Skip to main content

Hutang


Sebuah kereta ini tiba-tiba dilihat di atas jalanraya dan anehnya ia tidak dipandu apatah lagi dimiliki oleh seorang yang sedang bersusah payah membayar ansuran bulanannya. Malangnya nasib Kak Long, sebagai penjamin, dia terpaksa melangsaikan hutang tertunggak kereta ini gara-gara perbuatan empunya yang tidak cukup mampu membayarnya. Sampai kini yang berhutang cukup selesa dan lepas tangan. Dan Kak Long sedang membayar atas sesuatu yang tidak pernah pun dimilikinya.

Saya kira bukan sedikit yang menjadi mangsa kepada peminjam yang tidak bertanggungjawab begini. Senangnya bila segala beban didokong bagai biawak hidup dek penjamin yang selalunya tidak punya pilihan untuk lepas tangan juga. Saya sendiri pernah dianiayai rakan "baik" yang licik lalu memaksa saya menjunjung segalanya di batu jemala sehingga segalanya lunas.

Kata Ustaz, adalah berdosa besar bagi orang yang sengaja tidak membayar hutang. Seseorang yang suka melewat-lewatkan bayaran hutang setelah berkemampuan untuk membayarnya, boleh mendatangkan kesan buruk dalam hidupnya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat. Dan saya yakin semua orang tahu tentangnya.

Sabda Rasul S.A.W. yang bermaksud: “Penangguhan hutang oleh orang yang berkuasa membayarnya, adalah satu kezaliman, halal maruah dan hukuman ke atasnya (iaitu pemberi hutang boleh mengambil tindakan ke atas diri dan maruahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Sabda Rasul S.A.W. lagi yang bermaksud; “Kurangkan dirimu daripada melakukan dosa, maka akan mudahlah bagimu ketika hendak mati. Kurangkan daripada berhutang nescaya kamu akan hidup bebas”. (Riwayat Baihaqi)

Berhutang itu diharuskan oleh Islam, manakala membayar balik hutang itu pula diwajibkan. Dalam hal ini, besarnya kewajipan melunaskan hutang diterangkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Diampuni semua dosa orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Riwayat Muslim).

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud “Sesungguhnya sebesar-besar dosa di sisi Allah ketika seseorang hamba itu berjumpa dengan Allah nanti selepas dosa besar lain yang ditegah ialah seseorang lelaki yang berjumpa dengan Allah di hari Hisab dengan mempunyai hutang yang belum dijelaskan lagi.”

Dalam kepayahan Kak Long tidak jemu berdoa agar yang berhutang jadi kaya dan ambil biawak hidupnya semula
Pena Tumpul - Cukup bulan bayar hutang itu dan ini

Comments

PENA KASIH said…
Kasihan Kak Long yang terpaksa menanggung hutang.Bukan sedikit tapi menelan puluhan ribu.Rintihan dan keluhan Kak Long sering didengar.Namun percaya, Kak Long sentiasa bersabar dan bersabar walaupun ada masanya ia hilang kesabaran.Semuanya memberi peringatan kepada saya agar tidak menganiaya orang.Cukup pada apa yang kami sekeluarga alami, akhirnya orang yang menganiaya kami hilang segala-galanya.Rumahtangga dan hilang pekerjaan.Bukan doa kami.Kami sentiasa mendoakan terbaik untuk mereka tapi semuanya sudah tersurat.Allah sentiasa mendengar rintihan orang yang teraniaya.
PENA KASIH said…
Yalah,hujung bulan fikir hutang dengan bank.Hutang kereta la,hutang itu dan ini.Tapi hutang orang perlu ingat.

Popular posts from this blog

Batu

H ari ini anak saudara perempuan ini menyerahkan senarai yang cukup panjang nikmat Allah yang pernah dan sedang dikecapinya. Saya kagum kerana dia tidak ambil mudah tugasan yang diberikan itu. Segala nikmat anggota yang terlekat di tubuh tidak langsung tertinggal dalam senarainya.Nikmat melihat dan mendengar apatah lagi nikmat untuk terus hidup di bumi Tuhan yang luas ini. Saya kata padanya dalam banyak keadaan manusia mudah lupa bila Allah melimpahkan nikmatnya. Justeru itu Allah menyedarkan manusia di saat kealpaan itu agar tidak terus hanyut dibuai nikmat kesenangan dunia. Bila dalam keadaan tersepit barulah kita bergegas mencariNya. Saya ceritakan padanya kesah seorang pekerja di tapak projek bangunan yang memanjat di atas tembok yang sangat tinggi. Denko harus menyampaikan pesan penting kepada teman kerjanya yang ada di bawahnya. Denko berteriak-teriak, tetapi temannya tidak berupaya mendengarnya justeru gangguan bising dari mesin-mesin dan suasana yang hiruk pikuk di sekelilingn...

"Tidak"

H afiz sedang menangis yang sukar dipujuk sesampainya saya ke rumah Mantoba malam tadi. Kalau tidak dia pasti meluru mendapatkan saya menawar diri untuk di dukung. Kami berusaha memujuknya tetapi gagal malah raungannya bagai memecah gegendang telinga. Sebabnya sudah dijangka. Mantoba yang balik seminggu sekali pulang tanpa sebarang mainan untuk Hafiz seperti minggu-minggu sebelumnya. Dia gagal memenuhi permintaan Hafiz kali ini. Walaupun permainan yang ada sudah cukup banyak, kanak-kanak tetap kanak-kanak. Naluri mahukan sesuatu yang baru memang tidak boleh ditahan-tahan. Namun sebagai ibubapa, kita tidak selalunya perlu menurut segala kemahuan anak. Ada ketikanya kita perlu memilih untuk berkata "tidak" kepadanya walaupun ia mungkin bagaikan dos yang menyakitkan dan memilukan hatinya. Anak-anak perlu belajar mendepani keadaan dimana tidak semua kemahuannya bisa ditunaikan. Juga bersedia menjadi dewasa dan belajar untuk memahami hakikat hidup bahawa orang di sekeliling tidak ...

Rencah

P erjalanan berkereta dari Segamat ke Serting pagi ini pastinya membosankan kalau tidak disulami dengan bual bicara dan gurau ketawa. Tok Ya yang turut serta bersama isterinya selain isteri dan Haziq memecah kesunyian apabila setelah lima minit berlalu saya masih lagi senyap justeru tidak ada apa yang hendak dibualkan. Tok Ya menyuarakan rasa kesal dan terkilan di atas pemergian Pak Itam sebulan yang lalu. " Dia mungkin boleh diselamatkan kalau mendapatkan rawatan di pusat perubatan swasta ". Walau pun kematian Pak Itam sudah ditentukan Ilahi namun layanan dan rawatan yang diberikan oleh hospital kerajaan amat dikesalkan. Pak Itam dibiarkan berminggu-minggu terlantar di katil sebelum pembedahan dilakukan. Yang lebih mengecewakan lagi apabila kecuaian yang dilakukan semasa pembedahan sehingga berlakunya infeksi pada paru-paru. Ini fenomena biasa di hospital kerajaan. Tok Ya sempat menceritakan pengalamannya dirawat di dua hospital yang berbeza ini. Walaupun ribuan ringgit terp...