Skip to main content

Memilih


"Sikap memilih yang senang-senang dan enak-enak sahaja daripada sunah perlu diperbetulkan"


Sambil marah-marah Pak Ya bercakap tentang pengalamannya menunggu sehingga berjam-jam akan kedatangan seorang yang telah dipertanggungjawabkan untuk menikahkan anak saudaranya. Upacara yang sepatutnya berlangsung sekitar jam tiga petang tidak seperti yang telah dirancang dan ditetapkan. Seperti biasa soal masa tidak begitu sangat diberikan perhatian oleh orang kita. Dalam banyak keadaan ketepatan masa sering dilihat enteng.

Darjah kemarahannya tidaklah tinggi sangat kalau dia bukan berurusan dengan seorang pegawai dari Jabatan Agama ini. Umum selalunya mengharapkan betapa kepimpinan melalui teladan diterjemahkan dengan baik dalam setiap tindakan mereka. Ia membawa imej Islam dan perlu dilihat begitu oleh orang ramai. Tidak boleh diambil mudah kerana ia akan memberi implikasi negatif kepada orang ramai tentang kita orang Islam dan sekaligus orang Melayu.

Pernah seorang Ustaz berbicara panjang lebar pengalamannya menunggu seorang penceramah yang datang lewat hampir sejam. Berjubah dan lengkap dengan serban. Berimej Islam. Dalam ceramah yang berdegar-degar itu dia bercakap tentang pentingnya mengikut sunah Rasulullah.
Anehnya tidak sedikit pun dia menyentuh tentang Rasulullah yang begitu mengambil berat tentang masa dan menepatinya.


Kata Ustaz lagi alangkah baiknya jika sunah menepati masa ini dilaksanakan oleh ustaz yang memakai serban dan jubah itu. Tetapi ia tidak begitu.

Selalunya, kita cenderung melihat dari sudut-sudut tertentu yang kita sendiri punya kepentingan. Yang "sesuai" dengan selera dan kecenderungan kita, itu yang diutamakan. Manakala yang perlukan kita bersusah payah, kita pinggirkan, seolah-olah itu bukan sunah.

Sebab itulah makan kismis yang didoakan dilihat lebih penting daripada berusaha menelaaah pelajaran dan memberi tumpuan ketika belajar. Salah memberi keutamaan dalam mengikut sunah!

Pena Tumpul -Potong kuku pun ikut sunah





Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Drama

S aya menonton drama yang boleh dikatakan menarik lewat TV2. Kebun Getah Tok Ayah membawa tema cerita yang sudah biasa sangat di angkat dan dipaparkan cuma pendekatannya dilihat menarik dan berkesan. Suasana kampung menguatkan lagi drama ini. Ia mengisahkan suami berusia terpikat dengan wanita muda hingga mengabaikan keluarga. Ia bukanlah isu baru pun dalam masyarakat kita. Meskipun sedar impak yang bakal diterima atas tindakan mereka itu namun sang suami nekad untuk mengecap bahagia bersama isteri muda yang belum tentu menjamin kebahagian berkekalan lama.Keseronokan mengulit bahagia bersama teman baru ‘membutakan mata’ mereka soal tanggunjawab terhadap isteri dan anak-anak yang terbiar tanpa pembelaan. Malah terus luput daripada ingatan tentang kenangan manis yang pernah dilalui bersama. Kisah bermula dengan babak-babak ketenangan hidup Tok Ayah sekeluarga bersama isteri dikenali sebagai Lijah dan anak tunggalnya, Adam. Begitu pun situasi tenang mula berkocak setelah kehadi...