Skip to main content

Tebas

"Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri"
Saya ditegur isteri untuk kesekian kalinya pagi ini. Dia tidak selesa melihat saya yang serabai dan bagai tidak terurus. Sejak beberapa hari lalu saya secara sengaja memilih untuk tidak mencukur jambang dan janggut yang sudah mula melebat di muka. Wajah kelihatan kusut masai dengan misai yang dibiarkan tumbuh melata. Sudah sangat lama saya menyimpan keinginan untuk membiarkan bulu-bulu di muka tumbuh semahunya. Namun kesempatan itu tidak pernah saya dapat pun. Isteri amat mudah mengesannya dan sekaligus "mengarahkan" saya "menebasnya". Rimas dan selekeh katanya. Saya akur.

Sesekali terlintas juga difikiran bahawa kita tidak berlaku adil pada isteri sebenarnya. Ketika kita mendambakan isteri tampil kemas, cantik dan menawan suami pula adakalanya tidak begitu. Sepatutnya, suami juga perlu menjaga personaliti atau perwatakan peribadinya. Isteri perlu dipersembahkan seorang suami yang segak dan kemas penampilannya.

Teringat saya kisah yang pernah diceritakan oleh seorang ustaz tentang seorang wanita datang mengadu kepada Khalifah Umar al-Khattab tentang suaminya yang kotor dan hodoh. Kata wanita itu, “Ya Amirul Mukminin, aku sudah tidak sanggup lagi hidup bersama lelaki ini. Dan aku berhajat supaya dia dapat menceraikan aku.”

Melihat keadaan lelaki itu yang tidak terurus, Saidina Umar menyuruhnya mandi, memotong rambut dan kukunya serta menghias dirinya. Setelah itu, Saidina Umar memanggil isteri lelaki tersebut agar melihat suaminya. Setelah melihat wajah suaminya yang bersih, wanita itu tidak jadi meminta cerai daripada suaminya. Lantas Saidina Umar berkata, “Seharusnya suami menghias diri untuk isteri mereka kerana demi Allah SWT, isteri juga suka melihat suaminya menghias diri sebagaimana halnya kamu suka melihat isteri kamu melakukan hal yang serupa.”

Bukan sahaja isteri perlu menghiaskan diri untuk suami, sebaliknya suami juga hendaklah sentiasa segak dan kemas agar sedap dipandang mata dengan memakai pakaian yang bersih dan kemas. Menurut Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Aku suka menghias diri untuk diperlihatkan kepada isteriku sebagaimana aku suka dia menghias diri untukku.” (Hadis riwayat Ibn Abi Hatim)

Dan sebelum saya beredar ke tempat kerja, saya baring di riba isteri dan muka saya ditebas semahunya. Dan ini bukan kali pertama tetapi sudah banyak kali. Saya patuh.

Pena Tumpul - Ingin sangat nak botak

Comments

PENA KASIH said…
Emmm......kalau suami ingin sentiasa melihat si isteri cantik,si isteri juga ingin melihat si suami sentiasa kemas.

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...