Skip to main content

Bantah

" Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila dia ditimpa kesusahan dia berkeluh kesah dan apabila dia mendapat kebaikan dia amat kedekut." ( al-Ma'arij:19:21)
Hafiz yang tidak kebah-kebah demamnya sejak beberapa hari yang lalu membentak-bentak bila ibunya memberinya makan ubat. Tidak cukup dengan itu, terpacul dari mulutnya kata-kata yang tidak enak didengar. "Ibu jahat, ibu jahat!".  Sambil menangis kata-kata itulah yang tidak henti-henti dilemparkan kepada ibunya. Kesian ibunya.

 Saya percaya ketika kita di usia begitu makan ubat bukanlah kita suka sangat. Namun ibu kita tetap juga menyudukan ubat ke dalam mulut kita.

Persoalannya jahatkah siibu kerana memaksa si anak untuk makan ubat. Kelihatannya macam jahat justeru memaksa kita memakan ubat yang tidak sangat kita suka itu. Lebih-lebih lagi kalau pahit rasanya. Siibu tidaklah jahat sebenarnya. Ibu sedang bertungkus-lumus berusaha untuk kebaikan anak.

Saya pujuk Hafiz dan kata kepadanya bahawa ibunya tidak jahat. Ibunya cukup baik kerana ingin melihatnya sembuh dan sihat seperti sedia kala. Namun siapalah Hafiz di usia begitu yang mampu berfikir dan memahami tindakan ibunya sehingga kebaikan dilihat sebagai keburukan. Dia belum dewasa untuk menerima hakikat sebenar di sebalik tindakan ibunya itu. Kebaikan akan dilihat sebagai kebaikan bila si anak kecil menjadi dewasa. Ketika itu barulah dia akan faham dan tidak akan membantah lagi.

Saya belajar sesuatu dan ia amat penting. Kebaikan kadangkala terasa menyakitkan. Dalam kehidupan seharian kita kelihatan seperti anak kecil sebenarnya. Kita mengeluh dan mengeluh. Suara kita bernada bantahan. Kita tidak ubah macam anak kecil. Tidak malukah kita kepadaNya?

Pena Tumpul - Selalu mengeluh panas, ampunkan saya Ya Allah!

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...