Skip to main content

Belasungkawa

Saya mendapat khabar sedih pagi ini. Tok Uda dijemput Ilahi di usia 80an. Allahyarhamah Jaharah bt Montok adalah adik kepada Atok Dolah. Sebagai atok saudara, Tok Uda memang amat rapat dengan kami. Malah kami amat senang dengannya.Beliau mudah diajak berbual, mudah mesra dan kami sebagai cucu cukup selesa dengannya. Kini segalanya tinggal kenangan dan bakal terpahat dalam sejarah keluarga kami.

Saya secara peribadinya sudah mula rapat dengan Tok Uda sejak kecil lagi. Kata emak, saya sentiasa merengek minta di dokong oleh Tok Uda. Setiap kali berpeluang bersama Tok Uda, selalunya Tok Uda tidak berhenti mengungkit kisah silam saya yang begitu rapat dengannya. Saya cuma mampu tertawa mendengar Tok Uda bercerita. Kata Tok Uda, ketika banjir besar 1971 dulu, Tok Udalah yang mendokong saya merandai air menuju ke pusat pemindahan. Air dikatakan naik mendadak malam itu. Kisah yang satu inilah tidak pernah lekang dari mulut Tok Uda dijadikan bahan cerita setiap kali kami bersama.

Saya jumpa Tok Uda buat kali terakhir Hari raya yang lalu. Tok Uda sudah nampak sangat uzurnya. Dia cuma mampu mengesot dan sudah tidak cukup kuat untuk berdiri lagi. Tok Uda sudah kelihatan begitu payah untuk mesra macam dulu lagi. Tiada lagi jenaka lucu dari Tok Uda.
"Entahlah, atok pun tak tahu, raya tahun depan..ada ke tidak lagi", rintihan Tok Uda menyentap hati kecil kami.Beberapa bulan yang lalu, Tok Uda dilaporkan sudah kembali pulih dan sudah boleh berjalan semula. Selepas itu tiada lagi khabar baru tentang Tok Uda. Tok Uda pastinya cukup gembira duduk di rumah barunya. (nota: Tok Uda dikurniakan rumah PPRT).

Hari ini pukul 7 pagi Tok Uda meninggalkan kami buat selama-lamanya. Meninggalkan Atok Dolah dan Atok Usu. Kami akan merindukan gelak tawa dan gurau senda Tok Uda.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Tok Uda, Amin..

Pena Tumpul - Rindu ketupat palas Tok Uda

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...