Skip to main content

Ujikaji


Isu PPSMI masih belum reda walaupun kerajaan telah memutuskan ia akan dimansuhkan pada tahun 2012. Banyak pihak yang bersuara. Ada yang melahirkan kegembiraan khususnya kalangan yang dipanggil pejuang bahasa kerana tindakan mereka menentang habis-habisan dahulu akhirnya membuahkan kejayaan. Kerajaan akur dengan kemahuan mereka sekurang-kurangnya pada pandangan orang ramai. Mungkin kerajaan Najib ada sebab lain untuk tidak meneruskan "brainchild" Mahathir ini. Tidak kurang yang menyatakan rasa kecewa kerana PPSMI ini bukan tidak ada baiknya. Sekurang-kurangnya ia memberi lebih ruang kepada murid-murid untuk menggunakan bahasa ini dalam konteks sains dan teknologi. Sementelah lagi bahasa ini jugalah yang mendominasi gerbang ilmu dan maklumat era digital.

Antara sebab yang didedahkan kepada umum - kemerosotan pencapaian dalam kedua-dua subjek Matematik dan Sains dikalangan pelajar di dalam peperiksaan awam sejak PPSMI dilaksankan.Ada kebenarannya justeru guru-guru yang diamanahkan untuk mengajar subjek tersebut didapati tidak cukup mantap penguasaan Bahasa Inggerisnya. Logiknya, kalau begitu keadaannya adalah wajar PPSMI ini dimakamkan sahaja. Guru-guru yang terlibat tidak tertekan dan murid pula tidak terus dihimpit kesukaran bergelut antara bahasa dan kandungan.

Namun dilihat dari kacamata yang lebih realistik dan praktikal, tidak pula saya nampak salahnya Sains dan Matematik di ajar dalam Bahasa Inggeris. Keadaan akan menjadi gawat sekiranya semua subjek di ajar dalam Bahasa Inggeris hatta pengajaran Bahasa Melayu itu sendiri. Jati diri Melayu tidak akan hilang hanya kerana perkara remeh begini. Ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Kalau benar dan sungguh pendemokrasian pendidikan ingin direalisasikan, beri pilihan kepada rakyat. Kalau perlu apa salahnya berbalik kepada sistem pendidikan dwi aliran seperti dahulu. Saya masih ingat ketika mana bapa memilih untuk saya belajar dalam aliran Inggeris walaupun aliran Melayu memang ada. Kebetulan saya merupakan kelompok terakhir sebelum kerajaan memansuhkan aliran Inggeris ini. Satu keputusan yang diambil atas alasan integrasi nasional kononnya, namun tidak cukup bijak.

Saya melihat dari dulu sistem pendidikan menerima kesan langsung paling hebat setiap kali pucuk kepimpinan politik negara bertukar tangan. Bak kata orang, sekali air bah sekali pasir berubah. Anak-anak sekolah terus dijadikan bahan ujikaji dan sepak terajang pemain-pemain politik tanah air. Kasihannya, gajah sama gajah berjuang, pelandok mati di tengah-tengah.
Cukup-cukuplah mempolitikkan soal pendidikan ini!

Pena Tumpul- Kalau hydrogen cuma bertukar hidrogen apalah sangat Sains dalam Bahasa Melayu yang masih tandus istilah!

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...