Skip to main content

Taubat

Selalu kita dengar ungkapan pintu taubat sentiasa terbuka selagi ruh belum berada di kerongkongan atau matahari terbit dari barat. Allah memang sentiasa membuka pintu taubat untuk hambanya yang diketahuinya tidak pernah terlepas dan terlalai dari membuat dosa kecil atau besar.

Ustaz Zaharuddin dalam Tanyalah Ustaz hari ini membawa kisah yang sangat menarik dan tidak pernah saya dengar sebelum ini dalam bicaranya tentang taubat pagi ini. Ia tentang seorang remaja bernama Tha'labah.

Tha'labah ialah salah seorang daripada para sahabat Nabi SAW. Seorang pemuda yang punya misi dan visi yang sangat agung, terang lagi jelas. Tiada suatu pun yang mampu membuatkan matlamat hidupnya goyah sehinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Tha’labah merupakan pemuda yang begitu hebat di zaman Rasulullah SAW. Nama sebenarnya ialah Tha'labah bin Abdul Rahman, seorang remaja berusia 17 tahun.

Setelah memeluk Islam, beliau selalu mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW akan khabarkan kepada Tha'labah dan Tha’labah akan menunaikannya.

Suatu hari Rasulullah menyuruh Tha'labah mencari sesuatu. Ketika dalam pencarian barang yang Rasulullah hajati itu, Tha'labah telah melalui beberapa deretan buah rumah.

Entah bagaimana salah sebuah rumah yang dilaluinya itu pintu belakang rumahnya tiba-tiba terbuka. Angin yang bertiup membuatkan pintu bilik air rumah tersebut juga turut sama terkuak lebar. Ketika itu Tha'labah dengan tidak sengaja terpandangkan ke arah bilik air tersebut lalu terlihatlah akan dia seorang perempuan sedang mandi.

"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan orang yang berbuat dosa! Ya Allah ...Begitulah rintihan Tha'labah sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di puncaknya ada sebuah gua. Tha'labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik menangis.

Tha'labah menangis dan menangis, beliau kesal yang amat sangat dengan dosanya itu. Walhal segala apa yang berlaku itu bukanlah disengajakannya.

Pada masa yang sama, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tha'labah. Sudah beberapa hari berlalu, namun Tha'labah tidak kunjung tiba. Lalu Rasulullah SAW mengarahkan Syaidina Umar r.a untuk mencari Tha'labah.

Akhirnya Syaidina Umar al-Khatab berjumpa Tha'labah di tempat persembunyian di puncak bukit itu.

Umar berkata "Tha'labah, Rasulullah mahu berjumpa kamu."

"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang dosaku? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk neraka, aku tidak mahu masuk neraka," kata Tha'labah dalam ketakutan yang amat sangat.

Oleh kerana Tha'labah sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar r.a memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tha'labah, Tha'labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tha'labah.

Tetapi Tha'labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tha'labah?"

"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini tidak layak untuk berada di ribamu," kata Tha'labah.

"Apa yang kamu mahu Tha'labah?"

"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan Allah"


"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"

"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."

Lalu Rasulullah SAW berkata, "wahai Tha'labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah bukti taubatmu."

Tidak lama selepas itu, Tha'labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di riba Rasulullah SAW.

Ketika mayat Tha'labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan, Rasulullah SAW pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada Rasulullah untuk rapat ke kubur Tha'labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah berjalan merapati kubur Tha'labah dalam keadaan perlahan dan seperti tersekat-sekat.

Sahabat-sahabat bertanya, "wahai Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak selesa?"

Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tha'labah ke kubur."

Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama Tha'labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak sengaja terpandangkan perempuan yang sedang mandi. Hingga menyebabkan beliau begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan akhirnya menghembus nafas terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan.

Lihatlah dari kisah remaja bernama Tha’labah ini, betapa dengan hanya terpandangkan wanita mandi itu pun dirasakan ia sudah berdosa besar dan tidak layak diribai oleh Nabi. Bagaimana pula dengan kita?

Layakkah kita?

Pena Tumpul - Terima Kasih  Ustaz

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...