Skip to main content

Penilaian

Saya makan bersama isteri, Haziq dan Hafiz di sebuah restoran malam tadi. Sedang kami menikmati hidangan, sekonyong-konyong masuk seorang budak dalam lingkungan belasan tahun. Dia memang menarik perhatian saya. Pakaiannya agak lusuh dan kelihatan bertampal di sana sini. Nampak sangat daif. Hafiz yang tidak tahu apa-apa pantas bersuara, "Bang Ngah,teruk ya baju budak tu, sian dia".Haziq tidak berkata sepatah pun tetapi tekun menyantap nasi goreng pataya kegemarannya. 

Budak lelaki itu dihampiri pelayan dan diberikan menu untuknya membuat pilihan. Saya nampak pelayan tersebut hairan mengapa budak itu berani masuk ke dalam restoran itu. Dia pastinya beranggapan budak itu tidak mampu membayar makanan yang ada berdasarkan penampilannya itu.

Saya dengar dia bertanya kepada pelayan itu,“Berapa harga ais krim strawberry dan cokelat?”Pelayan itu didengar menjawab, "RM20.00"


Budak itu menyeluk koceknya dan mengeluarkan beberapa keping siling dan mengiranya. Setelah itu dia  bertanya lagi, “Kalau aiskerim biasa aja berapa?"

Pelayan mengerutkan kening sambil berkata, “RM10.00”
Sekali lagi saya lihat budak itu mengira wang silingnya dan bertanya lagi,“Kalau beli separuh aja berapa?"
Saya lihat pelayan mula marah dengan budak itu dan menjawab, "RM5.00"

Budak itu tersenyum dan akhirnya membeli ais kerim separuh aja. Saya lihat budak itu bukan kepalang gembiranya menikmati aiskerim itu sehingga habis. Sejurus selepas itu pelayan datang kepadanya dan menyerahkan bil yang perlu dibayar.

"Semuanya lima ringgit kan“ ujar budak itu dan menghulurkan beberapa keping wang siling kepada pelayan itu. Saya nampak pelayan merenyok kerana perlu mengira wang siling itu.

Kedaifan budak lelaki tidak menarik perhatian saya sangat sebenarnya. Bila dia mengeluarkan sekeping wang kertas RM20 dan memberikannya kepada pelayan itu sebagai tip lebih menarik perhatian saya. Dia sepatutnya boleh menikmati aiskerim yang diidamnya kalau dia mahu. Pelayan tidak menolak rezeki yang diberi, namun wajahnya menampakkan rasa malu dan sesal juga.

Begitulah permainan dunia.Ada kalanya kita tidak sewajarnya melihat apa yang melekat pada tubuh seseorang saja sebagai penilaian. Bukan hal yang bagus untuk meremehkan seseorang kerana melihat penilaian dari luar. Kita tidak akan tahu suatu hari nanti, seseorang yang kita remehkan boleh menjadi penghantar rezeki buat kita tanpa kita duga.

Pena Tumpul - Terharu

Comments

Popular posts from this blog

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...