Skip to main content

Ibu

Saya berpeluang menonton drama televisyen sempena Hari Ibu lewat TV3. Kisah anak- anak yang tidak sepakat dan ibu yang naif. Klise dan stereotaip. Naskhah Rashid Sibir berjudul "Serapuh Arang" gagal menyajikan tema yang mengangkat darjat seorang insan bernama ibu. Seperti biasa Rashid bermodalkan tema yang melankolik disulam dengan lagu mendayu dendangan Kartina Dahari untuk meraih simpati penonton dan sekaligus mengundang rasa sebak.

Seorang ibu yang gigih, lakonan Khatijah Tan, telah bekerja selama 30 tahun di sebuah kilang arang untuk menyara dua orang anak lelakinya setelah kematian suami. Anak sulung, Yusuf sanggup berhenti kerja di bandar untuk menemani ibunya sambil bekerja di kilang arang yang sama. Anak kedua, seorang kontraktor yang kerjanya hanya menuruti kemahuan isteri, bekas penari kelab malam.Si abang menyerahkan wang gajinya untuk disimpan oleh si ibu sebagai persediaan perkahwinan dengan Nor, teman sekerja di kilang arang.. Malangnya, secara diam-diam, si ibu telah menyerahkan sebahagian wang berkenaan kepada si adik kononnya atas dasar pinjaman.

Konflik berlaku apabila tarikh perkahwinan kian hampir dan Yusuf mempersoalkan tindakan si ibu.Elemen kebetulan selalu sahaja digunakan bagi mewujudkan konflik. Nor, tunangan Yusuf, ialah bekas kekasih si adik, manakala Maria, isteri si adik, pernah menjalin hubungan dengan Yusuf. Si adik memiliki banglo dan kereta mewah, tetapi hanya tahu balik kampung memerah wang si ibu dan si abang yang hanya pekerja kilang!

Si ibu yang naif hanya berulang-ulang kali melafazkan bahawa dia memberi kasih sayang sama rata , walhal dia sekadar mahu melindungi perangai buruk si adik. Si abang yang banyak berkorban berasa tidak diumpamakan. Si adik terus mengambil kesempatan.

Klimaks drama bermula apabila si adik termakan hasutan isterinya hingga tergamak hendak membunuh abang kandungnya. Malangnya tusukan senjata terkena si ibu. Sekali lagi kebetulan berlaku, si isteri terpijak benda bergolek, lalu tertusuk senjata yang sama. Penghujung begini memang sudah dijangka dalam drama Melayu. Sesuatu yang bagaikan dibuat-buat. Namun tak apalah, ia tetap berjaya meraih simpati penonton walaupun memualkan. Cumanya mesej Hari Ibu yang sepatutnya menjulang peranan seorang ibu hilang entah ke mana. Ibu tidak sepatutnya dipaparkan mati dalam keadaan yang tragis begitu. Ibu perlu dilihat sebagai insan yang amat istemewa di mata anak-anaknya. Bukan disakiti hatinya apatah lagi sampai dibunuh begitu.

Pena Tumpul - Kasih terhadap ibu tidak pernah luntur dan rapuh

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...