Skip to main content

22Kasih

Diam tak diam sudah 22 tahun saya dan isteri  melayari  hidup berumah tangga.Tanggal 24.5.91 mengesahkan hubungan kami sebagai suami isteri setelah empat tahun diberi peluang untuk kenal hati dan budi sebelum mengakhirinya dengan perkahwinan penuh restu keluarga. 

Alam berumahtangga memang tidak lari dari menongkah arus ujian. Memang itu pun asam garam dan pahit manis hidup bersama. Semakin dewasa usia perkahwinan, semakin banyak dan hebat ujian yang menggugah hati. Kemantapan rumahtangga tidak semata-matanya bergantung pada cinta seperti di awal-awal perkahwinan dahulu. Perkahwinan dimulakan oleh cinta tetapi perlu disempurnakan oleh tanggungjawab. Cinta memang hebat tetapi ia tidak dapat menandingi tanggungjawab. Cinta yang lebih hebat ialah cinta yang ditunjangi tanggungjawab.


Kata orang, semakin meningkat usia perkahwinan perempuan jadi semakin becok tetapi lelaki sebaliknya jadi semakin pendiam. Watak wanita yang pemalu bertukar menjadi peleter kerana kerenah anak-anak dan urusan rumah tangga yang terus bertambah dan bertambah – perjuangan yang tidak selesai-selesai. Manakala lelaki yang dulunya, ceria dan banyak cakap, perlahan-lahan menjadi pendiam (ada kalanya muram) apabila beban penanggungan keluarga semakin bertambah.Betul kah begitu? Tanyalah diri dan pengalaman yang dilalui akan memberikan jawapannya.

Jika tidak dikawal, ujian dan beban rumah tangga akan menyebabkan suami isteri menjadi semakin “bisu”. Isteri mungkin sibuk bercakap itu dan ini dengan anak-anak tetapi kehilangan suara dan kata bila berdepan dengan suami. Suami apatah lagi, jika di luar rumah pun sudah semakin pendiam di dalam rumah lebih-lebih lagi.

Pernahkah kita kehilangan kata-kata apabila bertemu dengan isteri atau suami? Bukan hendak menyebut kata-kata sayang, cinta dan kasih lagi, malah sekadar untuk bertanya khabar pun sudah terlalu berat. Lidah jadi bungkam. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang hendak diperkatakan lagi. Lalu rumah tangga menjadi sepi. Masing-masing leka dengan hal sendiri. Seolah-olah sudah tidak ada apa lagi yang boleh dikongsi.
Kekadang perasaan itu datang kerana kerap kali apabila suami bersuara hendak meluahkan masalah, isteri membalasnya dengan selamba. Ah, masalah aku lebih besar. Atau terdetik di hati, balik-balik yang itu juga. Bosan. Begitu juga bagi pihak suami, sudah lali mendengar “siaran ulangan” yang kerap diperdengarkan isteri.Macam tiada cerita baru!


Inilah cerita orang lama. Berbeza dengan  “orang baru” yang masih berbulan madu, ketika itu segala-galanya indah sahaja. Perkara yang kecil pun boleh menjadi topik perbualan yang berjela-jela. Sejak senja melabuh tirainya hingga terkuak mentari pagi, cerita tidak habis-habis lagi. Tetapi ini cerita orang lama yang usia perkahwinannya sudah memakan puluhan tahun.

Apakah kehilangan kata-kata menunjukkan kehilangan cinta? Mana yang lebih tepat, cinta yang melahirkan kata-kata atau kata-kata yang melahirkan cinta? Bagi saya, kedua-duanya betul dan patut dipraktikkan. Benar, sewaktu mula bercinta dahulu, cintalah yang melahirkan kata-kata, tetapi apabila cinta telah lama bermula dan ingin diperbaharui semula, kata-katalah yang perlu diluahkan untuk mengharumkan cinta. Ingat kita bercinta bukan hanya sekali tetapi kita perlu bercinta berkali-kali.

Apa maksudnya? Maksudnya, kita perlu bercinta berkali-kali dengan orang yang sama (isteri kita). Cinta itu perlu diperbaharui. Perbaharuilah cinta dengan luahan kata-kata yang baik. Jangan membisu, jangan menjadi tuli. Sentiasa jadi lidah yang menuturkan kata-kata yang baik dan telinga yang sentiasa terbuka mendengarnya.

Kata bijak pandai, the first duty of love is to hear – tugas cinta yang pertama ialah untuk mendengar. Itu betul, tetapi jika tidak ada apa yang hendak diperkatakan apa pula yang hendak kita dengarkan? Jadi untuk menjadi pendengar, mesti ada “penuturnya”. Kata-kata yang baik umpama sedekah, kita mesti ringan mulut untuk memulakannya. Ada kalanya berdiam diri tidak terpuji, apatah lagi jika sudah ke tahap menimbulkan sangsi.


Pena Tumpul - Susah senang diharungi bersama

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...