Skip to main content

Pulih

Berat mata yang memandang bahu yang memikul pastinya terasa lebih lagi beratnya. Taman Segar dan taman-taman lain sekitarnya merupakan kawasan paling teruk dilanda banjir. Saya melihat dengan belas "kesakitan" mangsa banjir. Saya tidak mampu untuk berbuat lebih dari itu selain daripada "memakai kasut mereka". Mereka tiada pilihan. Mahu tidak mahu mereka perlu menerima hakikat bahawa rumah mereka berpalit lumpur dengan banyaknya barang yang musnah. Dari dalam kereta saya melihat kekuatan semangat mereka menerima dugaan ini. Rasa simpati saya merentas warna kulit dan kepercayaan.

Bukannya mudah untuk menelan ujian seberat itu untuk kali kedua dalam tempoh lima tahun. Luluhnya hati melihat timbunan perabot yang musnah di depan setiap rumah yang sempat saya lalui petang ini. Sebelumnya hampir sehari suntuk saya meringankan tulang empat kerat saya setakat mampu membersihkan Sekolah Rendah Convent yang turut terjejas teruk dilanda banjir.

Pastinya banyak kerugian yang ditanggung. Mereka tidak pernah meminta ini semua berlaku namun kuasa Maha Pencipta mengatasi segala-galanya dan semua perlu akur dengan kudrat dan iradatNya.

Berulang-ulang kali saya memanjatkan rasa syukur kepadaNya.


Pena Tumpul - Penat tetapi puas dapat memberi "sedikit" bantuan

Comments

Salam Tuan Kamil,

Syukur alhamdulillah, banjir telah mulai surut. Sebagai ibubapa yang punya anak terlibat dalam musibah ini serasa tidak sabar untuk menghantar pulang anak ke rumah sewanya di bandar Segamat.

Menjadi pelajar NR buat pertama kali, merasa susah senang tinggal menyewa di luar kampus kerana tidak mendapat kolej, bersemangat mecari ilmu bersama rakan serumah demi menyelesaikan semester akhir seakan tergugat apabila diduga Allah dengan sedikit kesusahan akibat banjir.

Setiap hari menanti dan berdoa agar banjir cepat surut dan jalan yang terputus segera pulih kerana terbayangkan kerosakan dan kemusnahan yang bakal menanti akibat barangan peribadi terendam sekian lama dalam air bah.

Suatu kejutan bagi anak2 ini yang julung kali merasa sendiri apa erti sengsara yang melanda insan lain yang turut terlibat. Semangat meneruskan pengajian apabila selesai cuti mid sem sedikit tergugat bila mengenang buku-buku yang baru dibeli telah musnah, dokumen penting serta pelbagai barang keperluan mungkin rosak. Masyallah, siapalah kita yang mampu menentang ketentuan Allah swt.

Sebagai ibubapa kami sentiasa terus meniupkan semangat, membantu seberapa mampu dan memohon kiranya ada sedikit bantuan atau prihatin dari pihak UITM sendiri meninjau sebarang keperluan anak-anak ini serta mereka yang terlibat khususnya kakitangan UITM sendiri.

Mudah-mudahan segala permasalahan dapat diatasi dan berkat sabar segala yang terjadi akan menjadi pelajaran dan pengajaran buat kita semua.

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...