Skip to main content

Pandangan

Saya mengunjungi seorang rakan lama malam tadi. Lama saya bersembang dengannya namun perbualannya tidak serancak ketika beberapa bulan lalu. Dia kelihatan sugul bagai mengendong masalah yang cukup berat. Dia sudah tiga bulan tanpa pekerjaan rupanya. Dia hilang pekerjaan justeru syarikatnya tenat dan memaksa ramai pekerja diberhentikan. Saya tahu dia cukup sedih berdepan dengan kenyataan hidupnya sekarang. Dia bernasib baik kerana isterinya masih bekerja. Begitu juga bergantung harap kepada sedikit simpanan. Namun selama manalah dia boleh bertahan tanpa kerja tetap begitu.

Saya tidak mampu memberi pekerjaan kepadanya. Saya cuma mampu berkongsi apa yang saya baca. Buku "Jangan Bersedih" yang kerap saya baca mengatakan begini, ambillah hikmah dari setiap kejadian. Ketika mana orang bodoh melihat musibah sebagai satu malapetaka yang amat memeritkan, orang cerdik pula melihatnya sebagai satu usaha untuk merubah kerugian menjadi keuntungan. Bukan gelap yang dilihat tetapi cahaya yang terang benderang itu sepatutnya yang nampak lebih jelas. Ketika kita diberi segelas air limau yang cukup masam, bukan masam itu yang perlu kita hiraukan tetapi usaha kita untuk menambah sesendok gula agar yang masam bertukar manis. Begitu juga ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang, ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain itu. Dan ketika kita disengat kala jengking, ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberikan kekebalan pada tubuh anda dari bahaya bisa ular.

Pastinya lebih senang bercakap dari membuat. Bukan saya yang menanggung tetapi dia. Saya cuba berada dalam kasutnya dan ingin merasa apa yang dia rasa. Kata orang kalau berat mata yang memandang, pastinya yang memikul akan lebih tidak tertanggung rasa berat di bahu. Pun begitu, sekurang-kurangnya saya berusaha mengubah pandangannya dalam melihat musibah yang datang.

Pagi ini dia mengejutkan saya. Dia hendak berniaga. Berniaga nasi lemak. Cukuplah begitu untuk satu permulaan yang berani. Saya tumpang bangga.

Pena Tumpul - Hidup bak roda




Comments

Popular posts from this blog

Cukur jambul

AMALAN cukur jambul kebiasaannya diadakan sempena menyambut kehadiran orang baru dalam keluarga. Berpandukan kepada syariat Islam, istilah cukur jambul sebenarnya tidak wujud dan selari dengan sunah Nabi Muhammad s.a.w.. Malah amalan ini juga dipercayai berasal daripada kepercayaan masyarakat India yang beragama Hindu. Dalam Islam, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama." (Riwayat Ahmad dan disahkan oleh Turmudzi) Berdasarkan kepada hadis ini, ulama menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat Islam yang dikurniakan cahaya mata supaya melakukan akikah pada hari ketujuh. Kemudiannya, daging akikah tersebut diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin. Mengikut sunah, apa yang dilakukan oleh Baginda kepada cucunya, Hasan dan Husin, apabila jatuh hari ketujuh diadakan akikah adalah memberikan nama dan mencukur rambut mereka berdua. Rambut tersebut ditimbang dan ...

Cengkerik

P etang ini hasrat untuk memancing hampir terbantut gara-gara gagal mendapatkan cengkerik. Seluruh Segamat kehabisan cengkerik. Serangga ini mendadak naik permintaannya selepas banjir. Ia menjadi buruan kaki pancing. Cengkerik biasanya dijual dengan harga seringgit untuk 25 ekor. Agak mahal. Makanannya cuma kertas sahaja. Rasanya kalau ternak cengkerik sekarang, pulangannya pasti tidak mengecewakan. Dalam keadaan permintaan melebihi penawaran, rasanya penjual cengkerik boleh buat duit dengan menaikkan harganya. Seingat saya berpuluh tahun dahulu cengkerik bukanlah umpan untuk memancing. Tidak pernah digunakan pun. Ketika itu umpannya tidak lain kecuali cacing. Ia mudah didapati dan tidak perlu dibeli pun. Pergi bawah rumah atau tanah yang agak lembab, cangkul dan gali. Pastinya berpuluh-puluh ekor cacing boleh dikumpulkan. Pada mulanya agak geli juga untuk memegangnya. Namun lama kelamaan, alah bisa tegal biasa. Joran yang digunakan pun tidaklah secanggih sekarang. Cuma buluh. Keluar w...

Roda

" H idup ini ibarat putaran roda yang menyaksikan kita tidak selalunya berada di atas. Ada ketikanya kita akan berada di bawah, kemudian naik semula dan turun lagi silih berganti." Saya menemui kisah yang sangat menarik ini. Ada ibrah. Peringatan juga ketika kita adakalanya lalai dan alpa. Alkisah, ketika sepasang suami isteri sedang menikmati sajian makan tengahari, muncul seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.'' Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.' ' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah. Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus ...