Skip to main content

Bising

Baru sehari hujan turun namun sang kodok sudah mula bising-bising. Pastinya ia bersyukur kerana setelah beberapa hari panas terik membakar, bumi dibasahi hujan. Memang kodok cukup seronok kalau hujan turun dan kalau boleh mahu hujan terus turun tanpa henti.

Hafiz yang baru berusia sembilan tahun merasakan dirinya terganggu oleh bunyi kodok yang bersahutan awal subuh tadi. Bunyi bising kodok itu menggangu tidornya. Saya beritau, dia tidak boleh kata begitu. Seperti juga manusia, kodok sebagai makhluk ciptaan Tuhan juga memuji Tuhan dan mengucapkan terima kasih atas nikmat hujan yang diturunkan. Hafiz akur dengan penjelasan saya dan berjanji tidak akan marah-marah kodok lagi. Saya lihat dia menyambung tidornya dalam kedinginan pagi yang cukup menyamankan. Anak kecil seperti ini memang perlu diberitahu.

Namun ada cerita yang lebih mencuit hati fasal kodok ini. Ia diceritakan oleh seorang pakar motivasi ketika saya menghadiri kursus yang dikendalikannya tidak lama dulu. Kisah seorang petani yang datang ke bandar lalu menemui seorang pengusaha restoran dan bertanya sama ada restorannya memerlukan bekalan kaki-kaki katak yang tidak terhingga banyaknya. Dia mampu menyediakannya.

Pengusaha restoran terkejut dan bertanya kepada petani itu dari mana dia boleh dapat kaki-kaki kodok yang sebegitu banyak.

Petani itu berkata, "Ada sebuah kolam dekat rumah saya yang saya yakin dipenuhi dengan berjuta-juta kodok. Hampir setiap malam kodok-kodok ini membuat bising bersahutan sesama sendiri. Saya tak tahan lagi dengan bunyi yang memekakkan telinga ini!

Pengusaha restoran bersetuju dengan tawaran petani itu dan mengikat perjanjian bahawa petani itu perlu menyediakan sejumlah 500 ekor kodok setiap hari untuk beberapa minggu berikutnya. Pada minggu pertama yang telah dijanjikan, petani datang dengan wajah layu dan cuma membawa dua ekor kodok dan bukan 500.

Pengusaha restoran hairan dengan apa yang dilihatnya dan bertanya kenapa cuma dua ekor kodok sahaja yang dibawa. Petani itu berkata, " Saya silap perhitungan. Rupa-rupanya ada dua ekor kodok ini sahaja dalam kolam itu. Tetapi bisingnya bagaikan datang daripada berjuta-juta ekor kodok!

Begitulah juga kita dalam hidup ini. Adakalanya kita mudah melenting dan bingkas bila ada orang yang buat bising tidak tentu fasal dengan kita. Namun sebenarnya ia tidak ubah bagai bunyi kodok yang buat bising itu. Bunyi saja yang riuh rendah. Adakalanya juga sesuatu itu nampak macam besar sangat bila dalam gelap. Bila kita meletakkan kepala kita di atas bantal misalnya, segala masalah akan sentiasa dirasakan besar dan rumit. Namun bila kita bangun keesokan harinya, di waktu pagi yang cerah ia tidak lebih cuma sekelumit masalah atau bukan sebenarnya masalah pun!


Kita sering tertipu dalam kegelapan dan bunyi yang gah!


Pena Tumpul - Masih kurang jelas beza katak dengan kodok

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...