Skip to main content

Prasangka

Saya mahu menguji tahap prasangka para pelajar saya dengan menyajikan mereka kisah yang saya kongsi dari kawan saya melalui laman sesawangnya. Saya sedar sebagai manusia biasa kita sangat cenderung untuk bersikap prasangka atau prejudis pada orang lain.

Kisah biasa mengenai A,B,C dan D. A merupakan seorang perempuan yang begitu cantik. Dia digilai oleh ramai lelaki. Akhirnya, A jatuh cinta kepada B dan mereka pun bertunang. Mereka dipisahkan oleh lautan kerana B tinggal di sebuah pulau yang begitu jauh. Namun lautan tidak sesekali mampu memisahkan mereka kerana rasa cinta yang saling berputik di dalam nurani hati mereka.

Pada suatu hari, takdir Allah menentukan bahawa B jatuh sakit. B menghidap satu penyakit yang begitu kronik. A berasa sangat sedih. A ingin bertemu dengan B. Rasa cinta yang begitu menggunung menyebabkan A menebalkan muka bertemu dengan C kerana C sahaja yang memiliki bot. A merayu kepada C untuk meminjamkannya bot tersebut agar dia dapat bertemu dengan B.

C pula meletakkan syarat. A perlu tidur dan bermalam dengan C. Kerana rasa cinta yang begitu tinggi kepada B, A sanggup tidur bersama C. Maka keesokan harinya, A pun merentasi lautan untuk bertemu dengan kekasihnya, B. A menceritakan segala-galanya kepada B dan akhirnya B memutuskan hubungan mereka. A pulang dalam keadaan sedih dan bertemu dengan D. A menceritakan kisahnya dari mula kepada D. D bersimpati dengan A dan akhirnya berkahwin dengan A. Inilah pengakhiran sebuah kisah cinta yang tragis.

Seusai kisah,saya meminta pendapat pelajar saya mengenai A, B, C dan D. Maka bermulalah sesi mengutuk A, B,C dan D. A dikatakan perempuan murahan, gedik, bodoh dan lain-lain lagi. B pula dikatakan zalim, tidak memahami hati wanita dan seterusnya. C pula dikatakan mengambil kesempatan, menindas wanita dan lain-lain. D yang begitu baik kerana melakukan pengorbanan pun dikatakan sebagai dayus.

Saya memang sudah menjangka jawapan yang streotype itu. Bukan itu jawapan yang saya mahukan dari mereka. Jawapan-jawapan mereka berbau prasangka.

Saya ceritakan perkara tersirat di sebalik kisah tersebut. C adalah seorang wanita tua dan A sebenarnya bermalam dan tidur dengan wanita tua tersebut. Dan B pula tidak mahu mengahwini A kerana dia hanya akan hidup di dunia buat beberapa hari sahaja lagi dan dia tidak mahu menzalimi dan menghancurkan masa depan A dengan hanya mengahwininya buat beberapa hari. D pula sememangnya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan hanya bersimpati dengan nasib A.

Sehabis mendengar penjelasan saya, pelajar sepakat mengakui bahawa mereka telah berprasangka buruk terhadap A, B, C, dan D. Begitulah, persepsi manusia memang sentiasa berubah. Alangkah manisnya sekiranya kita mampu bersangka baik dengan saudara seIslam kita yang lain.

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al Hujurat: 11-12)

Pena Tumpul - Kalau pendiam sering sangat disalah sangka sebagai sombong

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d...

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...