Skip to main content

Hikmah

"Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas, berbicaralah dengannya menggunakan perkataan yang lembut, mudah-mudahan dia akan ingat dan merasa takut" (Surah Taaha:43-44).

Kata Ustazah lewat program Halaqah, Hasan dan Husin memerhatikan seorang tua mengambil wuduk dan menyedari sesuatu yang tidak betul pada cara wuduknya. Kedua-duanya ingin menegurnya namun dihinggapi ketakutan yang melampau serta bimbang teguran nanti bakal mengguris hati orang tua tersebut. Lantas keduanya memikirkan jalan yang amat terbaik. Hasan menyuruh Husin mengambil wuduk seperti mana yang dilakukan oleh orang tua tadi. Hasan menegur Husin dan sekaligus didengari oleh orang tua itu yang pastinya mengerti maksud dan tujuan kedua beradik tersebut. Orang tua tidak terasa, yang muda tidak pula dilihat bagaikan menunjuk pandai. Cantiknya.

Begitulah paparan hikmah. Dalam pengertian yang paling mudah, hikmah itu kebijaksanaan. Namun dalam kebanyakan buku, hikmah itu merujuk kepada sesuatu yang tepat dan betul dari segi percakapan dan perbuatan serta yang paling penting meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dan antara yang amat dituntut dalam hikmah itu ialah sentiasa berlembut dalam percakapan dan tidak sampai menyinggung pihak yang lain. Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus tepung pula tidak tinggal berserak. Indahnya kalau begitu yang dapat kita cernakan dalam tindakan dan tuturbicara kita. Saya sering berdepan dengan situasi yang amat rumit ini. Ditegur salah namun tidak ditegur semakin bertambahlah salahnya. Bak kata pepatah, ditelan mati emak diluah mati bapak. Sukarnya membuat pilihan begini. Tidak ada yang terasa. Begitu juga yang dibelasah rasa kecewa yang menyakitkan. Akhirnya apa yang ingin kita capai ialah pastinya situasi menang, menang.

Pena Tumpul -Peringatan buat diri sendiri yang lupa untuk kesekian kalinya

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...