Skip to main content

Posts

Showing posts from December, 2010

Jelmaan

M enyaksikan perlawanan bola malam tadi memang menyeronokkan. Selain daripada keupayaan pasukan negara membentengi asakan demi asakan pasukan lawan yang kemaruk gol, tumpuan terpaku kepada kehebatan Fahmi penjaga gol dari Kelantan ini. Saya melihat tanpa Fahmi sebagai penjaga gol, pasukan negara mungkin tumpas lebih teruk daripada itu, bukan setakat dua gol yang terbolos itu. Bukan calang-calang penjaga gol yang boleh menyekat kemaraan bola ke dalam pintu gol dari sepakan penalti. Tetapi Fahmi berjaya melakukannya. Bahkan cubaan demi cubaan yang bahaya juga berjaya ditangkisnya. Satu persembahan yang cukup memukau yang dipamerkan oleh anak muda berusia 21 tahun ini. Melihat kehebatan Fahmi, mengingatkan saya kepada dua nama besar dalam lagenda bola sepak negara. Dua nama yang tidak boleh dilupakan hingga kini, tentunya Arumugam yang mendapat jolokan bertangan panjang dan juga Chow Chee Kiong yang pernah hebat sekitar 70an dahulu. Selepas mereka berdua, pasukan bola sepak negara ketandu

Cicak

M antoba bercerita tentang satu lagi bisnes yang boleh buat duit. Dia pernah bercerita tentang kayu gaharu yang didakwanya mampu memberi pulangan yang luar biasa. Berpuli-puli dia cuba meyakinkan saya untuk turut serta. Seperti cubaannya yang gagal meyakinkan saya dengan gaharunya dulu, saya juga tidak mudah tertarik dengan cerita cicaknya kali ini. Katanya cicak tokek atau gecko boleh mencecah harga hingga puluhan ribu ringgit. Mudahnya untuk dapat duit kalaulah betul begitu pun. Namun selalunya yang dikata tidak semudah yang dilaku. Kalau semuanya begitu mudah, pastinya sudah ramai yang jadi kaya raya dengan pelbagai lagi cerita menarik tentang lintah, cacing, keli yang juga dilaporkan boleh menunaikan impian mereka yang ingin kaya cepat. Hebat sangatkah cicak tokek ini? Saya terus menyelongkar maklumat tentang reptilia ini. Fakta tentangnya memang menarik.Ia didapati mengandungi suatu zat aktif yang mempunyai sifat theurapetik. Zat aktif tersebut yang masih dalam tahap ujian klinika

Bola

S aya menyaksikan Haziq dan mamanya bersorak kegirangan meraikan kehebatan Malaysia menundukkan Indonesia dalam perlawanan bola beberapa hari lalu. Saya tidaklah teruja sangat kerana secara peribadinya minat saya pada bola tidaklah sangat tinggi. Tetapi bila diheret sama oleh Haziq saya tidak berupaya menolaknya. Saya melihat prestasi pemain bola negara kini memang boleh dibanggakan. Suntikan jurulatih Rajagopal memang berkesan menyembuhkan penyakit yang melanda pasukan negara sejak berdekad lalu. Percaturan dengan meletakkan pemain muda juga berbaloi. Persembahan mereka jelas tidak mengecewakan. Sumbatan tiga gol yang membolosi pintu gol lawan ketika semua cemas tanpa sebarang gol di waktu 45 minit awal permainan benar-benar mengejutkan. Namun, jangan terlalu selesa sangat dengan kemenangan ini. Keselesaan bakal mengundang kecundang. Saya masih ingat bagaimana pasukan bola negara tumpas di tangan Indonesia dalam perlawanan ulangan di tempat sendiri walaupun menang di perlawanan pertam

Penduduk

K alau ada yang masih beranggapan bahawa bilangan perempuan melebihi bilangan lelaki ia sebenarnya tidak tepat langsung. Hasil banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 yang telah dilaksanakan pada 6 Julai hingga 22 Ogos 2010 yang lalu mendedahkan penemuan yang amat menarik. Bilangan penduduk lelaki di negara ini sekarang 14,112,667 orang manakala perempuan pula 13,453,154 orang. Ratio jantina secara keseluruhan pula menyaksikan bahawa kini ia adalah 105 lelaki bagi setiap 100 wanita. Jumlah penduduk pula 27.6 juta orang. Dengan kadar pertumbuhan 2.7% dalam tempoh 10 tahun (2000-2010) hasrat negara untuk mencapai 70 juta penduduk menjelang 2010 bagaikan amat jauh dari jangkauan. Statistik tidak pernah berbohong berbanding pandangan mata kasar dan persepsi orang ramai. Kalau benar lelaki memang lebih ramai bilangannya dari wanita, di mana mereka? Yang pasti mereka tidak dilihat ramai di mana-mana pun. Bilangan lelaki semakin menyusut di pusat pengajian tinggi. Malah di mana-mana kelomp

Renyok

"Ini mee rebus ke ?, saya bertanya kepada seorang penjual wanita ini. "Ini mee goreng!!!!, keras sekali nadanya. Saya tau ia memang bernada keras. "Berapa semua?, saya tanya lagi. " Tiga ringgit . Jawapannya kurang jelas kerana dia dilihat acuh tidak acuh pun. Saya bertanya pada Haziq untuk kepastian. Haziq pun tidak jelas. Saya bertanya lagi, "Berapa ya,? " Kali ini dengan nada tingggi dia kata, "Tiga ringgit!!! Saya hampir meletakkan sahaja dua bungkus mee goreng yang saya beli daripada sebuah gerai di pasar malam kalau hati yang diikut dan diturut. Saya ingin memberi pengajaran kepada seorang penjual ini bahawa setiap pelanggan perlu dihormati dan dilayan dengan baik. Berurusan dengan pelanggan bagai acuh tak acuh. Hendak tak hendak. Ditambah pula dengan wajah masam mencuka. Gamaknya bagai ada sesuatu yang mengganggu diri sendiri lantas dipamerkan pula kepada pelanggan yang tidak tahu apa-apa. Mudahnya melampiaskan masalah yang bersarang dalam d

Milo

M acam-macam cara dilakukan kalau hendak untung lebih. Dalam keghairahan dan kehalobaan itu, sudah barang pasti penggunalah yang menjadi mangsanya. Persoalan yang sering kami utarakan terjawab juga. Milo yang tidak berasa M ilo seperti sebelumnya rupanya bukan Milo asli. Ada segelintir yang tidak bertanggungjawab dan hendak kaya cepat memasukkan bahan serupa Milo atau koko tiruan dalam tin Milo kosong. Kemudian godak air Milo dan hidangkan kepada pelanggan. Pandainya mengaut untung dengan mengeksploitasi pengguna yang ditipu hidup-hidup selama ini. Peniaga kedai makanan ini memang banyak muslihatnya. Tentang air Milo ini pun, lain peniaga lain rasanya. Di sebuah warung saya menjumpai secawan Milo yang amat jalang dan nipis. Pastinya Milo yang diguna amat sedikit kuantitinya justeru hendak untung lebih. Di sebuah warung yang lain pula, segelas Milo sesedap rasa dan elok pekat Milonya. Namun harga tetap sama. Itu baru secawan atau segelas air Milo. Saya selalu berpandangan, berniaga per

Pembantu

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada Nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab Nabi s.a.w : “Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur ”. (Muslim) I slam sebenarnya menganjurkan bahawa seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Isteri sepatutnya duduk di rumah mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: Rasulullah bersabda, “Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya”. (Bukhari & Muslim) Pun begitu, tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga. Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu

Puasa

D aripada Abi Qatadah r.a. bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: "Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu ." (Riwayat Muslim) Puasa sunnat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu ke-9,ke-10 dan ke-11. Jika ditunggalkan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi. Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan jangalah menyamai perbuatan orang Yahudi; oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." (Riwayat Imam Ahmad) Semoga diberi kekuatan untuk melaksanakannya. Pena Tumpul - Terima kasih Ustaz Zaharuddin

Tetamu

"لِّلَّهِ ما فِي السَّمَاواتِ وَمَا فِي الأَرْضِ Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah." ( AlBaqarah:284) D unia ini bukan milik kita. Ayat di atas menegaskan bahawa pemilik dan pencipta dunia dan segala isinya adalah Allah. Justeru itu Allah sahaja yang berhak mengaturnya, bahkan Allah sahaja yang berhak membuat jalan. Lalu tentulah tidak kena sama sekali kalau ada yang mendabik dada berkata, " Biarkan saya lakukan dengan cara saya, orang lain tidak berhak campur". Betulkah begitu? Sudah tentu ia bukan begitu. Kita yang hidup di muka bumi milikNya ini tidak berhak pun untuk membuat jalan hidup sendiri. Yang pasti kita hanya dituntut untuk mengikut jalan yang telah ditentukanNya. Tidak sukar pun untuk memahaminya. Ia mudah difaham dengan pengalaman yang pernah kita lalui. Anak kita menemui RM10 di tepi jalan. Ia bertanya., " Bolehkah saya belanjakan duit ini?" Saya pasti jawapan begini akan kita ungkapkan, " Tidak

Memilih

"Sikap memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada sunah perlu diperbetulkan" S ambil marah-marah Pak Ya bercakap tentang pengalamannya menunggu sehingga berjam-jam akan kedatangan seorang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menikahkan anak saudaranya. Upacara yang sepatutnya berlangsung sekitar jam tiga petang tidak seperti yang telah dirancang dan ditetapkan. Seperti biasa soal masa tidak begitu sangat diberikan perhatian oleh orang kita. Dalam banyak keadaan ketepatan masa sering dilihat enteng. Darjah kemarahannya tidaklah tinggi sangat kalau dia bukan berurusan dengan seorang pegawai dari Jabatan Agama ini. Umum selalunya mengharapkan betapa kepimpinan melalui teladan diterjemahkan dengan baik dalam setiap tindakan mereka. Ia membawa imej Islam dan perlu dilihat begitu oleh orang ramai. Tidak boleh diambil mudah kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada orang ramai tentang kita orang Islam dan sekaligus orang Melayu. Pernah seorang Ustaz berbicara p

Peringatan

S ejak beberapa hari yang lalu menelusuri jalan masuk ke UiTM Segamat perhatian kita pastinya akan tertumpu kepada papan-papan tanda di kiri jalan masuk dan keluar. Ia bukan papan tanda biasa-biasa. Papan tanda ini menyedarkan kita agar tidak sangat lalai untuk mengingatiNya saban masa. Ia amat bagus dan terima kasih kepada yang menelurkan usaha mencacakkan papan tanda ini. Allah berfirman; الذّينَ ءَامنُوا وتَطمَئنّ قُلوبهُم بِذِكرِ الله أَلَا بِذِكرِ اللهِ تَطمَئِنّ القُلُوبُ (سورة الرعد : 28) "Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan dzikrullah. Ketahuilah dengan dzikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia .” Papan tanda begini memang sudah sangat biasa kita lihat dicacak di tepi-tepi jalan terutamanya di lokasi-lokasi menghampiri masjid. Saya percaya sesiapa pun yang terpandang papan tanda ini akan terdorong hatinya untuk melafazkan kalimah-kalimah suci ini dan berzikrullah. Malah dilaporkan di tempat-tempat dicacakkan papan tanda begini kadar kemala

Belasah

D ua hari berturut-turut saya "membelasah" tubuh badan saya. Saya ingin memberi sedikit ruang kepada minda untuk berehat pula. Sudah teruk diasak. Kata orang tua badan jangan dimanjakan sangat. Nanti manai, lemah dan tidak bermaya. Sesekali perlu dibelasah. Tidak susah pun. Lihat sekitar rumah. Rumput-rumput tebal dan panjang. Saya perlu "mengerjakan" rumput-rumput itu. Dua jam saya menghepong mesin rumput menulusuri keliling rumah. Memang penat namun kesannya melegakan. Tiada lagi kemuncup yang menyemakkan mata. Paling penting peluh membasahi seluruh badan. Amat menyegarkan. Kegiatan paling mudah dan murah untuk mengeluarkan peluh. Pokok-pokok yang memagari keliling rumah nampak tidak menarik. Daun-daun dan dahan-dahan yang tidak perlu wajar dicantas. Saya memerah keringat dan membanting tulang empat kerat saya. Memang memenatkan malah cukup melengohkan. Namun hati diulit puas kerana pandangan sekeliling tidak lagi memualkan. Pena Tumpul - Suka buat sendiri

Hijrah

Doa Akhir Tahun Maksudnya: Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka. Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu. Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah

Tujuan

P etang ini saya sengaja mencabut tiang gol dan biarkan Haziq dan kawan-kawanya bermain di padang tanpa tiang ini. Saya ingin mengajarnya satu perkara yang cukup penting dalam hidupnya. Haziq agak pelik dan mahukan penjelasan tetapi saya tidak akan menjelaskan apa-apa pun. Selepas beberapa minit saya memanggilnya dan mendapatkan reaksinya bermain tanpa tiang gol. "Ajik tak tahu nak bawa bola ke mana. Nak sepak dalam gol, tiang tak ada. Bawa ajalah bola dan rebut-rebut bersama yang lain " katanya. Dia memberi jawapan yang amat saya harapkan. Mudah bagi saya untuk menjelaskan tujuan saya membiarkan dia bermain tanpa tiang gol tadi. Sememangnya bermain tanpa tiang gol akan mencetuskan beberapa kecelaruan. Bagaimana kemenangan hendak dikira? Ke mana bola hendak dibawa oleh pemain? Di mana pula posisi penjaga gawang? Saya melihat betapa huru-haranya Haziq dan kawannya bermain tanpa tiang gol. Nampak sangat bodoh. Dalam konteks kehidupan kita sebagai manusia begitulah kita kalau di

Pilihan

"Anak ibarat kain putih, coraknya pilihan kita" P etang ini Hafiz menunjukkan saya dan isteri tadikanya. Saya tidak memintanya tetapi dia yang bersungguh-sungguh untuk itu. Dia teruja sangat. "Inilah sekolah Hafiz. Cikgu dia baik. Hafiz suka sekolah ni". Dia belum bersekolah pun lagi di Tadika Khalifah Bestari ini. Dia dibawa ayahnya mendaftar di tadika itu dua hari lalu. Sesuatu yang baru pastinya menyeronokkannya dan suka pula untuk dikongsinya dengan Pak Uda dan Mak Udanya ini. Begitulah gelagat anak kecil. Cukup seronok dengan dunia yang baru dilaluinya. Pada saya ayahnya tidak salah dalam memilih tadika ini untuk anak sulungnya ini. Ia baik untuk pembentukan seeorang Hafiz yang diinginkan. Luarannya Islamik. Dalamnya juga pasti begitu.Saya lihat kurikulumnya. Lengkap dan menyeluruh. Dunia dan akhirat. Ia baik untuk Hafiz. Kata ibunya dia hendak Hafiz pandai membaca, mahir bahasa Inggeris dan pandai solat. Dan boleh juga hafal doa-doa. Saya rasa semua ibu dan b