Skip to main content

Tebang

Saya akhirnya mengambil keputusan menebang kesemua pokok durian tua yang sudah berpuluh-puluh tahun menghuni dusun di belakang rumah. Sebabnya amat mudah. Pokok-pokok tua ini sudah lama tidak berbuah. Kalau pun berbuah, boleh dibilang dengan jari. Yang pasti sudah agak lama tidak berbuah lebat seperti dulu-dulu.

Bila pokok-pokok ini berbuah lebat dulu, hampir seluruh keluarga jauh dan dekat merasai nikmatnya. Malah sehingga berlebihan dan terpaksa di tolak kepada peraih durian walaupun dengan harga yang amat rendah. Begitulah nasib durian, bila sudah tidak berbuah. Memang tidak dapat dinafikan sejak durian pelbagai klon baru diperkenal, durian tua bagai merajuk tidak mahu berbuah. Walaupun durian klon baru ini memang cepat dan selalu berbuah namun kebanyakan pencinta raja buah ini selalunya akan lebih tertarik kepada durian dari pokok-pokok tua ini. Salah satu sebabnya ialah isinya yang sedap berbanding durian klon.

Saya tidaklah ralat sangat melihat cuma tunggul-tunggul durian sahaja yang tinggal sekarang. Tidak ramai yang kemaruk durian sekarang berbanding dulu kerana durian dikatakan tidaklah cukup baik untuk kesihatan. Dengan harganya yang semakin merosot sekarang, durian tentunya masih mampu boleh dibeli sebiji dua. Itu pun bukanlah untuk dimakan mentah-mentah tetapi dijadikan santan dan dimakan pula bersama pulut. Durian lebih enak dinikmati begitu.

Durian Segamat tetap nombor satu!

Pena Tumpul - Tanam pokok getah lagi bagus

Comments

Popular posts from this blog

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

LailatulQadr

S aya melihat sekeliling saya orang sibuk bercakap fasal Lailatul Qadr. Di sepuluh malam terakhir ini memang itu pun fokus kita selain terus menjalankan ibadah puasa. Semua tahu bahawa di bulan ini, Allah anugerahkan kita umat Muhamad dengan satu malam yang super hebat. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Ia menyamai tempoh kita beribadat lebih 83 tahun. Hebat kan! Pagi ini lewat corong radio seorang Ustaz bercerita kenapa umat Muhammad Allah kurniakan malam yang bernilai 83 tahun ini. Katanya, Rasulullah saw. pernah bercerita bahawa beliau mendapat wahyu dari Allah tentang seorang laki-laki Bani Israil yang berjihad di jalan Allah selama seribu bulan tanpa henti. Rasulullah saw. sangat kagum, lalu beliau berdoa, "Tuhanku, Engkau telah menjadikan umatku orang-orang yang pendek usia dan sedikit amalan." Kemudian Allah memberi keutamaan kepada Rasulullah saw. dengan memberikan Lailatul Qadar yang nilainya lebih baik daripada seribu bulan yang digunakan ole...