Skip to main content

Posts

Showing posts from January, 2010

Childlike

I n my class of creative thinking today, I advise my students to be childlike in order to be creative. Be like a child but not be childish. I used to tell them stories to ignite their interests or they might turn bored listen to me babbling. Today I share with them this interesting piece of story. It was about a heavy truck which became lodged under an overpass. For several hours, the police had been endeavouring to get it unstuck. The crowd gathered offered all sorts of suggestions. "Saw of the top of the truck," one old man bellowed, half-joking. "Dismantle the bridge", said another. These suggestions did not contain a feasible solution. Finally, a little boy stepped forward with this idea, " Why dont you let some air out of the tyres?" Do not get stuck at the top end of the truck but let free our mind to look at the opposite end, where in fact the solution lay waiting. Pena Tumpul - Reminded me of the cunning boy Hang Nadim of Singapura dilanggar todak

Amanat

U niversiti Teknologi Mara (UiTM) akan memperkenalkan 200 program baru di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda termasuklah kursus-kursus yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana universiti awam tempatan. Ini adalah intipati amanat Naib Canselor yang baru, Datuk Profesor Ir. Dr Sahol Hamid Abu Bakar. Amanatnya didengar warga UiTM seluruh negara yang dipancarkan menerusi laman sesawang petang ini Ia satu langkah yang amat wajar kerana UiTM perlu bergerak selari dengan kepantasan yang berlaku dalam industri. Saya tertarik apabila beliau berkata langkah ini bukan drastik tetapi deras sikit. Ucapan sulung beliau yang memakan masa hampir dua jam itu turut menyentuh peranan UiTM dalam melahirkan teknokrat Melayu dan bumiputera dalam membangunkan negara. Kepada pensyarah beliau tegaskan bahawa kegiatan penyelidikan dan penerbitan tetap akan diberikan penekanan tetapi tidaklah sampai menjadi lebih penting daripada tugas mengajar dan membimbing pelajar itu sendiri. Beliau juga menyebut k

Mangkat

Sultan Johor yang berjiwa rakyat mangkat pada 7.15 hari ini. Saya, isteri, mak mentua, Haziq dan Denko sedang makan di warong mee bandong Tangkak bila dikejutkan dengan berita Tengku Mahkota Johor (TMJ) dilantik Pemangku Raja lewat TV3. Saya singgah di warong ini dalam perjalanan balik dari Melaka. Saya sudah merasakan ada sesuatu yang berlaku. Saya melihat kesedihan di wajah TMJ. Menteri Besar Johor akhirnya menjawab segala persoalan bila mengumumkan kemangkatan baginda lewat TV1 jam 11.20 malam. Seluruh rakyat Johor berkabung dan bersedih dengan kemangkatan Sultan yang amat dikasihi ini. Saya turut merasakan kehilangannya. Yang pasti, hari esoknya (Sabtu) adalah cuti umum. Seluruh Johor diselubungi kemurungan. Namun rakyat Johor dikurniakan pula seorang Sultan yang amat hampir dengan rakyat. Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas roh baginda. Pena Tumpul - Haziq belajar beberapa istilah istana: gering, bersiram, beradu, santap

Impak3

D r Fadzilah meneruskan bicara pendeknya namun mengesankan di ruang udara awal pagi ini. Dan saya masih menjadi pendengar setianya. Masih lagi berkisar tentang kecilnya yang kita lakukan kepada seseorang namun impaknya cukup besar. Kecil pada pandangan kita tetapi besar pada penerimaan orang. Kecil nilainya pada kita yang sudah biasa dengannya namun tidak ternilai besarnya pada yang tidak pernah memilikinya. Segelas air kosong tentunya tidak sama nilainya pada seorang yang sedang dahaga berbanding pada seorang yang tidak. Pagi ini dia mengajak pendengar seperti saya melakukan sesuatu yang juga kecil. "Apa kata kalau pergi pasar, sesekali tanya mak cik kat sebelah rumah, kalau-kalau dia nak kirim beli apa-apa. Dia mungkin tinggal seorang diri dan tidak punya kemampuan untuk ke pasar" . Satu saranan yang cukup baik dan bukan susah pun untuk dilakukan. Kata pakar motivasi ini, mak cik ini pasti gembira bukan kepalang. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang masih lagi mengambil b

Impak2

P agi ini Dr Fadzilah didengar lagi berbicara tentang yang kecil namun besar impaknya. Dia menyarankan apa salahnya sesekali melepasi tol membuat sesuatu yang kecil. Memang kecil dan tidak pernah terlintas pun untuk melakukannya pun. Saya sendiri tidak tahu sama ada saya boleh melakukannya walaupun ia kecil dan tidaklah susah sangat pun. " Apa salahnya kalau sesekali kita beli chewing gum atau cookies (biskut) yang tidak sampai pun sepuluh ringgit harganya dan kita berikan pada pengutip tol " kata Dr Fadzillah. Bunyinya macam pelik. Namun pemberian yang kecil itu mungkin besar maknanya kepada mereka. Sekurang-kurangnya mereka rasa dihargai dan paling tidak pun dapat juga mengonyel dalam kepenatan memungut tol dari kereta yang silih berganti. Pastinya ada yang mencemuh idea ini begini, " Dahlah duit kita dia ambil, nak bagi sesuatu pulak ". Kalau kita selalu fikirkan begitu lebih baiklah tidak payah buat langsung. Yang kecil itu besar. Ibarat seekor semut yang keci

Impak

D alam Sarapan Minda lewat Sinar FM pagi ini, pakar motivasi ini bercakap tentang sesuatu yang nampak kecil namun berimpak besar. Kata Dr Fadzilah Kamsah,kita buat perkara yang kecil sahaja namun kesannya mungkin dirasakan oleh ramai orang. Sambil berjalan-jalan dan terpandang sampah apalah salahnya kita kutip dan masukkannya dalam tong sampah.Lagi pun menjaga kebersihan itu satu daripada cabang iman. Rasanya tidak perlulah kita mengharap sepenuhnya kepada tukang sapu untuk melakukannya. Suatu perlakuan yang nampak kecil tetapi tidak ramai yang sedia membuatnya. Yang banyak orang buat ialah membuang sampah sesuka hati kendatipun tong sampah sudah tersedia di depan mata. Lebih memilukan bila kita sebagai ibu bapa adakalanya tidak mempamerkan contoh perlakuan yang baik pada anak-anak. Kalaulah kita mengutip sampah di depan mereka pastinya perlakuan baik ini akan menjadi ikutan mereka. Jika tong sampah tiada kelihatan, tidaklah salah kalau sampah itu dimasukkan sahaja dalam kocek seluar

Getah

" K adang-kadang kalau hari tak hujan boleh dapat sehingga RM100 sehari. Kalau rajin sikit, boleh santak sampai RM200 ". Itu kata Pak Timan yang balik dari kebun getahnya. Badannya berbau. Bau lantun yang menusuk hidung. "Busuk tak kesah, yang penting duit masuk". Saya berseloroh. Pak Timan tidak pernah sekolah tinggi pun. Seingat saya dia cuma berhenti setakat darjah enam sahaja. Kesempitan hidup keluarga membenamkan hasratnya untuk terus belajar. Dia terus duduk di kampung dan mewarisi kerja ayahnya. Katakan apa sahaja kerja kampung yang tidak pernah dibuatnya. Menoreh getah, menjala ikan, menuba, memburu pelandok dan kijang, menugal jagung, memanjat pokok petai dan jering, bukanlah asing padanya. Pak Timan tidak pernah kekok dengan kerja-kerja kampung. Bila saya ke rumahnya di Padang Kiambang semalam, Pak Timan tiada seperti yang dijangka. Jangan harap dia lekat di rumah. Dia bukan melepak. Tidak juga dia merambu dan membuang masa tidak tentu hala. Pak Timan dib

Panjat

S aya sudah lama tidak memanjat. Bila disuruh isteri memanjat semalam saya agak enggan. Namun keinginan tinggi untuk merasai dokong yang sudah mula ranum menewaskan keengganan itu. Saya memang peminat nombor satu buah ini. Dan buah ini kena dipetik kemas bergugus. Kalau dikait dokong akan jatuh dan bertaburan di tanah. Kata Mak Mentua dokong akan tahan lebih lama kalau dipetik begitu. Mesej ini cukup jelas. Saya diperlukan untuk memanjat. "Kalau nak dokong, kena panjat", kata isteri. Memanjat bukanlah susah sangat. Memanjat lebih mudah jika pokok agak renek dan berdahan seperti dokong. Memanjat menjadi susah sekiranya ada kerengga yang berselirat di pokok. Saya teringat hampir jatuh bila diserang serangga yang mengetip hampir seluruh tubuh. Saya beralih dari satu pokok ke satu pokok. Terasa seronok pula sambil memakan terus dokong dari atas pokok. Memandang Mak Mentua dan isteri yang tekun mengutip dokong yang jatuh, saya ketawa sendiri. Ada cerita yang masih terpahat kemas

Kesihatan

K esihatan adalah sebuah gudang harta paling besar. Ia jauh lebih mahal berbanding wang ringgit. Jauh lebih berharga daripada segala kemewahan yang kita miliki. Jika sakit harta yang melimpah tidak akan bermanafaat pun. Dalam keadaan yang lebih ekstrim, wang bertimbun tidak selalunya dapat memberi kita nikmat sihat semula. Seperti kisah seorang tycoon yang cuma bergantung kepada roti untuk kekal hidup. Sepatutnya dalam limpahan wang ringgit dia boleh sahaja menjadi sihat semula. Namun ia tidak semudah seperti yang disangka. Ia perlu berpuas hati bahawa sakitnya cuma mengizinkannya untuk roti itu sahaja. Pernah ditanyakan kepada Bisyr al-Hafi seorang imam, ahli hadis yang wara', zuhud dan ahli ibadah tentang lauk yang dia makan. Beliau orang fakir. Katanya "Laukku adalah kesihatan tubuh." Jawapan yang cukup menarik. Ketika kita sehat apa pun dirasa sedap dan enak. Namun ketika sakit, selazat mana pun makanan di depan mata tidak terbuka selera kita untuk menjamahnya apatah

Derma

" A yah, boleh tak aziq nak bagi duit kat orang tu ". Selalunya Haziq tidak pernah bertanya kalau dia ingin memasukkan seringgit dua dalam kantung pengemis yang ditemuinya. Malam tadi ketika jalan-jalan di pasar malam Haziq pantas terpandang seorang peminta sedekah. Dia seorang China.Itulah masalah Haziq. Kerana dia orang China Haziq teragak-agak hendak memberi. "Nak derma tidak kira siapa. Janji ikhlas" saya katakan padanya. Pada zaman Rasulullah saw ketika umat Islam sedikit dan kecil, diperintahkan kalau beramal itu hanya pada sesama muslim sahaja,namun ketika sudah besar, dan kaya, Allah memerintahkan untuk memberi sedekah kepada semua orang tidak kira agama dan keyakinan orang itu. Malah diriwayatkan oleh An Nasa’i, Al Hakim, Al Bazzar, At Thabarani yang bersumber dari Ibnu Abas. Ibnu Abbas berkata: “Dahulu para sahabat tidak suka memberi harta kepada keluarga mereka yang masih musyrik. Lalu mereka bertanya kepada Rasulullah saw, dan beliau pun membenarkan mer

Hadiah

K habarnya, lelaki Melayu kurang romantik. Itu pandangan Syed Hashim Syed Ali Habshi . Saya tidak fikir ramai lelaki yang setuju dengan kenyataan liar ini.Pagi ini saya lemparkan kenyataan ini pada pelajar untuk memancing reaksi mereka. Rata-rata perempuan bersetuju. Lelaki yang cuma tiga orang langsung tidak bersuara, pastinya tidak bersetuju. Kata Syed lagi,lelaki Melayu juga kebanyakannya tidak mengingati pun tarikh lahir isteri sendiri. Apatah lagi menghadiahkan sesuatu yang istemewa sempena hari paling bermakna itu. Siti Nurhaliza pastinya bertuah pada setiap sambutan tarikh lahirnya sejak tiga tahun yang lalu. Khabarnya hadiah hari lahir yang dianugerah oleh suaminya mahalnya bukan kepalang. Tahun ini dia diberikan beg tangan yang menyamai tiga tahun pendapatan seorang buruh kasar. Dua tahun berturut yang lalu khabarnya nilai hadiah hari lahir Siti pemberian suaminya bernilai 1 juta ringgit! Beruntungnya Siti. Ia bukan berlaku secara kebetulan dalam hidupnya. Bahawa dia pernah

Provokatif

S aya mengajar " Critical and Creative Thinking "dan membaca sebuah buku ini tentang penjanaan minda kreatif. Penulisnya menganjurkan perlunya bertanya soalan-soalan provokatif. Misalnya dengan soalan yang bunyinya agak bodoh begini; kenapa rumah perlu ada bumbung? Ya, bunyi bodoh namun kata penulisnya ia mungkin boleh menyumbang kepada penciptaan baru sebagai pengganti kepada bumbung! Banyak lagi soalan provokatif yang boleh difikirkan dan dihamburkan. Dalam kelas saya mahu pelajar bertanya soalan provokatif begini. Lalu pelbagai soalan yang bukan-bukan dan tidak pernah difikirkan sebelum ini terhasil. 25 soalan yang gila-gila bila mereka diberikan kebebasan untuk bertanya apa sahaja. Saya tidak mampu menjawab sebahagian besar daripadanya. Satu percubaan yang berani tetapi memerangkap diri.Saya perlu mengakui kedangkalan ilmu di dada. Saya teringat cerita seorang guru geografi yang sering merendahkan kebolehan saya dan rakan-rakan dalam kelas. Dia juga terkenal garangnya. Ia

Hancing

" B au apa ni, teruk betul....entah siapalah yang makan jering ni ", rungut Haziq awal pagi tadi sebaik sahaja usai mandi. Bau hancing bilik air betul-betul menusuk hidung. Kalau dah makan jering, sesuatu yang perlu dibuat betul-betul ialah basuh bilik air dan sental kuat-kuat. Bau hancing jering memang kuat melekat. Saya dan isteri senyum sendiri. Tidak ada siapa lagi yang didapati makan jering kecuali kami berdua. Semalam ketika singgah di pasar tani, kami tidak mampu menahan keinginan untuk membeli ulam yang kurang disenangi justeru baunya ini. Kami memang peminat jering nombor satu selain petai juga. Orang kita memang penggemar ulam. Kata orang ulam ini banyak khasiatnya malah pernah dibuktikan pun dari sudut kesihatannya. Ulam juga pembangkit selera. Saya sendiri kadangkala bagaikan tiada selera tanpa ulam. Sekurang-kurangnya kacang botol sudah cukup untuk memacu suapan. Kalau tidak pun peria yang pahit apatah lagi kalau direbus dan dicicah pula dengan sambal belacan. Se

Tulang

M ajlis kenduri dan tahlil di rumah Mak Tipah malam tadi diselit dengan insiden yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila. Saya tercekik tulang ikan. " Man, ikan apa ni, ". Saya mengambil seekor ikan masin itu dan beberapa saat selepas itu terasa ada tulang yang tersangkut di kerongkong. Suapan saya menjadi perlahan. Tumpuan sudah tidak lagi pada aneka lauk yang menyelerakan. Saya tidak mahu orang lain tahu. Kalau tidak mahu saja saya beredar pergi dan menyelesaikan tulang yang menyesakkan tekak itu. Saya tahu tulang yang tersangkut bukan kecil. Sekonyong-konyong saya teringat pesan Atok Senah "Kalau cekik tulang, pusing-pusingkan pinggan nasi yang kita makan, lama-lama hilanglah rasa tulang tu ". Saya mencubanya tetapi tidak berhasil seperti yang pernah atok katakan itu. Itu sekadar petua yang boleh jadi betul dan tidak betul. Tulang yang tersangkut semakin menyucuk-nyucuk dinding kerongkong. Saya amat tidak selesa. Bila Mantoba menunjukkan mangkuk nasi tamb

Parkir

P arkir adalah keadaan tidak bergerak suatu kenderaan yang bersifat sementara karena ditinggalkan oleh pengemudinya. Itu definisi yang saya cedok bulat-bulat di sini . Perkataan ini adalah pinjaman dari bahasa Belanda, iaitu parkeren . Parkir dilihat sesekali digunakan dan tidak meluas berbanding perkataan parking itu sendiri. Kekeliruan terjawab bila saya merujuknya di laman sesawang pagi ini. Pun begitu bukan konotasi parkir itu yang jadi isunya. Biarkannya kepada pakar bahasa. Soal parking bertelur dan membiakkan masalah berpanjangan yang tidak pernah selesai. Bilangan kenderaan yang pesat bertambah hampir setiap hari menjadikan masalah parking semakin gawat. Adakalanya ruang parkir tidak sepenuhnya berupaya menampung keperluan untuk parkir yang mendesak. Ruang parkir sentiasa sahaja terisi tidak kira berapa pun kadar caj yang dikenakan. Saya melihat isu parkir ini dari sudut yang berbeza. Parkir menjadi masalah apabila manusia yang mengemudi kenderaan itu sendiri yang sebenarnya

Gula

H aziq meminta supaya belanja hariannya di tambah. Alasannya harga makanan dan juga minuman yang di jual di kantin naik. Wang poket yang diberi seperti selalu sudah menurunkan kuasa belinya. Saya pernah cadangkan kepada isteri supaya sediakan makanan seadanya dan Haziq boleh bawa "bekal" sahaja. Ia bukan sahaja menjimatkan tetapi terjamin kebersihannya. Namun saya perlu memahami mamanya tidak punya cukup waktu untuk itu. Lalu cadangan itu tidak pernah dibangkitkan lagi. Haziq pun tidak cukup bersedia untuk itu. "Malulah....lecehlah. " antara alasannya. Berbanding dulu, tidak ramai budak sekolah yang gemar bawa bekal ke sekolah. Kenaikan harga barangan selalunya diikuti dengan harga barang lain yang turut sama naik. Bila harga gula naik beberapa hari lalu,minuman dan makanan yang berasaskan gula juga naik. Rayuan kerajaan agar tidak berlaku sebarang kenaikan harga barangan lain tidak didengar oleh peniaga yang sentiasa mahu untung lebih. Saya makan di kedai yang bias

Cantik

H ari pertama kuliah bermula dengan segalanya cantik. Jadual waktu yang paling cantik pernah saya ada sejak 22 semester yang lalu. Dengan Amanah Tugas Akademik (ATA) 16 jam seminggu memberi saya sedikit selesa untuk mengalih pandangan pada tugas bukan mengajar. Hari Khamis menyaksikan tiada kelas langsung. Terima Kasih kepada AJK Jadual Waktu kerana menganugerahkan saya jadual yang cantik begitu. Saya masuk ke kelas pertama seawal 8 pagi ini di serikan dengan 14 kuntum bunga yang juga cantik dan seekor kumbang, bagus juga sekurang-kurangnya saya tidak keseorangan. Fenomena biasa dominasi wanita yang kian ketara di IPTA. Cantiknya kelas dengan 15 orang pelajar. Ia bermakna tumpuan dan perhatian boleh diberikan kepada hampir setiap pelajar sewajarnya. Bilik C315, bilik yang pernah dilabel sebagai bilik buangan satu ketika dahulu justeru keterpencilan dan ketinggiannya juga sudah cantik sekarang. Kerusi dan meja baru yang masih lagi bersalut plastik menambah keselesaan. Pengajaran perlu

Kilat

S ebahagian bandar Segamat hampir tenggelam petang ini. Dentuman petir dan kilat sabung menyabung mencurahkkan hujan yang bukan sedikit. Saya dan isteri terperangkap di tengah-tengah kesesakan orang ramai yang memburu tempat perlindungan. Beberapa orang pelajar UiTM yang keluar membeli belah setelah bercuti panjang di kampung juga kelihatan resah menunggu bas. Adakah tragedi bah besar yang membadai Segamat 2006 dulu berulang lagi? Segalanya mungkin andai faktor penyumbang kepada petaka itu tidak diberikan perhatian. Sistem perparitan yang tidak sempurna dilihat katalis kepada fenomena banjir kilat. Inilah yang berlaku petang ini. Tidak susah untuk mencari puncanya. Parit yang cetek gagal menampung limpahan air lalu mencetuskan banjir kilat. Banjir kilat petang ini adalah satu amaran awal betapa kita boleh dibalun musibah seandainya kita memperlekehkan tuntutan alam maya. Jangan sampai kita korbankan hutan hijau untuk membangunkan hutan batu yang bakal mengundang padah! Pena Tumpul - Te

Beralah

S aya ingin berkongsi sebuah cerita tentang lembu. Ia mengajar kita supaya jangan tertipu dalam membuat pilihan. Juga tidak didorong haloba dan mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain. Dalam banyak keadaan yang lemah tidak selalunya kalah. Kita selalu diingat agar beralah.Antara abang dan adik, abanglah yang selalunya diminta beralah. Antara yang kuat dan lemah, yang lemah itulah yang selalunya beralah. Antara yang banyak cakap dan kurang cakap, yang kurang cakap itulah yang seringnya beralah.Tidak ada faedahnya bertegang leher untuk sebuah kemenangan yang belum tentu pastinya. Justeru yang kalah sekarang mungkin akan menang kemudiannya. Yang dilihat menang sekarang,belum tentu menang diakhirnya. { Pak Dollah meninggal lima tahun selepas isterinya meninggal.Tinggallah dua anak mereka Chan dan Chin.Tiada harta berjuta yang Pak Dollah tinggalkan selain sebuah rumah dan seekor lembu betina.... Chan dan Chin tiada masalah tempat tinggal kerana Pak Dollah tinggalkan rumah pusaka k

Baru

H ari ini hari pertama 2010. Tahun baru meninggalkan 365 hari tahun lama 2009. Tahun baru sering dikaitkan dengan yang baru. Azam baru. Semangat baru. Pelajar baru. Dan kampus ini yang dikemudi Pengarah baru. Saya sempat mengimbas lalu di laman sesawang dan dimaklumi bahawa Prof Madya Sohaimi Zakaria adalah orang maklumat. Pastinya berbeza pembawaan dan tumpuannya. Di hari pertama tahun lalu saya sempat menanam beberapa azam namun tinggal terbenam. Pernah bertekad untuk menulis satu laman sehari bagi sebuah novel yang tidak pernah berjudul sampai ke penghujung tahun. Saya gagal untuk menghasilkan hatta seperenggan pun! Hari ini saya ingin "memperbaharui" azam yang sama ini. Seusai solat Jumaat, saya terserempak dengan seorang penulis yang dikira bernama besar. Kepada Baharudin Kahar saya khabarkan hasrat untuk belajar "menulis" Saya tahu beliau kaya pengalaman dan kaya ilmu dalam bidang ini. Sementelah lagi karya beliau "Senjakala" pernah diangkat sebagai