Skip to main content

Posts

Showing posts from July, 2013

Pelita

S ejak dua tiga hari lalu, Haziq meminta saya memasang pelita di laman rumah. Saya sebenarnya tidak teruja sangat untuk itu. Sewaktu kecil dahulu keseronokan memasang pelita memang luar biasa. Beberapa hari selepas puasa berlalu kami sudah mula sibuk mengutip tin-tin susu lama untuk dijadikan pelita. Kalau tiada tin, kadang-kadang botol pun jadi. Sumbunya pula sama ada tali guni atau pun cebisan kain buruk. Penuh satu laman rumah dengan pelita yang terang benderang. Masa itu harga minyak tanah murah dan senang pula didapati. Satu botol besar cuma 20 sen sahaja. Cukuplah untuk kegunaan selama semalam. Hari ini segalanya begitu mudah. Tidak perlu susah-susah lagi untuk buat pelita. Pelita yang sudah siap untuk diguna kini dijual dan mudah didapati. Malah siap dengan pancangnya sekali maka tidak perlulah bersusah payah meredah belukar mencari anak-anak kayu untuk dijadikan tiang pelita. Cuma yang tidak seronoknya sekarang, harga minyak tanah sudah semakin mahal malah sukar pula didapat

Insaf

" W aktu ayah dulu,peti ais mahal sangat dan tak mampu nak beli. Kedai pula jauh dari rumah. Sampai rumah air batu tinggal air aja. Jadi, kalau nak sangat airbatu di bulan puasa, atok kau suruh ayah masukkan air dalam botol kemudian rendam dalam sungai, dari pagi sampai petang, bila nak berbuka baru ambil....itulah air batu kami.." Kata-kata yang menyentap rasa ini acapkali ayah luahkan kepada kami adik beradik bila tiba bulan puasa khususnya di saat-saat berbuka. Perasaan saya bercampur baur. Rasa lucu dengan gurauan ayah. Terselit juga rasa sedih justeru daifnya kehidupan ayah dulu yang sekaligus menyemai bibit keinsafan dihati. Kami bersyukur kerana setiap kali berbuka ayah mampu buat kami gembira dengan makanan enak dan tentunya airbatu penghilang dahaga yang tidak perlu susah-susah untuk kami perolehi seperti waktu ayah dahulu. Bak kata orang tua semuanya mudah sampai ke lutut. Gurauan ayah begitu sudah amat lama tidak saya dengar. Ia hilang bersama-sama pemergian

Balik

"Hidup, jangan tidak aja" Bila saya ziarah atok petang ini, atok kelihatan agak uzur. Langkahnya pendek-pendek. Pandangan berbalam-balam. Pendengaran sudah tidak jelas lagi. Di usia 93 tahun, atok sebenarnya dianugerah usia yang panjang. Tidak ramai yang boleh mencecah usia begitu. Kalau mahu bercakap dengan atok, perlu cakap kuat-kuat. Dia sudah tidak kenal sangat dengan mereka yang pernah rapat dalam hidupnya. Bila emak tanya tentang keadaannya, itulah jawapan yang terpacul dari mulut atok. Katanya dia masih dipinjam nyawa untuk terus hidup walaupun hidup tidaklah sesehat dan senikmat dulu. Satu demi satu nikmat ditarik. Nikmat yang Tuhan pinjamkan bila sampai ketikanya akan ditarik juga. Makan sudah tidak seselera dulu. Tidor pun sudah tidak senyenyak dulu. Kata nenek, atok bagaikan tidak tidor sepanjang malam. Dia resah di pembaringan. Atok akan berlegar seluas rumah melayan matanya yang tidak mahu tidor. Sesekali dia akan ke bilik air untuk membasahkan badannya.Beg

Gantung

S ejak semalam isteri awal-awal lagi memberitahu yang dia tidak akan masak apa-apa untuk sajian berbuka petang itu. Mesejnya cukup jelas - dia enggan ke dapor seperti hari-hari sebelumnya. Mungkin letih kerana beban tugas yang berat pada hari itu agaknya. Saya akur. Bagilah peluang sekali-sekala untuk dia berehat dan mengeringkan tangannya. Isteri gantung periuk dan kuali. Singki tidak basah hari ini. Saya khabarkan berita ini pada Haziq. Dia agak girang kerana hasratnya untuk berbuka di luar tercapai juga. Berbuka di mana? Berbuka di hotel tidak terlintas langsung di kepala saya. Bukan sahaja mahal tetapi secara peribadinya berbuka di hotel bukan cara saya. Pada saya berbuka di hotel untuk mereka yang banyak duit. Mungkin saya silap dengan pandangan itu namun tak apalah. Akhirnya saya memilih untuk berbuka di sebuah kedai makan terletak di Kg Jawa yang sudah amat biasa kami  kunjungi. Haziq tidak membantah langsung, begitu juga mama.Haziq memesan nasi paprik kegemarannya selain s

Berbuka

S udah menjadi tradisi sekurang-kurangnya sekali saya akan berbuka puasa di rumah atok di kampung. Teringin juga hendak merasai masakan nenek baru selain daripada bersembang dengan atok yang telah agak lama tidak saya kunjungi. Saya, isteri, Haziq, Aman, Ani dan emak dan Utih sampai di rumah atok kira-kira 20 minit sebelum masuk waktu berbuka. Suasana menjadi riuh rendah dengan sorak sorai Hafiz dan jerit tangis Hadif. Namun cukup menyeronokkan. Atok Dolah, 93 tahun jelas terpancar kegembiraannya melihat kedatangan kami. Mak Utih yang tidak menduga kedatangan kami kelihatannya agak terkejut dan bergegas menyajikan hidangan. Ada gulai rebung rencah udang (sedapnya!). Pucuk ubi campur telur itik masak kuning selain kerang rebus dan pelbagai juadah lain yang sempat kami beli di bazar dalam perjalanan ke rumah atok. Tentunya tidak sesuai bertandang ke rumah orang sekadar tangan kosong. Yang menariknya bila nenek menghidangkan ikan tongkol masak kormak. Amat sedap dan menyelerakan. Saya

Quran

D i hari ke 17 berpuasa, pengisian Ramadan dengan membaca AlQuran berjaya diamalkan seperti yang dirancang. Berdasarkan perkiraan mudah, dengan 22 muka surat sehari (4.5 muka surat selepas setiap solat Fardu) dengan izin Allah saya seharusnya mampu khatam di penghujung Ramadan nanti. Namun hari ini saya menyoal diri sendiri. Sudah cukup sempurnakah cara saya mendekati AlQuran ? Mengapa perlu bergolot-golot? Bagaimana dengan isi kandungannya? Adakah difahami dan dihayati?Persoalan-persoalan ini tidak pernah saya tanyakan selama ini. Kalau pun menyinggah cuma dibiarkan berlalu tanpa usaha untuk memperbaiki di mana kurangnya. Saya tentunya tidak mahu menjadi seperti seorang penjual sayur, yang tergesa-gesa serta mahu segera menyelesaikan jualannya. Saya tidak mahu membaca Quran dengan tergesa-gesa tanpa tadabbur justeru Allah berfirman dalam Surah Sad:29, (Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatn

Lembik

S aya menyuarakan hasrat untuk menebas rumput dan lalang yang semakin panjang di laman rumah ayah mentua dan mengajak Haziq ikut sama. Saya tahu ayah mentua saya tidaklah cukup kuat lagi untuk melakukan kerja-kerja begitu. Haziq menyangkal hasrat saya. Sebab yang diberikannya sangat mudah. Dia khuatir saya akan keletihan dan kehausan di bulan puasa ini lebih-lebih lagi cuaca yang agak panas. Saya menghargai perhatian dan pandangannya terhadap saya. Pun begitu, saya perlu membetulkan fahamannya tentang bulan Ramadan yang sedikit tidak betul itu.Bulan Ramadan tidak sedikit pun menafikan keperluan untuk kita melakukan kerja seperti bulan-bulan yang lain. Malah di bulan Ramadanlah kita perlu lebih bersemangat untuk bekerja agar ia dapat memberi mesej yang betul kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu tidak menganjurkan penganutnya untuk melebihkan rehat daripada bekerja. Islam tidak mempamerkan umat yang lembik dan tidak bermaya sepanjang bulan di siang hari berpuasa.  Lebih menarik, R

Nafsu

S aya ke bazar petang ini. Ramadan kali ini saya secara sengaja tidak mahu begitu kerap ke bazar berbanding dulu-dulu..Saya mahu mendidik nafsu saya. Juga tidak mahu membiarkan nafsu menguasai akal dan fikiran saya. Mengunjungi bazar mendedahkan saya kepada runtunan nafsu yang tidak terkawal. Semua yang dilihat ingin dibeli. Ketika lapar begitu, apa sahaja yang dilihat semuanya sedap hatta seketul ayam goreng yang mungkin tidak habis dijual semalam. Ketika saya begitu berkira-kira dan amat berhati-hati membeli, ironisnya saya membiarkan Haziq membeli sesuka hatinya. Saya tidak mahu menyekatnya. Belilah selagi teragak dan teringin. Saya ingin dia belajar sesuatu semasa berbuka nanti. Semasa berbuka Haziq menyaksikan dirinya sendiri dipermainkan oleh nafsu tamaknya di bazar tadi. Setelah meneguk bergelas-gelas air cincau yang disediakan oleh mamanya dan dua pinggan nasi goreng paprik yang diberi oleh atoknya, dia sudah tidak berupaya untuk menyentuh dan menjamah segala juadah yang

Kontot

"Penggunaan perkataan kontot merosakkan keindahan bahasa, justeru mutu sastera" S aya sedang membaca laman ke laman buku Teknik Surah Yusuf. Saya tidak pernah tahu bahawa dalam penulisan kreatif pun kita dituntut untuk menggunakan perkataan yang lengkap dan sempurna. Saya selalu berandaian penulisan kreatif membenarkan apa sahaja bentuk bahasa, hatta bahasa basahan sekali pun dan sekaligus memberi laluan kepada penggunaan perkataan kontot. Di kalangan penutur Bahasa Melayu, penggunaan bahasa basahan yang sifatnya kontot-kontot bukanlah asing. Penggunaannya diterima pakai secara meluas dan ia dikesan diguna secara wewenangnya dalam penulisan kreatif. Penggunaannya pastinya tidak lain kecuali untuk mewujudkan kesan semulajadi, bahawa begitulah perkataan yang digunakan dalam pertuturan seharian. Nak, dah, ni, tu, mau, ke, saja adalah contoh perkataan kontot yang kerap ditemui dan digunakan dalam penulisan bagi menggantikan hendak, sudah, ini, itu, mahu, kah dan sahaja

Ujian

K esabaran saya diuji di bulan yang mulia dan penuh barakah ini. Puasa mendidik kita supaya bersabar sebenarnya. Ujian yang saya hadapi tidaklah getir sangat pun. Namun begitu, ia cukup memualkan dan merentap hati kecil saya. Saya melihat perlakuan biadab di depan mata. Saya menahan kesabaran saya lebih dari satu jam setengah menyaksikan sambil membiarkan ia berlaku. Saya tidak mahu menegur, apatah lagi menyuarakan rasa tidak senang hati dan marah-marah. Saya mengambil pendirian untuk membiarkan sahaja dan saya bangga dengan diri saya kerana mampu bertahan dengan kerenah tidak beradab itu. Berbual-bual ketika seseorang sedang menyampaikan sesuatu di depan bukanlah perlakuan yang sopan. Dan ia semakin tidak sopan bila ia dilakukan oleh mereka yang dikatakan berakhlak dan berilmu relatif tinggi daripada orang lain.   Di hujung episod yang menyenakkan perasaan ini saya hanya katakan " Saya sangat kecewa dengan perbuatan kamu" . Pena Tumpul - Sabar

Pengampunan

F asa pertama Ramadan (1 - 10 Ramadan),syahrurrahmah (permulaannya rahmat) baru berlalu. Kini bermula fasa kedua, syahrul magfirah (pertengahaannya pengampunan) untuk 10 hari berikutnya sebelum munculnya Fasa Ketiga. Bagaimana dengan Fasa pertama yang telah kita lalui. Adakah kita merasakan kesannya dalam diri.Persoalan-persoalan ini mungkin boleh kita ajukan kepada diri sendiri bagi melihat dan melihat sejauh mana impaknya 10 hari yang berlalu. Adakah dengan datangnya ramadhan kita ikhlas beribadah? Adakah kita hanya sekadar raikannya sahaja? Adakah dengan ramadhan kita sudah berubah, dari selalu bersangka buruk kepada bersangka baik? Adakah kita dapat tahan mulut kita dari bercakap kosong? Adakah kita dapat jaga mata kita dari tengok benda yang sia-sia? Adakah kita betul-betul beribadah semata kerana kita beriman kepada-Nya dan mengharapkan sepenuh ganjaran hanya dari-Nya. Melalui pembacaan, dijelaskan bahawa dalam fasa kedua ini Allah SWT. menerima dan memberi pengampuna

Meliko

O rang-orang lama memang kaya dengan istilah-istilah lama. Bila sesekali berbual, terselit juga sepatah dua perkataan yang sangat asing bunyinya.Generasi sekarang yang dilabelkan sebagai Gen Y kebanyakannya memang tidak biasa mendengar perkataan lama ini dituturkan apa tah lagi untuk menggunakannya dalam tuturan harian. Beberapa minit sebelum berbuka, di hamparan hidangan berbuka puasa sekonyong-konyong ayah mertua bertanyakan cucunya tentang kolenya. Diko termangu-mangu dan tidak tahu apa yang dinyatakan oleh Tokyahnya. Perkataan "kole" memang sangat asing dalam kamus tuturnya. Haziq juga tidak tahu. Denko juga tidak tahu. Ringkasnya, anak-anak Gen Y memang tidak tahu apa itu kole. Mereka cuma kenal cawan dan gelas. Kole juga bekas air seperti cawan dan gelas, cuma ia dibuat daripada ayan. Saya ingat waktu kecil di kampung dulu, penggunaan kole sangat meluas. Kole digunakan terutamanya oleh kanak-kanak atas alasan keselamatan. Kole ini kalau jatuh ke lantai simen tida

Topi

H aziq mengadu topi keledarnya hilang.Nasibnya baik kerana dia hampir kehilangan motosikalnya. Kejadian ini berlaku di luar kawasan sekolah. Haziq silap perhitungan dengan mengambil keputusan meletakkan motorsikalnya di tempat yang tidak sepatutnya. Dia berfikiran motorsikalnya akan selamat dari sebarang cubaan untuk dicuri. Haziq tidak berseorangan dalam beranggapan semua orang adalah sangat baik dan boleh dipercayai. Semua orang tidak akan berani mengusik hak milik orang lain apatah lagi memilikinya secara paksa juga pandangan yang silap. Bukan semua manusia berfikir seperti yang kita fikirkan. Kalau kita baik tidak semestinya semua orang lain pun akan baik juga. Itu pandangan dan anggapan yang sangat silap. Saya harap Haziq akan belajar sesuatu dari kesilapannya itu. Kalaulah semua orang di maya pada baik-baik belaka, tidak perlu rasanya syurga dan neraka! Pena Tumpul - Percaya semua orang

Ayah

A dakalanya sebagai anak kita sering mengabaikan sesuatu yang kecil yang dilakukan oleh ayah kita, namun memiliki makna yang begitu besar. Tanpa kita sedari di dalamnya terdapat kasih sayang, cinta, pengorbanan dan tanggungjawab yang sangat mendalam. Saya ada cerita yang menarik untuk dikongsi bersama. Saya mendengarnya dari seorang tokoh motivasi lewat corong radio awal pagi ini. Kisah ini sangat meruntun rasa. Waktu petang bila pulang dari kerja seorang suami melihat isteri yang tertidur kepenatan kerana kerja rumah. Suami mencium kening isterinya dan bertanya, ‘ Sayang, sudah solat Asar  ke belum? ’ Isterinya terbangun dengan hati gerang menjawab pertanyaan suami, " Sudah bang" Isterinya beranjak dari tempat tidur mengambil piring yang tertutup, Petang itu isterinya memasak kesukaan  suami. Piring itu dibukanya, ada sepotong kepala ayam yang untuknya. Suami memakannya dengan lahap dan menghabiskan. Isterinya bertanya, "Abang, kenapa suka makan kepala a

Rakaat

''Dalam hidup ini kita perlu menekankan soal kualiti dan bukannya kuantiti semata-mata, bagi yang 20 rakaat tetapi kalau tidak ada kualiti, lebih baik buat lapan tapi berkualiti manakala ada juga buat lapan tetapi tidak ada kualiti, lebih baik buat 20. ''Sama seperti orang makan nasi suka lauk banyak tidak semestinya berkualiti, jadi lebih baik makan nasi dengan lauk berkhasiat meskipun sedikit kuantitinya". I tu kata Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid bila mengulas tentang segelintir masyarakat Islam yang masih lagi berbalah soal jumlah rakaat sembahyang tarawih. Lapan atau 20 rakaat? Setiap kali Ramadan, persoalan ini tidak dapat dielakkan untuk difikirkan. Saya ingat ketika saya mula berpuasa di zaman sekolah rendah dahulu, saya tidak pernah diberitahu pun bahawa sembahyang sunat muakad ini juga diamalkan sebanyak 8 rakaat. Yang saya tahu waktu itu saya dengan tekun melakukannya sebanyak 20 rakaat seperti mana majoriti yang lain. Saya gembira

Bertudung

"Memakai tudung itu pakej. Keinginan untuk bertudung perlu selari dengan hasrat untuk mempamerkan akhlak yang baik sebagai seorang wanita" I tu kata Dr Fadzilah Kamsah dalam rancangan kelolaannya "Selami Jiwa" yang sempat saya tonton beberapa malam lalu. Terpaku saya seketika melihat penampilan Catriona Noorhayati Ross (Cat) selepas bertudung. Cantik dan menarik. Secara peribadi saya memang meminati pelakon berdarah Scottish ini. Lenggok tuturnya lembut dan menarik. Sesekali disulami sebak, Cat menceritakan bahawa dia mula tergerak hati untuk bertudung apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC dan semasa mencuba tudung sambil melihat wajahnya di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga dia bergenang air mata. Sejak itu Cat bertekad untuk bertudung dan akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Saya melihat pengakuan yang sangat jujur dari Cat lewat rancangan setengah jam di Astro Oasis ini. Bila dikhabarkan UiTM Seg

Kesan

K uatnya kesan bahasa badan. Tanpa suara yang terdengar, dia menyampaikan mesej yang cukup jelas kepada yang menerimanya. Yang menerima rasa tersinggung, terguris dan tercalar hatinya. Persoalan yang tidak pernah terjawab sejak bertahun akhirnya dijawab sendiri oleh Man Kidul. Sebabnya hanya kerana bahasa badan yang dipamerkan. Bila berkunjung ke rumah Husin Lempoyang hari raya lalu, Man Kidul memerhatikan bahasa badan yang dipamerkan oleh abang iparnya itu. Kata Man Kidul, Husin Lempoyang memcebikkan bibirnya sambil mengalihkan pandangannya ke arah lain sewaktu menerima kunjungannya anak beranak. Senyum pula senyum pahit. Kata Man Kidul dia mengesan secara sedar bahasa badan Husin Lempoyang. Perbualan tidak rancak seperti selalu. Ditanya sepatah dijawablah sepatah. Tiada langsung kemesraan. Man Kidul yang menerima mesej bisu ini rasa cukup terguris hatinya. Kata Man Kidul kesannya begitu mendalam. Sejak hari itulah Man Kidul bertekad untuk tidak datang-datang lagi ke rumah Husin

Kotor

K habarnya sepasang suami isteri berpindah ke rumah baru. Mereka sibuk mengemas rumah baru tersebut. Esoknya, sedarnya si isteri dari tidur, dia melihat rumah sebelah melalui tingkap rumahnya. Dilihat seorang wanita tua sedang minyidai kain di ampaian, kain yang disidai di ampaian tersebut kelihatan kotor. Terlintas dalam hatinya, mengapakah wanita tua ini tidak membasuh baju sehingga bersih. Hari kedua, si isteri terasa ingin melihat keluar lagi. Diwaktu yang sama, dia memandang ke luar melalui tingkap yang sama. Apa yang dilihat wanita tua itu menyidai pakaian, pakaian yang disidai masih kotor. Terdetik dalam hatinya, bagaimana wanita yang sudah tua dan berpengalaman ini membasuh baju. Dia memberitahu suaminya akan hal itu, namun suaminya diam sahaja. Hari ketiga, si isteri ini bangun lagi, dia melihat keluar rumah melalui tingkap yang sama. Dilihat wanita tua itu sedang minyidai baju, tetapi kali ini baju itu bersih! Terdetik dalam hatinya, tentu wanita ini sudah

Bogel

J ujurnya saya tidak pernah setuju  dengan sebarang tindakan oleh sesiapa pun memalukan seorang yang lain di hadapan orang lain, walau apa pun sebab dan tujuannya. Sebabnya satu saja, semua orang tidak kira siapa pun mereka ada harga diri. Siapalah kita untuk memalukan orang lain. Kita tiada hak itu pun. Cuma Pencipta kita sahaja yang ada hak itu dan hak itu pun tidak digunakan wewenangnya. Saya mentadabbur Surah Al Haqqah dan menemui ayat ini. Bersekali saya menulusuri bicara Syed Qutb. Saya terpana dan ia mencekik segala rasa hati saya. "Pada hari itu kamu dihadapkan kepada Allah, tiada satu pun dari rahsia kamu yang tersembunyi". (Surah AlHaqqah: 18) Kata Syed Qutb pula, "Pada hari itu segala-galanya terdedah, badan  terdedah, jiwa terdedah, amalan terdedah, dan untung nasib terdedah. Gugurlah segala tabir yang melindungi rahsia-rahsia. Bogellah segala jiwa dan segala jasad, ketaralah segala yang tersembunyi. Setiap orang kehilangan daya tipu helah, kehila

Lebat

S etelah beberapa hari dilanda jerebu, hujan yang lebat selebatnya meladungkan seluruh tanah Segamat petang ini. Kilat sabung menyabung beserta dentuman guruh dan panahan kilat yang mengecutkan perut. Rumah Pak Mentua turut terjejas. Beberapa keping zing lama tertanggal namun tidak sampai terbang. Pelepah kelapa bersimpang siur merentangi jalan. Daun-daun bertebaran. Batu-batu melonggok di atas jalan dibawa air hujan yang deras dari atas bukit. Namun syukur kepadaNya atas nikmat hujan yang tidak terhingga yang bukan sahaja membasuh kotoran dan habuk tapi juga karat-karat dosa yang mungkin terampai di mana-mana. Ini baru sedikit ujianNya. Kegoncangan yang diceritakan dalam surah Az-Zalzalah pastinya lebih hebat dari ini! Pena Tumpul - Nyamannnya beradu dalam cuaca begini