Skip to main content

Tuisyen

Haziq begitu liat hendak ke kelas tuisyen malam tadi. Alasannya terlalu banyak kerja sekolah yang perlu dibereskan. Memang sejak dari awal lagi Haziq tidak begitu bersetuju dengan cadangan kami supaya beliau menghadiri kelas tuisyen, khususnya dalam subjek-subjek yang dia ketara agak bermasalah. Seingat saya, selama 13 tahun persekolahan, tidak ada sebarang kelas tuisyen yang saya hadiri. Selain daripada kurangnya kelas-kelas tuisyen pada era 70an dulu, faktor kewangan yang kurang mengizinkan juga turut membenamkan hasrat saya untuk ke kelas tuisyen. Keadaan sekarang sudah jauh berbeza. Tuisyen dianggap satu keperluan malah adakalanya dilihat lebih penting daripada kelas biasa di sekolah. Ibubapa yang tidak menghantar anak mereka ke kelas tuisyen dilihat seperti melawan arus dan tidak memenuhi tuntutan pendidikan masa kini. Perlukah kelas tuisyen sebagai dos tambahan yang perlu disuntik kepada para pelajar yang sudah sedia terbeban dengan pelbagai kerja sekolah dan aktiviti kokurikulum yang begitu menghambat masa sekarang? Mengapa perlunya pelajar ke kelas tuisyen? Persoalan-persoalan ini pernah saya kupas dalam tulisan saya yang dimuatkan dalam Utusan Malaysia tidak lama dulu.

Kenapa pelajar perlu tuisyen?
Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED

TIDAK ada siapa yang dapat menafikan bahawa sudah menjadi kecenderungan di kalangan ibu bapa zaman ini untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen atau mendapatkan khidmat tutor secara peribadi untuk anak mereka di rumah.
Dorongan yang menebal untuk melihat kejayaan anak-anak mereka setanding dengan anak-anak orang lain dalam pencapaian akademik di sekolah selalunya menjadi faktor utama mengapa sebahagian besar ibu bapa sanggup berbelanja lebih asalkan anak mereka tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kertas ini. Hasrat ini tidak sukar dipenuhi kerana pusat-pusat tuisyen yang tumbuh bagai cendawan di musim hujan di seluruh negara sedia sahaja menawarkan khidmatnya.
Bagi ibu bapa yang lebih berkemampuan, mengeluarkan sejumlah wang untuk menggaji guru-guru memberi tuisyen khas untuk anak mereka di rumah bukanlah satu beban.
Jadi, 'bagai menangguk di air yang keruh' ada pusat-pusat tuisyen yang mengambil kesempatan di atas keghairahan ibu bapa ini mengenakan yuran yang tinggi sedangkan khidmat yang diberikan tidak ada bezanya dengan apa yang terdapat di sekolah biasa.
Oleh itu tidak menghairankan kalau kita dapati ada setengah pusat tuisyen yang 'modus operandi'nya tidak lebih daripada seperti sekolah biasa. Juga tidak memeranjatkan bilangan pelajar di dalam satu kelas adakalanya melebihi jumlah pelajar di sebuah kelas biasa di sekolah.
Di dalam kelas yang saiznya tidak ubah seperti kelas biasa di sekolah amatlah mustahil untuk setiap orang pelajar diberikan perhatian yang khusus sedangkan inilah matlamat sebenarnya mengapa mereka ke pusat tuisyen - untuk mendapat layanan istimewa selain daripada membantu mereka menyelesaikan masalah dalam pelajaran yang mereka hadapi di sekolah.
Ini kerana terdapat segelintir pelajar yang memerlukan perhatian secara peribadi daripada seorang guru untuk belajar dengan lebih berkesan.
Oleh itu, apabila ada pihak yang menyarankan supaya Kementerian Pendidikan mengambil langkah memantau operasi pusat-pusat tuisyen di seluruh negara, ia memang baik dan perlu diberikan perhatian segera. Kita tidak mahu ibu bapa dan juga para pelajar menjadi mangsa kepada pengendali pusat tuisyen yang cuma bermotifkan keuntungan semata-mata.
Bukan sedikit ibu bapa yang terpedaya dengan pelbagai tawaran dan kemudahan menarik yang ditawarkan oleh pusat-pusat tuisyen dalam iklan promosi mereka, sedangkan pada realitinya ia tidak lebih seperti indah khabar dari rupa.
Mengapa tuisyen ini dilihat dan menjadi begitu penting oleh masyarakat kita hari ini?
Tuisyen kini tidak lagi dilihat sebagai sekadar untuk membantu pelajar-pelajar yang lemah dalam mata pelajaran tertentu di sekolah, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada aktiviti yang perlu dilalui oleh seorang pelajar selain daripada belajar di sekolah itu sendiri.
Seingat saya, di zaman persekolahan saya dahulu, seorang pelajar sekolah tidak merasa perlu untuk ke pusat tuisyen untuk berjaya dan cemerlang dalam pelajaran. Kalau ada pun pusat tuisyen ia boleh dibilang dengan jari dan cuma terhad di kawasan bandar sahaja.
Itu pun hanya terbatas kepada mereka yang betul-betul mampu sahaja. Di kawasan luar bandar, fenomena pergi ke tuisyen mungkin tidak wujud langsung. Waktu itu, anak-anak sekolah bergantung sepenuhnya kepada tunjuk ajar di samping bahan-bahan yang diperoleh daripada guru-guru di sekolah.
Malah, kelas tambahan yang dianjurkan oleh sekolah juga tidak ada dalam kamus pelajar pada waktu itu. Di rumah pula, ibu bapa walau pun tidak berpelajaran tinggi namun masih punyai masa untuk menggalakkan anak mengulang kaji di rumah.
Ironisnya, di sebalik kekurangan yang dialami dulu pelajar-pelajar dahulu masih lagi boleh mengecapi kejayaan seperti yang dinikmati oleh pelajar masa kini. Kalau pun tidak setanding pelajar sekarang, apa yang lebih membanggakan ialah pelajar-pelajar yang lahir bukan sahaja baik pencapaian akademiknya malah terjamin akhlaknya.
Melihat kepada keghairahan ibu bapa dan kegilaan anak-anak sekarang terhadap tuisyen ini, tidakkah ini seolah-olah mencerminkan guru-guru di sekolah tidak boleh diharapkan sepenuhnya lagi.
Sedangkan pada hakikatnya, masih ramai lagi guru-guru yang berkebolehan di sekolah yang boleh dijadikan sumber rujukan para pelajar.
Walau apa pun hakikatnya yang berlaku di sekolah khususnya yang bersangkut dengan sistem pembelajaran di sekolah itu sendiri, namun rata-rata pelajar yang terlibat dengan tuisyen berpandangan bahawa masalah pelajaran mereka tidak dapat diselesaikan sepenuhnya oleh guru-guru di sekolah lantaran saiz kelas yang terlalu besar dan guru tidak punyai cukup masa untuk memberi tumpuan kepada mereka khususnya kepada pelajar yang lemah.
Oleh itu, berpaling kepada guru tuisyen merupakan jalan penyelesaiannya. Ini ditambah lagi dengan beban kerja guru yang semakin bertambah yang tentunya tidak hanya terbatas setakat mengajar pelajar di dalam kelas sahaja.
Ada yang terpaksa melakukan kerja-kerja perkeranian yang tidak sepatutnya mereka lakukan - lalu mereka tidak punya masa yang terluang untuk mendekati pelajar yang menghadapi masalah dalam pelajaran.
Malah sebahagian ibu bapa berpendapat bahawa mereka terpaksa menghantar anak mereka ke pusat tuisyen kerana sistem persekolahan yang ada sekarang tidak menyediakan peluang untuk anak-anak mereka mendapat perhatian yang khusus daripada para guru, justeru bilangan pelajar yang begitu besar dalam sesebuah kelas!
Di satu pihak, sistem pendidikan yang terlalu mementingkan peperiksaan juga turut menjadi penyumbang kepada bertambahnya pusat-pusat tuisyen dewasa ini.
Bagi ibu bapa yang ingin melihat anak-anak mereka berjaya, sama ada mahu atau tidak, anak-anak mereka akan dipaksa menghadiri kelas-kelas tuisyen.
Di pihak guru-guru yang terlibat dalam mengendalikan kelas tuisyen pula, rata-ratanya berpendapat gaji yang mereka peroleh sebenarnya tidak cukup untuk menampung perbelanjaan hidup mereka seharian.
Persoalannya sekarang: Adakah tuisyen perlu kepada para pelajar? Pada saya, kalau sistem persekolahan yang ada sekarang dapat diperbaiki sehingga memberi lebih ruang untuk guru memberi perhatian yang terbaik kepada anak didiknya dan para pelajar pula mempunyai lebih peluang untuk mendekati guru mereka bagi menyelesaikan masalah pelajaran mereka - rasanya soal keperluan kepada tuisyen mungkin tidak timbul.




Pena Tumpul - Berhempas pulas belajar sendiri

Comments

Popular posts from this blog

Pahat

O rang tua-tua selalu mengingatkan kita, kalau hendak berjaya jangan sama sekali bersikap seperti pahat dengan penukul. Sikap pahat yang hanya akan berkerja apabila diketuk sebenarnya banyak berlaku dalam kehidupan seharian kita. Kebijaksanaan silam itu mahu memberitahu kita bahawa dalam apa kerja sekalipun, desakan atau keterpaksaan tidak akan menjanjikan kejayaan. Apabila membuat kerja apabila dipaksa, maka selamanya kita memerlukan ``ketukan'' supaya sekian banyak ``pahat'' membuat kerja masing-masing. Adakalanya Haziq juga bagai pahat. Saya pula penukul. Mahu diketuk selalu. Perlu juga sering diingatkan disuruh. untuk buat itu dan ini, walaupun apa yang perlu dibuat itu sebenarnya tidak perlu sampai disuruh pun. Kebanyakannya adalah rutin yang sudah sering sangat dilakukan. Mengulangkaji pelajaran misalnya tidaklah sampai perlu diulang-ulang diberitahu untuk melakukannya. Ia adalah kewajipan seorang pelajar kalau ingin berjaya. Sekali disuruh, sekali d

Mirip

Panas? Gambar hiasan sahaja. B iasa sangat kita dengar orang kata kalau anak perempuan mirip rupa ayah, sejuk. Apa yang sejuk itulah yang sampai kini saya kurang pasti jawapannya. Barangkali rumahtangga yang sejuk. Rumahtangga ayah dan ibu akan sentiasa aman bahagia tanpa sengketa mungkin. Dan, kalau anak lelaki mirip wajah ibunya, dikatakan juga rumahtangga yang dibina akan turut sejuk. Sebaliknya kalau anak perempuan mewarisi wajah ibu dan anak lelaki mirip paras bapanya berkemungkinan rumah tangga akan panas. Akan selalu berlaku sengketa. Sejauh mana benarkah kenyataan yang tiada data-data empirikal ini? Cakap-cakap kosong ini cuma disebarkan dari mulut orang-orang tua dahulu dan ia terus tersebar dari satu generasi ke satu generasi dan tidak sangat perlu untuk dipercayai pun. Saya melihat kesejahteraan sesebuah bahtera rumah tangga banyak bergantung kepada bagaimana ia dikemudi oleh nakhodanya berpandukan kompas iman dan diterima dengan senang hati oleh ahli-ahli bahteranya. Itu

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus