Monday, March 31, 2014

Kelainan


Malam tadi saya singgah di pasar malam. Saya hairan begitu ramainya yang mengerutung sebuah gerai ini. Ia cuma sebuah gerai burger rupanya. Ada 3-4 buah gerai burger namun mengapa gerai ini yang menjadi tumpuan.

Setelah didekati, gerai burger ini ada sebab yang cukup kuat untuk dihurungi. Gerai burger ini ada kelainan dan identiti tersendiri. Peniaga burger; sambil membuat burger; melambung daging burger ke udara dan menyambut semula ke kuali. Selang beberapa saat, dia lakukan lagi, melambung daging burgernya dan menyambut semula. Saya terpegun melihatnya bersama ramai yang lain yang nampaknya cukup terpesona.

Pada gerainya ditulis: "Burger Lambung". Ramainya yang berbaris seolah-olah tiada gerai burger lain yang boleh dikunjungi. Saya melihat peniaga ini cukup bijak dan berjaya mencipta satu kelainan sehingga memaksa ramainya orang yang berbaris panjang termasuk saya.

Setelah 20 minit berlalu, barulah dapat merasa burger lambung ini. Rasanya? Tidak ada beza pun dengan burger-burger lain, namun kelainannya ialah ia dilambung!

Kelainan selalunya pantas menarik perhatian orang berbanding yang biasa-biasa dan sudah amat kerap dilihat didengar dan dirasa. Begitu juga tertariknya saya pada bunga manggar yang ada kelainannya di majlis perkahwinan sebuah kampung pedalaman yang saya hadiri baru-baru ini. Ketika bunga manggar biasa dibuat daripada kertas warna-warni yang dibeli, bunga manggar ini memang lain kerana ia dibuat daripada cebisan-cebisan kertas majalah! Cantik dan kreatif.

Manusia memang sentiasa inginkan kelainan dan cepat jemu dengan benda yang sama setiap masa.

Pena Tumpul - Lain hulu lain parang

Sunday, March 30, 2014

Nama

"Tak duduk Madinah lagi ke?

Di majlis rewang Pak Manaf saya disapa rakan seperjiranan hampir 40 tahun lalu. Kata-kata di atas terpacul dari mulutnya. Saya senyum sahaja kerana saya tahu dia silap orang. Saya bukanlah yang dia maksudkan itu.

Ahmad Kamil Mohamed (AKM), Kamel Taufik Abd Ghani (KT) dan Muhd Kamil Ibrahim(MKI) adalah tiga personaliti yang berbeza. Persamaannya cuma mereka bekerja di bawah satu bumbung- UiTM Segamat. Selebihnya, tidak ada persamaan pun.

KT dan MKI sudah pasti lebih terserlah keintelektualannya bersama gelaran Profesor Madya dan Profesor yang mengiringi nama mereka.AKM cuma seorang pensyarah biasa yang tidak dikenali malah mungkin asing hatta di kalangan warga kampus.

Namun memiliki nama yang hampir sama mampu mengundang persepsi di luar jangka. AKM pernah dikejutkan dengan panggilan telefon dari seorang pemanggil dari Kelang yang bertanyakan tentang masalah pengajian anaknya. AKM terpegun seketika tetapi cepat menangkap bahawa kekeliruan sedang berlaku. AKM lantas menyarankannya sama ada beliau ingin bercakap dengan Pengarah kerana AKM amat pasti memang itu pun hasratnya.

AKM tersenyum sendirian. Ini bukanlah insiden pertama AKM mengalaminya. Di luar sana, sudah ada kenalan isteri AKM yang mengusik nakal " Suami you makin popular sekarang". AKM juga ketawa dengan cerita yang tidak berapa lucu itu. AKM juga dipersepsi sedikit negatif oleh bapa saudara sendiri apabila soal tender projek UiTM disuarakan kepadanya oleh kawan baiknya. Yang pasti AKM tidak akan menjadi KT apatah lagi MKI. KT dan MKI adalah dua nama besar. MKI lebih terserlah malah ikon di kalangan warga Segamat. Kewujudan AKM tidak lebih bagaikan melukut di tepi gantang.

AKM tetap AKM!

Pena Tumpul - Apa ada pada nama

Saturday, March 29, 2014

Kahwin


Musim cuti sekolah begitu sinonim dengan majlis perkahwinan. Kad undangan perkahwinan
bertal-talu datangnya dari jauh dan dekat. Ada yang cukup dikenali dan tidak kurang yang tidak diketahui pun siapa pengirimnya. Ketika musim tengkujuh pun masih lagi ada yang cukup berani untuk menganjurkan majlis perkahwinan justeru di musim cuti sekolah beginilah saudara mara dapat berkumpul untuk sama-sama membantu.

Sejak beberapa hari yang lalu saya berkampung di rumah Pak Manaf kerana majlis berelat anak gadisnya. Saya memilih untuk menolak beberapa jemputan dan lebih terdorong untuk menyumbang tenaga yang termampu di rumah Pak Manaf dan isterinya Mak Usu Juri. Undangan Pak Manaf tidak wajar saya tolak pun kerana Pak Manaf sendiri yang sangat ringan tangan di kenduri kendara termasuklah rumah saya. Pak Manaf terlalu baik untuk dihampakan permintaannya.


Saya kagum melihat semangat gotong royong yang dipamerkan oleh warga kampung Gudang Garam. Tolong menolong dalam memasak. Sebenarnya amalan begini sudah kian pupus bersama peredaran masa. Orang ramai sekarang lebih cenderung untuk melaksankanannya secara catering dengan alasan lebih mudah dan tidak banyak kerenah. Dari penyediaan balai tetamu, pelamin, jamuan malah kompang juga diuruskan sepenuhnya oleh pihak ketiga. Tuan Rumah hanya berperanan sebagai penasihat dan paling penting membekalkan duit. Segalanya beres dengan syarat ada banyak duit!

Bila melihat pelbagai bentuk dan rupa kad undangan yang indah mempesona mewarnai majlis perkahwinan kini, saya teringat awal 70an dulu. Mak itam yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 26.11.1972,"mendera" saya menulis tangan surat jemputan sekitar 200 salinan di atas helaian buku latihan sekolah. Teruknya kala itu tanpa alat-alat canggih seperti sekarang, mesin taip bukanlah mampu sangat untuk dimiliki satu, komputer jauh sekali apatah lagi mesin fotokopi! Dalam kepayahan dan keterpaksaan saya memenuhi permintaan Mak Itam.Kini Mak Itam bahagia dengan Pak Itam bersama anak dan cucu.

Menganjurkan majlis perkahwinan dulu-dulu mudah sangat berbanding kini. Sebiji telur rebus cuma perlu dibungkus dalam kertas tisu. Tidak perlulah bersusah payah menambah belanja menyediakan pelbagai beg kertas dan bermacam pula isi di dalamnya.

Kak Long akan berelat (istilah lama) bulan September ini. Saya cadangkan padanya supaya lari daripada kebiasaan ini. Tidak perlu rengsa dengan aksesori remeh temeh ini. Buat yang perlu sahaja dan hasilnya jimat belanja. Buatlah kad undangan yang paling murah tetapi sampai dan difahami mereka yang di undang.

Saya tidak fikir Kak Long setuju kerana: "Apalah nanti kata orang!"

Pena Tumpul - Khabarnya pelamin anak Pak Manaf sahaja sudah cecah 3K

Friday, March 28, 2014

Nikah

Saya diminta oleh Pak Manaf wali pengantin perempuan untuk menjadi salah seorang saksi untuk akad nikad anaknya. Saya pada mulanya menolak dengan sedikit alasan. Saya mencadangkannya untuk memilih orang lain yang lebih layak. Pun begitu Pak Manaf tetap memilih saya dan saya tidak mampu menghampakan permintaannya.

Akad nikah Siti Norharyani dan Noor Nashriq disempurnakan dengan penuh cemerlang oleh Tok Imam Hj Hashim tepat jam 5.14 petang tanggal 28 Mac 2014 di Masjid Kg Gudang Garam. Saya menyaksikan akad nikah yang lancar dan tidak banyak kerenah. Pengantin lelaki pun tidak resah gelisah.

Acapkali juga saya  menghadiri majlis akad nikah dan sesuatu yang paling tidak menyelesakan ialah bila saya lihat Tok Kadi seolah-olah mendera pengantin agar mengulang-ulang lafaz terima (ijab) ketika akad nikah kononnya belum sah. Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skima sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

Dalam hubungan ini, kata Dr Maza, akad nikah hanyalah bagi menggambar persetujuan kedua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Apa-apa sahaja lafaz yang membawa maksud kepada tujuan tersebut maka ia sah. Jika bapa bakal isteri menyebut ‘saya nikahkan saudara dengan anak saya Fatimah”, lalu bakal suami menjawab: “saya terima, atau saya bersetuju” atau mungkin ditambah “saya terima nikahnya” atau “saya bersetuju bernikah dengannya” seperti yang diminta oleh sesetengah sarjana dalam Mazhab al-Syafi’i, maka sahlah ijab dan qabul tersebut.
 

Menurutnya lagi,tidak disyaratkan pun mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama atau ayat tok kadi yang digunakan sebelum merdeka. 

Sarjana Fekah semasa Dr Abdul Karim Zaidan dalam karya al-Mufassal fi Ahkam al-Marah wa al-Bait al-Muslim menyebut: “Jika seseorang lelaki berkata kepada lelaki yang lain: “Nikahkan saya dengan anak perempuan awak”, lalu si bapa itu menjawab: “Aku nikahkan engkau”. Atau si bapa berkata kepada bakal suami: “bernikahlah dengan anak perempuanku”. Lalu bakal suami menjawab: “aku nikahinya”. 

Kedua contoh di atas adalah sah nikah berdasarkan apa yang disebutkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim. Sesungguhnya seorang Arab Badawi telah meminang wanita yang telah mempelawa dirinya untuk Nabi s.a.w (ingin berkahwin dengan Nabi s.a.w),Arab Badawi itu berkata:”Nikahilah dia denganku”. Jawab Nabi s.a.w.: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan al-Quran yang ada bersamamu”. (al-Mufassal, 6/87, Beirut: Muassasah al-Risalah).
 

Bahkan dalam Sahih al-Bukhari ada bab yang al-Imam al-Bukhari letakkan ia berbunyi: Bab Iza Qala al-Khatib li al-Wali Zawwijni Fulanah, faqala qad Zauwajtuka bi Kaza wa Kaza, Jaza al-Nikah Wa In Lam Yaqul li al-Zauj Aradita au Qabilta, maksudnya: Bab Apabila Lelaki Yang Meminang Berkata Kepada Wali Perempuan: “Kahwinilah aku dengan wanita berkenaan”, lalu dia menjawab: “Aku nikahkan engkau dengannya bermaharkan sekian dan sekian", maka sah nikahnya walaupun tidak ditanya si suami apakah engkau setuju, atau terima. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh al-Imam al-Bukhari berdasarkan hadis-hadis dalam bab nikah yang diteliti olehnya.
 

Kata Dr Maza lagi, apa yang penting dalam proses ijab dan qabul amatlah mudah. Ia adalah lafaz yang difahami oleh kedua belah pihak serta dua saksi yang menjelaskan kehendak dan persetujuan untuk berkahwin atau menjadi suami dan isteri. Apabila proses itu berlaku maka ia sah. Tidak pernah ada dalil yang menyatakan mestilah satu nafas, atau tidak terputus nafas seperti diada-adakan oleh sesetengah pihak. Paling tinggi yang boleh kita kata adalah tidak boleh ada ruang yang menyebabkan salah satu pihak mengelirukan atau dikelirukan dalam menyatakan persetujuan nikah.

Mudahnya tetapi disusahkan!

Pena Tumpul - Pernah hadiri akad nikah dan pengantin lelakinya bertepuk tangan kerana terlalu gembira selepas lafaz akad

Thursday, March 27, 2014

Bos

Ada peribahasa dalam Bahasa Inggeris berbunyi "When the cat is away, the mice will play". Terjemahan langsungnya ialah bila kucing tiada tikus bermaharajalela. Juga, kalau bapa tiada di rumah, anak mulalah menunjukkan belangnya, justeru apa yang ingin dibuat boleh sahaja dilakukan kerana tiada siapa yang menegur. Begitu juga kalau guru tiada, kelas hingar bangar.

Umumnya, orang yang dibawah akan mempamerkan perlakuan yang terbaik bila orang yang di atas memerhati dan mengawasi atau sekurang-kurangnya kehadirannya memang pasti. Namun keadaan begitu tidak selalunya benar. Ada ketikanya, pekerja lebih merasa selesa tanpa kehadiran majikannya. Rasa selesa bukannya untuk curi tulang, mengabaikan kerja yang diberikan. Sebaliknya rasa sangat selesa ekoran bebas dari rasa tertekan dan sekaligua menjana rasa lebih seronok untuk bekerja dengan lebih baik.

Kalau pekerja bawahan sudah mula rasa lebih selesa bekerja tanpa kehadiran bosnya, pastinya ada yang tidak kena. Bila bos ada dan pekerja kelihatan sangat taat bekerja, dikhuatiri kerja yang dihasilkan terbit dari rasa takut atau segan pada bos dan bukan kerana komitmen yang tinggi terhadap kerja. Pekerja yang baik mempamerkan mutu kerja sebenar tidak kira sama ada bos ada pun tidak. Kalau pekerja rasa tertekan bila ada bos dan hasilnya kerja yang dihasilkan tidak bagus, kehadiran bos memang tidak diperlukan untuk mengubah keadaan itu.

Kalau pekerja luar biasa prestasi kerjanya tanpa bos di tempat kerja, rasanya eloklah bos "menghilangkan" dirinya selalu!

Pena Tmpul - Bos yang maha besar sentiasa ada melihat kita

 


Wednesday, March 26, 2014

Kesayangan

Bucing meluahkan rasa mualnya dengan sikap majikannya yang mengamalkan pilih kasih. Dalam kata yang lebih mudah, majikannya ada staf kesayangan. Saya beritahu Bucing,  "favouritism" memang amalan biasa yang melibatkan hubungan majikan dan pekerja. Malah amalan pilih kasih juga berlaku di antara ibubapa dengan anak-anak, juga guru dengan pelajar.

Sebagai seorang pekerja yang agak baru menyertai organisasinya, saya menasihatkannya supaya dapat menerimanya dengan hati terbuka dan lapang dada. Dikhuatiri jika dia begitu sebok memikirkannya, dia sendiri yang akan tertekan dan akhirnya menjejaskan tumpuan kerjanya.

Walaupun ada segelintir majikan yang menafikan bahawa ada staf yang memang disayanginya berbanding staf-staf yang lain, ia sebenarnya menipu dirinya sendiri. Mereka perlu menyatakan kebenaran bahawa amalan pilih kasih memang berlaku dan sekaligus perlu bijak mengurus dan menjaga hati dan perasaan staf lain yang mungkin merasai diri mereka dipinggirkan.

Saya katakan pada Bucing bukanlah seronok dan hebat sangat pun menjadi anak emas bos.Tidak bebas dan sentiasa dalam "perhatian" bos. Pergerakan terhad. Rasa bagai "diikat" dengan tali oleh bos. Saya ceritakan padanya kisah seekor serigala dan seekor anjing yang saya kira ada kaitan dengan isu pilih kasih ini.

Seekor serigala yang sudah berhari-hari tidak makan cukup bernasib baik kerana tiba-tiba lalu rakan baiknya seekor anjing yang simpati dengan nasib serigala itu. "Aku kesian tengok kau ni, nak makan pun susah. Tengok aku. Tuan aku beri aku makan, dan tak perlulah aku susah-susah nak cari makan sendiri", ujar anjing kepada serigala. 

"Aku pun ingin jadi macam kau, janji aku ada tempat dan senang dapat makan", kata serigala pula.
"Kalau macam tu, mari ikut aku jumpa tuan aku", balas anjing.  Dalam perjalanan, serigala terpandang kesan helaian bulu yang telah tertanggal dari tengkok anjing itu dan bertanya kepada anjing apa yang berlaku.

"Itu perkara kecik aja. Malam hari, tuan aku akan menyarungkan rantai di leher supaya aku tak merayau ke mana-mana. Mula-mula rasa rimas jugak, tapi sekarang biasa aja", jawab anjing.

"Ya ke?, kalau macam tu tak apalah, selamat tinggal", kata serigala berlalu meninggalkan anjing termangu-mangu.

Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa lagi kepada Bucing kerana saya tahu dia faham apa yang saya cuba sampaikan padanya melalui cerita itu. 

Pena Tumpul - Lebih baik kebulur bebas daripada gemok tetapi terikat

Tuesday, March 25, 2014

Makan

Hafiz meminta satu lagi burger walaupun dia masih belum menghabiskan burger di tangannya. Saya tahu dia sedang menikmati kesedapan burger sehingga rasa macam tidak cukup dan mahukan satu lagi. Saya dengan sengaja tidak melayani permintaannya itu.

Saya beritahu dia bahawa tidak elok untuk tamak begitu. Saya kata Nabi pernah berpesan supaya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang. Hafiz tiada masalah untuk faham. Seorang kanak-kanak yang baru berusia lapan tahun sebenarnya tidaklah sukar pun untuk dididik begitu. Dia akan mudah menerima walaupun banyak juga soalannya. Susah juga saya mahu menjelaskannya.

Akhirnya, Hafiz tidak mampu untuk menghabiskan pun burgernya yang satu itu!

Pena Tumpul - Makan seketul ayam dan secawan Milo sahaja
 


Monday, March 24, 2014

Terima

Saya membaca cerita yang amat menarik ini. Ia mengajar saya bahawa tidak wajar untuk mempersoalkan apa yang telah Allah tetapkan. Saya perlu percaya bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Saya juga perlu menerima segala ketentuanNya. Jika musibah yang datang terimalah tanpa banyak soal. Jika nikmat yang dikurnia bersyukurlah kepadaNya. Memang begitu pun peranan dan tanggungjawab kita sebagai hambanya. Jangan sesekali kita sampai lupa boleh jadi sesuatu yang kita pandang sebagai musibah hari ini merupakan sesuatu yang memberi keuntungan di kemudian hari. Yang pasti hidup bak roda. Sekali di atas, sekali di bawah.

Begini ceritanya. Seorang lelaki tersadai di pinggir sebuah pulau. Dia satu-satunya mangsa kapal karam yang terselamat dan masih hidup.

Apabila menyedari bahawa dia hanya seorang diri di pulau kecil dan terpencil itu, dia berdoa kepada Allah setiap hari supaya menyelamatkannya.

Disamping itu, dia tidak putus-putus meninjau laut yang bagai tidak berpenghuni itu dengan harapan ada kapal yang lalu dan dapat menyelamatkannya. Namun segala harapannya tinggal harapan. Akhirnya lelaki tersebut membina sebuah pondok kecil ditepi pantai sebagai tempat berteduh daripada terik matahari di siang hari dan berlindung daripada dingin bayu malam.

Suatu hari, dia meredah hutan untuk mencari sumber makanan. Sebaik pulang, dia mendapati pondoknya terbakar hangus. Tiada apa yang tinggal kecuali abu hitam dan asap berkepul-kepul naik ke langit.

Lelaki tersebut terduduk, merenung nasibnya yang malang, dia mula mempersoalkan takdir malang yang menimpa . ‘’ Kenapalah nasib aku begitu malang sekali? Kenapalah Allah uji aku sampai tahap ini? Kenapa aku?’’

Petang itu, sedang dia berehat di bawah sepohon pokok kelapa, dia ternampak kelibat sebuah kapal dari jauh seolah-olah menuju ke arah pulau itu. Sehabis daya dia menjerit-jerit sambil melambai-lambai dengan harapan pengemudi kapal nampak akan kehadirannya di pulau itu. Jelaslah kapal itu memang menuju ke pulau itu.

Akhirnya lelaki tersebut diselamatkan dan dibawa naik ke kapal dan diberi makanan dan minuman. Namun dia berasa hairan bagaimana kapten kapal tahu dia berada di pulau itu. Dia bertanya kepada kapten itu: ‘’Macam mana tuan tahu ada orang tersadai dipulau tu?’’

Kapten kapal lalu menjawab: ‘’ Kami ternampak asap dari pulau ini, sebab itu kami menukar haluan ke sini kerana mungkin ada seseorang yang memerlukan bantuan’’.

Lihatlah bagaimana Allah melakukannya. Kita tidak pernah menjangkanya kerana ia memang amat jauh dari jangkauan pengetahuan kita.

Pena Tumpul - Selalu sedar diri

Sunday, March 23, 2014

Peranan

Saya selalu percaya bahawa setiap individu mempunyai peranannya masing-masing. Peranan yang
dipilih tidak seharusnya kelihatan penting, sekurang-kurangnya  dicukuplah kalau kita selesa dengan peranan yang dipilih itu. Ada yang memilih untuk berperanan sebagai pengikut dan membiarkan peranan ketua dipikul oleh orang lain kerana dia tahu setakat mana kemampuannya untuk menjadi ketua dan pandangan orang lain tentang kebolehannya.

Malah dia juga tahu ada orang yang lebih suka berperanan untuk menonjolkan diri dan menjadi ketua.Justeru berperanan sebagai ketua lebih dikenali dari hanya berperanan sekadar pengikut.Oleh kerana peranan ketua begitu diburui berlakulah kecenderungan individu yang sama akan kelihatan terus berperanan sebagai ketua dan mereka yang kelihatannya tidak menonjol langsung peranannya akan terus kekal berperanan sebagai pengikut atau pun pemerhati semata-mata. Justeru itulah individu yang selalu berperanan sebagai ketua tidak seharusnyalah merasakan dirinya hebat kerana lebih ramai yang memilih untuk memegang peranan sebagai pengikut atau peranan sebagai pengikut dan pemerhati itulah yang lebih cocok untuknya.

Dalam mana-mana organisasi pun kecenderungan untuk individu yang sama berperanan sebagai ketua kelihatannya sudah semacam tidak dapat dibendung lagi. Si kaya tidak akan kelihatan kaya sekiranya tiada simiskin sebagai perbandingannya. Yang kuat hanya kelihatan kuat oleh peranan si lemah. Yang cerdik pula tumpang cerdik di atas peranan individu lain yang relatifnya tidak berapa cerdik.

Pena Tumpul - Pegang peranan kecil sahaja

Saturday, March 22, 2014

Maman

Berseleranya makan di rumah emak malam ini. Bukanlah kerana lauk yang emak masak luar biasa sangat pun. Tiada kari daging yang memang saya suka sangat itu. Tiada juga sayur taugeh masak lemak. Masakan emak biasa sangat. Cuma ikan salai masak kuning cili api dan ikan masin sahaja.

Saya hampir-hampir menolak pelawaan emak untuk makan kalau tidak kerana jeruk maman yang emak sajikan sekali di atas meja. Selera yang tertutup pantas terbuka bila nampak jeruk maman. Sudah lama sangat tidak merasainya.Rasanya yang unik dan tersendiri, berkuah agak masam, memang memancing selera penggemar ulam-ulaman seperti saya. Kata emak dia buat sendiri. Tidak pula saya bertanya dari mana emak dapat daun maman itu. Yang pasti daun ini memang sukar dicari atau barangkali sudah makin pupus.

Isteri tidak begitu teringin untuk merasainya walau diumpan acap kali betapa sedapnya jeruk maman ini. Bagus juga dia tidak suka, tidak perlulah saya berkongsi dengan sesiapa pun.
Kalau diikutkan selera, mahu sahaja saya habiskan satu telap jeruk maman yang emak buat itu!

Pena Tumpul - Sudah lama tidak jumpa kerdas

Friday, March 21, 2014

Pertama

Bila kita belajar Sejarah dulu, kita diberitahu siapakah orang yang pertama buat dan cipta sesuatu. Sampai sekarang kita masih lagi ingat bahawa orang yang pertama cipta telefon ialah AG Bell. Kita juga tahu bahawa Wright adalah pencipta kapal terbang pertama. 



Pun begitu saya yakin tidak ramai yang tahu siapakah yang pertama menggunakan tarikh Hijrah dalam Islam. Begitu juga siapakah yang pertama menjadi Raja dalam Islam. Saya ingin berkongsi maklumat ini dan saya harap ia adalah fakta dan sangat benar.

1. Orang yang pertama menulis Bismillah : Nabi Sulaiman AS.
2. Orang yang pertama minum air zamzam : Nabi Ismail AS.
3. Orang yang pertama berkhatan : Nabi Ibrahim AS
4. Orang yang pertama diberikan pakaian pada hari qiamat : Nabi Ibrahim AS.
5. Orang yang pertama dipanggil oleh Allah pada hari qiamat :  Nabi Adam AS.
6. Orang yang pertama mengerjakan saie antara Safa & Marwah :Sayyidatina Hajar
7. Orang yang pertama dibangkitkan pada hari qiamat :Nabi Muhammad SAW.
8. Orang yang pertama menjadi khalifah Islam :Abu Bakar As Siddiq RA.
9. Orang yang pertama menggunakan tarikh hijrah :Umar bin Al-Khattab
10. Orang yang pertama meletakkan jawatan khalifah dalam Islam : Al-Hasan bin Ali RA.
11. Orang yang pertama menyusukan Nabi Muhammad SAW :Thuwaibah RA.
12. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan lelaki : Al-Harith bin Abi Halah
13. Orang yang pertama syahid dalam Islam dari kalangan wanita : Sumayyah binti Khabbat
14. Orang yang pertama menulis hadis di dalam kitab / lembaran : Abdullah bin Amru bin Al-Ash
15. Orang yang pertama memanah dalam perjuangan fisabilillah : Saad bin Abi Waqqas
16. Orang yang pertama menjadi muazzin dan melaungkan adzan:Bilal bin Rabah
17. Orang yang pertama sembahyang dengan Rasulullah SAW : Ali bin Abi Tholib
18. Orang yang pertama membuat minbar masjid Nabi SAW : Tamim Ad-dary
19. Orang yang pertama menghunus pedang dalam perjuangan fisabilillah : Az-Zubair bin Al-Awwam
20. Orang yang pertama menulis sirah Nabi Muhammad SAW :Ibban bin Othman bin Affan
21. Orang yang pertama beriman dengan Nabi SAW :Khadijah bt Khuwailid.
22. Orang yang pertama mengasaskan usul fiqh : Imam Syafei RH.
23. Orang yang pertama membina penjara dalam Islam:Ali bin Abi Tholib
24. Orang yang pertama menjadi raja dalam Islam :Muawiyah bin Abi Sufyan
25. Orang yang pertama membuat perpustakaan awam Harun Ar-Rasyid
26. Orang yang pertama mengadakan baitulmal : Umar Al-Khattab
27. Orang yang pertama menghafal Al-Qur'an selepas Rasulullah SAW :  Ali bn Abi Tholib
28. Orang yang pertama membina menara di Masjidil Haram Mekah: Khalifah Abu Ja'far Al-Mansur
29. Orang yang pertama digelar Al-Muqry : Mus'ab bin Umair
30. Orang yang pertama masuk ke dalam syurga :  Nabi Muhammad SAW.



Pena Tumpul - Siapa pula yang terakhir?

Thursday, March 20, 2014

Berbahasa

"Dengan kata-kata, orang yang pandai berbahasa boleh memanggil burung yang sedang terbang di awan, turun hinggap mencatuk makanan di tapak tangannya"

Pepatah Cina ini mahu menjelaskan bahawa kemahiran berbahasa sangat penting dimiliki oleh jurujual untuk memikat pelanggan. Selalunya, apabila kita mahir menggunakan kata-kata bagi mengurut jiwa pembeli, mereka akan datang kepada kita bukan sangat kerana barang yang kita jual tetapi mungkin sangat terpesona dengan kata-kata kita yang membuai dan membelai jiwa mereka. Barang yang dimahukan boleh sahaja dibeli daripada jurujual yang lain tetapi kata-kata yang kita ucapkan tidak mungkin dapat mereka dengar dari bibir orang lain. Bukan juga kerana paras cantik penjual yang memikat.

Ketika singgah di stesyen minyak petang ini, sambil menunggu minyak di isi saya didatangi seorang penjual krim pencuci kereta untuk menjual krimnya kepada saya. Dia berkata begini kepada saya, "Encik, kereta encik ini, kotor. Nampak macam kereta lama. Macam sudah berbulan-bulan tidak dibasuh. Warnanya pun macam dah dimakan hari. Kalau encik malas hendak cuci kererta encik tiap-tiap minggu......"

Pastinya saya tidak selesa dengan kata-kata yang dihamburkan begitu. Dia tidak sepatutnya menyentuh soal kereta saya yang kotor kerana kebetulan saya tidak sempat mencucinya pada hari itu. Saya bukanlah malas untuk mencuci pun. Dan, dia tidak perlu mempersoalkannya pun hanya kerana hendak menjual barangnya itu. Dia ternyata gagal berbahasa dengan bakal pembeli barangnya.

Isteri sempat menyampuk. Dia menceritakan pengalamannya didekati seorang jurujual di kaunter produk mekap di sebuah pasaraya dan cuba memujuknya membeli produk itu dengan berkata, "Kakak, belilah gincu ini. Kalau kakak pakai gincu ini, kakak akan nampak cantik." Kata isteri saya, dia langsung tidak jadi membeli apa pun kerana hati sakit bukan kepalang dihina oleh jurujual yang dianggapnya biadab dan berani mengatakan dirinya tidak cantik!. Marah juga dia dikatakan tidak cantik.

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Pena Tumpul -Suka dengar bahasa penjual ubat

Tuesday, March 18, 2014

Dwipiawai

Haziq balik dari sekolah semalam merungut dan marah-marah. Pastinya ada sesuatu yang tidak kena dan merobek hatinya lantas mempamerkan dirinya begitu. Dia tidak puas hati dengan salah seorang gurunya dalam mengendalikan perilaku pelajarnya.Ketika dia dan beberapa rakannya dikenakan hukuman atas kesalahan yang dilakukannya,dua tiga yang lain terlepas pula dari hukuman. Dia tidak mempertikaikan hukuman yang dikenakan padanya kerana dia tahu dia bersalah dan memang wajar dihukum. Dia gagal untuk hadir latihan sukan dan memang patut dihukum pun.

Apa yang dilalui oleh Haziq adalah contoh amalan dwipiawai yang sering berlaku dan dilakukan pula secara sedar. Amalan "double standard" ini berlaku apabila ada pihak yang merencana tindakan mengikut kepentingan sendiri dan langsung meminggirkan lunas-lunas yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama. Atas kepentingan diri sendiri dan mereka yang bersekongkol dengannya, selalunya mereka yang diluar dari kepentingan ini akan dinafikan hak mereka dan menjadi mangsa tanpa sebab yang jelas dan wajar. Istilah 'orang kenal' dan 'saudara mara' dilihat menunjangi amalan tidak sehat dan tidak adil ini. Justeru itu kita melihat kerana sifat keakraban dan kekamian yang terbentuk ini, amalan dwipiawai ini disaksikan mengundang pelbagai persepsi dan tafsiran negatif yang mungkin betul dan mungkin tidak. Akan terbitlah cakap-cakap di belakang yang tidak enak didengar. Pilih kasih, berat sebelah dan pelbagai lagi istilah yang mencerminkan rasa tidak puas hati pihak yang dimangsakan.

Sini boleh, sana tidak boleh. Saya tidak boleh, dia boleh. Saya dapat dia pula tidak dapat. Hari ini cakap lain, esok cakap lain pula. Di sini cakap lain, di sana cakap lain. Saya dipilih sedangkan dia pula tidak dipilih. Tidak konsisten.

Saya selalu percaya sebarang keputusan yang dibuat dan lahir serta didorong dan dicemari oleh unsur-unsur yang terlalu peribadi selalunya akan berakhir dengan sesuatu yang amat tidak adil dan melukakan hati yang menerimanya. Jangan tersalah neraca!

Pena Tumpul - Bukan spesis amfibia

Monday, March 17, 2014

Watak

"Watak sebenar seseorang adalah apa yang dilakukannya ketika tiada seorang pun yang tahu, kecuali dirinya sendiri dan tentunya Penciptanya"

Kenyataan di atas memang ada benarnya. Kadang-kadang gerak laku kita berbeza mengikut situasi. Di depan orang lain lakunya dan di belakang juga lain. Depan dan belakang tidak sama. Di depan orang pijak semut, semut pun tak mati kerana halus dan sopannya kita tetapi di belakang lain pula ceritanya. Silap-silap gajah pun boleh pengsan hanya kerana jentikan kita.

Saya suka berkongsi cerita yang mungkin agak melucukan namun ada pengajarannya. Ia berkisar tentang bagaimana kita mengemudi watak kita. Mantoba yang baru bertunang dengan bakal isterinya, Loyah mahu mengejutkan Loyah dengan membawanya ke rumah yang bakal dihuninya bila sudah diijab kabulkan kelak. Loyah pastinya sangat teruja dengan kejutan itu. Sesampai di rumah tersebut, Mantoba meminta agar Loyah menutup matanya dengan saputangan. Dengan penuh debaran Loyah membiarkan sahaja tangannya dipimpin Mantoba menerokai setiap pelusuk rumah. Tiba di ruang tamu, Mantoba teringat kunci bilik tidor rumah itu yang tertinggal di dalam keretanya. Mantoba meminta tunangnya menunggu di ruang tengah dengan mata tertutup hingga Mantoba kembali semula dengan kunci.

Ketika Mantoba keluar mengambil kunci, Loyah terasa perut memulas yang bukan kepalang. Dia sedar dia telah menahan untuk tidak membuang angin sejak dalam kereta lagi tetapi kerana malu kepada tunangnya dia menahannya sehabis daya. Kini dia keseorangan dan memikirkan bahawa ia waktu terbaik untuknya menyelesaikan urusannya yang sudah lama tertangguh. Dia melepaskannya semahu-mahunya. Sejurus kemudian, Mantoba kembali semula dengan kuncinya dan segera membuka ikatan saputangan di mata Loyah.

Sebaik sahaja matanya dibuka, Loyah terus pengsan! Kenapa Loyah pengsan? Dia menyangka dia seorang diri tadi bila dia melaksanakan 'urusan peribadi'nya tadi, sebaliknya tidak. Di ruang tengah berkumpul seluruh ahli keluarga Mantoba sejak mereka berdua masuk tadi.

Loyah malu bukan kepalang!

Pena Tumpul - Dia sentiasa dan sentiasa melihat kita

Sunday, March 16, 2014

Hujan



Syukur kepada Ilahi kerana setelah kian lama menunggu, awal pagi ini hujan turun membasahi bumi yang sudah lama gersang dan tandus.  Terasa cukup dinginnya setelah sekian lama dipanah bahang matahari.

Tanaman yang layu sudah kembali segar dan menghijau, membasuhi segala debu-debu di jalan, sekali gus membersihkan segala dosa yang terampai sambil menelusuri bait-bait kata berpuisi lirik lagu Sudirman.

Hujan yang turun bagaikan mutiara
Berkilau bersinar berkerdipan
Subur menghijau bumi terbentang
Dan bayu berpuput lembut

Cinta yang bersemi
Diwaktu hujan turun
Menyirami ketandusan hati
Dan hujan turut mengiringi
Engkau pergi...

Selembut hujan bercurahan
Begitulah cinta ini
Semesra bumi yang disirami
Begitulah hati ini

Hujan yang turun bersama air mata
Bersama pedih, bersama rindu
Kau datang dan kau pergi jua
Rindu lagi...

Terima Kasih Allah kerana mendengar permohonan hambaMu yang lemah ini.

Pena Tumpul - Sedapnya tidor sambil mendengar desiran hujan memukul atap zing di rumah kampung

Wednesday, March 12, 2014

Prioriti


Kata pantun warisan temurun, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati. Saya menambahnya lagi, dan hutang wang buat tak reti. Saya pernah meminjamkan sejumlah wang sedikit sebanyak kepada seorang taulan yang mengadu dalam kepayahan. Saya percaya dia memang memerlukannya seperti mana juga saya percaya dia juga akan membayarnya semula satu hari nanti. Selepas itu, dia tidak pernah muncul lagi dan hilang terus dari penglihatan.

Semalam saya terlihat kelibatnya setelah bertahun-tahun menyembunyikan diri.Dan saya percaya itu ketentuan Tuhan.Saya cam benar dan tidak silap orang. Nampak hebat dari dulu. Kelihatannya macam sudah punya lebihan duit di dalam kantung sekurang-kurangnya dari pakaiannya. Begitu juga roda-roda empatnya yang ternyata bukan calang-calang untuk si kucing kurap memilikinya. Haziq menjadikan cerita ini lebih menarik. Khabarnya anaknya rakan sekolah Haziq dan gaya belanjanya, alahai hebatnya. Telefon bimbit dimiliki bukan kepalang mahalnya. Sayangnya ada hutang yang masih tidak terbayar!

Tiba-tiba isu jumlah wang yang dipinjam dulu sudah tidak menjadi penting lagi kepada saya. Saya tidak kisah pun kalau dia betul-betul tidak mampu untuk melunaskan hutang itu. Saya cuma amat kesal kerana dia memungkiri janjinya dulu. Saya juga kecewa kerana dia tidak rasa bersalah pun berada dalam keadaan begitu. Saya lebih-lebih lagi kecewa kerana soal membayar hutang orang tidak menjadi lebih penting daripada melunaskan kehendak dan keinginan sendiri.

Kita sering gagal memberi prioriti antara tuntutan gaya dan rasa sendiri serta kewajipan membayar hutang orang.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada menjelaskan dalam sebuah hadis maksudnya :
"Dari Abi Hurairah Radhiallahuanhu, Baginda bersabda : Barang siapa mengambil harta orang lain (berhutang) dan berniat akan membayarnya, maka Allah akan luluskan niatnya itu. Tetapi sesiapa mengambilnya dengan niat akan membinasakannya (dengan tidak membayar) maka Allah akan membinasakan dia."

Pena Tumpul - Bagai melepaskan kambing tersangkut tanduk

Tuesday, March 11, 2014

8C


Kata Dr Fazillah Kamsah, seorang isteri yang tidak elok perangai dan tingkahnya memiliki lapan sifat yang secara kebetulannya bermula dengan huruf C.

C1. CABAR
Lelaki mempunyai ego mereka tersendiri. Jadi mereka tidak suka dicabar terutama sekali oleh wanita. Wanita perlu tahu batas tindakan mereka agar lelaki tidak rasa tercabar. Isteri kalau bergaduh dengan suami mulalah kata "Kalau awak berani cubalah cari perempuan lain! " Dr Fadillah kata jangan cabar suami nanti suami buat betul-betul isteri juga yang putih mata…

C2. CABUL
Cabul ni bermaksud keji dari segi perangai sehingga seseorang wanita itu langsung tidak malu. Misalnya bergaul bebas dengan lelaki yang bukan muhrim tanpa menghirau batas pergaulan. Juga perbuatan dan kata-kata isteri yang tidak sopan (isteri hilang sifat malu)seperti menghamburkan kata-kata yang tidak baik pada mertua…

C3. CELUPAR
Wanita yang cantik akan kelihatan hodoh jika mulutnya celupar. Celupar lebih kurang cabul juga. Isteri selalu cakap yang tidak manis, selalu terlepas cakap pada suami sehingga membuat suami jauh hati.

C4. COMOT
Terdapat wanita yang cantik tetapi comot. Comot ini samada melibatkan wajah wanita itu, penampilannya yang selekeh, kerja yang dilakukan serta tindak-tanduknya. Contohnya, isteri bila ingin keluar rumah barulah hendak bersolek dan comel namun di rumah comot. Suami pula di tempat kerja asyik pula nampak yang comel mongel belaka … Ada isteri kata - mekap untuk suami, tetapi di rumah tidak pula dipraktikkan.

C5. CEMBURU
Cemburu perlu dalam sesuatu hubungan. Tetapi wanita yang terlampau cemburu hingga pasangannya merasa terkongkong akan membawa padah kepada perhubungan mereka. Ini membuatkan lelaki akan rasa diri mereka tidak dipercayai. Suami lemas kalau isteri cemburu berlebih-lebihan… asyik menelefon suami di tempat kerja. Suami baru balik kerja terus di tanya macam-macam. Bila suami balik lewat overtime mulalah syak yg bukan-bukan.

C6. CEREWET
Kata ulama, hati wanita terletak pada mulutnya. Oleh itu wanita perlu mengawal percakapannya. Suami tidak suka bila isteri cerewet tidak bertempat. Contohnya kalau suami bawa makan luar, isteri inginkan tempat yang ada class sahaja. Restoran perlu ada hawa dingin.

C7. CINCAI
Buat kerja rumah cincai, masak cincai, kemas rumah cincai, jaga anak pun cincai. Suami paling benci bila isteri cincai jaga anak… anak sudah masuk longkang namun emak masih melepak di depan tv lagi.

C8 CUAI
Kebiasaannya lelaki tidak suka jika pasangannya cuai terutama apabila ia melibatkan masa.. Misalnya apabila suami menetapkan keluar jam 3 tetapi pada masa yang ditetapkan, isteri masih sibuk bersiap, bersolek, mengemas. Ini akan membuatkan mereka benci kerana situasi sebegini.

8C ini lambang keperibadian muslimah yang lemah akhlaknya. Berpelajaran tinggi belum tentu tinggi akhlaknya. Namun kita insan yang mudah lupa dan lalai. Ada masanya mungkin juga kerana sifat suami dan keadaan sekeliling yang buat isteri mempunyai salah satu ciri-ciri 8C itu.

Pena Tumpul - Wanita sekarang memburu lelaki yang memiliki 5C sebagai pasangan hidup

Sunday, March 09, 2014

Batu Anam


Batu Anam cuma sebuah pekan kecil di negeri ini lalu tidak menghairankan tidak ramai orang yang tahu akan kewujudan pekan koboi ini. Saya sendiri dilahirkan malah membesar dan menyaksikan depan mata perkembangan pekan yang tidak banyak berubah ini. Kalau ada pun perubahan yang paling ketara, hanyalah jejambat yang dibina sejak dua tahun yang lalu. bagi melicinkan aliran trafik di pekan ini yang sebelum ini tersekat oleh lintasan keretapi. Selain itu sebuah masjid baru yang tersergam indah di tepi jalan utama.

Beberapa buah gerai di kiri jalan pekan ini terpaksa dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaannya. Saya masih ingat beberapa buah gerai buah-buahan milik Ah Kow, membeli ikan di pasar Ah Peng, mendapatkan akhbar harian di gerai Hj Junid selain bergunting rambut di Kedai Gunting Muhibah. Sesekali menyinggah di kedai-kedai tersebut sempat saya bertanya kemana menghilangnya wajah-wajah yang amat saya kenal dulu. Khabarnya ramai yang telah pergi. Ah Fat yang selalu membaiki basikal saya juga telah pergi. Kedai gunting Muhibah cuma tinggal nama dan terpahat segar dalam ingatan. Encik Govinda yang faham benar kehendak stail rambut saya khabarnya telah tiga tahun tiada.

Yang pasti Batu Anam yang banyak menyimpan kenangan manis dan pahit, serta suka duka masih kekal macam dulu sebuah pekan kecil yang sunyi sebaik sahaja malam melabuhkan tirainya. Pekan ini mungkin tidak menarik kepada ramai namun ia hening dan damai. Semoga yang bakal mewaris keheningan pekan kecil ini tidak meninggalkannya untuk mengejar gemerlapan kota.

Pena Tumpul - Teringat kawan-kawan lama di sini yang sudah lama sangat tidak bersua

Friday, March 07, 2014

Tukar


Ada ketikanya saya terfikir melakukan sesuatu yang kelihatannya sudah lapuk ditelan zaman. Antaranya keinginan untuk mempraktikkan semula amalan sistem barter atau tukar barang dalam urusan jual beli. Keperluan untuk sesekali menggunakan sistem yang pernah popular sebelum mata wang diperkenalkan dilihat mendesak bila mana ada orang yang kurang wang tetapi lebih pada yang lain.


Ada yang miskin wang tapi di sisi yang lain kaya dengan batang tubuh yang bertenaga. Kelebihan memiliki keupayaan tulang empat kerat rasanya tidak wajar dipersiakan tetapi perlu dimanipulasi sebaiknya. Saya juga percaya menggunakan wang bukanlah satu-satunya cara yang ada untuk memiliki dan membeli sesuatu. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, sekiranya ada hutang yang memang tidak mampu untuk dilangsaikan dengan wang, ia boleh sahaja dilunaskan dengan kaedah tukar barang ini. Barang tidak juga semestinya ditukar dengan barang apatahlagi wang. Ia boleh juga ditukar dengan perkhidmatan yang tidak melibatkan wang pun.


Saya berdepan dengan seorang yang kelihatannya punya masalah untuk menjelaskan sejumlah wang sebagai harga kepada sebuah barang yang dibelinya. Saya tahu dia memang tiada wang. Namun saya melihat sisi lainnya. Dia masih kuat. Bertenaga. Saya mahu dia menjelaskan hutangnya dengan curahan keringat dari batang tubuhnya. Saya tidak melihat itu satu kesalahan. Dia dapat barang yang diperlukannya dan saya pula dapat khidmatnya. Saya rasa itu adil.


Pena Tumpul - Pernah mencuci pinggan di kedai mamak untuk sepinggan sajian tengahari

Thursday, March 06, 2014

Puas

Seorang taulan lama yang sudah bertahun-tahun tidak saya temui saya kunjungi malam ini. Dia seorang rakan sekelas yang sangat baik dan suka membantu. Pencapaian akademiknya sewaktu dalam kelas agak cemerlang, cuma selepas tamat sekolah saya dan dia terus terpisah dan membawa haluan masing-masing. Cuma sesekali terserempak di kala hari raya.

Dia masih sihat dan nampak sihat. Mengalami sakit-sakit biasa di awal 50an bukanlah luar biasa. Lenguh sana dan sini juga gejala biasa di usia begini. Ia petanda bahawa kita di penghujung usia sebenarnya. Dia masih juga macam dulu. Tutur bicaranya dan mudah mesra. Suka juga berseloroh. Memang sangat selesa kalau bersamanya mendengar celotehnya yang macam tiada penghujungnya. Tidak hairanlah sewaktu di sekolah dahulu, dia sering menjuarai acara syarahan dan debat. Saya jangkakan dia bakal jadi ahli politik hebat suatu hari nanti, namun ia tidak berlaku pun. Dia cuma seorang pemandu lori biasa sahaja. Sudah begitu ketentuanNya.

Bertemunya kali ini dia banyak merungut tentang dirinya yang tidak kena itu dan ini. Kurang itu dan kurang ini juga. Dia seolah-olah menyesali hidupnya. Saya tidak nampak lagi cerianya yang dulu. Begitu juga selorohnya yang dulu. Dia kata makan tidak seselera dan sekuat dulu. Tenaga juga tidak sehebat dulu. Tidor juga tidak senyenyak dulu. Mudah sahaja terjaga di waktu malam, katanya. Dia kelihatannya tidak selesa dengan apa yang di alaminya.

Saya berseoloroh dengannya. Saya kata, kita sudah puas sangat makan. Sudah puas juga berjalan. Sudah puas juga tidor. Sudah setengah abad kita seronok melakukan kerja-kerja itu semua. Sekarang ini kita lakukanlah pula sesuatu yang tidak pernah atau tidak sangat selalu sangat kita lakukan dulu. Ketika kita tidak lagi sangat berselera untuk makan lagi macam dulu, tentunya sangat baik untuk kita berpuasa sunat misalnya. Ketika kita sudah tidak boleh renyah-renyah bergerak macam dulu, pastinya ini masa terbaik untuk kita banyak berdiam di satu tempat dan isikan dengan membaca Quran misalnya. Ketika kita sudah tidak boleh tidor senyenyak dulu dan sering terjaga malam, bukankah ia juga momen terbaik untuk kita melakukan sesuatu yang mungkin tidak pernah kita buat dulu, mendirikan malam dan merapatkan diri denganNya.

Kita, manusia memang tidak pernah puas!

Pena Tumpul - Peringatan buat diri

Wednesday, March 05, 2014

Masak

Mereka bukannya pelajar yang berkaitan dengan hotel dan penyediaan masakan dan makanan. Dalam lain perkataan mereka tidak diajar untuk menjadi seorang Chef  atau Peramusaji.

Pun begitu, bila diberi peluang untuk memperagakan kebolehan mereka dalam memasak, hasilnya memang di luar jangkaan sekali. Mereka bukan dikehendaki menyediakan masakan tradisional tetapi menjangkau masakan dari pelusuk dunia. Masakan yang perlu dihasilkan memang sangat asing. Ada masakan dari Turki, Lebanon, Palestin malah dari Mexico juga.

Mereka diberi kebebasan untuk menginovasikan masakan yang dihasilkan mengikut kreativiti masing-masing dan selari dengan citarasa tempatan. Itulah kelebihan mereka dalam mempamerkan bakat mereka dalam pertandingan "Global Food Cuisine"  yang dianjurkan buat julung-julung kalinya di kampus ini. Dengan 44 penyertaan, suasana sangat meriah dengan pelbagai masakan dan gelagat para peserta. Lebih menarik, dengan kehadiran juri profesional di kalangan Chef dari hotel-hotel berdekatan.

Pena Tumpul - Cuba masakan Mexico

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails