Skip to main content

Sindrom "Yes Boss"

Orang kita sememangnya begitu berat untuk tidak bersetuju apatah lagi mengatakan “tidak” “tidak boleh” lebih-lebih lagi apabila berurusan dengan bosnya. Itulah dilemma orang kita (lebih-lebih lagi orang Melayu) sebenarnya. Kesan penjajahan Barat boleh dilihat menyumbang kepada sindrom pak turut ini. Orang Melayu telah dididik untuk sentiasa patuh kepada arahan ketuanya dulu yang rata-ratanya orang putih.

Apa sahaja yang keluar dari mulut bos semuanya dianggap betul walaupun jauh
di sudut hati memberontak tidak setuju namun kerana terlalu patuh kepada bos semuanya di diamkan sahaja.

Amalan ini semakin dikukuhkan lagi dengan budaya kita yang tidak merestui sebarang bentuk tindakan dan tuturkata yang dilihat sebagai cuba untuk melawan bos.
Mengengkari kata-kata bos akan dicap sebagai kurang ajar dan dilihat seolah-olah hendak berlagak pandai daripada bos.

Setuju atau tidak setuju terpaksa ditelan walaupun pahit bak hempedu dan masam bak cuka. Membantah bermakna menjerat diri. Kedudukan bagaikan telur di hujung tanduk menuntut lebih baik bersetuju sahaja atau paling tidak pun berdiam diri sahaja.
Justeru diri yang bagaikan mentimun dengan durian. Di golek luka, menggolek pun luka.

Sindrom “Ya Bos” “OK Bos” “No Problem Bos” “Tanggung Beres Bos” yang telah bersemadi terus menebal dan sukar untuk dikikis lagi. Kita semakin selesa dengan amalan ini yang sudah menjadi semacam budaya ini.

Kita terus beranggapan selagi apa yang kita lakukan “menyedapkan hati” bos, dan bos pula tidak sampai menggugat periuk nasi kita, biarkan sahajalah seperti Si Luncai terjun dengan labu-labunya.- biarkan! biarkan!

Lagi pun tidak semua bos mudah menerima teguran dan pandangan orang bawahannya. Tidak kurang yang melenting bila sebarang idea yang mereka hamburkan tidak dipersetujui dan tidak disenangi oleh orang di bawahnya. Pada golongan bos sebegini, idea mereka sahaja yang dianggap betul – bertepatanlah dengan ungkapan “Bos selalunya betul!”
Kalau ada seorang dua orang bawahan yang agak lantang dan celupar sedikit, terus sahaja dianggap devian malah dianggap sebagai kambing hitam dalam organisasi tersebut.

Budaya “ya bos” ini terus subur di tempat kerja lebih-lebih lagi dalam iklim autokratik. Pandangan orang bawahan selalunya dipandang sepi dan kalau pun diterima akan disejukbekukan atau diperam sahaja.

Justeru ingin menjaga hati bos juga, orang kita selalunya lebih rela memendam rasa dan memakan diri. Melanggar pantang orang kita, untuk menyanggah kata-kata tuannya. Yang penting hati dan perasaan bos perlu dijaga jangan sampai terguris hatinya dek kata-kata kita yang mungkin agak keterlaluan. Lalu berlakulah selepas itu di depan lain, di belakang lain. Rumah dah siap tapi pahat masih terus kedengaran berbunyi.

Di depan bos, kita bersetuju separuh mati tetapi sebaliknya di belakang bos kita mengutuk tidak henti. Itulah budaya orang kita. Biar manis dipandang mata tetapi di dalam hati memberontak dan meronta.

Tengoklah sendiri bila tidak lama dulu ada menteri yang melenting apabila kementeriannya tidak habis-habisan ditegur dan sampai sanggup pula agar jangan diusik kementeriannya!

Kalau gejala ini dibiarkan berlaku amat dikuathiri, orang kita akan terus diselubungi rasa takut untuk bersuara dan melontarkan apa yang terpendam di dalam dada. Orang kita akan dihinggapi sindrom takut menegur bosnya. Yang tidak kena dirasa akan dilihat selesa dan yang tidak sedap di pandang mata akan dibiarkan membiak tumbuh melata.

Projek-projek yang pernah menggemparkan kita dahulu seperti MRR2 sepatutnya tidak sampai begitu kesudahannya sekiranya ada pihak yang tampil ke muka sebelum projek itu dijadikan nyata. Di peringkat awal, sebelum projek dilulus untuk dilaksana,kalau ada pihak yang lebih tulus untuk mencetus, MRR2 akan tertegak tanpa orang ramai menanggung duka nestapa.

Jom ayuh kita keluar dari kepompong “ya bos” yang merugikan dan sudah tidak relevan lagi dalam era globalisasi yang menuntut percambahan idea yang tangkas dan tuntas. Saranan Timbalan Perdana Menteri menjadi petunjuk cukup jelas bahawa beliau mahu amalan “ya bos” ini dinyahkan dalam konteks hubungan tuan dan orang bawahannya. Kita mahu lebih ramai Hang Nadim dilahirkan untuk menjadi pemacu dalam menjayakan misi nasional RMK9. Namun perlu diingat jangan pula sampai kita membunuh Hang Nadim hanya kerana dia dilihat lebih bijak daripada kita!

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...