Skip to main content

Gudang Garam

Kawan yang baru saya kenali dalam bisnes Hai-O, Uncle Khalid datang dari Kuantan bersama isteri Aunty Rokiah untuk pertama kali ke Gudang Garam. Saya dan isteri mengundang beliau ke rumah dan sekaligus ke dua buah rumah berhampiran untuk pemasangan penapis air Bio Aura. Beliau berseloroh dengan nama kampung Gudang Garam yang selalu dikaitkan dengan satu jenama rokok kretek. Sesiapa pun akan berkata begitu untuk pertama kali diperkenalkan dengan kampung ini. Malah saya pun pernah begitu dulu. Memang melucukan tentang nama kampung yang telah saya kenali 25 tahun yang lalu ini. Pada mulanya saya tidak pernah tahu akan kedudukan kampung yang sebenarnya cuma kira-kira 5 km sahaja ke bandar Segamat. Sejak mengenali isteri saya, nama kampung ini tidak lagi pelik dan luar biasa.

Berdasarkan maklumat lisan daripada penduduk yang dikira paling tua di kampung ini, Encik Ayub Lamin, 85 tahun, kampung ini mendapat nama ekoran daripada peristiwa aneh dua ekor kerbau yang dilihat begitu asyik menjilat-jilat tanah di salah sebuah lembah yang terdapat di kampung ini. Menurut cerita yang lain, lembah tersebut pernah dijadikan stor atau gudang menyimpan garam semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 40an. Begitulah ceritanya.

Kampung ini tidak terpinggir dari arus pembangunan. Pelbagai kemudahan awam ada disediakan untuk para penduduknya seperti balairaya, sekolah tadika dan menjelang bulan Februari tahun depan sebuah masjid baru bakal tersergam menggantikan masjid lama yang telah usang. Sebatang jalanraya yang menghubungkan beberapa buah kampung ke bandar kian hari kian sebok dengan kenderaan yang keluar masuk dari dua persimpangan - Kg Gemereh dan Jalan Temenggong. Sesuatu yang tidak boleh dilupakan - durian dari kampung ini dikatakan antara durian yang terbaik dan sedap.

Pena Tumpul - Pernah merasai jalan merah berdebu bila mula-mula bertandang kerumah bakal isteri

Comments

Popular posts from this blog

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...