Skip to main content

Drama

Saya menonton drama yang boleh dikatakan menarik lewat TV2. Kebun Getah Tok Ayah membawa tema cerita yang sudah biasa sangat di angkat dan dipaparkan cuma pendekatannya dilihat menarik dan berkesan. Suasana kampung menguatkan lagi drama ini. Ia mengisahkan suami berusia terpikat dengan wanita muda hingga mengabaikan keluarga. Ia bukanlah isu baru pun dalam masyarakat kita.

Meskipun sedar impak yang bakal diterima atas tindakan mereka itu namun sang suami nekad untuk mengecap bahagia bersama isteri muda yang belum tentu menjamin kebahagian berkekalan lama.Keseronokan mengulit bahagia bersama teman baru ‘membutakan mata’ mereka soal tanggunjawab terhadap isteri dan anak-anak yang terbiar tanpa pembelaan. Malah terus luput daripada ingatan tentang kenangan manis yang pernah dilalui bersama.

Kisah bermula dengan babak-babak ketenangan hidup Tok Ayah sekeluarga bersama isteri dikenali sebagai Lijah dan anak tunggalnya, Adam. Begitu pun situasi tenang mula berkocak setelah kehadiran ibu tunggal bernama Hawa dan anak-anaknya, Kamal dan Jamal.

Setelah bertembung kali pertama, Tok Ayah terpesona dengan kecantikan Hawa yang kemudiannya diambil menjadi isterinya. Sejak itu Tok Ayah mula berubah dan mengabaikan terus perhatian dan kebajikan terhadap keluarganya sendiri.

Malangnya, Tok Ayah telah dipaksa oleh Hawa menghantar Lijah ke rumah orang tua atas alasan lebih mendapat perhatian dan jagaan yang sempurna. Sementara itu Adam telah dihalau lebih awal oleh Tok Ayah angkara nafsu jahat Hawa. Segala-galanya dilakukan Hawa untuk memastikan harta milik Tok Ayah tumpas ke tangannya.

Sejak itu sedikit demi sedikit Hawa memasukkan jarum dalam hidup Tok Ayah bagi memenuhi hajatnya membolot harta Tok Ayah. Namun lama-kelamaan, Hawa mula mengabaikan Tok Ayah dan berkawan dengan teman lelaki yang lebih muda, Joey. Baginya keseronokkan hidup hanya apabila meluangkan masa bersama Joey bukan lelaki tua seperti Tok Ayah yang kahwininya kerana harta semata-mata.

Hukum karma berlaku kerana tanpa disedari Hawa, Joey juga berniat jahat terhadap ‘kekasih gelapnya’ itu dan mahu mengikis harta Hawa yang mabuk cinta dengan lelaki muda sepertinya. Pada masa sama, Jamal dan Kamal tidak mampu bersuara kerana seluruh harta Tok Ayah diuruskan oleh Hawa.

Cerita diakhiri dengan kematian Tok Ayah yang menyayat hati dan Hawa yang mengalami tekanan jiwa duduk di rumah orang tua dihantar oleh kedua anaknya. Hawa menerima balasannya "tunai" di dunia lagi. Allah maha adil.

Pena Tumpul - Boko



Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...