Skip to main content

Perpisahan

Lokman mendaftar sebagai pelajar IPTA hari ini. Bersama-sama ibu dan ayahnya serta ahli
keluarga yang lain saya diajak sama untuk menghantarnya ke UiTM Jengka. Saya diajak kerana kononnya saya agak arif tentang arah haluan ke sana. Saya pernah bersemayam di bumi Jengka lebih kurang 20 tahun yang lalu. Jengka bukanlah tempat yang menarik untuk didiami. Jengka tidak seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru. Pada mulanya Lokman agak keberatan untuk ke Jengka. Saya tahu dia enggan kerana dua sebab utama. Sains Sukan bukanlah minatnya pun. Dia lebih cenderung kepada IT. Kedua, dia tidak pernah bercenggang dengan ayah dan ibunya. Jadi, perantauannya kali ini adalah yang pertama dalam hidupnya setelah 17 tahun hidup di bawah ketiak ayah dan ibunya.

Khabarnya, ibunya memujuknya dengan memenuhi satu-satunya permintaannya yang lama tertangguh. Lokman dapat juga memiliki handphone baru yang sangat diidamkannya selama ini. Kedua-dua anak dan ibu menang. Anak berjaya dipujuk dan ibu pula berjaya memujuk.

Saya melihat Lokman cukup kuat menahan kesedihannya. Dia tidak menangis pun. Cuma dia lebih banyak berdiam. Keletah anak saudaranya, Akif yang comel juga gagal untuk membuat dia senyum apa tah lagi ketawa. Saya paling banyak mengusiknya, malah mengusik ibunya juga yang saya faham benar cukup rapat dengan teruna bongsunya ini. Lepas satu, satu anak-anaknya meninggalkannya. Bermula dengan anaknya yang sulung, yang kedua, yang ketiga dan akhirnya yang ke empat. Tak apalah, merantau untuk masa depan yang lebih baik dan gemilang. Apa pun yang membungkam di hati terima sahajalah. Lagi pun, perjalanan masa sekarang tidaklah lama mana pun sekarang. Pantas sangat beredar.

Saya ingat emak pernah menangis 30 tahun yang lalu sekembalinya dari menghantar saya belajar dulu. Kata arwah ayah, emak tidak dapat menahan rasa sedihnya melihat saya tiada seperti selalu. Ia pengalaman yang bakal di tempuh kita semua. Tidak dapat tidak.

Pena Tumpul - Lihat Neng Yatimah di Jengka

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...