Skip to main content

Korban


لَن يَنَالَ اللَّهَ لُحُومُهَا وَلَا دِمَاؤُهَا وَلَكِن يَنَالُهُ التَّقْوَى مِنكُمْ كَذَلِكَ سَخَّرَهَا لَكُمْ لِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَبَشِّرِ الْمُحْسِنِينَ
"Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan taqwa dari kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjukNya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya." (Al-Hajj:37)

Hajat emak untuk melakukan ibadah korban tertunai juga setelah tertangguh agak lama. Emak berjaya menterjemahkan rasa syukur atas segala nikmat yang diberiNya dengan tumbangnya seekor lembu berharga RM2400 pagi Sabtu lalu. Syukur atas nikmat makan dan minum, kesihatan dan segalanya. Saya hadir dan menyaksikan dengan mata kepala sendiri istiadat penyembelihan dari awal sehingga usai. Ibadat korban ini memang sangat simbolik dan tidak terbatas pada haiwan yang dikorbankan itu. Tidak juga pada darah mengalir yang kita lihat itu. Indahnya Islam menganjurkan umatnya bersatu melalui platform korban ini. Amatlah mustahil untuk seorang melakukan kerja penyembelihan haiwan berkaki empat ini berbanding dengan mudahnya menyembelih seekor ayam. Ia memerlukan kesepakatan.

Saya turut membantu walaupun tidak terlibat secara langsung dalam kerja melapah. Melapah adalah aktiviti paling penting dalam ibadat korban ini. Bukan semua orang boleh melakukannya dengan baik kecuali mereka yang benar-benar mahir dan ditambah dengan pengalaman juga. Tersalah potong buruk padahnya. Ada kemungkinan seluruh daging jadi pahit andai tercemar dengan cairan limpa. Begitu juga kemungkinan bercampur najis sekiranya perut yang ditoreh.

Kerja-kerja memotong, menimbang dan membungkus daging tidak sukar dilakukan dan saya memilih untuk melakukannya. Begitu juga membantu memegang tali yang mengikat kaki-kaki haiwan ini. Cukuplah. Daging-daging selesai diagih menjelang tengahari dan emak nampak gembira tanda syukur bukan kepalang pastinya kerana yang dihajat sudah ditunai.

Sebelah malamnya, lazatnya menikmati sup tulang masakan Pak Itam!

Pena Tumpul - Berkorban rasa

Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...