Skip to main content

Penting

Hafiz memiliki sebuah buku cerita baru yang dibelikan oleh ayahnya. Gembira betul dia. Pun begitu di usia empat tahun, dia cuma mampu menikmati gambar-gambar yang dipaparkan sahaja. Ayahnya menyuruhnya mendapatkan ibunya untuk membacakan cerita untuknya. Ibunya yang kelihatan agak letih nampak tidak begitu sangat bersedia untuk memenuhi permintaan anaknya itu. 

Saya lihat ibunya hampir mahu merebahkan badannnya di kerusi malas bila Hafiz kata, "Ibu, bacakan cerita"

Dalam nada suara yang tidak bermaya, saya dengar ibunya menjawab, " Piz, ibu penat ni. Lain kali ibu baca ok". Saya tahu Hafiz kecewa kerana ibunya tidak memenuhi permintaannya itu. Dia berlalu pergi dan membawa diri ke biliknya dan tidak keluar-keluar lagi sehinggalah saya balik. Dia merajuk barangkali. 
Namun, apakan daya ibunya memang letih dan perlu berihat. Pun begitu, sebagai seorang ibu saya melihat walau penat macam mana sekalipun kehendak anak tidaklah elok untuk dihampakan. Hati anak kecil bagaikan kristal. Rapuh dan mudah terguris. 

Saya ingin berkongsi cerita yang pernah saya baca yang ada kaitannya dengan apa yang saya paparkan tadi. Amat menarik dan wajar dijadikan iktibar. Kisah seorang budak perempuan yang meminta ibunya membacakan cerita namun dinafikan permintaan kerana ibunya penat dan perlu berihat. Namun anak ini terus mendesak ibunya. Untuk melekakan anaknya, ibu yang panjang akal ini mengoyak satu muka surat dari majalah yang sedang dibacanya. Muka surat ini mengandungi gambar peta dunia. Penuh satu muka surat. Dia kemudiannya mengoyaknya dalam cebisan-cebisan kecil. Kemudian dia menyuruh anaknya mencantumkan semula cebisan-cebisan itu semula sehingga peta dunia itu terbentuk semula. Ibu itu tahu anaknya akan mengambil masa untuk melakukannya dan sambil itu dia dapat merehatkan dirinya. 

"Bila sudah siap, tunjuk kat ibu dan lepas itu baru boleh ibu bacakan cerita", kata ibunya.
  
Memeranjatkan si ibu, dalam tempoh yang amat pantas, anak itu mendapatkannya dan menunjukkan apa yang telah dibuatnya. Ibunya hairan dan bertanya anaknya bagaimana dia boleh melakukannya. Anaknya menunjukkan pada ibunya sebelah belakang muka surat itu. Ada gambar seorang budak perempuan. 

"Ibu tengok bila saya cantumkan semula gambar budak perempuan itu, dunia pun turut bercantum semula", kata anaknya.

Semua orang penting dalam dunia ini walaupun seorang anak kecil. Dengarlah suara mereka!


Pena Tumpul - Tidak rasa penting dan tiada kepentingan

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...