Perjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. "Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta".
Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terpaksa dikeluarkan tetapi hasilnya tidak mengecewakan pesakit. Tidak hairanlah ramai pesakit yang lebih selesa mendapatkan rawatan di hospital swasta.
Kisah Chin Peng tidak terlepas dari isi perbualan kami selama 1 jam setengah perjalanan itu. Tok Ya membantah sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk membawa masuk Ketua PKM ini ke tanahair. Saya tidak banyak mencelah namun cuba menjadi pendengar yang paling setia. Melalui kawasan Felda topik Tok Ya berubah. Melihat rumah-rumah peneroka yang kebanyakannya sudah jauh berubah dari bentuk asalnya sepanjang jalan menuju ke Serting, Tok Ya menyuarakan rasa kecewanya dengan sikap setengah peneroka yang tidak mengenang budi dan melupakan jasa-jasa yang dilakukan oleh kerajaan. Adakah mereka juga berfikir begitu?
Kami sampai di destinasi, rumah Mak Utih di Felda Lui Selatan buat pertama kalinya sekitar jam 1030 pagi dan Tok Ya tidak bercerita lagi. Memang menakjubkan kerana kami sampai tanpa sebarang masalah- tidak sesat seperti sebelum ini. Tidak rugi rupanya memiliki sebuah telefon bimbit baru yang dilengkapkan dengan GPS. Perjalanan menuju destinasi menjadi lebih mudah sekarang. Kami disambut oleh Azri, pengantin lelaki, Mak Utih dan Pak Utih dan yang menariknya disajikan pula roti canai yang masih panas dari kuali. Macam-macam ada kalau kita berkunjung majlis kahwin sekarang. Hidangan tidak lagi terhad kepada menu biasa seperti nasi minyak, gulai ayam dan daging serta sedikit acar nenas tetapi sudah pelbagai. Ada juga cendol, bubur pulut hitam dan telor asin. Dalam mengeluh kenaikan harga barang, namun kenduri kahwin tetap hebat. Mewahnya orang kita.
Kami meninggalkan majlis yang masih lagi dihujani dengan tetamu jemputan sekitar jam 2.30 petang setelah berkesempatan menyaksikan kedua mempelai dijulang di atas tandu bagaikan perahu dengan iringan paluan kompang yang membengitkan telinga. Perjalanan pulang begitu hambar dan semakin membosankan bila saya dibiarkan keseorangan mengawal stering sementara Tok Ya dan yang lain-lainnya terlelap dalam kelesuan.
Pena Tumpul - Cemburu bila tengok orang lain tidor membiarkan diri sendirian yang juga mengantuk
Comments
Rasanya tidak adil begitu...