Skip to main content

Kasut


Malam ini berkesempatan bersantai depan tv dan sekaligus menonton sebuah kesah yang dikira menarik lewat sajian TV3. Tajuk ceritanya cukup mudah namun ceritanya meruntun rasa. Temanya mungkin sudah ragat sangat dihidangkan kepada penonton. Kisah anak-anak yang jadi yatim piatu kerana kematian ibu bapa kemudian di bela nenek. Sudah sangat biasa cerita bertema begini. Cuma pendekatannya sahaja yang sedikit berbeza. Menggunakan tajuk "kasut" sebagai intipati cerita, mungkin untuk memancing penonton. Saya lihat ia berjaya di situ.


Selebihnya drama ini masih lagi berada di tahap yang memualkan. Tanpa menunggu hingga tamat pun penghujung cerita sudah boleh diduga. Drama Melayu sukar sangat nampaknya hendak lari dari unsur klise. Awal-awal lagi penonton sudah disuap dan disuap dengan lauk yang serupa. Sepasang suami isteri bergurau senda dalam kereta, suami hilang tumpuan dan.......mati dalam kemalangan. Sudah biasa sangat.


Nenek yang hidup susah melarat meminjam wang dari lintah darat kampung dan setiap hari ditekan dan diasak melunaskan hutang. Kalau gagal, tanah yang dicagar berpindah tangan. Itu juga klise. Dua anak yang bersekolah kesian melihat nenek lalu bekerja mengambil upah untuk membantu nenek. Juga klise.

Lintah darat akhirnya mati dibunuh di hujung cerita. Juga klise bila yang jahat perlu dihukum diakhir cerita dan yang baik dan terseksa di awalnya menang dan senang.

Walaupun sedikit menyesal kerana terheret sehingga ke akhir cerita, namun sedikit berbaloi kerana ada juga pengajaran yang boleh dikutip. Bahawa masih ramai lagi yang melarat hidupnya sehingga untuk memiliki sepasang kasut sekolah baru pun bagai mahu memiliki sebuah kereta mewah. Kalau kita rasa diri kita susah, sebenarnya ada mereka yang lebih susah dari kita. Saya katakan begitu pada Haziq. Budak-budak sekarang tidak pernah tahu kegetiran yang pernah kita harungi dahulu. Pada mereka, apa yang mereka hajatkan perlu ditunaikan oleh ibu bapa dan disajikan di depan mata, walau apa pun cara.

Saya sendiri pernah dibelikan sepasang kasut sekolah plastik berjenama Fung Keong ketika ramai kawan yang lain melaram bergaya dengan kasut kanvas berlabel Badminton Master, kasut paling popular waktu itu. Alasan ayah waktu itu cukup mudah namun ada rasionalnya. Dengan kasut plastik, saya tidak perlu beli kapor kasut dan ia menjimatkan wang ayah.

Setahun saya bertahan dengan kasut sekolah plastik itu!

Pena Tumpul - Terima kasih ayah kerana tidak meletakkan saya dalam zon selesa dulu


Comments

PENA KASIH said…
Bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian........

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...