Thursday, April 23, 2015

Berselawat

 Nabi Muhammad Sal-Allahu-alaihi-wa-Salam bersabda “Tiga orang (tiga golongan manusia) yang tidak dapat melihat wajahku, iaitu “Orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya, orang yang meninggalkan sunnahku dan orang yang namaku disebutkan di sisinya tetapi dia tidak berselawat untukku.” 

Saya dan isteri terpanggil untuk turut sama dalam majlis beselawat ke atas Nabi Muhammad yang berlangsung di Dataran Segamat malam ini. Ia sangat bagus kerana kita sama-sama mempamerkan kasih sayang kita kepada Baginda yang telah menyebarkan rahmat Islam kepada kita. Baginda memang patut dingati dengan berselawat kepadanya. Pun begitu, lebih dari berselawat itu ialah tugas kita untuk mengamalkan segala sunnah Baginda.

Mendengar kalimah-kalimah suci dialunkan memuji Nabi Muhammad memang tidak dinafikan sangat menyentuh perasaan. Saya bukanlah pandai sangat Bahasa Arab pun. Tidak semua yang disampaikan mampu saya faham. Saya percaya mereka yang hadir itu tidak faham semua juga. Saya melihat alangkah baiknya kalau sambil selawat di perdengarkan ditayangkan sekali di skrin besar yang disediakan maknanya. Mendengar sambil menghayati tentunya lebih memberi kesan!

Pena Tumpul - Banyaknya ruang kosong

Wednesday, April 22, 2015

Kebaikan

Kata Ustaz yang sempat saya dengar di corong radio pagi ini, kebaikan itu perlu disebar kepada semua orang walau sekecil mana pun. Kita tidak boleh memilih apa, bila dan siapa yang akan menerima kebaikan tersebut kerana kita tidak mengetahui kemungkinan kebaikan tersebut berguna untuk selamatkan kita suatu ketika nanti.

Kita mesti yakin bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan tidak akan hilang begitu sahaja. Malah sekecil apa pun kebaikan tersebut, kita pasti menerima balasannya sama ada di dunia atau pun akhirat. Kebaikan bukan dalam bentuk ibadah ritual semata-mata, bahkan sangat meluas sehingga meliputi semua kebaikan yang kita berikan kepada manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan juga. Sesiapa yang berbuat baik kepada makhluk Allah,kebaikan itu pasti dibalas dengan kebaikan.

Kebaikan juga dapat kita manafaatnya di akhirat nanti. Walau sekecil mana pun kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain, boleh menjadi penyebab kita terselamat daripada api neraka.

Dalam hubungan ini Rasulullah ada bersabda yang maksudnya: "Pada hari kiamat, ahli syurga dan neraka berbaris-baris. Seorang ahli neraka yang melewati seorang ahli syurga tiba-tiba berkata kepadanya, 'Wahai polan,ingatkah engkau suatu ketika engkau pernah meminta air, lalu aku memberi kepadamu? Ahli syurga itu lalu memberikan syafaat kepadanya. Seseorang yang lain berkata kepada ahli syurga yang lain,'Ingatkah engkau,satu ketika aku pernah membantumu dalam urusan bersuci?'Lalu dia memberi syafaat kepadanya"

Pena Tumpul - Beri ayam makan pun kebaikan

Tuesday, April 21, 2015

Basikal

Saya meletakkan sebuah basikal buruk di perkarangan rumah sebagai bahan perhiasan. Basikal itu masih boleh digunakan cuma ada sedikit-sedikit yang perlu dibaiki di sana sini. Ia sudah berada di situ hampir lima bulan dan tidak pernah mengundang sesiapa pun untuk mengambilnya apatah lagi mencurinya.

Saya selalu percaya bahawa ada yang Maha Besar yang sentiasa menjadi pelindung dan pemerhati. Bertolak dari keyakinan itu saya biarkan saja basikal di situ tanpa dikunci pun. Basikal itu selamat. Saya lega dan kagum kerana tidak ada pencuri hak orang di kalangan saya.

Saya silap sebenarnya. Tidak semua orang berfikiran seperti saya. Tidak semua orang menghormati kepunyaan orang lain. Petang ini, saya melihat sesuatu yang agak mencurigakan. Dua orang budak bermotor hampir berjaya melarikan basikal ini kalau saya alpa pagi ini. Rupa-rupanya basikal buruk ini pun ada yang berminat. Saya belajar satu perkara,bahawa kita tidak hanya boleh bertawakal sahaja mengharap semuanya dariNya. Kita perlu berusaha juga. Ini sejajar dengan hadis Nabi. 

Dilaporkan bahawa seseorang berkata kepada Nabi  “Aku lepaskan untaku dan (lalu) aku bertawakkal ?” Nabi bersabda, “Ikatlah kemudian bertawakkallah kepada Allah.” (HR. Tirmidzi dan dihasankan Al Albani dalam Shohih Jami’ush Shoghir).

Dan, hasilnya petang ini basikal itu sudah pun berkunci dan saya harap dia selamat di situ. Selebihnya saya serahkan kepadaNya. Baru betul!

Pena Tumpul - Teringat naik basikal sejauh 10 km masa kerja sambilan cuti sekolah

Sunday, April 19, 2015

OPAL

Saya menghadiri satu taklimat tentang kaedah baru menilai prestasi kakitangan. Taklimat OPAL atau singkatan kepada online Performance Apparaisal adalah kaedah penilaian prestasi kakitangan melalui talian. Sekarang ini semuanya sudah bertukar kepada talian dan di hujung jari. Tidak perlu pakai borang lagi. Tidak perlu kertas dan tidak perlu pen.

Taklimat disampaikan oleh Prof Dr Junaidah Ariffin dari UiTM Shah Alam yang bertanggungjawab membangunkan sistem ini.
Walaupun kaedah baru ini mampu memudahkan penilaian disamping menjimatkan masa, namun sesuatu yang baru pasti ada yang kurang di sana sini. Yang paling ketara kelembapan internet yang menganggu kelancaran memuat naik maklumat ke dalam sistem.

Walau apa pun sesuatu yang baru dan asing lambat laun akan jadi biasa dan memudahkan berbanding sebelumnya. Perubahan cuma sukar diterima di awalnya sahaja.

Pena Tumpul - Alah bisa tegal biasa

Friday, April 17, 2015

Lidah


Lidah seperti sebilah pedang, sarungkanlah agar terselamat daripada hirisannya.


Sepotong mutiara di atas saya petik daripada buku yang baru saya temui dan amat seronok membacanya. Penuh dengan cerita-cerita yang membangkit rasa. Tidak rugi memilikinya. Penulisnya mencungkil rahsia di sebalik kitab himpunan Hadis Qudsi karangan Imam al-Ghazali, al-Mawa’iz Fil Ahadis al-Qudsiah. Buku ini menterjemahkan mutiara peninggalan Rasul itu dengan mengaitkan kisah-kisah yang menarik untuk dijadikan wake-up call kepada saya dan sesiapa yang merasakan diri kadang-kala alpa tentang agama. Kealpaan yang mengheret kita ke jalan yang ‘mungkin’ lurus tetapi sebenarnya tidak betul! Ada 39 lagi mutiara yang sedang saya santap dengan lazat untuk rohani yang lapar ini.


Alhasan berkata Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sejahat-jahat manusia ialah yang bermuka dua, mendatangi dengan satu wajah dan yang satu wajah dan siapa yang mempunya dua lidah didunia maka Allah s.w.t. akan memberikannya dua lidah api dari api neraka."
Hammad bin Salamah berkata: "Seorang menjual budak, lalu berkata kepada pembelinya: "Budak ini tidak ada cirinya kecuali suka adu domba." Maka dianggap ringan oleh pembeli dan tetap dibeli, dan setelah beberapa hari ditempat majikannya, tiba-tiba budak itu berkata kepada isteri majikannya: "Suamimu tidak cinta kepadamu dan ia akan berkahwin lagi, apakah kau ingin supaya ia tetap kasih kepadamu?"

 Jawab isteri itu: "Ya." "Lalu kalau begitu kau ambil pisau cukur dan mencukur janggut suamimu yang bahagian dalam (dileher) jika suamimu sedang tidur." kata budak itu. Kemudian ia pergi kepada majikannya (suami) dan berkata kepadanya: "Isterimu bermain dengan lelaki lain dan ia merencanakan untuk membunuhmu, jika engkau ingin mengetahui buktinya maka cuba engkau berpura-pura tidur."

Maka suami itu berpura-pura tidur dan tiba-tiba datang isterinya membawa pisau cukur untuk mencukur janngut suaminya, maka oleh suaminya disangka benar-benar akan membunuhnya sehingga ia bangun merebut pisau itu dari tangan isterinya lalu membunuh isterinya. Oleh kerana kejadian itu maka datang para wali (keluarga) dari pihak isterinya dan langsung membunuh suami itu sehingga terjadi perang antara keluarga dan suku suami dengan keluarga dan suku dari isteri.


Begitulah bahana lidah yang tidak bertulang!

Pena Tumpul - Tanam lidah buaya

Thursday, April 16, 2015

Syukur

Masa berlalu begitu pantas kerana diam tidak diam umur sudah mencecah angka 54. Pun begitu bersyukur kepadaNya yang terus memberi kesempatan kepada hambanya ini untuk menghirup udara segar milikNya. Berpijak di atas bumiNya. Berlindung di bawah langitNya.Menikmati rezeki kurniaanNya. Moga umur sentiasa diberkati. Kalau pendek, bermanafaat dan kalau panjang melimpahkan kebaktian.

Saya meraikan ulangtahun kelahiran untuk kesekian kalinya bersama Hafiz lagi, anak saudara yang kebetulan dilahirkan pada tarikh yang sama sembilan tahun lalu. Sejak beberapa tahun lalu, sudah menjadi tradisi pula untuk kami berdua menyambutnya bersama. Kalau tidak, ada sesuatu yang dirasa bagaikan tidak kena. Pada awalnya bercadang untuk tidak meraikannya, namun keputusan dibuat disaat-saat akhir majlis sambutan perlu diadakan. Bukan sangat untuk saya tetapi untuk Hafiz. Kesian dia, kalau tahun ini tiada sambutan untuknya seperti selalu.

Sambutan yang amat sederhana namun cukup bermakna diadakan juga. Makanan yang sekadarnya sahaja. Isteri tahu kesukaan suaminya lalu mee goreng mamak disediakan. Mak pula faham sangat anaknya ini suka agar-agar santan. Kedua-duanya sedap. Itu sahaja. Namun Hafiz lebih gembira kerana hadiah dari saya. Pun begitu masih merengek kerana tidak dapat apa-apa dari ayah dan ibunya.

Nikmat Tuhan yang manakah yang hendak kita dustakan?

Pena Tumpul - Umur umpama harta, bukan banyaknya yang jadi perhitungan, tetapi keberkatannya

Monday, April 13, 2015

Memujuk


"Sebenarnya tanpa kita sedari, kita terlibat dalam aktiviti berunding dan memujuk sejak kita keluar dari kantung perut ibu."

Itu pandangan penulis buku Pengaruh Gaya Trump yang sedang saya baca sekarang. Ia diperkukuh dengan kenyataan Trump sendiri bahawa dengan menangis ia berjaya memujuk ibunya untuk menyusukannya yang sedang lapar. Yang pasti bukan Trump sahaja yang berjaya melakukannya malah kita juga.

Lazimnya untuk mendapatkan sesuatu. kita perlu memujuk lebih dari sekadar meminta. Kalau setakat meminta, permintaan akan tetap tinggal permintaan. Adakalanya kuasa memujuk pun belum cukup untuk mengkotakan apa yang kita minta. Memujuk perlu ditukar kepada membujuk. Impak bujuk lebih kuat daripada pujuk.

Seorang budak kecil ini menewaskan saya dengan pujukannya untuk kesekian kalinya. Hafiz tidak pernah gagal untuk mendapatkan permainan yang dimintanya daripada saya. Saya melihat kemahirannya memujuk dan membujuk saya. Dia tahu kelemahan saya lalu menundukkan saya di titik lemah itu. Dia tahu saya tidak pernah marah. Tidak pernah tinggi suara padanya. Saya cukup berlembut dengannya. Namun berbatas.

Hafiz bijak berbahasa badan. Mempamerkan muka kesian. Sayu tetapi tidak sampai menangis. Dia cuma menangis sebagai senjata terakhir untuk melunaskan hasratnya. Itu yang sering dilakukannya dengan ibunya dan ayahnya juga. Pun dalam banyak keadaan, ia masih gagal untuk menundukkan keduanya. Ibunya akan membalas balik dengan secebis cubitan yang amat menyakitkan. Kesian Hafiz, mainan tak dapat, gigitan semut yang mengetip di badan.

Hafiz meleseri saya persis seekor anak kucing manja. Membisikkan kata-kata lembut di telinga. Tiba-tiba menjadi seorang budak baik yang amat mendengar kata. Menawar nak buat itu dan ini untuk saya. Saya tahu Hafiz memujuk dan membujuk saya. Dan, dia berjaya mendapatkan mainannya!

Pena Tumpul - Satu-satunya anak saudara yang amat rapat dengan saya dan kami berkongsi tarikh lahir yang sama

Sunday, April 12, 2015

Doa

Ustazah ini didengar lagi menyampaikan tazkirah lewat corong radio sejurus sebelum solat Zohor. Beliau berbicara tentang doa yang tidak dimakbulkan oleh Allah. Beliau menjelaskan lapan sebab berdasarkan kisah dari Saidina Ali.

Direkodkan bahawa pada suatu hari Sayidina Ali berkhutbah di hadapan kaum Muslimin. Ketika beliau hendak mengakhiri khutbahnya, tiba-tiba berdirilah seseorang ditengah-tengah jamaah sambil berkata,"Ya Amirul Mu'minin, mengapa do'a kami tidak diperkenankan (Allah)? Padahal Allah berfirman di dalam Al Qur'an, "Ud'uuni astajiblakum" (berdo'alah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan kepadamu).

Sayidina Ali menjawab, "Sesungguhnya hatimu telah berkhianat kepada Allah dengan lapan perkara, iaitu :

1. Engkau beriman kepada Allah, mengetahui Allah, tetapi tidak melaksanakan kewajibanmu kepada-Nya. Maka, tidak ada mamfaatnya keimananmu itu.

2. Engkau mengatakan beriman kepada Rasul-Nya, tetapi engkau menentang sunnahnya dan mematikan syari'atnya. Maka, apalagi buah dari keimananmu itu?

3. Engkau membaca Al Qur'an yang diturunkan melalui Rasul-Nya, tetapi tidak kau amalkan.

4. Engkau berkata, "Sami'na wa aththa'na (Kami mendengar dan kami patuh), tetapi kau tentang ayat-ayatNya.

5. Engkau menginginkan syurga, tetapi setiap waktu melakukan hal-hal yang dapat menjauhkanmu dari syurga. Maka, mana bukti keinginanmu itu?

6. Setiap saat sengkau merasakan kenikmatan yang diberikan oleh Allah, tetapi tetap engkau tidak bersyukur kepada-Nya.

7. Allah memerintahkanmu agar memusuhi syaitan dengan berkata, "Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, maka anggaplah ia musuh bagi(mu) karena sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongan supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala" (QS. Al Faathir [35] : 6). Tetapi kau musuhi syaitan dan bersahabat dengannya.

8.Engkau jadikan cacat atau kejelekkan orang lain di depan mata, tetapi kau sendiri orang yang sebenarnya lebih berhak dicela daripada dia.Nah, bagaimana mungkin do'amu diterima, padahal engkau telah menutup seluruh pintu dan jalan do'a tersebut? Bertaqwalah kepada Allah, solehkanlah perbuatanmu, bersihkan batinmu, dan lakukan amar ma'ruf nahi munkar. Nanti Allah akan mengqabulkan do'amu itu.”

Pena Tumpul - Koreksi diri

Saturday, April 11, 2015

Aib

Dalam mesyuarat hari ini saya melihat satu bentuk tindakan yang tidak sewajarnya berlaku. Di hadapan ratusan yang hadir, seorang yang memimpin mesyuarat mengaibkan seorang yang tidak hadir. Apa pun kesalahan yang dilakukan, ia tidak memberi kita tiket untuk menelanjangkan kesalahannya pada orang lain atas apa sebab pun. Aib tetap aib dan perlu disimpan baik-baik. Siapa pun kita dan apa pun kuasa yang kita miliki, aib orang lain memang tidak sangat wajar dicanangkan. Islam melarang keras kita menceritakan aib orang lain, malahan kita juga dilarang menceritakan aib diri sendiri.

Berita gembira bagi orang yang menutup aib orang lain disampaikan oleh Nabi S.A.W. menerusi mafhum sabda baginda “ Seorang hamba yang menutup aib orang lain di dunia, Kelak Allah akan menutup aibnya pada hari kiamat”. (Riwayat Muslim)

Betapa Rasulullah sangat-sangat menjaga aib sahabat-sahabatnya digambarkan dalam kisah ini. Seorang sahabat telah menjemput baginda dan sahabat-sahabat yang lain untuk menikmati hidangan daging unta di rumahnya. Ketika mereka sedang menikmati hidangan, seorang daripada mereka telah membuang angin. Para sahabat cuma berpandangan sesama mereka. Wajah Baginda juga menunjukkan rasa kurang selesa dengan kejadian itu. Apabila masuk waktu solat maghrib, Nabi bersabda,"Sesiapa yang telah memakan daging unta, sila berwuduk". 

Malah, jika kita mendapati saudara kita melakukan perbuatan maksiat seperti minum arak, berzina sekalipun, kita tidak diminta menyebarkannya. Pun begitu, kita masih lagi bertanggungjawab mencegah yang mungkar dan menunjukkan jalan makruf. Dalam hubungan ini Imam al-Syafii pernah berkata, "Sesiapa yang menasihati saudaranya dengan tetap menjaga rahsianya bererti dia benar-benar menasihatinya dan memperbaikinya. Sedangkan yang menasihati tanpa menjaga rahsianya, bererti telah membuka aib dan mengkhianati saudaranya"

Aib diri sendiri juga satu rahsia. Ada orang yang berbangga dengan maksiat dan keburukan yang dilakukan. Islam mengajar kita supaya menutup aib sendiri. Kalaulah Allah ingin membuka aib kita, memang tidak akan tertanggung kita malunya. Tetapi, Allah Maha Pengasih, sebanyak mana pun dosa yang kita lakukan,  Allah tidak mendedahkannya. Oleh sebab itu, janganlah kita pula mendedahkan keaiban kita. Menutup aib ialah perbuatan yang dianjurkan oleh Islam, sekalipun dosa itu besar.

Siapa kita hendak membogelkan aib orang lain!

Pena Tumpul -  Kecewa bila tengok laman sosial dijadikan medan mengaibkan orang

Sunday, April 05, 2015

Hebatkah?

Saya tertarik dengan bicara seorang Ustaz lewat corong radio pagi ini. Kata Ustaz tersebut kita sebagai manusia tidaklah hebat pun berbanding haiwan. Menurutnya, jika manusia kata, “Kami hebat kerana setiap kali kami bangun pagi, kami basuh muka,” kucing pun basuh muka setiap kali bangun tidur. Ada binatang yang apabila bangun pagi, ia akan ludah pada tangannya dan cuci muka. Ada juga binatang yang selepas makan, ia pandai untuk cuci tangannya. Jadi, membasuh muka bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang.

Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami sentiasa mandi,” binatang pun mandi. Ada burung yang mandi di sawah. Jadi, mandi bukan faktor kemuliaan manusia berbanding binatang.

Jika manusia kata, “Kami mulia kerana kami boleh mencari rezeki sendiri,” binatang pun pandai mencari rezeki sendiri. Bahkan mafhum hadis menyatakan, “Jika kamu ada sifat tawakal kepada Allah sepertimana sifat tawakal seekor burung yang keluar dengan perut yang kosong dan balik dalam keadaan kenyang maka Allah SWT akan beri rezeki sepertimana Allah SWT beri kepada burung.” Jadi, kemampuan untuk mencari rezeki bukan faktor kelebihan manusia berbanding binatang."

Jika manusia kata, “Kami hebat kerana boleh bina bangunan di tempat yang tinggi,” burung pun boleh membina sarang di tempat yang tinggi. Semangat untuk membuat kediaman di tempat yang tinggi sama sahaja seperti semangat burung membuat rumah. Jika manusia suka buat rumah yang pelik-pelik, burung pun boleh buat rumah yang pelik-pelik. Jika manusia suka buat rumah dengan pintu yang banyak, lebah pun boleh buat sarang dengan pintu yang banyak. Jika manusia suka letak lampu di dalam rumah, lebah pula akan menangkap kelip-kelip dan mengantungkan di rumahnya sehingga terang.

Manusia hidup berkeluarga dan beranak isteri. Binatang pun berkeluarga dan beranak isteri. Burung siak jantan dan betina sama-sama buat sarang. Kemudian, setelah bertelur, Allah keluarkan anak. Kemudian, pasangan burung tadi pun keluar mencari makanan untuk anak-anak mereka. Jika manusia memikirkan rezeki anak-anak, binatang juga memikirkan rezeki untuk anak-anak."

Apabila manusia semakin besar, mereka mahu menjadi orang besar dan berpengaruh. Ayam jantan juga memiliki keinginan dipandang besar dan berpengaruh. Ayam jantan sanggup bertarung demi menjadi ketua reban walaupun tuan mereka memberikan makanan yang sama banyak kepada mereka. Keldai juga suka bergaduh berebut kandang walaupun mereka tinggal di kandang yang luas. Apabila bergaduh, tentulah ada menang dan kalah. Ayam jantan jika menang, ia akan pergi berkokok dengan memanjangkan lehernya. Ayam lain pun kagum dengan kehebatannya. Jika ada makanan, ia akan terpa makanan itu dahulu dan sanggup menghalau ayam-ayam lain. Ia rasa dirinya besar. Samalah seperti manusia, berebut kuasa, harta dan wanita sama seperti binatang."

Kesimpulannya, jika manusia buat perkara yang binatang boleh buat, itu bukan satu kehebatan.Meskipun begitu, ada satu kelebihan binatang ialah di hari akhirat kelak, mereka tidak akan masuk ke neraka seperti manusia yang ingkar. Di akhirat, mereka akan diberi peluang membalas dendam antara satu sama lain sehingga akhirnya masing-masing menjadi tanah. Namun begitu, manusia yang kafir terpaksa duduk dalam neraka untuk selama-lamanya.

Jadi, apakah kelebihan yang ada pada manusia berbanding binatang dan makhluk-makhluk lain? Jawapannya, kerana Allah meletakkan kemampuan kepada manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini! Peranan kita sebagai khalifah itulah yang menjadikan kita lebih hebat daripada binatang-bintang tadi.

Pena Tumpul - Suka tengok ayam jantan berebut ayam betina

Saturday, April 04, 2015

Kasut


Malam ini berkesempatan bersantai depan tv dan sekaligus menonton sebuah kesah yang dikira menarik lewat sajian TV3. Tajuk ceritanya cukup mudah namun ceritanya meruntun rasa. Temanya mungkin sudah ragat sangat dihidangkan kepada penonton. Kisah anak-anak yang jadi yatim piatu kerana kematian ibu bapa kemudian di bela nenek. Sudah sangat biasa cerita bertema begini. Cuma pendekatannya sahaja yang sedikit berbeza. Menggunakan tajuk "kasut" sebagai intipati cerita, mungkin untuk memancing penonton. Saya lihat ia berjaya di situ.


Selebihnya drama ini masih lagi berada di tahap yang memualkan. Tanpa menunggu hingga tamat pun penghujung cerita sudah boleh diduga. Drama Melayu sukar sangat nampaknya hendak lari dari unsur klise. Awal-awal lagi penonton sudah disuap dan disuap dengan lauk yang serupa. Sepasang suami isteri bergurau senda dalam kereta, suami hilang tumpuan dan.......mati dalam kemalangan. Sudah biasa sangat.


Nenek yang hidup susah melarat meminjam wang dari lintah darat kampung dan setiap hari ditekan dan diasak melunaskan hutang. Kalau gagal, tanah yang dicagar berpindah tangan. Itu juga klise. Dua anak yang bersekolah kesian melihat nenek lalu bekerja mengambil upah untuk membantu nenek. Juga klise.

Lintah darat akhirnya mati dibunuh di hujung cerita. Juga klise bila yang jahat perlu dihukum diakhir cerita dan yang baik dan terseksa di awalnya menang dan senang.

Walaupun sedikit menyesal kerana terheret sehingga ke akhir cerita, namun sedikit berbaloi kerana ada juga pengajaran yang boleh dikutip. Bahawa masih ramai lagi yang melarat hidupnya sehingga untuk memiliki sepasang kasut sekolah baru pun bagai mahu memiliki sebuah kereta mewah. Kalau kita rasa diri kita susah, sebenarnya ada mereka yang lebih susah dari kita. Saya katakan begitu pada Haziq. Budak-budak sekarang tidak pernah tahu kegetiran yang pernah kita harungi dahulu. Pada mereka, apa yang mereka hajatkan perlu ditunaikan oleh ibu bapa dan disajikan di depan mata, walau apa pun cara.

Saya sendiri pernah dibelikan sepasang kasut sekolah plastik berjenama Fung Keong ketika ramai kawan yang lain melaram bergaya dengan kasut kanvas berlabel Badminton Master, kasut paling popular waktu itu. Alasan ayah waktu itu cukup mudah namun ada rasionalnya. Dengan kasut plastik, saya tidak perlu beli kapor kasut dan ia menjimatkan wang ayah.

Setahun saya bertahan dengan kasut sekolah plastik itu!

Pena Tumpul - Terima kasih ayah kerana tidak meletakkan saya dalam zon selesa dulu


Friday, April 03, 2015

Dagang

Hafiz hairan bila melihat seorang lelaki yang lalu di depannya dalam sebuah pasaraya dengan berjubah dan berserban. Di sampingnya pula seorang wanita (isteri pastinya) juga berjubah hitam dan bertudung litup dan cuma menampakkan mata sahaja.Dua orang kanak-kanak lelaki yang mengekorinya juga berpakaian seperti bapanya.

Hafiz yang berusia sembilan tahun belum cukup berilmu untuk memahami apa yang dilihatnya. Apa yang dilihatnya tentunya sangat asing justeru apa yang dia selalu lihat bukan begitu. Inilah realitinya. Seseorang yang benar-benar berpegang  dengan ajaran Islam dilihat pelik dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman.Mereka yang menutup aurat dilihat kolot dan tidak moden berbanding dengan mereka yang berpakaian yang menjolok mata.

Justeru itu Rasulullah pernah mengingatkan kepada kita mengenai tibanya zaman di mana Islam dianggap asing oleh masyarakat sekeliling sebagaimana zaman permulaan Islam dahulu. Pada masa itu orang yang mengamalkan Islam dianggap asing. Orang yang menyeru kepada kebaikan dianggap ketinggalan zaman, orang yang mencegah kemungkaran dianggap menjaga tepi kain orang atau tuduhan-tuduhan seumpamanya. Pada hari ini kita telah merasai keasingan Islam itu.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing sebagaimana ia bermula maka beruntunglah orang yang asing. Sahabat-sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, siapakah orang asing itu?" Rasulullah  menjawab: "Orang yang melakukan pembaikan(islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa."


Penilaian dunia menganggap bahawa golongan asing ini bakal tewas dan terlepas peluang-peluang duniawi,tetapi penilaian Rasulullah tidak begitu. Sebaliknya menurut baginda, golongan yang dilihat asing inilah yang beruntung. Mereka lebih rindu akan janji syurga yang abadi dan tidak pernah terliur dengan tawaran-tawaran duniawi yang sementara ini.

Asingkah kita?

Pena Tumpul - Melihat diri

Thursday, April 02, 2015

Hujan

Hujan yang tidak henti-henti sejak awal pagi mengingatkan saya ketika membesar di kampung dulu. Ada cerita menarik yang tidak mudah untuk dilupakan.


Seronoknya setiap kali hujan turun waktu itu. Lagi lebat lagi bertambah seronoknya. Mana tidaknya kerana bermain bola dalam hujan memang amat menyeronokkan. Ketika usia 9 tahun apa lagi lah yang difikirkan kecuali bermain. Bila cuti sekolah buku tidak disentuh langsung. Sehari suntuk bermain. Penat bermain bola, main "jebat". Kadang-kadang main sorok-sorok. Kalau tidak dijerit, makan pun sampai tak kisah sangat. Bermain dan bermain.

Namun pengalaman tinggal sehari dua dengan Mak Itam cukup "menakutkan". Semua tahu Mak Itam memang bengkeng. Kalau sudah berleter dan marah, saya dan abang saya pasti kecut perut. Itu belum lagi dengan cubitannya diperut. Bukan kepalang bisanya. Satu petang itu kami sengaja nak tunjuk degil. Main bola bagai tak nampak hujan. Mak Itam sudah menjerit bagaikan halalintar kuatnya. Kami buat tak dengar sahaja.

Sampai di rumah Mak Itam dilihat macam singa lapar. Kami berdua betul-betul takut. Tidak berbunyi sedikit pun. Nah, cubitan demi cubitan singgah di perut. Kami sudah menjangkakannya. Kami tahu Mak Itam diberi mandat oleh emak dan ayah untuk buat begitu pada saya berdua.

Peristiwa ini sudah 40 tahun berlalu namun ia tetap segar dalam ingatan. Seronoknya di zaman kanak-kanak!

Pena Tumpul - Mak Itam pun dah tua sekarang

Wednesday, April 01, 2015

Hak

Kita selalu menyalahkan anak kita kalau dia degil dan tidak mengikut kata. Kadang-kadang bukan sahaja anak yang kita marahi malah sesekali rotan singgah di batang tubuh. Jarang sekali kita ingin menyalahkan diri sendiri di atas kelakuan anak kita yang sukar diurus itu.

Sebenarnya kita sebagai bapa juga wajar disalahkan. Saya didengarkan kisah ini melalui radio pagi ini. Ia tentang Saidina Umar yang didatangi  seorang lelaki mengadu perihal anaknya yang didakwanya derhaka kepadanya. Umar memanggil anak yang di-katakan derhaka itu. Khalifah mengadili anak itu secara berhadapan dengan ayahnya.

Dalam majlis pengadilan itu, si anak meminta khalifah menyatakan hak anak terhadap ayahnya. Khalifah Umar menyatakan bahawa: "Antara hak-hak anak terhadap ayahnya adalah ayah hendaklah mencari isteri yang baik untuk menjadi ibu kepada anak-anaknya yang bakal lahir ke dunia.
"Setelah anak itu lahir, hendaklah si ayah memberikan nama kepadanya dengan nama yang baik. Dan setelah anak itu besar, hendaklah diajar membaca al-Quran".

Mendengar yang demikian, si anak lantas berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Itu semua tidak ada yang dia laksanakan. Ibuku dicarinya dari orang Majusi. Namaku dibuatkan Jaklan dan aku tidak diajarnya membaca al-Quran".

Khalifah Umar melihat ke arah lelaki yang membuat aduan sambil berkata kepadanya: "Apakah engkau datang ke sini untuk mengadu kelakuan anakmu? Ternyata engkau telah derhaka kepadanya sebelum dia derhaka kepada-mu. Engkau telah berbuat jahat kepadanya sebelum dia berbuat jahat kepadamu".

Begitulah besarnya tanggungjawab ibu bapa terhadap anaknya. Sebelum anak itu lahir lagi, kita sudah mempunyai tanggungjawab terhadapnya.Kita mesti mencari ibu yang baik baginya. Kita mesti mencari wanita yang sihat, sempurna dan cantik. Lebih penting lagi, kita mesti mencari wanita yang solehah dan keturunan yang baik.Ketika anak berada dalam kandungan, kita wajib menjaganya dengan baik. Si ibu mesti memakan makanan yang baik lagi halal.Jika ibunya memakan benda-benda haram, ia akan menjadi darah daging bagi si anak dan akan mempengaruhi jiwanya setelah dewasa nanti.

Pena Tumpul- Patutlah ramai anak yang sukar diurus sekarang

Sambilan

S etelah dua hari bekerja, Haziq mengadu penat. Dia memang ada sebab untuk penat kerana sepanjang bekerja dia memang tidak ada peluang u...