Skip to main content

Senarai

Saya kira kebanyakan dari kita memang sangat terpesona dengan senarai. Sangat-sangat terpegun juga. Walaupun kita mungkin sedikit ragu dengan kesahihan dan kejituan senarai yang dipaparkan, namun melihat senarai tetap membuat kita terkesima. Senarai mereka yang terkaya di dunia, terkaya di Malaysia, paling berkuasa di ladang, paling cantik juga antara sebilangan senarai yang amat mencuri perhatian.

Saya sendiri cukup tertarik bila Forbes menyenaraikan manusia yang paling berkuasa dan berpengaruh di dunia pada tahun 2013. 70 individu termasuk dalam senarai ini. Empat faktor diambil kira iaitu; berapa ramai orang yang dikuasainya, sumber kewangannya selain sejauh mana mereka menggunakan kuasa yang dimiliki.

Bill Gates di senaraikan di tangga kelima selepas Obama, Putin, Hu Jintao dan Merkel sebagai individu yang paling berkuasa. Ironisnya, Zuckerberg tidak pula lebih berkuasa daripada Gates walaupun semua tahu ramainya orang yang dikuasainya melalui empayar Facebooknya itu.

Terfikir juga saya  mengapa kita begitu kagum dengan senarai-senarai begini yang sebenarnya tidak dekat pun dengan kita. Mereka yang tersenarai itu jauh dari kita. Amat jauh. Tidak memberi kesan pun. Mengapa tidak membina senarai kita sendiri, misalnya senarai mereka yang memberi impak dalam hidup kita. Bukankah itu lebih baik. Senarai mungkin boleh sahaja positif dan juga negatif sifatnya kerana lazimnya kita cukup mudah ingat mereka yang terbaik dan terburuk dalam hidup kita.

Kita pastinya boleh melahirkan senarai guru-guru yang paling kita suka dan mungkin menjadi sumber inspirasi kita. Juga senarai bos yang cukup memberi kesan dalam karier kita. Atau mungkin juga senarai kata-kata nasihat yang pernah kita terima dari seseorang dan ia mungkin mengubah hidup kita sedikit sebanyak.

Jangan lupa senarai yang satu belah lagi. Kita pastinya tidak lupa senarai mereka yang pernah mencemuh, melukakan hati kita tidak kiralah sama ada kawan atau saudara dan ia masih kekal terpahat dalam ingatan. Pasti senarainya juga tidak kurang panjangnya.

Saya selalu percaya mereka yang tersenarai dalam hidup saya selalunya mereka yang benar-benar ikhlas dan tulin perhatiannya pada kita. Mereka yang tidak lokek bantuan, mereka yang tidak kedekut juga memaculkan kata-kata perangsang dan cukup setia menjadi pendengar kita tidak kira masa dan ketika.

Namun melebihi dari senarai itu, pastinya ahli keluarga, saudara mara malah rakan taulan yang meninggalkan kesan yang bukan kepalang besarnya dalam hidup.

Alangkah bangganya hati kalau nama kita juga tersenarai dalam senarai yang terbaik di kalangan bekas anak didik kita!

Pena Tumpul - Beramal dan berdoa supaya  tersenarai sebagai penghuni Jannahnya

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...