Skip to main content

Kotor

Hasrat untuk mandi manda sambil bersantai di tiga buah pantai saya kuburkan sahaja. Saya dan keluarga termasuk mentua ke pantai Desaru, Tanjung Balau dan Teluk Godek Air Papan sekaligus hari ini. Dari rumah semuanya kelihatan seronok benar lebih-lebih lagi Haziq yang kepingin sangat untuk mandi air laut. Namun kegembiraan bertukar kehampaan yang tidak dapat disembunyikan dari wajah masing-masing.

Jejakan kami di pasir pantai di sambut oleh pemandangan yang menyerabutkan dan memualkan. Pantai Desaru bukan sahaja kotor dan bertebaran sampah sarapnya malah dikatakan tandus dengan kemudahan untuk pengunjung. Gerai-gerai makanan yang bagai tidak terurus dan tidak nampak bersih lantas tidak cukup menggamit kami untuk duduk menghilang lapar dan dahaga. Tempat untuk bersantai melamparkan hidangan yang kami bawa sendiri juga cukup terhad dan tidak juga bersih. Kami cuma singgah tidak sampai pun 15 minit di pantai yang dikatakan cukup gah ini. Tidak sanggup rasanya untuk berlama-lama di pantai yang tidak mesra pengunjung ini!

Lantas saya mencadangkan berhijrah ke pantai Tanjung Balau yang jauhnya sekitar 20 minit dari pantai Desaru. Kami bernasib baik kerana Tanjung Balau tidak mengecewakan. Banyak tempat bersantai untuk kami duduk dan sekali menghamparkan hidangan yang telah sudah tidak tahan untuk kami kecapi lagi. Laparnya bila disapa angin pantai yang sejuk dan nyaman. Pantainya juga agak bersih. Paling menarik tidak sangat sesak dengan pengunjung. Namun hasrat untuk mandi terbantut lagi kerana ombak kuat membalun pantai bersekali dengan rengekan hujan yang tiada petanda untuk berhenti.

Sekonyong-konyong Haziq mencadangkan bergerak pula ke Air Papan dan lebih kurang satu jam lebih kami sampai dengan harapan menggunung yang menunggu masa untuk diratakan. Harapan berkecai lagi. Kemolekan pantai Air Papan yang selalu digembar-gemburkan hanya sekadar indah dari rupa. Pantai tidak terurus dan agak kotor yang membunuh selera kami untuk berlama-lama apatah lagi untuk mandi.

Kami beralih arah ke Johor Bahru meninggalkan pantai-pantai yang tidak menyebelahi kemahuan kami!

Pena Tumpul - Cantik dalam gambar sahaja rupa-rupanya

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...