Skip to main content

PSP


Sejak beberapa hari yang lalu, saya dan isteri sama-sama memikirkan hadiah hari jadi yang dikira sesuai untuk satu-satunya anak lelaki kami. Haziq menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke14 hari ini. Bukanlah satu kemestian saban tahun Haziq dianugerahkan hadiah hari jadi. Malah ada sebilangan tahun hari ulang tahun kelahirannya berlalu tanpa apa-apa sambutan apatah lagi pemberian hadiah untuknya. Cukup sekadar ucapan dan doa agar beliau sentiasa sihat, mendengar kata ibu dan bapanya, taat perintah Allah dan sentiasa komited dalam pelajaran.

Pada awalnya saya berhasrat menghadiahkannya beberapa judul buku cerita yang boleh menyemaisuburkan tabiat membacanya, namun tidaklah sesuai sangat justeru di kesempatan yang lain pun Haziq sudah sering dihadiahkan buku. Pelbagai item yang acapkali dijadikan barang hadiah silih berganti berlegar difikiran saya dan isteri. Dari seutas jam tangan, sepasang kasut bola yang pernah direngeknya satu ketika dan juga membawanya makan di tempat yang dicadangkannya sendiri. Sebuah basikal juga tidak terkecuali menyinggah dalam fikiran kami berdua. Namun semuanya itu tidak cukup menyentap keinginan kami untuk dijadikan sebagai barang hadiah buat Haziq. Saya lantas teringat keinginan mendalam Haziq tidak lama dulu untuk memiliki 'playstation" yang telah saya tangguhkan justeru beliau gagal memenuhi janjinya untuk menghadiahkan kami keputusan cemerlang UPSRnya dua tahun lalu.

Pagi ini sebaik sahaja Haziq selesai solat subuhnya, beliau terkejut bersulam kegirangan yang tidak terkira membuka bungkusan hadiah berisi PSP yang menjadi idamannya. Saya kenakan syarat kepadanya, berusaha keras untuk mencapai yang terbaik dalam pelajaran atau hadiah tersebut bakal ditarik balik. Jangan juga terlalu leka dengan mainan tersebut sehingga lupa segala-galanya. Kegembiraan melampau memiliki permainan itu membuat Haziq akur malah berjanji untuk memberi kami lebih daripada yang kami harapkan.

Saya membiarkan Haziq leka dengan permainan itu sambil menanti perubahan dalam dirinya hari demi hari.

Pena Tumpul - Memiliki anak yang soleh tentunya hadiah paling terbaik untuk ibubapa

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...