D i luar lingkaran bilik kuliah, banyak yang saya tidak tahu tentang pelajar. Umumnya, pengetahuan saya tentang pelajar berlegar dalam konteks yang terlepas dari daerah peribadi. Saya perlu sangat peduli tentang kehadiran pelajar ke kelas selain memastikan segala tugasan yang diberi dilunaskan. Selebihnya mengharapkan ilmu yang dititis sempurna tercerna dan akhirnya dimanifestasi cemerlang di slip keputusan peperiksaan. Itu sahaja. Saya tidak pernah dijolok minat untuk mengetahui lebih daripada itu apatah lagi yang menyangkut peribadi.Saya tidak perlu untuk peduli dan endah pun. Namun hari ini menyaksikan saya berdepan dengan dua orang pelajar yang menemui saya bercakap tentang peribadi selain seorang lagi yang meninggalkan saya dalam keraguan dan persoalan yang tidak terjawab sampai kini. Seorang pelajar ini marayu-rayu meminta belas diberi lebih masa untuk menyiapkan tugasannya. Dia mempersembahkan bahan bukti yang cukup bodoh dan membodohkan. Surat yang menerangkan masalah yang d...