Skip to main content

Tarawih


Sejak empat malam yang lalu saya menunaikan sembahyang sunat tarawih di masjid-masjid yang berlainan. Ia menjadi begitu kerana Gudang Garam sedang memberi laluan kepada sebuah pembinaan masjid yang baru. Saya kira inilah masanya yang sesuai untuk berhijrah dari masjid ke masjid sepanjang bulan puasa ini. Masjid Segamat Baru menjadi rumah Allah yang pertama untuk saya sempurnakan ibadat ini bersama-sama dengan Haziq, isteri dan emak. Kebetulan saya mengunjungi emak yang menghabiskan masa melayan kerenah cucu-cucunya semalam dua di rumah adik bongsu di taman perumahan di sekitar Segamat Baru. Satu permulaan tarawih yang meruntun keinsafan seorang hamba di sisi Penciptanya. Sembahyang tarawih malam pertama ini menjadi begitu dihayati dengan alunan bacaan menyentuh jiwa insan kerdil daripada seorang Imam yang saya kira bertaraf hafiz.

Malam keduanya saya bercadang untuk berkumpul bersama-sama adik beradik yang pulang dari jauh untuk berbuka puasa bersama emak di Batu Anam. Terkesima dengan aneka juadah yang disajikan di hari pertama berbuka puasa. Tidak putus-putus saya memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi di depan ahli keluarga betapa beruntungnya kita di anugerahkan dengan rezeki yang melimpah ruah. Pelbagai makanan dan minuman. Tidak cukup dengan yang dimasak sendiri oleh emak, masing-masing pulang dengan aneka kuih dan minuman yang dibeli dari bazar Ramadan. Emak pula menyediakan bubur kacang hijau untuk kami semua. Sedap juga, lebih-lebih lagi apabila dapat peluang makan beramai-ramai sekali sekala. Ketika seronok berbuka, tiba-tiba teringatkan arwah ayah yang sudah 10 tahun meninggalkan kami. Saya bertarawih di Masjid Batu Anam yang menyimpan kenangan ketika bertarawih sewaktu zaman kanak-kanak dahulu. Imam Abu Seman masih lagi imam setelah bertahun-tahun. Imam yang diingati kerana bacaan lajunya apabila mengimamkan sembahyang tarawih. Saya masih ingat betapa saya bertungkus lumus untuk menyesuaikan diri dengan momentum imam ini. Malam ini saya masih lagi diimamkan oleh Imam Abu Seman dan saya selesa. Masih lagi ada kelibat Cikgu Kasim, Cikgu Lias dan Bilal Husin.

Di malam ketiganya, tiba-tiba isteri mengadu agak letih dan tidak cukup gagah untuk ke masjid. Saya bercadang untuk ke masjid Lubuk Batu sebenarnya. Lalu sembahyang jumaah di rumah sahaja. Malam tadi, bersama Haziq saya menunaikan ibadat tarawih di Masjid Lubuk Batu. Haziq cukup teruja dengan bacaan Imamnya yang pastinya seorang Hafiz. Ternyata luar biasa rasa dan kesannya berimamkan seorang Hafiz.

Saya melihat perlunya Imam bertaraf Hafiz di masjid-masjid.

Pena Tumpul - Sedang menimbangkan cadangan Haziq untuk menunaikan tarawih di 30 buah surau dan masjid yang berlainan di Segamat ini

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...