani, 48, mengakui kawasan sungai di situ berpuaka.

“Sejak kecil kami adik-beradik memang dilarang bermain di situ selepas arwah ayah terserempak dengan lembaga hitam besar ketika mengail udang di situ.

“Kawasan berhampiran lapan remaja lemas itulah arwah ayah pernah terserempak dengan lembaga itu. Dulu ada pokok berembang yang besar di tebing sungai berhampiran kawasan lubuk di situ, namun sekarang ia sudah tiada akibat hakisan.
" katanya

“Arwah ayah selalu pesan jangan sesekali pergi ke kawasan pokok berembang itu kalau tak mahu terserempak lembaga puaka Pasir Rusa. Itu sebabnya penduduk di sini memang mengelak pergi ke kawasan itu, ” katanya lagi.

Penduduk Othman Mohd Diah, 53, berkata sungai berkenaan yang terletak bersebelahan kampung itu terbiar sejak 20 tahun lalu, sebelum kerja mengorek pasir bermula sejak tahun lalu.

Katanya, beberapa insiden menyeramkan juga pernah dihadapi penduduk kampung berkenaan sebelum ini yang kebanyakannya mencari rezeki di sungai sebagai nelayan.

Beberapa nelayan pernah mengalami peristiwa misteri ketika menjala dan menangkap ikan di situ dulu termasuk bot secara tiba-tiba berpusing, selain kejadian seolah-olah ada lembaga yang mengawasi serta mengekori mereka.

Itulah sebabnya tiada siapa yang berani mandi atau pun menangkap ikan di kawasan itu lagi, malah suasana di situ juga suram dan menyeramkan, tidak kira siang atau malam.



Pena Tumpul - Dulu-dulu selalu pergi ke Kampung Kuing Patah jumpa Atok Buyong

Sunday, February 16, 2014

Emas

Saya mengangkat anekdot ini di media sosial dan ia amat menarik untuk dikongsikan. Benar atau tidaknya bukan isunya kerana kisah ini ada pengajarannya. Semoga kita belajar sesuatu darinya dan itulah yang penting.

Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.

Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?

Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.

Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.

“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”

Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”

“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang mengerti.”

“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.

“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu, kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan melafazkan janji sebegitu.

Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.

Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”

Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.

Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.

“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?

“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.

Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”
“Pernah.”

“Pernah masuk ke kedai emas?”


“Pernah.”


“Pernah ke pasar malam?”


“Pernah.”

Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.

“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”

“Tentu sahaja di kedai emas.”


“Bagaimana keadaannya?”

Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”

Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”

Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”

Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan ,” katanya di dalam hati.

Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.

“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”

Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.

Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”
Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, “Tiada Tuhan melaikan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”

Pena Tumpul - Islam itu indah dan perlu dilihat indah dan dipamerkan indah juga

Saturday, February 15, 2014

Tahan

"Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang ketepian"

Sesekali ternampak beberapa orang pekerja berhempas pulas di bawah panas terik mentari, saya sering menggunakan kesempatan ini untuk menyampaikan mesej penting kepada Haziq. Bahawa jika dia tidak berusaha keras dari sekarang dan tidak sangat rajin untuk mengulangkaji pelajarannya, padahnya dia akan juga bekerja dibakar matahari. Dengan tidak ada niat pun untuk merendahkan taraf pekerjaan tersebut, saya hanya ingin memberitahunya bahawa pekerjaan yang relatif lebih baik menunggu mereka yang bertungkus lumus dalam pelajaran. Baik dalam konteks keselesaan, dan wang yang masuk di hujung bulan juga cukup baik. Saya tidak mahu mesej saya disalah tafsir kalau dia menganggap pekerjaan di panah bahang matahari itu tidak baik. Semua pekerjaan adalah baik selagi ia halal dan menyumbang kepada pembangunan diri dan juga negara secara keseluruhannya. Saya harap dia faham itu.
 
Saya beritahunya dia boleh dapat pekerjaan yang baik dan menebalkan poketnya sekiranya dia rela bersakit dan disakiti sekarang. Dia masih ada kesempatan untuk itu. Biarlah bersakit dan bersusah dahulu justeru yang menanti kemudiannya adalah kesenangan yang amat menyelesakan. Kalau dia memilih untuk tidak bersakit sekarang, tetapi cuma memikirkan rasa untuk berseronok-seronok hasilnya juga pasti iaitu kesengsaraan.

Ia ibarat kisah dua batang kayu dengan seorang pengukir. Pengukir ini mula mengukir batang kayu yang pertama. ” Wahai, batang kayu, izinkanlah aku memahatmu menjadi sebuah benda seni.

Batang kayu pun menjawab,”Silakan wahai pengukir yang hebat.”
Begitu mata pisau tatah mengenai batang kayu , maka menjeritlah batang kayu itu,”Aduh!, Aduh!…sakit sekali wahai pemahat. Sakit sekali rasanya badanku.”

Pengukir itu memujuk batang kayu tersebut,”Bersabarlah, bertahanlah…sebentar saja aku menyakiti dirimu wahai batang kayu." Dia meneruskan pekerjaannya semula. Namun sekali lagi  batang kayu itu menjerit,”Aduh!Aduh! Sakitnya. Aku sudah tidak tahan lagi!”

Akhirnya pengukir itu mengambil keputusan meninggalkan batang kayu itu tergolek begitu saja.
Dia kemudiannya beralih kepada satu lagi batang kayu untuk kerja ukirannya. Berbeza dengan batang kayu yang mula-mula tadi, batang kayu ini walaupun mengaduh kesakitan tetapi tetap membenarkan pengukir mengukir batang tubuhnya hingga selesai.

Beberapa orang yang lalu-lalang di kedai pengukir itu begitu kagum dan tertarik dengan ukiran yang dihasilkannya.Batang kayu yang merelakan dirinya diukir tadi tersenyum bangga kerana dipuji dan disanjungi oleh pengunjung yang singgah di kedai itu. Kasihan batang kayu yang satu lagi itu kerana dirinya tidak mendapat perhatian sedikit pun. Sebaliknya dirinya dijadikan tempat duduk sahaja!

Pada malamnya berlakulah pertelagahan antara kedua-dua batang kayu itu. Batang kayu yang pertama menyuarakan rasa kecewanya kerana dilatam sebagai tempat duduk sahaja sedangkan batang kayu yang satu lagi disanjung dan dipuja akan kecantikan tubuhnya.

Begitulah bagaimana kita melalui cabaran hidup ini. Ada antara kita yang tidak cukup kuat untuk menahan sakit, kesulitan dan penderitaan. Kita terlalu cepat menyerah kalah dan mudah sangat putus asa. Pada hal segala rasa sakit dan kegetiran sepatutnya menjadikan diri kita lebih kental, lebih ampuh malah lebih mulia.

Menyerah kalah dan tidak tahan disakiti di awalnya hanya mengudang kekecewaan dan sesalan yang tidak berkesudahan di hujungnya!

Pena Tumpul - Tidak tahan sakit gigi

Thursday, February 13, 2014

Mandi

Hampir setiap hari saya perlu mengingatkan Haziq supaya segera mandi, khususnya pada sebelah petang. Sukar betul baginya untuk mandi tanpa disuruh. Kalau di waktu pagi lain pula cerita dan kerenahnya. Alasan sejuk paling kerap diajukan. Saya tangani masalah tersebut dengan mengesyorkannya mandi air panas (hot shower). Sebenarnya masalah malas untuk mandi dihadapi oleh ramai orang. Ada yang cuma berpuashati dengan mandi sekali sehari. Tidak kurang yang mandi dua kali, namun sebaik-baiknya tentulah tiga kali dalam sehari. Masa di kampung dulu, saya teringat bagaimana saya perlu berjalan kaki dalam kedinginan sejuk menyucuk tulang di awal pagi ke telaga untuk mandi. Di waktu musim kemarau pula, saya, arwah ayah, abang dan adik berbondong-bondong ke sungai untuk mandi. Saya ceritakan kepada Haziq betapa perit hidup yang perlu saya tempuhi dulu.

Ada fakta berguna tentang mandi yang perlu kita ketahui.Kajian menunjukkan mandi bukan saja bertujuan untuk membersihkan diri daripada kotoran, tetapi menjauhkan stress serta berperanan penting meningkatkan sistem kekebalan tubuh. Penyelidikan yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan penderita diabetes yang menghabiskan masa selama setengah jam berendam dalam air suam dapat menurunkan tingkat gula darah sekitar 13 peratus. Kajian di Jepun pula menunjukkan 10 minit berendam dalam air panas dapat memperbaiki kesihatan jantung terutamanya untuk lelaki.

Berikut beberapa manfaat mandi kepada individu yang mengamalkannya.

Mengeluarkan racun:
Mandi air panas sekitar 32 hingga 35 darjah Celsius membuka ruang yang dapat membantu mengeluarkan toksin. Mandi air panas membantu menurunkan tingkat gula darah, menyembuhkan sakit otot dan membantu menjaga usus besar supaya bekerja dengan baik. Waktu yang dianjurkan ialah selama 10 hingga 20 minit.

Mandi air sejuk sangat baik untuk meredakan ketegangan. Ia dapat menyempitkan darah dan meningkatkan tingkat gula darah. Suhu yang dianjurkan ialah sekitar 12 hingga 18 darjah Celsius.

Jangkitan kulit: Penyakit kulit tertentu seperti ruam atau gatal-gatal boleh diatasi dengan menambahkan soda penaik (sodium bicarbonate) ke dalam air mandian. Ia bertindak sebagai antiseptik. Isikan air ke bekas mandian dan tambahkan soda penaik dan aduk sehingga rata. Digalakkan untuk berendam selama 10 hingga 20 minit.

Selesema dan sakit kepala : Merendam kaki dalam air panas membantu menyembuhkan selsema, sakit kepala dan menyegarkan kembali kaki yang lelah. Masukkan air panas secukupnya dalam bekas sehingga menenggelamkan pergelangan kaki kemudian tambahkan beberapa titis minyak seperti lavender, peppermint atau lemon. Selepas basuh dengan air sejuk.Lakukannya selama 10 hingga 20 minit.

Insomnia : Merendamkan kaki dalam air dingin sangat baik kepada anda. Yang mempunyai masalah imsonia atau memiliki masalah tidur. Masukkan kaki sehingga ia merasa dingin. Perubatan ini berguna bagi kaki lelah,pendarahan hidung, selsema dan sembelit.


Pena Tumpul - Teringat seorang kawan asrama yang suka "mandi itik"

Wednesday, February 12, 2014

Patuk


"Sebodoh-bodoh manusia..adalah manusia yang di patuk ular dua kali pada lubang yang sama..dan oleh ular yang sama.." (Maksud Hadis)

Haziq merungut dan membebel tidak henti-henti. Dia nampak berang betul. Kemarahannya macam tidak dapat dibendung lagi. Kemuncak kepada rasa marah meluap-luap itu saya dan mamanya melihat Haziq membaling tiga bekas taufufa yang dibelinya di pasar malam.

Kami membawanya bersama ke pasar malam. Dia tidak habis-habis menyalahkan penjual yang didakwanya menipu pembeli dengan menjual semula taufufa yang mungkin tidak habis dijual pada pasar malam sebelumnya. Walaupun saya bersetuju penjual begini memang patut dikecam, namun Haziq juga perlu disalahkan. Seingat saya, dia pernah mengalaminya dulu. Sepatutnya dia perlu belajar dari kesilapan yang pernah dilakukannya dulu supaya tidak lagi mengulanginya untuk kali kedua dan seterusnya.

Isteri mengingatkannya agar tidak membeli di gerai itu lagi. Haziq berkeras dan tidak mengendahkannya. Alasannya taufufa digerai itu sedap dan memenuhi citarasanya. Dia enggan belajar dari pengalaman lalu.

Sikap degilnya merugikan dirinya sendiri. Mungkin kerana kurang pandai juga!

Pena Tumpul - Banyak pilihan



Tuesday, February 11, 2014

Buta

Di dalam ceramahnya, seorang Pengarah Peperiksaan salah sebuah IPTA tempatan yang agak unggul mendedahkan kelemahan dirinya yang tidak cukup pandai.Katanya, berlaku kejadian seorang pensyarah salah memasukkan markah. Hasilnya sejumlah 200 orang pelajar yang mengambil kursus tersebut gagal!

Khabarnya, pensyarah berkenaan dikenakan tindakan disiplin yang implikasinya cukup besar. Pensyarah terbabit dinafikan sebarang kenaikan pangkat, permohonan biasiswa untuk belajar untuk beberapa tempoh tertentu.

Nampaknya sistem yang terbukti cukup canggih pun masih berlaku kecacatan. Walaupun ia mungkin kes yang sangat terpencil, tidak bermakna ia tidak perlu diberikan perhatian. Ibarat kata orang tua, sebab nila setitik pun sudah boleh merosakann susu sebelanga.

Ada dua perkara paling penting yang boleh diambil pengajaran daripada kejadian ini. Sehebat mana pun sistem buatan dan ciptaan manusia, tidak sampai mungkin menandingi kehebatan manusia itu sendiri apatah lagi Pencipta manusia itu. Jadi, jangan kita sangkutkan 100 peratus kepercayaan kita kepada apa yang kita cipta itu. Ia masih ada cacat cela di sana sini. Juga, adalah sangat tidak elok dan wajar untuk membebankan kesalahan kepada seorang yang bersalah itu sahaja. Benar, ia jelas melakukan kesalahan yang berpunca dari kelalaiannya sendiri, namun kesalahan yang sama tidak seharusnya dilakukan juga oleh orang lain yang berada dalam sistem itu. Ada beberapa peringkat yang perlu dilalui sebelum keputusan itu sampai ke tangan pelajar sebenarnya. Amatlah malang kalau semuanya terlepas pandang!

Inilah padahnya kalau sibuta dibiarkan memimpin sibuta!

Pena Tumpul - Masukkan markah guna pen sahaja

Monday, February 10, 2014

Lagak

Adakalanya kerana begitu berbangga dengan kedudukan dan pangkat yang dimiliki, kita sampai lupa orang di sekeliling kita. Sering kita merasakan bahawa kita cukup hebat berbanding yang lain kerana diri kita diperisai oleh kedudukan, harta dan pangkat. Kerana itu juga kita merendahkan orang lain dan tidak kurang merampas hak orang lain juga. Malah menceroboh daerah orang lain juga.

Tengahari ini ketika berbaris panjang di depan kaunter yang penuh sesak, seorang yang kelihatannya agak berang meluru ke depan. Mereka yang sudah lama beratur dibangkit kemarahan dengan perbuatan yang agak kurang beradab itu. Pakaiannya memang menokoh orang berpangkat dan berkedudukan. Dia mungkin tidak enak untuk sama-sama beratur dengan yang lain.

Sesampainya di kaunter dengan lagak penuh kesombongan dia mengherdik kerani di kaunter itu, "Adakah awak tahu siapa saya?. 

Dalam keadaan yang terkejut saya macam tidak percaya melihat kerani tersebut dengan tenang membuat pengumuman melalui mikrofon, "Di kaunter ini sekarang ada seorang lelaki yang tidak kenal siapa dirinya. Jika ada sesiapa yang kenal dengan lelaki ini sila datang ke kaunter dengan segera!"


Dengan kemarahan yang mendidih, lelaki itu membentak kerani itu sekali lagi dengan perkataan yang amat tidak enak didengar, "F..k you!"

Dengan cukup tenang juga kerani wanita itu menjawab, "Untuk itu juga awak kena beratur seperti yang lain, silakan"

Bukan kedudukan dan pangkat itu yang dinilai orang, tetapi budi bahasa yang tiada nilainya.

Syabas kepada kerani wanita muda yang cukup berani itu!

Pena Tumpul - Harta tiada, pangkat pun tiada

Sunday, February 09, 2014

Suara

Suara sahaja sebabnya. Seorang Uztaz berkisah tentang rakannya seorang penggali kubor melalui corong radio pagi ini. Ia kisah benar yang berlaku sekitar 80an dahulu. Ia kisah seorang suami yang secara konsisten tidak pernah tertinggal walau sehari pun ke kubur isterinya. Dia telah melakukannya lebih 20 tahun.

Perbuatan suami itu diperhatikan oleh penggali kubur sejak sekian lama. Bukan sahaja perbuatan lelaki itu yang menarik perhatiannya malah pusara isterinya juga menerbitkan bau wangi yang sukar untuk diceritakan. Wangi yang tiada bandingannya di dalam dunia ini. Benarlah seperti yang disabdakan oleh Nabi kita bahawa kubur itu adalah satu taman daripada taman-taman syurga atau boleh juga satu lubang daripada lubang-lubang neraka.

Bila ditanya kepada suami apa yang sangat istemewanya tentang isterinya itu dia memberitahu penggali kubur itu isterinya tidak pernah sekali pun meninggikan suara bila bercakap dengannya. Tidak juga membebel. Isterinya juga tidak pernah sekali pun ketinggalan berada disampingnya setiap kali makan. Kalau pun dia sudah makan terlebih dahulu dia tetap akan menemani suaminya. Katanya dia tidak akan jumpa sesiapa pun lagi selepas ketiadaan isterinya.

Khabarnya sampai kini lelaki ini terus begini di samping anak-anak dan cucu-cucu juga.

Pena Tumpul - Pengajaran buat diri

Friday, February 07, 2014

Petola


Saya selalu ingat Atok Dolah cakap bukan semua sayur baik untuk dimakan. Orang tua yang kaya dengan pengalaman percaya bahawa ada beberapa jenis sayur yang dikelaskan sebagai "sejuk". Sayur jenis sejuk dikatakan tidak baik untuk tubuh malah boleh mendatangkan penyakit bagi mereka yang memang alah. Kobis sejuk. Kangkung juga sejuk malah dikatakan boleh buat badan bisa-bisa. Timun juga sejuk. Labu dikatakan berangin. Sayur jenis kekacang juga tidak elok dimakan selalu. Lalu, sayur apa lagi yang tinggal untuk dimakan?

Petola adalah antara sayur yang disifatkan sejuk. Lantas petola tidak pernah termasuk dalam menu sajian keluarga saya sejak bertahun-tahun. Kalau makan di luar pun, petola yang disajikan dalam pelbagai masakan ini tidak pernah menjadi pilihan.Menebalnya kepatuhan saya pada pesan atok.

Semalam bila berkesempatan melawat atok, saya tidak dapat menahan keinginan untuk mencuba dan menikmati gulai lemak petola masakan Mak Utih. Saya lihat emak bertahan hingga selesai tanpa menjamah sedikit pun gulai petola itu. Saya tahu emak cukup alah dengan petola kerana selalunya lepas makan petola emak akan mengadu bisa-bisa badan. Saya melanggar pesan atok. Tarikan terhadap gulai lemak petola tidak berupaya saya tahan. Saya memujuk diri sendiri. Tidak salah rasanya kalau dimakan sekali sekala. Sah, petola memang sedap. Saya makan lebih dari biasa.

Atok Dolah cuma mampu tersenyum melihat gelagat saya dan dia mungkin cemburu!

Pena Tumpul - Sudah lama tidak rasa kacang buncis

Thursday, February 06, 2014

Salah

Setiap kali berkesempatan membaca Surah Yasin bersama-sama dengan yang lain, secara jujurnya saya tidak sangat setuju amalan membaca yang terlalu laju dan seolah-olah berlumba siapa cepat.

Saya melihat dalam kepantasan itu, soal ketepatan sebutan dan juga tajwid tidak diberikan perhatian yang sewajarnya. Namun saya tidak cukup
 berautoriti  dan "bertenaga" untuk menegur apatah lagi membetulkan mereka. Akhirnya saya memilih untuk membaca mengikut tempo saya sendiri sambil sangat-sangat berharap kalaupun saya melakukan kesalahan dari segi mahraj apatah lagi tajwid, ia di peringkat yang amat minima. Dan, selalunya sayalah yang paling lewat dan tertinggal jauh di belakang mereka.

Malam tadi saya berpeluang duduk di depan tv dan menyaksikan Ustaz Don mencerahkan yang kabur dan tidak jelas. Kata Ustaz yang makin popular ini, ada empat kesalahan yang sangat biasa dilakukan oleh orang kita bila membaca surah Yasin.

Bermula dengan ayat pertama itu sendiri kita sebenarnya melakukan kesalahan kalau "Ya" itu dibaca satu harakat sedangkan yang sepatutnya perlu dibaca dua harakat. Manakala "sin" itu sepatutnya enam harakat dan tidak boleh kurang dari itu. 

Di ayat 46, juga kesilapan biasa sangat dilakukan. Mungkin kita terlepas pandang bahawa "aayaatin" itu sepatutnya dua harakat dan bukan satu harakat seperti "aayatin" kalimah sebelumya. Dan saya rasa saya juga silap selama ini.

Kesalahan untuk tidak "saktah", iaitu berhenti sejenak tanpa mengambil nafas saya kira juga sering dilakukan bila kita membaca surah Yasin ini. Selepas kalimah "marqadina" itu kita sepatutnya berhenti sejenak tanpa mengambil nafas sebelum membaca kalimah berikutnya iaitu "haaza".

Akhirnya di ayat 76 dan saya kira, ramai antara kita termasuk saya melakukan kesalahan selama ini. Di kalimah "kauluhum" yang bertanda "mim" di atasnya, kita sepatutnya berhenti. Berhenti di situ dan mulakan dengan ayat yang berikutnya iaitu "Inna".

Biasakan yang betul dan betulkan yang biasa!

Pena Tumpul - Terima Kasih Ustaz Don

Wednesday, February 05, 2014

Mendengar

Diko suka sangat menyampuk setiap kali saya bercakap. Kelihatannya dia memang tidak suka sangat untuk mendengar saya yang sedang bercakap. Belum habis saya bercakap dia cepat memintas dan membalas balik. Ini bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Di dalam  dewan kuliah pun saya  biasa berdepan dengan segelintir yang tidak suka sangat untuk mendengar. Ada yang memilih untuk berbual-bual di belakang sesama sendiri. Ini memang menyakitkan buat orang yang bercakap. Memanglah mustahil untuk meraih semua orang untuk mendengar apa yang kita cakap. Sebenarnya lebih penting daripada kemahiran bercakap dan berbual-bual adalah kemahiran mendengar itu sendiri. Namun selalunya tidak ramai yang suka memilih untuk mendengar. Ramai yang lebih suka bercakap.

Kajian-kajian yang pernah dibuat juga menunjukkan tidak ada perkaitan antara kemahiran bercakap dengan kemahiran mendengar. Maksudnya semakin kita pandai bercakap tidak semestinya kita pandai mendengar. Malah kajian juga mendapati ramai orang yang pandai bercakap sebenarnya tidak pandai mendengar. Jadi, kalau kita rasa kita seorang yang pandai bercakap, besar kemungkinannya kita seorang yang bodoh mendengar. Oleh itu untuk dilihat sebagai orang yang pandai mendengar, ketika orang lain sedang bercakap, janganlah kita sibuk mencelah. Orang yang bersikap terbuka ialah orang yang sanggup mendengar sahaja orang lain bercakap.

Sebenarnya apabila kita pandai mendengar, lebih mudah bagi kita membuat orang itu berasa suka kepada dirinya sendiri dan sekaligus suka kepada kita sebagai pendengar. Lazimnya orang yang didengar akan menghormati orang yang suka mendengar dia bercakap. Didorong oleh rasa hormat, dia mudah menerima pandangan kita kerana kita sendiri mahu mendengar apa yang diperkatakannya. Perbuatan mendengar adalah satu pengiktirafan yang tinggi nilainya bagi orang yang didengar.

Kalau kita mahu didengari, mendengarlah dan ia tidak sukar pun!

Pena Tumpul - Tidak suka dengar isteri berleter

Tuesday, February 04, 2014

Futsal

futsal-court-batu-maung-penangSukan futsal antara sukan yang boleh dianggap popular pada masa kini. Gelanggang futsal juga tumbuh bagai cendawan, dan sangat mudah untuk mencari di setiap kawasan. Tidak kira futsal, badminton atau yang sewaktunya turut menjadi pilihan. Namun jika diperhatikan ramai golongan muda menghabiskan masa bersukan pada waktu malam selepas tamatnya syif kerja. 

Awas bagi mereka yang gemar bersukan pada waktu malam kerana tanpa disedari anda mungkin boleh diserang penyakit berbahaya seperti tekanan darah tinggi dan masalah jantung.

Aktiviti bersukan seperti bermain futsal, badminton dan beriadah di gimnasium di waktu malam yang kini menjadi gaya hidup warga kota akibat kekangan masa bekerja sebenarnya boleh menjadi ‘pembunuh senyap’. Difahamkan, aktiviti tersebut yang banyak menggunakan tenaga boleh bertukar menjadi gejala tidak sihat dan membahayakan kesihatan jika tidak diuruskan dengan baik.

Menurut seorang pakar perunding perubatan terkenal, secara purata seseorang menghabiskan lapan jam bekerja sehari dan memerlukan waktu rehat Katanya, aktiviti bersukan selepas bekerja terutama pada waktu malam menyebabkan badan menjadi lesu kerana tubuh dipaksa bekerja keras dan banyak tenaga dikeluarkan.Kita memaksa badan untuk bekerja keras dengan aktiviti sukan yang berat dan boleh mengakibatkan tekanan darah kita meningkat naik sekali gus boleh menyebabkan masalah darah tinggi dan jantung.

Bukan tidak boleh bersukan waktu malam, tetapi biarlah sukan yang ringan serta tidak menggunakan tenaga yang banyak seperti berenang dan berjoging.

Pena Tumpul - Lari-lari anak keliling rumah saja

Monday, February 03, 2014

Kalkulator


Haziq sedang bertarung dengan peperiksaan akhir tahunnya. Matematik menjadi minatnya paling utama walaupun sesekali mengeluh kerana berdepan dengan soalan yang agak rumit untuk diselesaikan. Saya kata, ia tidak sepatutnya jadi masalah kerana kalkulator menjadikan pengiraan semakin mudah. Nombor yang besar-besar boleh dicampur tolak, darab dan bagi dalam masa yang amat singkat. Malah penyelesaian masalah yang melibatkan algebra juga menjadi sangat enteng dengan bantuan mesin hitung ini.

Zaman saya sekolah dahulu, lebih-lebih lagi di sekolah rendah kalkulator tidak dikenali langsung. Sepuluh jari tangan dan sepuluh jari kaki diguna semaksimumnya untuk tolak dan campur. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang biji getah, lidi kelapa, biji saga digunakan. Untuk soalan-soalan yang melibatkan darab pula, kami di "dera" supaya menghafal sifir setinggi sifir 16! Saya masih ingat saat-saat ponggong dihinggapi rotan Cikgu Jamaludin kerana tidak cukup lancar membaca sifir di depan kelas. Ketika kalkulator bersaiz poket berada di pasaran sekitar awal 70an dulu, harganya cukup mahal untuk saya miliki. Saya tidak cukup tergamak untuk menyusahkan ayah untuk sebuah kalkulator yang lebih mahal daripada makanan keluarga untuk seminggu. Saya terpaksa berpuas hati dengan apa yang ada. Sesekali malu-malu meminta ihsan kawan yang memilikinya.

Saya mahu Haziq bersyukur kerana memiliki kalkulator ketika saya tidak mampu untuk memiliki satu dahulu. Lebih dari itu menginsafi bahawa betapa bertuahnya dia dilahirkan ketika Tuhan menganugerahkan kepandaian kepada manusia untuk mencipta gajet sehebat ini.

Saya juga mahu dia tahu bahawa bukan kalkulator itu yang hebat, bukan juga pencipta kalkulator itu tetapi Allah lah yang hebat!

Pena Tumpul - Congak sahaja

Sunday, February 02, 2014

Makan luar


Adakalanya isteri selalu mengadu keletihan sampai tidak larat hendak masak. lebih-lebih lagi kalau balik dan sampai rumah lewat. Penyelesaiannya ialah saya dan keluarga akan makan di luar sahaja. Warung sudah semestinya menjadi pilihan untuk menjamu selera.

Di Segamat ini terdapat banyak warung yang menyajikan pelbagai makanan. Ada yang istemewa dengan nasi papriknya, nasi ayam, masakan Barat, malah warong yang menjual burger paling sedap pun ada.Burger paling sedap di jual di warong di persimpangan Jalan Temenggung. Rasa burgernya sedikit lain daripada burger-burger yang dijual di warung lain.. Kalau hendak menikmati nasi paprik yang menjilat jari, warong Kg Jawa sedia menunggu.Kalau hendak satay, ramai orang kata warong "koboi" di Kg Jawa, tetapi saya lebih suka di warung Yusof di Tanjung Sengkawang.

Jadi, kalau malas masak, memang tidak ada sebab untuk lapar pun. Sediakan sahaja duit. Namun, kena hati-hati untuk tidak kerap makan di luar kerana penyediaan makanannya adakalanya bakal mengundang pelbagai masalah kesihatan nanti.

Pena Tumpul - Makan di rumah masakan isteri tetap yang terbaik

Saturday, February 01, 2014

Gigi

Antara percaya dengan tidak saya menyaksikan sepasang suami isteri (saya kira)yang sudah agak lanjut usianya masuk ke restoran KFC. Saya sedang menikmati ayam goreng bersama isteri. Pasangan ini memang menarik perhatian saya  kerana di usia emas begitu mereka kelihatan cukup mesra dan romantik mengalahkan pasangan yang baru berkahwin.

Saya perhatikan setiap inci pergerakan pasangan ini. Saya lihat lelaki tersebut menuju ke kaunter dan kemudiannya membawa makanan ke meja di mana isterinya sedang menunggu. Dari jauh saya melihat hidangan sebiji burger, sebungkus kecil kentang goreng dan cuma segelas minuman.

"Kenapa sedikit sangat makanan yang dipesan dan minuman cuma segelas aja?, hati saya bertanya. Dari jauh saya lihat lelaki tua itu mengerat burger kepada dua dan mengeluarkan kentang goreng lalu meletakkannya sama banyak di dalam dulang. Dia kemudiannya menyedut minuman itu sedikit dan memberinya pula kepada isterinya. Begitulah mereka saling sedut menyedut minuman yang segelas itu silih berganti.

Pasangan tersebut tidak menarik perhatian saya sahaja rupa-rupanya. Mereka turut diperhatikan oleh salah seorang anak muda lelaki dalam usia dua puluhan. Anak muda itu mendekati pasangan ini memikirkan pastinya pasangan ini agak daif sehingga tidak mampu untuk membeli makanan lantas terpaksa berkongsi.

Anak muda itu menawarkan pertolongan untuk membelikan burger, minuman buat pasangan tersebut. Saya dengar lelaki tua itu menolak secara hormat tawaran anak muda itu dan menjelaskan kepadanya bahawa mereka memang sudah biasa berkongsi segala-galanya begitu.

Saya terus memerhati. Lelaki itu makan dan makan sedangkan isterinya cuma melihatnya tanpa menyentuh pun makanannya. Sekali lagi anak muda itu tidak puas hati dan merasakan pasangan itu memang perlu diberikan bantuan.

"Kenapa Puan masih tak makan lagi", tanya anak muda itu penuh simpati.
Perempuan itu menjawab dengan sopan, "Saya menunggu gigi"

Sanggupkah kita bekongsi segala-galanya?

Pena Tumpul - Kongsi selimut

50sen

D ulu sekitar 70an, saya cuma dibekalkan 50 sen sahaja sebagai belanja sekolah. Waktu itu harga makanan dan minuman di kantin tidaklah sa...