Skip to main content

29Feb

Tarikh 29Feb memang istemewa. Ia istemewa kerana ia muncul dalam kalendar kita cuma sekali dalam empat tahun. Tarikh ini pernah muncul empat tahun yang lalu dan akan kita temui lagi penampilannya empat tahun mendatang.

Hari ini pagi-pagi lagi saya mengucapkan selamat hari ulangtahun kelahiran kepada satu-satunya rakan karib yang pernah saya kenal yang saya cuma berkesempatan mengucapkannya empat tahun sekali. Dia lahir pada 29hb Februari.  Dia mula saya kenal ketika sama-sama belajar dalam Form 1.

Ada sesuatu yang susah sangat saya hendak lupa tentang dirinya. Setiap hari dia pasti meminjam dua puluh sen daripada saya. Hendak beli makanan di kantin.  Saya tahu dia memang datang dari keluarga yang tidak begitu sangat senang sekurang-kurangnya jika dibandingkan dengan saya yang juga memang tidak senang. Saya tidak pernah menghampakannya. Saya sedar kesukarannya. Dia pernah memberitahu saya, di tengah-tengah sebuah keluarga yang agak besar dengan sembilan adik beradik, adakalanya catuan makanan perlu dilakukan. Giliran dibuat dan ditentukan siapa di kalangan mereka yang bersarapan pagi tetapi dinafikan makan tengahari, di beri makan tengahari namun tidak berhak untuk makan malam bagi memberi laluan kepada yang lain. Begitulah ia berlaku bertahun-tahun dalam keluarganya. Saya melihat diri saya masih bernasib baik waktu itu, kerana saya tidak perlu bergilir-gilir untuk menikmati makanan tengahari dan malam walaupun sekadar menu biasa.

Itu kisah dulu-dulu. Dia tidak pernah minta duit saya lagi, sebaliknya dialah yang akan belanja saya makan besar setiap kali ada kesempatan bertemu. Dia bangkit tinggi atas timbunan derita yang terhimpun zaman sekolahnya!

Pena Tumpul - Sesekali makan pucuk ubi lawan ikan masin sahaja

Comments

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...